~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Sunday, February 14, 2010

Khalifah Umar, Guan Eng, Pas!

Apabila tercetus satu demi satu kontroversi melibatkan pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah Ketua Menterinya, Lim Guan Eng, kita tidak boleh melupakan bahawa Setiausaha Agung DAP itu pernah menyatakan ingin mencontohi kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz - khalifah Islam yang paling agung.

Berdasarkan sejarah Islam, walaupun Khalifah Umar hanya memerintah dua tahun lima bulan sahaja, namun baginda meninggalkan jasa-jasa yang cukup besar. Keadilan adalah satu-satunya dasar pemerintahan yang sangat diperhatikan oleh beliau. Semua rakyat dilayan secara adil dan saksama tanpa terpengaruh oleh lingkungan pangkat, darjat dan keluarga. Demi keadilan juga, Khalifah Umar menghapuskan bayaran jizyah yang dikenakan kepada orang bukan Islam yang tinggal di negara Islam dan jajahan takluknya.

Bagi Khalifah Umar, dalam keadaan apa sekalipun rakyat harus diutamakan dan beliau amat berhati-hati dalam tindakan serta tingkah laku sepanjang memerintah bagi mengelakkan timbul sebarang perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat.

Tetapi apa yang Guan Eng lakukan dalam tempoh tidak sampai dua tahun menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang? Terlalu banyak kontroversi yang melanda, malahan tindakannya kadangkala dilihat menindas kaum tertentu seperti mana berlaku kepada peniaga-peniaga Melayu di negeri itu.

Justeru adalah jelas menjadikan Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai idola hanya mainan politik Guan Eng bagi meraih sokongan masyarakat Islam. Tindakan beliau tidak menggambarkan ia mencontohi khalifah agung tersebut. Malahan biarpun sudah nyata tetapi Guan Eng sanggup berbohong apabila timbul sesuatu isu termasuklah terbaru dalam isu membatalkan perarakan Maulidur Rasul pada 26 Februari ini.

Malangnya semua ini sengaja tidak dipedulikan oleh rakan-rakannya dalam pembangkang termasuklah Pas yang mana suatu ketika dahulu ada pemimpin parti itu memberi pujian melangit kepada Guan Eng kerana ingin mencontohi kepimpinan Khalifah Umar. Namun sekarang, sudah jelas permainan politik Guan Eng dan DAP.

Hakikatnya, DAP hanyalah sebuah parti kedua dalam pakatan pembangkang yang turut disertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas tetapi ia mempunyai pengaruh cukup besar dan paling berkuasa di dalam pakatan berkenaan yang ditubuhkan semata-mata ingin merebut kuasa politik dan pemerintahan daripada Barisan Nasional (BN).

Walaupun tindakan Guan Eng di Pulau Pinang bagaikan 'kaduk naik junjung' tetapi Guan Eng seolah-olah mempunyai imuniti sendiri. Siapa sahaja yang menegurnya terutama di kalangan rakan pembangkang biarpun ia demi kepentingan rakyat pasti akan menerima pembalasannya.

Lihat sahaja apa yang berlaku kepada tiga Ahli Parlimen PKR iaitu Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu), Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Wee Choo Keong (Wangsa Maju) dan Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru).

Kesemua mereka berhadapan dengan tindakan disiplin daripada PKR apabila dengan telus dan ikhlas mengkritik kepimpinan Guan Eng. Tindakan Zahrain yang mengumumkan keluar dari PKR dilihat langkah terbaik oleh beliau kerana itu sahaja caranya untuk menunjukkan protes sebenar.

Zahrain tahu bahawa beliau sudah tidak selamat lagi dalam PKR kerana sampai bilapun kepimpinan PKR yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan berkata apa-apa kepada DAP.

Ini kerana Anwar amat memahami kepentingan DAP dalam mencapai agenda politiknya, sebab itulah daripada bermusuh dengan DAP, Anwar lebih rela melihat seorang demi seorang pemimpin PKR meninggalkan parti itu seperti mana dilakukan oleh Zahrain.

Segala keluh kesah pemimpin PKR yang kecewa dengan Guan Eng terutamanya melibatkan soal kepentingan Melayu di Pulau Pinang tidak dipedulikan oleh Anwar. Ini memandangkan sebarang langkah yang dilihat cuba mengganggu Guan Eng akan mendatangkan kesan yang buruk kepada hubungan antara kedua-dua parti tersebut.

Berikutan itu, DAP semakin mendabik dada kerana mengetahui bahawa parti yang menjadi tunjang kekuatan pakatan pembangkang, bukannya PKR atau Pas tetapi DAP.

Ketaksuban dan keghairahan PKR dan Pas yang begitu beria-ia mahu mengekalkan pakatan antara mereka juga memungkinkan DAP semakin berani dalam tindakannya sama ada di Pulau Pinang, Selangor mahupun di Perak.

Soal untuk menjaga hati mana-mana kaum terutamanya orang Melayu dan umat Islam sudah tidak termasuk dalam perkiraan DAP, ini jelas apabila kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan Guan Eng melarang perarakan Maulidur Rasul.

Walaupun Guan Eng kemudiannya menafikan pembatalan tersebut tetapi beliau tidak akan mampu menghapuskan surat pekeliling yang dikeluarkan kepada ketua-ketua jabatan sebelum ini. Guan Eng dan DAP boleh bersandiwara dengan disokong oleh sekerat dua pemimpin Melayu yang bersedia bersekongkol dengan mereka.

Begitu juga apabila Guan Eng begitu lantang menganggap bahawa orang Melayu tetap akan maju tanpa UMNO yang kemudiannya dibalas oleh Ahli Majlis Tinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi bahawa kelahiran DAP telah menyebabkan situasi politik di Malaysia sentiasa panas dan diwarnai dengan sentimen perkauman.

Persoalannya, kenapa di dalam situasi sekarang pun pemimpin-pemimpin di dalam Pas terutamanya masih mahu mempertahankan Guan Eng dan ingin terus bekerjasama dengan DAP? Sepatutnya tindakan demi tindakan yang dilakukan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang itu memberi kesedaran kepada Pas bahawa mereka sebenarnya hanya menjadi alat melengkapkan pakatan pembangkang.

Pas tidak dilihat sebagai sebuah parti penting yang bakal menentukan arah tuju perjuangan pakatan pembangkang, sebaliknya hanya sekadar penyumbang kerusi bagi membolehkan PKR dan DAP mencapai cita-cita politik mereka. Sebenarnya, orang tidak kisah jika PKR terus menyokong DAP kerana PKR sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai matlamat meletakkan pemimpin utama mereka sebagai Perdana Menteri.

Tetapi Pas ibarat kata seorang Ahli Parlimen pembangkang dalam Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada penulis seolah-olah 'membutakan segala-galanya' dengan membiarkan sahaja Guan Eng terus dengan sikap cauvinis dan angkuh memerintah Pulau Pinang.

Walaupun Dewan Pemuda Pas Pusat berhasrat untuk menemui Guan Eng bagi mendapatkan gambaran sebenar termasuklah dalam isu pembatalan perarakan Maulidur Rasul, kita sudah boleh jangkakan apa yang bakal dikatakan Ketuanya, Nasarudin Hassan selepas pertemuan pada Khamis nanti. Sudah pasti apa juga berlaku di Pulau Pinang akan dianggap permainan media terutamanya Utusan Malaysia.

Kesimpulannya, adalah menjadi hak Pas untuk terus bersekongkol dengan DAP demi kepentingan politik tetapi pemimpin-pemimpin Pas perlu memahami jika sebahagian besar pemimpin PKR sudah menyedari permainan politik DAP terutamanya Guan Eng, sentimen yang sama pasti wujud di kalangan sebahagian besar umat Islam dan orang Melayu termasuk di kalangan ahli Pas sendiri. Semoga Pas tidak akan mengalami nasib seperti ibarat yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

Penang Wasabi

No comments:

Post a Comment