~ PENANG WASABI ~
FEEL THE HEAT
Monday, February 15, 2010
Tok Guru Guan Eng yang bohong bukan Utusan!
Pendedahan pekeliling pembatalan perarakan Maulidur Rasul seperti disiarkan Utusan Malaysia semalam membuktikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berbohong mengatakan arahan itu tidak pernah dikeluarkan.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, apa yang terjadi ialah Guan Eng terpaksa menarik balik pembatalan itu selepas melihat tentangan kuat umat Islam di seluruh negara.
Menurutnya, beliau kesal dengan tuduhan mengatakan Utusan Malaysia membuat fitnah dalam isu itu sedangkan bukti yang ada jelas menunjukkan laporan akhbar berpengaruh itu adalah benar.
"Saya hari ini terkejut, beli akhbar Harakah dan tertulis di dalamnya 'Kerja jahat Utusan, fitnah berterusan terhadap Guan Eng, terkini isu Maulidur Rasul'. "Hari ini juga saya baca dalam Utusan Malaysia dan disiarkan surat yang ditandatangani Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Muhammad Yusoff Wazir. Itu bukti yang Guan Eng berbohong.
"Tetapi Harakah, sebuah akhbar yang didokong parti Islam boleh bela Guan Eng yang batal perarakan Maulud," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran sayap Wiranita, Wira dan Wirawati Perkasa di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya di sini semalam.
Turut hadir Naib Presidennya, Datuk Mokhtar Samad, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim dan ketiga-tiga pemimpin sayap Perkasa berkenaan. Ibrahim menambah, tindakan dilakukan Guan Eng itu jelas menunjukkan bahawa beliau bersifat anti Melayu dan bersifat rasis.
"Pas beri gelaran kononnya Guan Eng seakan-akan Khalifah Umar Abdul Aziz. Khalifah Umar Abdul Aziz apa macam tu," katanya. Beliau turut menempelak Pas yang disifatkannya seakan-akan menjadi alat kepada DAP bagi mencapai cita-cita politik mereka.
Sebelum itu : Guan Eng cuba tutup kesilapan
Tindakan kerajaan negeri mengeluarkan pekeliling terbaru pada Jumaat lalu mengenai keputusan mengadakan perarakan sempena Maulidur Rasul disifatkan sebagai langkah untuk menutupi kesilapan mereka.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, tindakan tersebut seolah-olah dibuat secara tergesa-gesa.
"Kenapa perlu tergesa-gesa buat dan hantar pekeliling yang bertarikh 12 Februari itu sedangkan keesokan harinya hingga Isnin orang tidak bekerja kerana hari cuti, kenapa tidak tunggu selepas itu, jadi ini jelas menunjukkan mereka cuba berterusan membohongi rakyat.
"Kita nak ingatkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, jangan jadikan umat Islam di negara ini khususnya Pulau Pinang sebagai satu komoditi mainan, hari ini cakap lain esok pula cakap lain, dia berfikiran dangkal dan tidak faham amalan tradisi.
"Guan Eng terus menerus menipu dan tidak pernah sedikit pun ada rasa mahu meminta maaf dengan penipuan yang dibuat," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai isu perarakan Maulidur Rasul anjuran kerajaan negeri di Pejabat UMNO Bahagian Bayan Baru di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pemuda UMNO negeri, Norman Zahalan.
Utusan Malaysia pada Jumaat lalu melaporkan, kerajaan negeri memutuskan membatalkan perarakan itu melalui surat pekeliling bertarikh 5 Februari 2010 yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri dan keesokan harinya pula seorang ketua jabatan tampil menunjukkan bukti.
Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, penjelasan Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Kassim bahawa surat pekeliling bertarikh 5 Februari itu dihantar hanya untuk mendapatkan cetusan idea mengenai majlis sambutan tersebut juga meragukan.
"Kalau betul dia nak minta cetusan idea, kenapa dalam pekeliling itu perlu beritahu majlis perarakan sempena Maulidur Rasul dibatalkan dan pada masa sama mengapa pula surat itu turut dilampirkan dengan aturcara majlis sekali, bukan ke pelik?.
