~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Sunday, December 28, 2014

‘Tidak ke Taiwan disyaki lompat parti’?

Dr. Mohd. Puad Zarkashi

Mahkamah Tinggi di sini diberitahu, ahli Parlimen (MP) Barisan Nasional (BN) yang tidak menyertai program Lawatan Sambil Belajar ke Taiwan anjuran Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) akan disyaki mahu melompat parti bagi membentuk kerajaan baharu pada 2008.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, program berkenaan diadakan beberapa hari sebelum 16 September 2008 bagi mengelak ahli Parlimen pembangkang menghubungi ahli Parlimen BN supaya melompat parti.

Beliau bagimanapun bersetuju dengan cadangan peguam Razlan Hadri Zulkifli yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa MP Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Datuk Seri Anifah Aman (MP Kimanis), Khairy Jamaluddin (MP Rembau), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (MP Bagan Datoh), Tan Sri Shahrir Abdul Samad (MP Johor Bahru) dan Datuk Nur Jazlan Mohamed (MP Pulai) tidak mengikuti program itu.

“Keenam-enam ahli Parlimen itu tidak pernah disyaki akan melompat parti kerana suspek yang saya maksudkan ialah ahli BNBBC yang menjadi fokus kepada pihak pembangkang,” katanya Mohd Puad, yang merupakan Naib Pre­siden BNBBC ketika itu.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi defendan dalam perbicaraan kes saman RM100 juta dikemukakan Anwar terhadap Anifah, yang juga Menteri Luar berhubung kenyataan Anifah dalam sidang media di Washington pada Mei 2009.

Ketika ditanya Razlan adakah kesetiaan ahli BNBBC dipersoalkan jika mereka melompat parti, Mohd. Puad berkata: “Saya tidak mempersoalkan kesetiaan mereka tetapi mereka yang dipengaruhi oleh ahli parti pembangkang”.


Beliau juga bersetuju dengan cadangan Razlan bahawa beliau dan ahli BNBBC boleh menolak tawaran daripada pihak pembangkang jika dipe­ngaruhi dan bahawa melompat parti bukan menjadi kesalahan undang-undang.

Mohd. Puad berkata, ketika berada di Taiwan beliau dihubungi bekas Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Datuk Saifuddin Nasution, yang cuba memujuknya supaya meninggalkan BN dan menyertai parti pembangkang, namun pujukan itu tidak berjaya.

Katanya, beliau juga telah dihu­bungi oleh rakan Anwar iaitu Dr. Abdul Rahim Ghouse yang turut menyatakan hasrat untuk bertemu dengannya dan pertemuan itu turut dihadiri seorang lelaki bernama Azman Hussin.

Ketika disoal Razlan mengapa beliau bersetuju untuk berjumpa dengan Abdul Rahim dan Azman sedangkan telah menolak pelawaan Saifuddin untuk menyertai parti pembangkang, Mohd. Puad berkata: “Mereka (parti pembangkang) tidak akan berjaya sebab itu saya bersetuju untuk berjumpa dan saya percaya 16 September tidak akan berlaku”.

“Saya tahu mereka (parti pembangkang) terdesak dan sebab itu saya nak tengok apa yang Abdul Rahim dan Azman akan ceritakan kepada saya,” kata Mohd. Puad.

Anwar mengemukakan saman terhadap Anifah pada 27 Mei 2009 kerana mendakwa kenyataan anggota Parlimen Kimanis itu pada sidang media di Washington, pada 16 Mei 2009, yang turut dihadiri oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat yang ketika itu Hillary Clinton, telah mencemarkan nama baiknya.

Pesuruhjaya Kehakiman, Siti Khadijah S. Hassan Badjenid menetapkan 5 Januari ini untuk mendengar hujahan peguam yang mewakili Anifah, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengemukakan permohonan untuk meminda pernyataan pembelaan. - BERNAMA

Penang Wasabi..