Peranan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mula dipersoalkan kerana masih belum membuat sebarang penjelasan berhubung dakwaan pemilikan saham Azmin Ali dan isterinya, Shamsida Taharin yang dikatakan mencecah RM8 juta.
Bekas Naib Presiden PKR, Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak berkata, perkara itu tidak boleh dianggap sebagai isu peribadi kerana Azmin pada masa ini adalah Naib Presiden parti itu. Tambahan pula katanya, pemberian saham berkenaan dikatakan berlaku ketika Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim Anwar memegang portfolio Menteri Kewangan.
"Wan Azizah kena jelaskan isu ini, adakah dia tidak terfikir kenapa Azmin dan Shamsida diberi keistimewaan sedemikian rupa dan rakyat pula mahu tahu sama ada dakwaan berkenaan benar atau tidak.
"Jika tiada penjelasan semua orang akan tertanya-tanya dan ia akan menjejaskan imej parti, pada saya apa guna memegang jawatan presiden jika tidak mampu mempertahankan parti sendiri" katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Pada November tahun lalu, Pengerusi Yayasan Belia India Malaysia, S.A Vigneswaran mendedahkan beliau memiliki dokumen berkaitan pembelian saham berkenaan.
Ekoran pendedahan itu, Anuar Shaari yang merupakan bekas setiausaha sulit Anwar telah menyerahkan kesemua dokumen berkaitan serta memberikan keterangan kepada polis yang kemudiannya dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Anuar juga menamakan beberapa individu yang didakwa terlibat dalam pemilikan saham itu termasuk Anwar, kerana dokumen-dokumen bertarikh 1992 hingga 1994 tersebut berlaku ketika Ketua Pembangkang itu memegang portfolio Menteri Kewangan.
Sementara itu, Saidatul Badru turut mempersoalkan adakah Wan Azizah takut untuk membuat penjelasan kerana isu itu membabitkan Anwar yang juga suaminya. Katanya, jika status hubungan suami isteri mahu diambil kira maka Wan Azizah sepatutnya membuat penjelasan bagi membersihkan imej suami sekiranya mereka berada di pihak yang benar.
Tegasnya, jika tidak mahu menegakkan kebenaran maka adalah lebih baik sekiranya Wan Azizah mengundurkan dirinya daripada jawatan itu bagi memberi laluan kepada pemimpin yang lebih layak. "Kalau ada perkara yang mahu diselindungi, lebih baik berhenti dan duduk di rumah sahaja sebagai isteri.
"Tiada gunanya berada menjadi presiden parti jika sekadar menjadi 'perhiasan' struktur kepimpinan, pada saya adalah lebih baik dia menjadi 'perhiasan' rumah tangganya," katanya. Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyifatkan Wan Azizah sebagai seseorang yang telah gagal memanfaatkan peluang untuk membuktikan keupayaan kaum wanita di negara ini.
Lebih malang lagi katanya, peluang itu gagal dimanfaatkan sewaktu dia diberi kepercayaan untuk mengetuai sebuah parti politik kerana ia adalah satu pencapaian yang tidak pernah dilakar oleh mana-mana wanita di negara ini.
Sementara itu di Bandar Tun Razak : 100 ahli PKR sertai UMNO
Gara-gara tidak lagi percayakan kepimpinan yang mementingkan agenda peribadi berbanding nasib rakyat, 100 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diketuai Bendahari PKR Wilayah Persekutuan, Norasidi Salim nekad keluar parti dan menyertai UMNO.
Mereka yang merupakan ahli PKR Cabang Bandar Tun Razak turut mendakwa hilang kepercayaan kepada Ahli Parlimen kawasan tersebut, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dianggap terlalu elit sehingga melupakan tugas selaku wakil rakyat.
Kumpulan itu menyerahkan borang keahlian kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan di pejabat badan itu di sini malam ini. Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan badan itu.
Perkembangan tersebut merupakan tamparan hebat kepada parti itu apatah lagi pada saat-saat kes liwat Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang dibicarakan di mahkamah. Menurut Norasidi, keputusan itu dibuat dengan rela hati tanpa sebarang desakan. "Kami yakin UMNO dapat mengembalikan kepercayaan rakyat dan mentadbir negara dengan baik demi kesejahteraan rakyat,'' katanya kepada pemberita di sini malam ini.
Penang Wasabi : Bila pula rakyat Permatang Pauh hendak keluar dari kemelut yang melanda PKR sekarang terutama masalah yang sedang melanda Parti Keluarga Anwar Ibrahim? Wallahuallam...
Penang Wasabi
No comments:
Post a Comment