"Kerajaan negeri sepatutnya boleh menyatakan di dalam surat tersebut bahawa penganjuran kali ini berbeza dan tidak perlulah kata ia dibatalkan. "Adakah mereka takut perarakan bertukar ganas dan apakah persepsi Abdul Malik yang juga orang Islam begitu dangkal dan hina terhadap kaum sendiri," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mahu kerajaan negeri di bawah kepimpinan Guan Eng membuat penjelasan terbuka kepada rakyat terutama orang Islam berhubung perkara itu dan siapa sebenarnya yang mengarahkan perarakan tersebut dibatalkan.
"Sehingga hari ini, sesiapa pun tidak pernah menjawab siapa yang buat arahan untuk membatalkan perarakan itu, adakah Malik yang mengarahkan ia dibatalkan? "Takkan mereka nak cakap Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri yang bertanggungjawab buat pembatalan," katanya.
Contohi Khalifah Umar retorik politik murahan Guan Eng
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin menyifatkan slogan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk mencontohi kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz hanyalah retorik politik murahan yang kosong dan mengelirukan rakyat.
Bukan itu sahaja, pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut mengaitkan perbuatan Guan Eng yang cuba menutup kebenaran pembatalan perarakan Maulidur Rasul oleh kerajaan negeri itu sebagai sangat mengaibkan.
Beliau yang mengecam keras tindakan itu berkata, cubaan membatalkan perarakan membuktikan apa yang disebutkannya sebelum ini bahawa kepimpinan Guan Eng adalah bersikap cauvinis, ekstremis, rasis dan mempunyai agenda sempit perkauman yang jelas.
''Cubaan mereka untuk menutup kebenaran yang terbongkar sangatlah mengaibkan. Apakah ini yang dikatakan kerajaan yang telus dan ikhlas? ''Benarlah kata Rasulullah SAW, suatu ketika nanti akan datang zamannya umat Islam diratah oleh kafir-kafir yang bersatu, yang melunyai kita macam tempe dilenyek saja.
''Dan ia terjadi walaupun jumlah umat Islam terlalu ramai, tetapi jumlah yang banyak itu hanya umpama buih yang sedikit pun tidak membawa kesan. Kerana apa, kerana mereka terlalu sayangkan kedudukan, jawatan, habuan keduniaan mereka dan mereka takut kematian dan hilang semua nikmat duniawi ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam entri terbaru bertajuk Musang Berbulu Ayam! dalam blog http://zul4kulim.blogspot.com.
Dalam sesi Soal Jawab TV3 pada 8 Februari lalu, Zulkifli juga telah menyerang Guan Eng dengan menyifatkan peletakan jawatan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairuddin sebagai contoh tindak-tanduk DAP yang menjadi 'duri dalam daging' bagi pakatan pembangkang.
Kelmarin, Guan Eng berkata, perarakan Maulidur Rasul akan terus diadakan dan dakwaan beberapa pihak bahawa program itu telah dibatalkan adalah satu pembohongan dan sengaja dibuat untuk memburuk-burukkan kerajaan negeri berkenaan.
Namun kenyataan Setiausaha Agung DAP itu berbeza dengan pekeliling yang ditandatangani Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Muhammad Yusoff Wazir bertarikh 5 Februari lalu yang menyebut mengenai pembatalan majlis perarakan berkenaan pada tahun ini.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, adalah sesuatu yang paling malang, apabila terdapat segelintir orang Melayu yang terpedaya dengan mainan politik silap mata yang menjijikkan oleh Guan Eng.
Malah katanya, golongan Melayu tersebut turut bersekongkol untuk menjahanamkan agama dan bangsa sendiri. Bagaimanapun, katanya, Ketua Menteri itu seharusnya sedar bahawa bukan semua masyarakat Islam akan tunduk diam dengan perbuatannya.
''Yakin dan percayalah di luar sana masih ada umat yang tegas dan berani yang akan tetap mempertahankan akidah dan maruah agamanya tanpa takut sedikit pun kepada sebarang risiko yang bakal melanda.
''Kepada umat Islam khususnya di Pulau Pinang, termasuk pegawai dan kakitangan kerajaan, terutama pegawai dan kakitangan jabatan agama, janganlah kamu takut dengan rejim cauvinis ini. ''Pertahankanlah agama kamu, janganlah kerana gaji yang tidak seberapa ini maka kamu biarkan agama Islam dipermainkan,'' ujarnya.
Penang Wasabi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment