~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Saturday, February 13, 2010

Kilang haram milik bukan Bumiputera dibiarkan beroperasi!

Datuk Azhar Ibrahim tidak kisah sekiranya dicap sebagai ‘bermulut lancang’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang. Sebagai Ketua Pembangkang, dan berhadapan dengan Kerajaan Negeri yang dianggap sebagai tidak adil, beliau perlu bersuara lantang, juga lancang.

Masuk dua tahun duduk di barisan pembangkang, beliau kerap menjadi tumpuan setiap kali DUN bersidang. Di dewan yang mulia itu beliau menegur tidak kira siapa, ada ketikanya terkasar bahasa, dan beliau menerima risiko termasuk digantung dari sidang.

Menjadi wakil rakyat untuk penggal kelima dan pernah menjadi Exco untuk portfolio tanah, perumahan dan pertanian, beliau disegani sebagai anggota paling senior. Sebab itu beliau lantang ketika di dewan, lebih-lebih lagi apabila menyuarakan hal-hal mengenai kepentingan orang Melayu Pulau Pinang.

“Kalau hendak harapkan Wakil Rakyat Melayu dalam PR, memang orang kita tidak terbela,” katanya merujuk kepada bilangan YB Melayu dalam DUN yang disebutnya hanya ‘dua tiga kerat’. “Mereka tidak berani bersuara untuk orang Melayu.”

Berbual ketika minum petang bersama ABD JALIL ALI di sebuah hotel di Seberang Perai, baru-baru ini, Ketua Pembangkang itu banyak menyuarakan kekesalannya terhadap pentadbiran Lim Guan Eng. Beliau menganggap Ketua Menteri lebih memihak kepada kaum Cina, dan beliau berazam akan membetulkan keadaan itu. Berikut sebahagian perbualan tersebut yang disertai oleh IDROS ALI.

Selepas tsunami 12 Mac 2008 yang menyaksikan Pulau Pinang bertukar milik daripada Barisan Nasinoal (BN) kepada Pakatan Rakyat (PR), apa perasaan Datuk?

Azhar: Macam orang lain juga, saya terkejut dan berasa amat sedih. Memanglah rasa kesal, sudah begitu lama negeri ini diperintah oleh BN, dan semuanya berjalan baik, tiba-tiba orang lain pula tadbir.

Dalam pada sedih saya berfikir tentulah ada hikmahnya jadi macam ini. Perkara ini memberi kesedaran baru kepada saya. Saya anggap ini sebagai satu cabaran, dan saya berazam untuk bangkit semula. Dalam politik kita tidak boleh putus asa.

Pejam celik sudah dua tahun PR berkuasa dengan Lim Guan Eng menjadi peneraju utama. Sebagai Ketua Pembangkang apa yang Datuk lihat di negeri ini sejak ia terlepas dari BN?

Azhar: Penang makin teruk. Ini semua orang kata. Saya ambil satu contoh yang jelas. BN perintah negeri ini lebih 50 tahun, dan selama itu ada pertumbuhan yang amat menggalakkan dari segi ekonomi, terutama pelaburan asing.

Dulu sebagai usaha menarik pelabur asing, kita wujudkan Zon Perdagangan Bebas, dalam tahun 70an. Kita beri insentif dan lain-lain kemudahan kepada pelabur, dan Pulau Pinang menjadi negeri yang paling maju dalam perindustrian.

Kalau kita tengok kepesatan dari segi pelaburan asing, negeri ini sentiasa berada di atas. Jumlah pelaburan asing meningkat setiap tahun, berbilion-bilion ringgit. Pelabur datang sebab mereka ada keyakinan terhadap kerajaan.

Sejak bertukar pemerintahan, jumlah pelaburan asing ke negeri ini merosot. Kalau kita tengok angka tahun 2008 modal asing di negeri ini ialah RM10.2 bilion, tetapi tahun lalu (2009), pelaburan asing di sini hanya RM1.6 bilion. Ini satu penurunan yang amat ketara. Apa ertinya ini?

Tetapi mungkin penurunan itu ada kaitan dengan krisis ekonomi global, yang turut juga menjejaskan pelaburan terus asing (FDI) di negeri-negeri lain?

Azhar: Saya tidak menolak hakikat krisis ekonomi global, tetapi RM1.6 bilion adalah angka yang terlalu kecil. Macam mana dari RM10 bilion tinggal hanya RM1 bilion, mesti ada yang tidak kena.

Pulau Pinang sebelum ini menjadi pilihan pelabur dari luar negara. Orang dari seluruh dunia melabur di sini. Bukan sahaja pelabur dari luar, malah pelabur dari Johor, Perak dan Selangor juga banyak datang ke sini. Sekarang apa sudah jadi?

Kita kena ingat pelaburan seperti ini ada kaitan dengan kehidupan rakyat. Bila pelabur masuk mereka buat kilang dan memberi peluang kerja kepada beribu-ribu orang di negeri ini. Kalau pelaburan meleset, peluang kerja pun tertutup. Ini kita kena atasi.

Pada pandangan Datuk, selain iklim ekonomi dunia yang merudum tahun lalu, apa faktor utama dalaman yang menyumbang kepada penurunan angka FDI di negeri ini?

Azhar: Pada saya (Lim) Guan Eng tidak ada pengalaman mentadbir negeri. Bercakap politik berbeza dengan mengurus sebuah negeri. Kita dulu lama di sini, kita faham apa keutamaan yang perlu difokuskan. PR tidak ada pengalaman itu. Itulah faktor utama.

Satu lagi, Kerajaan Negeri sekarang sentiasa memandang negatif terhadap Pusat. Apa sahaja Pusat buat dia orang tidak setuju. Mana boleh macam ini. Guan Eng patut bekerjasama dengan Kerajaan Pusat, bukan asyik nak gasak sahaja.

Perlu juga diperhatikan ialah kestabilan politik. Tidak ada orang yang berani bawa duit dan labur di sini, sekiranya mereka tahu negeri tidak stabil. Di mana-mana pun sekiranya tidak ada kestabilan politik, susah hendak buat kerja.

Memang jelas Kerajaan Negeri pimpinan Guan Eng sekarang tidak stabil. Sehari dua ini pemimpin-pemimpin komponen dalam PR pun menyuarakan tentangan secara terbuka terhadap kepimpinan Ketua Menteri. Dia orang gaduh sama sendiri, macam mana hendak tadbir negeri?

Datuk sekarang duduk di barisan pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri, dan setiap kali bersidang Datuk kerap menentang Kerajaan Negeri. Apakah apabila jadi pembangkang kita hanya gasak, tidak ada satu pun yang hendak disokong?

Azhar: Kalau dia orang buat baik, untuk kepentingan semua rakyat, tentu saya sokong. Tetapi banyak perkara yang dia orang buat saya nampak bukan untuk kepentingan rakyat, tetapi hanya untuk tolong sesetengah orang sahaja. Mereka selalu kata hendak jadi kerajaan adil, tetapi mereka tidak adil.

Sebagai Ketua Pembangkang saya bertanggungjawab menegur sekiranya ada apa-apa yang tidak betul dilakukan oleh kerajaan. Saya jaga kepentingan semua orang, tidak kira kaum. Sekarang saya nampak ada sesuatu yang tidak adil dibuat pada orang Melayu, saya kena tegurlah.

Kalau hendak harap wakil rakyat Melayu dalam PR lagi susah. Wakil rakyat Melayu hanya dua tiga orang, mereka pun tidak boleh buat apa-apa. Mereka tidak berjuang untuk membela nasib orang Melayu. Ini yang saya sedih.

Saya dapati orang Melayu Pulau Pinang ketinggalan dalam banyak hal. Mereka dipinggirkan dalam kegiatan pembangunan dan ekonomi. Pada saya orang Melayu di sini sekarang kena tindas. Guan Eng tidak berlaku adil kepada orang Melayu. Ini yang selalu saya suarakan dalam sidang DUN, sampai saya kena gantung dari sidang.

Datuk timbulkan mengenai masalah Melayu Pulau Pinang, mereka ketinggalan dan dipinggirkan dari arus pembangunan. Tetapi, tidakkah ini masalah lama? BN sudah memerintah negeri ini selama lebih 50 tahun, Melayu masih terpinggir dan mundur. Kenapa baru sekarang perkara ini ditimbulkan?

Azhar: Memang masalah orang Melayu adalah masalah lama. Tetapi semasa BN dulu banyak usaha telah kita buat untuk membantu mereka dalam ekonomi. Kedudukan sosioekonomi Melayu Pulau Pinang dulu baik, tidaklah teruk kalau dibandingkan dengan orang Melayu negeri lain.

Tetapi sekarang nampak sangat orang Melayu kena tekan. Cuba kita tengok sehari dua ini pihak berkuasa tempatan robohkan gerai penjaja Melayu. Mereka penjaja kecil sudah lama cari rezeki di tempat itu, tidak ganggu sesiapa pun, kenapa robohkan gerai mereka?

Orang Cina pun ada juga buat gerai macam itu, kenapa tidak robohkan? Kita pun tidak suka juga dia roboh gerai Cina. Orang hendak berniaga, kenapa roboh? Sejak awal pentadbiran, kerajaan PR kata mereka akan telus, adil kepada semua rakyat. Tetapi dia roboh gerai Melayu tidak roboh gerai Cina, macam ini mana adil?

Tetapi Ketua Menteri sudah jelaskan bahawa tindakan merobohkan gerai Melayu itu sebab penjaja berkenaan berniaga tanpa permit, mereka menjaja secara haram. Sebelum ini banyak juga penjaja Cina kena ambil tindakan. Apa komen Datuk?

Azhar: Itu dia cakap, perangkaan yang dia bagi pun tidak betul. Saya boleh tunjukkan angka yang lebih tepat. Ada banyak gerai penjaja bukan Melayu terus berniaga, pihak berkuasa tidak ambil tindakan.

Kalau hendak kira gerai haram atau kilang haram, saya boleh buktikan milik bukan Melayu lebih banyak. Kita buat kajian mengenai perkara ini dan mendapati ada 158 kilang haram milik bukan Melayu di pulau dan di seberang. Macam-macam perniagaan dia orang buat, semua tidak ada permit.

Gerai Melayu tidak ada permit dia orang robohkan. Penjaja kecil berapa sen sangat dia orang dapat. Itu kilang-kilang haram boleh buat juta-juta, kenapa tidak ada sebarang tindakan? Lebih seratus kilang haram beroperasi, tiada tindakan diambil. Kilang Cina dia tutup mata.

Saya sudah cakap perkara ini dalam sidang DUN, dan cabar Kerajaan Negeri supaya robohkan kilang-kilang haram itu. Saya ada semua perincian mengenai kilang-kilang haram itu. Saya sudah suarakan, tetapi Ketua Menteri tidak jawab pun.

No comments:

Post a Comment