~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Friday, February 12, 2010

Zahrain tinggalkan PKR!

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim mengadakan sidang akhbar di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya, 12 Februari, bagi mengumumkan peletakan jawatannya dalam PKR berkuat kuasa serta-merta.

Tidak mahu dilihat sebagai sebahagian daripada ‘gerombolan yang menjahanamkan negara, bangsa dan agama Islam’, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim hari ini meletak kesemua jawatan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan keluar parti itu serta-merta berkuat kuasa hari ini.

Katanya, semasa beliau dijemput oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai parti itu dulu, beliau yakin PKR berjuang untuk reformasi dan perubahan tanpa berkompromi dengan nilai-nilai bangsa serta agama.

Namun katanya, beliau kini ragu dengan matlamat dan cara perjuangan PKR dalam pakatan pembangkang kerana bekerjasama dengan DAP yang disifatkannya mengamalkan politik sempit.

Katanya, ini dapat dilihat melalui gaya kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang membelakangkan orang Melayu beragama Islam khususnya golongan penjaja di negeri itu. Beliau yang juga bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang menambah, dasar cauvinis dan ekstremis yang dibawa DAP di negeri itu turut dibuktikan dengan tindakan Guan Eng mempolitikkan institusi Islam seperti pusat zakat baru-baru ini.

‘‘Saya tidak mahu sejarah menghukum saya kerana tidak berbuat apa-apa dalam berdepan dengan keadaan tersebut. ‘‘Saya tidak mahu generasi akan datang melihat saya sebagai sebahagian daripada gerombolan yang menjahanamkan dan merosakkan negara, bangsa dan agama saya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hadir sama bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehudin Hashim dan Pengerusi Tetap PKR cabang Bayan Baru, Ismail Mohd. Ali. Zahrain bagaimanapun menegaskan prinsipnya untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas tanpa menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) serta belum berjumpa dengan mana-mana pemimpin pembangkang mahupun pemimpin BN mengenai tindakannya hari ini.

Dalam pada itu, beliau menafikan bahawa tindakannya keluar daripada PKR mempunyai kaitan dengan isu ‘pembelian’ wakil rakyat pembangkang seperti di uar-uarkan Anwar sebelum ini. ‘‘16 September itu apa cerita? Saya pun kecewa dengan 16 September, tidak timbul isu beli membeli,” tegasnya.

Beliau merujuk kepada janji Anwar sebelum ini untuk merampas kerajaan berikutan dakwaan mempunyai ramai wakil rakyat BN yang akan berpaling tadah menyertai pembangkang tahun lalu.

Mengulas lanjut, kata Zahrain, tindakannya meninggalkan PKR antara lain didorong oleh gaya kepimpinan Guan Eng yang membelakangkan prinsip keadilan dan hak asasi manusia dalam penyingkirannya sebagai Pengerusi Island Golf Properties (IGP) Sdn. Bhd.

Lebih memeranjatkan, katanya, setelah penyingkiran beliau itu diketahui umum, Guan Eng mengarahkan agar butiran mesyuarat tersebut tidak direkodkan. ‘‘Inilah pemimpin yang kononnya mahu menerapkan prinsip dan amalan cekap, bertanggungjawab dan telus (CAT) dalam pentadbiran beliau,” tegasnya.

Dalam laporan portal berita propembangkang The Malaysian insider semalam, Guan Eng menyatakan Zahrain masih merupakan Pengerusi IGP. Zahrain sebelum itu mendakwa Guan Eng telah memecatnya daripada jawatan berkenaan ekoran kritikan pedas beliau melabelkan Setiausaha Agung DAP itu sebagai sebagai diktator, cauvinis dan berfikiran bahaya baru-baru ini.

Dalam pada itu Salehudin yang ditemui selepas sidang akhbar berkenaan menjelaskan kehadirannya hanyalah sebagai tanda sokongan kepada Zahrain yang merupakan kawan baiknya sambil menafikan beliau turut akan meninggalkan PKR. Zahrain dan Salehudin dikenali sebagai teman dan penyokong kuat Anwar.

Sementara itu : Anwar kecewa Zahrain keluar parti

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim menyifatkan pengunduran Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim daripada parti itu sebagai membelakangkan mandat rakyat.

Beliau yang kecewa dengan tindakan wakil rakyat itu berkata, pengunduran Zahrain akan menghalang pakatan pembangkang mengotakan janji yang diberikan pada pilihan raya umum lalu.

Jelas Anwar, beliau tidak bersetuju dengan kenyataan keras Zahrain terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kerana secara dasarnya segala proses rundingan harus dibincang secara baik dan prinsip itu dihormati di peringkat pucuk pimpinan parti.

