~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Saturday, June 15, 2013

Anwar terimalah ketentuan Allah, usah buat kerja tiada faedah?


Apabila hasrat untuk memiliki Putrajaya tidak kesampaian menyebabkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, seperti orang hilang akal. Anwar sepatutnya pasrah dengan apa yang telah ditakdirkan dan bukannya bertindak menentang arus akibat tidak puas hati dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Anwar sanggup mengheret rakyat untuk membuat perhimpunan tanda protes kerana tidak boleh terima kekalahan. Sebagai rakyat yang matang serta berfikiran terbuka, tidak perlulah mengikut telunjuk Anwar membuat kerja yang tidak mendatangkan apa-apa faedah, hanya menyusahkan rakyat sahaja.

Apa yang menghairankan kita semua, mengapa Anwar tidak boleh terima kenyataan? Jika rezeki itu bukan milik kita, ia tetap tidak akan menjadi hak kita. Percayalah pada qada dan qadar kerana ini semuanya adalah ketentuan Allah.


Berdemonstrasi bukanlah satu jalan penyelesaian, malah ia akan menambahkan kebencian rakyat kepada Anwar. Beliau sepatutnya bersyukur kerana kemenangannya di Permatang Pauh dan gembira kerana warga Permatang Pauh masih lagi menjadi penyokong setianya.

Berbaktilah dengan bersungguh-sungguh untuk membalas jasa orang Permatang Pauh. Buangkan sifat ego serta takbur yang masih tebal dalam diri memandangkan usia telah memasuki ke era warga emas.

Bertaubatlah sebelum terlambat. Selagi nafas masih berfungsi, Allah Maha Pengasih. Ingatlah setiap apa yang kita jangka tidak semudah yang kita harapkan. Fikir-fikirkanlah.

Penang Wasabi..

Friday, June 14, 2013

Selepas kes sambungan Jambatan Kedua runtuh, kini ribut pula melanda Pulau Pinang...!!! Dua maut, lapan cedera parah?

Dua kenderaan rosak teruk akibat serpihan bangunan pecah selepas ribut yang melanda di Jalan Macalister, Pulau Pinang, petang semalam.

Sebanyak 21 kejadian ribut dilaporkan melanda beberapa kawasan di seluruh negeri ini menyebabkan dua maut dan sekurang-kurangnya lapan orang cedera parah.

Mereka yang maut dikenali sebagai Jahir Hussain Sulaiman, 40, pembantu pemandu lori yang dihempap pemancar tiang telekomunikasi di Jalan Macalister dan Wong Tze Chow, 33, maut akibat dihempap sebatang pokok di jalan berhampiran Empangan Air Itam.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya mendapat laporan berkenaan kejadian ribut tersebut kira-kira pukul 6.45 petang.

Katanya, melalui laporan diterima, lapan kejadian berlaku di sekitar Timur Laut, dua di Seberang Perai Tengah, 10 di Seberang Perai Utara dan satu di bahagian barat daya.

“Bagaimanapun, kejadian yang paling teruk adalah di Jalan Macalister yang menyebabkan sebuah pemancar telekomunikasi jatuh dari atas sebuah bangunan dan menghempap beberapa kenderaan,’’ katanya kepada pemberita di sini malam ini.

Dalam kejadian lewat petang itu, sebuah pemancar telekomunikasi setinggi hampir 20 meter yang terletak di atas Menara UMNO jatuh.

Sebanyak tujuh buah kenderaan rosak teruk akibat dihempap pemancar tersebut selain sebatang paip bawah tanah di jalan berkenaan juga pecah.

Hentakan tiang pemancar ke atas jalan raya turut menyebabkan terbentuk sebuah kawah air kecil.

Abdul Rahim dalam pada itu menambah, pihaknya meminta orang ramai agar tidak bimbang dan panik dengan kejadian berkenaan dan polis telah mengerahkan semua anggota termasuk di daerah-daerah untuk turun padang bagi memantau perkembangan kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Ismail Mohd. Zain memberitahu, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada kira-kira pukul 6.55 petang mengenai kejadian di Jalan Macalister.

“Apabila tiba, sebuah pemancar telekomunikasi dilihat telah jatuh di atas jalan raya dan menghempap tujuh buah kereta serta sebuah lori. Kita sedang melakukan pembersihan dan punca kejadian dipercayai akibat angin kuat," ujarnya.

