~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Friday, February 22, 2013

Surat terbuka pelajar - Oh Kuin! Oh Kedah?




Saya berasa terkilan dengan pengurusan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di Kedah yang telah mengabaikan masalah yang telah berlarutan dan juga dengan sikap kerajaan negeri Kedah yang membisu dengan masalah yang dihadapi oleh kakitangan Kuin dan pelajarnya.

Persoalan selalu dijawab dengan menyalahkan orang lain iaitu, "ini ialah mainan politik untuk memperoleh Kedah kembali".

Namun realitinya kerana sikap diri sendiri, sikap politik, ketamakan dan kuasa telah menyebabkan masalah ini.

Selain itu, sikap kerajaan negeri yang telah mempolitikkan masa depan pelajar telah menyebabkan para pelajar sengsara dan tertekan dengan sikap Majlis Tertinggi Kuin.

Saya selaku pelajar Kuin ingin berkongsi beberapa permasalahan yang dihadapi oleh para pelajar Kuin yang selama ini terpendam:

* Isu pembayaran untuk perpindahan kredit Bahasa Malaysia SPM untuk subjek National Language di Kuin sebanyak RM50, walhal kebanyakan penuntut semestinya telah lulus Bahasa Malaysia semasa SPM dan subjek National Language hanya untuk mereka yang gagal dalam subjek Bahasa Malaysia SPM, namun semua pelajar dipaksa membayarnya.

* Pelajar terpaksa membayar kadar yang tinggi untuk perpindahan kredit matapelajaran dari Diploma ke Ijazah yakni (pelajar diploma dari Kuin>RM50 satu subjek, pelajar diploma selain dari Kuin>RM100 satu subjek) walhal majoriti kolej universiti dan universiti swasta tidak melaksanakan polisi tersebut.

* Sikap gopoh pihak pengurusan tertinggi ingin memindahkan pelajar ke kampus baru di Kuala Ketil walaupun kemudahan seperti asrama kediaman, pengangkutan, masjid belum disiapkan dan disempurnakan.

* Isu Kolej Kediaman yang masih tidak siap dan cuti pertengahan semester telah dipanjangkan dari 27 Januari - 17 Mac 2013 sehingga pelajaran para pelajar terabai.

* Keadaan bilik kediaman yang menempatkan seramai 12 orang dalam satu bilik (di Kolej Universiti Insaniah Kuala Ketil).

* Permasalahan kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan kesalahan kakitangan Kuin melibatkan pendaftaran kod pengajian ke Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga mengakibatkan kelewatan memperoleh pinjaman.

Perkara di atas, bukanlah penamat kepada isu yang timbul di Kuin. Tidak perlulah saya mengungkit segala permasalahan semasa kami ditempatkan di Alor Setar, dengan keadaan penempatan yang dahsyat (satu bilik 15-20 orang), kelas yang tidak menepati standard institusi pengajian tinggi (IPT), rujukan dan sistem perpustakaan yang mundur dan juga berpuluh-puluh lagi masalah lain.



Segala permasalahan tersebut harap tidak lagi timbul semasa kami berpindah ke lokasi baru di Kuala Ketil. Namun perkara pokoknya, bilakah isu mempolitikkan masa depan pelajar, campur tangan politik yang ketara dapat diselesaikan?

Kami pelajar berasa amat tertekan dengan perkara ini. Walaupun pelbagai cara dilakukan, namun jawapan dan tindakan yang diperoleh amatlah tidak menyelesaikan masalah.

Kami bertuah kerana mempunyai pensyarah yang berkualiti dan sentiasa menyokong dan membantu kami menangani tekanan di Kuin.

Nasihat saya kepada pihak pengurusan, berasa malulah dengan tindakan anda dan kepada yang bertanggunggjawab dengan permasalahan yang timbul maka turunlah dengan cara terhormat, amalkan Islam dalam perbuatan bukan hanya pada luaran.

Tidak perlu menegakkan benang yang basah dan tidak perlu menafikan perkara yang terjadi kerana pokok tidak akan bergoyang sekiranya angin tidak bertiup. Bantulah kami.

Penang Wasabi..

Friday, February 15, 2013

Azizan ugut RM100j untuk henti tebang balak?




Pakatan pembangkang yang selama ini begitu sensitif dengan isu alam sekitar, hari ini bertindak sebaliknya malah Kerajaan Pas Kedah sanggup memberi kata dua bahawa akan terus menebang balak di hutan simpan jika Kerajaan Pusat enggan membayar pampasan RM100 juta.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, tuntutan itu dibuat sejajar dengan janji lisan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri ketika isu balak di Kedah hangat diperkatakan.

"Kalau bising sangat pasal tebang balak, bayar kami RM100 juta supaya kami tidak kacau kawasan hutan. Dulu zaman Dr. Mahathir, dia nak bagi dah RM100 juta. Lepas itu apabila datang zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi, bayaran turun RM60 juta pula.