''Sebagai rakan dan sahabat, tentu saya kecewa tetapi untuk menghukum Ketua Menteri (Lim Guan Eng) dengan kata-kata kesat, itu kita tidak boleh terima. Jadi beliau ditegur atas alasan itu," katanya di pekarangan Istana Kehakiman di sini hari ini.

Ketua Pembangkang itu hadir di Mahkamah Rayuan bagi mendengar rayuan untuk membatalkan pertuduhan liwat melibatkan bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan.

Anwar mengulas peletakan jawatan dan pengunduran Ahli Parlimen Bayan Baru itu berkuat kuasa serta merta setelah mengaku kecewa dengan pentadbiran Guan Eng serta tidak lagi percaya dengan perjuangan pakatan pembangkang.

Pengerusi DAP, Karpal Singh bagaimanapun memberi reaksi berbeza dengan menyatakan tindakan Zahrain tidak menggugat kekuatan pakatan pembangkang di Pulau Pinang kerana wakil rakyat PKR itu bukan seorang yang berpengaruh besar di negeri itu.

Mengulas lanjut Anwar berkata, keputusan Zahrain jelas membelakangkan pengorbanan parti yang meletakkannya sebagai jurucakap rakyat, bukan jurucakap Bebas, UMNO atau pro-Barisan Nasional (BN).

Jelasnya, keputusan Zahrain untuk mengundurkan diri tidak pernah dipanjangkan kepadanya atau dibangkitkan dalam parti.

PKR hilang pemimpin matang, bijak

Keputusan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mengisytiharkan dirinya wakil rakyat Bebas memberi tamparan hebat kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd. Nor berkata, Zahrain merupakan seorang pemimpin yang matang dan bijak membaca realiti politik dan tindakannya keluar PKR merugikan parti itu.

Katanya, kualiti itu tidak dimiliki oleh sebahagian besar pemimpin lain yang sekadar menjadi 'pak turut' kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. "Saya kenal dan tahu Zahrain ialah antara sebilangan kecil ahli politik dalam PKR yang matang, berpengalaman, berprinsip dan halus dalam membaca realiti dan cabaran politik.

"Ramai pemimpin PKR lain hanya 'pak turut' dan 'yes man' Anwar malah tidak memahami seni berpolitik, Zahrain ternyata berbeza," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan Zahrain yang juga bekas Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang mengumumkan keluar parti pada sidang akhbar di Petaling Jaya pagi ini yang dihadiri bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehudin Hashim yang meletakkan jawatan baru-baru ini.

Mengulas kehadiran Salehudin, Ezam berkata, perkara itu amat menarik untuk disoroti kerana ia membawa isyarat tersendiri. "Salehudin juga ahli politik yang matang dan berprinsip seperti Zahrain, kehadiran beliau dalam sidang akhbar itu membawa makna mendalam. "Saya percaya beberapa pemimpin PKR yang matang dan berprinsip akan meninggalkan parti itu tidak lama lagi," tegasnya.

Bukti kegagalan Anwar pimpin PKR

Keputusan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuktikan kegagalan Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin parti itu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, sikap Anwar yang tidak mempedulikan kritikan oleh beberapa wakil rakyat PKR termasuk Zahrain terhadap sekutunya, DAP menyerlahkan kepincangan itu.

"Saya rasa sebab Anwar lebih suka menjaga hubungan politik (dengan DAP), jadi dia tidak berani buat apa-apa. "Akhirnya yang mengkritik dengan sendirinya akan keluar parti, saya yakin penghijrahan Zahrain ini akan cetuskan penghijrahan lebih ramai Ahli Parlimen PKR," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zahrain yang merupakan bekas Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang mengumumkan menjadi Ahli Parlimen Bebas pada sidang akhbar di Petaling Jaya, pagi ini. Mengulas lanjut, Khairy tidak menolak kemungkinan keputusan Zahrain itu didorong krisis keyakinan terhadap Anwar selepas pertuduhan liwatnya mula dibicarakan di mahkamah.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam kenyataannya mengucapkan syabas kepada Zahrain atas keberaniannya keluar parti kerana menolak kepimpinan diktator Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

"Kerajaan pembangkang yang 'hangat-hangat tahi ayam' diketuai oleh seorang diktator DAP di Pulau Pinang ditolak rakyat kerana mereka sedar penganiayaan sedang berlaku.
"Terkini sandiwara dan belang Guan Eng jelas apabila kerajaan beliau tidak membenarkan dan menolak program perarakan Maulidur Rasul yang menjadi tradisi orang Islam," katanya.