Penang Wasabi..

Thursday, June 13, 2013

Menyabit kesalahan hina Raja?


Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shabi (empat dari kanan) bersama sebahagian pemimpin daripada 20 pertubuhan bukan kerajaan menunjukkan laporan polis mengenai individu yang didakwa menghina titah Yang di-Pertuan Agong menerusi akaun laman sosial Facebook dan Twitter masing-masing di Balai Polis Sungai Senam, Ipoh pada 3 Jun lalu.

KEBELAKANGAN ini saya sering ditanya soalan mengenai: "Andainya seorang itu menghina Raja, apa hukuman yang boleh dikenakan ke atas orang itu?"

Saya kira soalan ini timbul ekoran berita baru-baru ini mengenai seorang wanita Cina berusia 32 tahun yang ditahan polis di Taman Nirwana, dekat Ampang, Selangor, dan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948. Selain dia, khabarnya ada 4 individu lain yang sedang dicari polis untuk membantu siasatan. Wanita berkenaan dikatakan telah menghina Yang di-Pertuan Agong dalam laman facebooknya.

Jawapan saya kepada soalan tersebut adalah, "Apakah yang sebenarnya dilakukan orang itu sehingga dia dikatakan telah menghina Raja?"

Dengan bahasa mudah, kita perlu faham dimensi dan sempadan undang-undang mengenai kesalahan yang dikatakan "menghina Raja" itu. Kita tidak akan dapat bertindak dengan betul sekiranya kefahaman kita masih samar-samar lagi mengenainya.

Andainya apa yang dilakukan oleh orang itu adalah sekadar membuat posting dalam akaun facebook, misalnya satu ayat biadab yang berbunyi "Aku memang meluat dengan Raja X. Dia seorang Raja yang bodoh", apakah itu satu kesalahan jenayah yang (jika disabitkan di akhir perbicaraan) boleh dikenakan hukuman penjara atau denda?

Sebelum kita pergi jauh lagi, perlu kita ingat bahawa mengikut prinsip am undang-undang jenayah negara, setiap kesalahan itu mesti ada dua elemen penting, iaitu perbuatan yang salah (actus reus), dan niat yang salah (mens rea).

Dalam contoh tersebut, actus reus-nya adalah membuat posting dalam akaun facebook supaya boleh dibaca oleh orang lain. Tetapi bagaimana dengan mens rea orang itu?

Sekiranya pasukan pendakwa dapat mengemukakan keterangan yang kukuh ke tahap melampaui keraguan yang munasabah bahawa apabila orang itu membuat posting berkenaan di akaun facebooknya, dia memang ada menyimpan niat salah satu atau lebih dari berikut:

* Niat "mendatangkan kebencian atau penghinaan" terhadap Raja berkenaan; atau

* Niat "membangkitkan perasaan tidak setia" terhadap Raja berkenaan; atau

* Niat "menimbulkan perasaan tidak puas hati" terhadap Raja berkenaan; atau

* Niat "menimbulkan perasaan tidak setia dalam kalangan rakyat" Raja berkenaan;

Orang itu boleh (setelah disabitkan) dikenakan hukuman penjara tidak lebih daripada 3 tahun dan denda tidak lebih daripada RM5,000 atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan berikutnya, hukuman penjara adalah tidak lebih daripada 5 tahun - s. 4(1) Akta Hasutan 1948 (Akta 15).

Mungkin ramai yang berpendapat membuktikan tindakan salah pengguna facebook itu mudah sahaja. Hakikatnya tidak semudah itu, kerana pasukan pendakwa perlu mengemukakan kepada hakim bicara keterangan ke tahap melampaui keraguan yang munasabah bahawa akaun facebook berkenaan adalah milik orang yang dituduh, dan memang dialah orang yang memuat naik posting berkenaan, bukan orang lain. Pastinya pihak pendakwa memerlukan kerjasama dan bantuan daripada beberapa pihak agensi kerajaan yang berkenaan.

