~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Friday, February 19, 2010

Peruntukan Hal Ehwal Islam: Guan Eng sembunyi fakta sebenar?

Ketua Menteri, Lim Guan Eng didakwa menyembunyikan fakta sebenar di sebalik dakwaan kononnya kerajaan negeri memperuntukkan RM24.3 juta untuk pembangunan hal ehwal umat Islam di Pulau Pinang pada tahun ini.

Ini kerana, jumlah sebenar peruntukan yang disediakan bagi tujuan itu didakwa hanyalah RM11 juta, lebih rendah berbanding RM12.2 juta yang diberi ketika era pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2008.

Pengerusi Sekretariat Perhimpunan Melayu Pulau Pinang, Datuk Mohd. Yussoff Hamid ketika membuat pendedahan itu berkata, peruntukan RM24.3 juta yang dinyatakan kerajaan negeri sebenarnya turut merangkumi perbelanjaan tahunan bagi kos pengurusan agensi agama Islam.

''Bajet pengurusan berjumlah RM13 juta adalah bajet mengurus yang diperuntukkan secara tahunan untuk membayar emolumen termasuk gaji kakitangan agensi di bawah Jawatankuasa Hal Ehwal Islam.

''Jadi, jika ditolak (RM13 juta) daripada RM24 juta, peruntukan sebenar hanyalah RM11 juta. Nampaknya, fakta-fakta yang diberikan tidak jelas malah menimbulkan keraguan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Guan Eng yang kini berdepan kritikan kerana didakwa meminggirkan nasib orang Melayu dan Islam berusaha memulihkan imej kepimpinannya dengan mendedahkan kepada umum peruntukan bagi pembangunan hal ehwal agama Islam di Pulau Pinang.

Setiausaha Agung DAP itu dalam ucapan dan siri ceramah pakatan pembangkang berkali-kali mempertahankan pentadbirannya yang didakwa lebih peka terhadap pembangunan umat Islam berbanding pentadbiran BN sebelum ini.

Kerajaan negeri turut menaikkan sepanduk dan kain-kain rentang sekitar negeri ini tertera peruntukan RM24.3 juta pada tahun ini yang didakwa meningkat sekali ganda berbanding RM12.2 juta ketika era pemerintahan BN pada tahun 2008.

Zahrain cabar lapor SPRM

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mencabar Ketua Menteri, Lim Guan Eng membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika benar ada bukti dirinya atau ahli keluarga beliau terlibat dalam urusan tender projek Bukit Jambul Golf Resort.

Menurutnya, tindakan Guan Eng membuat kenyataan kepada media seolah-olah menggambarkan dirinya memang melakukan perkara seperti yang didakwa itu. "Kalau dia (Guan Eng) ada bukti bahawa saya atau keluarga saya terlibat, nyatakan dengan jelas, jangan putar belit.

"Buat laporan kepada SPRM, jangan cakap kepada media kata dia ada bukti," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Semalam, Guan Eng menyatakan kesediaan untuk berdepan tindakan undang-undang selepas mengaitkan ahli keluarga Zahrain dalam urusan tender bernilai RM40 juta bagi mengurus projek Bukit Jambul Golf Resort.

Guan Eng dicabar beri penjelasan

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim, membidas Ketua Menteri, Lim Guan Eng, kerana berdolak dalih berhubung isu perarakan sambutan Maulidur Rasul, minggu depan.

Azhar berkata, keengganan Guan Eng menyahut cabarannya mendedahkan minit mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Maulidur Rasul bertentangan dengan prinsip Kompeten, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang dilaung-laungkan kerajaan negeri.

“Mana semua (CAT) yang dipegangnya. Kenapa perlu mengelak dengan enggan mengulas. Dulu ketika kontroversi tanah berhampiran Hotel E&O (di sini), boleh pula beliau mendedahkannya. Kenapa sekarang lain pula? “Saya tidak ada niat hendak menjeratnya kerana hanya mahu kepastian serta mahu tahu perkara sebenar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau diminta mengulas sikap berdiam diri Guan Eng berhubung cabarannya supaya kerajaan negeri mendedahkan minit mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Maulidur Rasul yang diadakan pada 19 Januari dan 3 Februari lalu.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, sebaliknya menyerahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Kassim untuk menjawab persoalan itu.

Azhar turut mengulangi cabarannya supaya kerajaan negeri mendedahkan minit mesyuarat berkenaan dengan kali ini meminta ia didedahkan oleh Abdul Malik. "Kalau Guan Eng enggan ulas, kali ini saya minta Abdul Malik pula jawab berdasarkan kepada arahan Ketua Menteri," katanya.

Penang Wasabi

No comments:

Post a Comment