Di Kuching, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, keputusan Zahrain meninggalkan PKR adalah sesuatu yang tidak memeranjatkan. Katanya, tindakan Zahrain itu menunjukkan beliau yakin dengan dakwaannya terhadap masalah kepimpinan dalam pakatan pembangkang.

''Saya yakin tindakan beliau akan diikuti lebih ramai penyokong pakatan pembangkang yang tidak berpuas hati dan kecewa dengan kepemimpinan serta perjuangan parti berkenaan," katanya. Dalam pada itu, Ahmad berkata, UMNO sentiasa bersikap terbuka dalam menerima kemasukan bekas ahli serta pemimpin pembangkang untuk menyertai parti itu.

Isyarat jelas PKR tidak mampu bela rakyat

Pengumuman Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini isyarat jelas bahawa PKR bukan parti yang mampu memperjuangkan nasib rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai orang lama dalam politik Zahrain terpaksa bertindak sedemikian setelah didapati sumbangan serta pengorbanannya tidak lagi diiktiraf oleh PKR.

"Kita sudah jangka perkara ini kerana telah ada pemimpin dan ahli-ahli mereka keluar parti. Zahrain mungkin sedar perjuangannya tidak lagi bermakna dan sia-sia. "Saya percaya Zahrain terpaksa ambil keputusan ini kerana perjuangannya semakin tidak mendapat pengiktirafan. Oleh itu apa guna beliau terus kekal dalam PKR," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pembukaan cawangan Ar-Rahnu X'Change Koperasi Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) di Cheras Maju dekat sini hari ini.
Beliau mengulas pengumuman keluar PKR oleh Zahrain hari ini. Bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang itu turut meletakkan semua jawatannya dalam PKR.

Isu yang membabitkan Zahrain mula tercetus apabila beliau lantang mengkritik kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang dilabel beliau sebagai diktator, cauvinis dan berfikiran bahaya.

Berikutan kecaman tersebut, Jawatankuasa Disiplin PKR pada 31 Januari lalu menetapkan tempoh sebulan untuk meneliti tindakan ke atas Zahrain selain seorang lagi wakil rakyat iaitu Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, berkemungkinan Zahrain selepas ini akan mengikut jejak wakil rakyat lain untuk tidak menyertai mana-mana parti. "Saya fikir beliau mahu menjadi wakil rakyat bebas. Namun begitu segala-galanya terletak pada tangannya.

"Bagi UMNO kita tidak pernah menutup pintu kepada sesiapa yang mahu berjuang bersama kita. Walau apa pun seperti yang saya katakan tadi di peringkat ini kita biarkan Zahrain untuk membuat keputusan," tambahnya.

Penang Wasabi

1 comment:

  1. Guan Eng menuduh Zahrain keluar parti kerana tak dapat projek?

    Lim Guan Eng, menyifatkan tindakan bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, keluar daripada parti itu kerana kepentingan individu dan peribadi.

    Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, keretakan hubungan antara beliau dan Ahli Parlimen Bayan Baru itu berpunca apabila Zahrain gagal mendapatkan kontrak RM40 juta untuk mengurus projek Bukit Jambul Golf Resort.

    Katanya, beliau tidak meluluskan kontrak kepada syarikat yang disokong kuat Zahrain kerana ia baru dua bulan ditubuhkan sebelum tender projek itu dikeluarkan iaitu pada akhir September 2008.

    "Saya rasa punca utama beliau letak jawatan ialah gagal dapat projek itu. Adakah saya diktator jika saya tidak beri kelulusan tender berjuta-juta itu kepada syarikat 'dua ringgit' itu?," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Beliau menegaskan bahawa syarikat berkenaan baru saja ditubuhkan dan menyebabkan beliau tidak yakin dengan keupayaan syarikat untuk mengendalikan projek yang bernilai lebih RM40 juta itu.

    "Saya rasa Zahrain masih lagi geram kerana saya tidak luluskan tender tersebut pada syarikat dua ringgit itu dan punca beliau keluar parti dengan mengatakan saya seorang diktator," katanya.

    Selain itu, Guan Eng juga mempersoalkan tindakan Zahrain meletak semua jawatannya dalam parti tetapi tidak Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah Island Golf Properties Sdn Bhd sedangkan jawatan itu dilantik kepimpinan parti dalam pakatan pembangkang.

    Beginilah caranya Komunis ini cuba melepaskan diri dari dituduh dengan menyalahkan orang lain. Padahal satu negara dah tahu cara dia memerintah ala kuku besi? Masih nak menegakkan benang yang basah..! Pigi chow lah lu Guan Eng..balik Melaka lah lu..sial!!!

    ReplyDelete