Andainya sukar bagi pasukan pendakwa membuktikan melampaui keraguan yang munasabah bahawa orang itu ada menyimpan niat salah seperti yang disebutkan dalam Akta Hasutan tersebut, orang itu masih boleh dikenakan pertuduhan di bawah s, 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Di bawah peruntukan undang-undang ini, adalah satu kesalahan menyatakan di ruang siber (termasuk dalam emel, akaun facebook, twitter, pesanan ringkas dan lain-lain) apa-apa kenyataan atau komen yang lucah, tidak sopan, palsu, menakutkan atau menyakitkan pada sifatnya, dengan niat untuk menyakitkan hati, memaki hamun, mengugut atau mengganggu gugat mana-mana orang lain (obscene, indecent, false, menacing, or offensive in character with intent to annoy, abuse, threaten or harass any person).

Jika sabit kesalahan di bawah peruntukan ini, orang itu boleh dipenjarakan tidak lebih daripada 1 tahun atau denda tidak lebih daripada RM50,000 atau kedua-dua sekali. Sekiranya kesalahan itu terus dilakukan selepas sabitan, orang itu boleh dikenakan denda tambahan sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu dilakukan.

Barangkali disebabkan kurang faham mengenai undang-undang yang sedia ada ini (satu Akta lama dan satu lagi Akta baru) maka kini timbul cadangan agar diwujudkan satu undang-undang baru, bernama Akta Derhaka, untuk menangani masalah perbuatan menghina Raja.

Pada hemat saya, undang-undang yang sedia ada sudah mencukupi untuk membanteras kesalahan menghina Raja. Masalahnya bukan tiada undang-undang. Masalahnya tidak ada pelaksanaan yang segera dan tegas, tidak teragak-agak dan tidak memilih bulu.

Andainya berlaku gerakan militan, tindakan ganas atau yang lebih serius lagi, misalnya sehingga ke tahap memerangi Raja (seperti peristiwa Al-Maunah di masa lampau), peruntukan yang sedia ada dalam Kanun Keseksaan (khususnya seksyen 121, 121A, 121B, 121C) sudah memadai dan masih boleh digunakan. Andainya terdapat lompong atau kesamaran dalam undang-undang ini, ia masih boleh dipinda.

Andainya satu undang-undang khusus (Akta Derhaka) hendak diwujudkan, maksud sebenar dan dimensi kesalahan "menderhaka" itu perlu terlebih dahulu diperincikan dengan tepat dan kemas sekali, difahami semua pihak agar tidak timbul kesamaran.

Andainya ada individu meluahkan rasa tidak setuju dengan apa yang dititahkan oleh Raja, tetapi tidak melakukan apa-apa tindakan lain selebihnya selepas itu, individu ini belum lagi melakukan apa-apa kesalahan. Seperti ditegaskan, dua elemen kesalahan (actus reus dan mens rea itu) mesti wujud sebelum seorang itu boleh diheret ke mahkamah.

Pada hemat saya, andainya Akta Derhaka ini hendak diwujudkan, terlebih dahulu cadangan awal ini mesti dimaklumkan kepada Majlis Raja-Raja, agar pandangan dan nasihat Majlis Raja diperolehi sebelum Rang Undang-Undang ini digubal oleh Jabatan Peguam Negara.

Penang Wasabi..

Monday, June 10, 2013

Hindraf gesa kerajaan negeri percepat kelulusan tanah?


P. Parameswari (kiri) menerima memorandum untuk pembangunan Sekolah Tamil Batu Kawan daripada A. Govindasamy (tengah) sambil diperhatikan K. Kalayselvam (dua, kiri) di Komtar, Pulau Pinang, semalam.

Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) negeri dan Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Sekolah Tamil Batu Kawan menggesa kerajaan negeri menyegerakan kelulusan tambahan tanah bagi pembangunan sebuah sekolah tamil di Batu Kawan dekat sini.

Pengerusi Hindraf negeri, K. Kalayselvam berkata, kelulusan itu perlu disegerakan supaya projek pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Batu Kawan dapat dimulakan demi keselesaan murid-muridnya.

"Kita tidak faham mengapa Ketua Menteri, Lim Guan Eng terus berdiam diri dan tidak mahu berjumpa serta berbincang dengan kami sedangkan kelulusan tanah ini amat diperlukan.

"Sebelum ini, kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) meluluskan tanah seluas 0.80 hektar berhadapan Stadium Negeri Batu Kawan untuk membangunkan semula SJKT Ladang Batu Kawan yang terbakar, namun tapak berkenaan tidak mencukupi untuk pembinaan infrastruktur tambahan seperti padang dan dewan sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghantar memorandum ketiga kepada Ketua Menteri di Pejabat Kerajaan Negeri di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini hari ini.