"Lepas itu apabila Datuk Seri Mahdzir Khalid jadi Menteri Besar, dia tidak teruskan tuntutan. Jadi hari ini saya beritahu kepada semua wartawan, beritahu Kerajaan Pusat supaya bayar kami RM100 juta baru kami hentikan tebang balak di kawasan hutan simpan," katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman di sini hari ini.







Menurutnya, kawasan hutan di Kedah adalah hak milik negeri itu dan kerajaan negeri dibenarkan menebang balak di kawasan seluas 2,400 hektar.

"Kita tidak boleh ganggu kawasan hutan simpan kekal dan kita hanya tebang balak di kawasan yang dibenarkan sahaja. Jadi, kenapa menjadi isu pula.

"Mengapa orang bimbang pasal air yang nak dibekalkan ke Pulau Pinang, takkan kerana Pulau Pinang kami nak tebang hutan tak boleh, air kami kamu ambil," ujarnya.





Mengenai projek tanaman buah-buahan di Charok Genting Bunga di kawasan Tasik Pedu itu, Azizan berkata, projek tersebut adalah idea beliau sendiri untuk memajukan agro-pelancongan Kedah.

"Nak tanam pokok ini mesti kena tebang pokok, takkan nak tanam pokok di celah pokok balak, itu peraturannya. Saya anak petani saya tahu cara nak buat, anak doktor mana dia tahu.

"Saya orang kampung, anak petani, saya datang daripada masyarakat di bawah dan tahu nak tolong orang bawah macam mana," katanya.

Tindakan kerajaan negeri melakukan aktiviti balak secara rakus di kawasan Tasik Pedu menyebabkan pelbagai pihak tampil membuat bantahan kerana bimbang ancaman terhadap alam sekitar.

Kerajaan negeri dilaporkan akan membangunkan kawasan seluas 350 hektar di hutan simpan dan tadahan hujan di Tasik Pedu dengan projek ladang buah-buahan.

Penang Wasabi..

Monday, February 11, 2013

DAP sebijik macam PAP?



Tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang memberi tekanan kepada program dan aktiviti anjuran Barisan Nasional (BN) dilihat tidak ubah seperti Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura yang tidak memberi cukup ruang kepada pembangkang.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Kelab Setia 1Malaysia, Lim Boo Chang berkata, Ketua Menteri, Lim Guan Eng seolah-olah mahu mencontohi polisi parti diasaskan oleh bekas Perdana Menteri republik itu, Lee Kuan Yew yang mahukan PAP memerintah selama-lamanya.

Bagi Guan Eng, katanya, tindakan sedemikian mungkin boleh menyekat suara rakyat yang tidak berpuas hati atau menghalang pandangan pihak lain daripada didengari.

"Polisi DAP sama dengan PAP yang tidak memberi cukup ruang kepada pembangkang berbuat apa-apa.

"PAP nak jaga Singapura selama-lamanya tanpa ada suara berbeza atau pandangan lain atau aktiviti yang boleh menjejaskan sokongan terhadapnya," katanya di sini hari ini.

Beliau yang juga bekas Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bukit Gelugor diminta mengulas tindakan penguat kuasa Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menurunkan kain rentang dan poster ucapan Selamat Tahun Baharu Cina oleh Perdana Menteri baru-baru ini.

Selain itu, Guan Eng turut menyeru orang ramai yang mahu hadir ke majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran BN negeri pada 11 Februari ini memakai baju kuning sebagai tanda sokongan kepada himpunan Bersih anjuran pembangkang, hijau untuk alam sekitar dan merah bagi Pulau Pinang.

Boo Chang memberitahu, semasa pentadbiran BN dahulu, parti-parti pembangkang tidak dihalang untuk menggantung kain rentang atau bendera bagi jangka masa pendek.

Berbeza sekarang, jelasnya, garis panduan baharu diperkenalkan memerlukan setiap pemohon yang mahu menggunakan kemudahan awam seperti dewan dan padang perlu mendapat kelulusan pejabat pentadbiran kerajaan negeri di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan bukan hanya pejabat wakil tempatan.

"Tujuannya adalah untuk menapis jika terdapat program atau aktiviti yang bersangkut-paut dengan BN.

"Jika ada, mereka akan menangguhkan kelulusan hingga hampir ke tarikh majlis bagi menyusahkan penganjur," ujarnya.

Katanya, DAP yang kononnya memperjuangkan demokrasi kini dilihat seperti sebuah kerajaan yang zalim dan mengamalkan budaya kuku besi.

"Tidak hairanlah jika Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman pernah menggelar Guan Eng sebagai angkuh, sombong dan tokong," tegasnya.

Penang Wasabi..

Thursday, February 7, 2013

DAP P. Pinang turunkan beratus bendera BN sambut Muhyiddin?



Kerajaan DAP Pulau Pinang diselar kerana menurunkan ratusan bendera Barisan Nasional (BN) yang dipasang bagi menyambut ketibaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melakukan lawatan kerja sehari di negeri ini semalam.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, Ketua Menteri, Lim Guan Eng dianggap bersikap tidak adil apabila banyak lagi bendera parti-parti pembangkang yang digantung tidak dikenakan tindakan sama oleh penguat kuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Menurutnya, jika benar tindakan penguatkuasaan itu atas alasan tiada permit, beliau mencabar MPPP membuktikan bendera parti-parti lain yang digantung di kawasan-kawasan awam mempunyai kebenaran bertulis.

"Kerajaan DAP Pulau Pinang macam tiada kerja lain. Perkara yang remeh-temeh pun nak ambil tindakan.

"Mereka mungkin trauma dengan sokongan rakyat terhadap BN hingga tengok bendera pun rasa takut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Muhyiddin melakukan lawatan kerja sehari di negeri ini. Musa menambah, beliau mahu rakyat menilai sendiri bentuk kerajaan yang dipimpin Guan Eng dan membezakannya dengan pentadbiran BN dahulu.

"Rakyat boleh lihat sendiri, inilah kerja dan sikap dia (Guan Eng)," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bayan Baru, Norman Zahalan memberitahu, beliau menerima maklumat MPPP menurunkan bendera BN di sekitar kawasannya pada kira-kira pukul 4 petang semalam lalu bergegas ke tempat kejadian.

Jelasnya, beliau sempat menghalang perbuatan tersebut dan meminta jasa baik anggota-anggota penguat kuasa MPPP agar tidak meneruskannya sehingga Timbalan Perdana Menteri pulang ke ibu negara sebagai menghormatinya.

Penang Wasabi..

Friday, February 1, 2013

Pastikan mandat lebih kukuh!


Najib Tun Razak sempat menepuk mesra salah seorang penduduk yang terharu dengan keramahan beliau ketika menghadiri Mesyuarat Bersama Kepimpinan UMNO Negeri di pejabat parti itu di Alor Setar, Kedah semalam.

ALOR SETAR - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sasaran Barisan Nasional (BN) untuk memastikan meraih mandat yang lebih kukuh dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bertujuan membolehkan parti itu memberi khidmat bakti lebih hebat kepada rakyat.

Perdana Menteri berkata, melalui mandat tersebut BN dapat melakukan pelbagai perubahan terancang dan menentukan pertumbuhan dalam sektor tertentu dengan lebih pesat bagi mengembangkan lagi ekonomi serta meningkatkan pendapatan negara.

“Bila negara ada pelaburan besar, hasil kerajaan pun bertambah, bila hasil tambah, kita buat apa? Kita bagi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bagi bantuan untuk pelajar, bagi untuk orang muda dan pelajar universiti, itu setakat ini.

“Kita boleh buat dengan lebih hebat pada masa akan datang kalau dapat mandat yang lebih kukuh daripada rakyat, kemakmuran negara akan diberikan kepada rakyat, inilah falsafah BN.

“Kita kena bagi faham sebab pembangkang tak faham. Kita kena terus berjuang pastikan BN dapat mandat yang besar," katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 3,000 rakyat negeri itu yang menyambut ketibaan beliau di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, di sini hari ini.

Yang turut menyambut ketibaan beliau ialah Pengerusi Badan Perhubungan BN Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah; Pengerusi MCA negeri, Datuk Chong Itt Chew dan Timbalan Menteri Perdagangan, Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

Najib berkata, pelabur asing terus yakin untuk melabur di negara ini dan yang terbaharu Qatar Holding LLC (Qatar Holding) melabur RM2 bilion bagi membina Harrods Kuala Lumpur dan membelanja RM2.5 bilion untuk membina Four Season Place Kuala Lumpur.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan rakyat, sesuatu perubahan yang dilakukan secara mendadak dan tanpa dirancang boleh mendatangkan kesan tidak baik berbanding yang sedia ada hari ini. “Saya berada di Mesir baru-baru ini, walaupun keadaan tenang semasa saya di sana, tetapi selepas itu bergolak balik.

“Saya bukan menidakkan Presiden Mesir, Mohamed Morsi. Morsi menerima saya dengan baik, dia seorang kawan, tetapi kesan daripada perubahan yang tidak dapat dikawal menyebabkan nilai mata wang merudum, inflasi meningkat, industri pelancongan hampir lumpuh, keadaan keselamatan pun tak terjamin, malah Medan Tahrir bergolak," katanya.

Pada majlis sama, Najib turut berkongsi pengalaman beliau sewaktu berada di Gaza dan meminta rakyat negeri itu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Palestin dengan terus menjaga keharmonian kaum di negara ini.

Sementara itu, Najib mahu jentera pilihan raya BN di semua peringkat melakukan gerak kerja secara lebih sistematik bagi meningkatkan lagi usaha menawan semula Kedah pada PRU-13.

Dalam pertemuan dengan Ketua-ketua UMNO bahagian negeri, Perdana Menteri juga menekankan tentang pentingnya setiap pemimpin bersatu padu dan memberikan fokus kepada pilihan raya yang boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Penang Wasabi..