Walau bagaimanapun, memorandum berkenaan hanya diterima wakil Pejabat Ketua Menteri, P. Paramesrawi.

Beliau dalam pada itu menambah, pihaknya kesal dan kecewa dengan sikap Guan Eng yang terus berdiam diri walaupun Hindraf sebelum ini menghantar dua memorandum sama pada November 2010 dan Januari 2011.

"Kami berharap kerajaan negeri dapat menyegerakan pemberian kelulusan tanah tambahan seluas seluas 1.21 hektar yang terletak bersebelahan tapak baharu sekolah ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bertindak Ibu Bapa Sekolah Tamil Batu Kawan, A. Govindasamy berkata, kerja-kerja menaik taraf sekolah berkenaan sudah bermula kira-kira 30 peratus dan kerajaan negeri tidak boleh berlengah memberi kelulusan tanah tambahan yang diminta.

"Kita bimbang perkara ini jika dilengahkan memberi kesan kepada pembelajaran murid kerana mereka terpaksa belajar dengan keadaan kurang selesa akibat infrastruktur yang tidak memuaskan," katanya.

Penang Wasabi..

Sunday, June 9, 2013

Jambatan Runtuh: Apa Kata SPRM Siasat @CMLimGuanEng Lulus Syarikat Cergas Murni Sdn Bhd ?


Jambatan Runtuh: SPRM Perlu Siasat Lim Guan Eng!

RUNTUHAN struktur jambatan kedua di Pulau Pinang semalam setakat ini telah mengorbankan satu nyawa, sementara beberapa orang yang lain mengalami kecederaan. Dalam masa yang sama, nampak paling sibuk sekarang ialah ahli-ahli politik DAP yang menguasai kerajaan negeri tersebut.

Biasanya DAP tidak peduli pun kalau berlaku bencana besar di negara kita, tapi dalam kes ini nampaknya berbeza. Dengan tidak berlengah-lengah lagi, para pembesar DAP berkumpul di tapak tragedi, atas sebab yang mereka saja tahu.

Ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

Siasat punya siasat, rupanya-rupanya kontraktor yang dianugerahkan kontrak untuk membina seksyen tersebut, Cergas Murni Sdn Bhd adalah dilantik oleh anak syarikat kerajaan Pulau Pinang, PDC yang dipengerusikan Lim Guan Eng. Cergas Murni dianugerahkan kontrak untuk pembinaan tersebut oleh PDC pada tahun 2010.

Tahun 2010, DAP sudah ambil alih Pulau Pinang.


Maka itu, tidak hairanlah sekarang kenapa para pembesar DAP sangat-sangat gelabah bila kejadian ini berlaku. Guan Eng tambah gelabah lagi apabila meminta siasatan dijalankan, bukan sahaja pada bahagian yang runtuh, tapi keseluruhan jambatan kedua Pulau Pinang tersebut.

Tak susah nak mengagak kenapa Guan Eng keluar kenyataan seumpama itu – dia tidak mahu soal PDC menganugerahkan kontrak bagi seksyen yang runtuh, diperbesarkan orang ramai, kelak nanti ada pulak tuduhan rasuah dan sebagainya.

Dan sememangnya itupun tujuan penulis semasa menyiapkan artikel ini, pihak-pihak berkaitan seperti SPRM perlu siasat jika ada unsur-unsur rasuah dan penyelewengan semasa penganugerahan kontrak tersebut dan sama ada PDC yang dipengerusikan Guan Eng, telah melihat kelayakan kontraktor terbabit mengikut prosedur sedia ada sebelum penganugerahan kontrak.

Kita minta siasat, kita tak tuduh apa lagi. Kita tak hina macam bapak Guan Eng yang semasa berlaku kejadian bot karam di Sarawak, menunding jari kepada BN kerana berlakunya tragedi tersebut.

Walaupun kita tak main game itu, tapi plotnya lebih kurang sama dan Guan Eng perlu tampil menjawab serta membenarkan siasatan dijalankan ke atasnya bagi menentukan semuanya mengikut peraturan yang disediakan.

Penang Wasabi..

Saturday, June 8, 2013

Friday, June 7, 2013

Mangsa runtuhan jambatan dikebumi awal pagi ini..Al-Fatihah!

MANGSA... Tajudin Zainal Abidin

Mangsa yang maut dalam kejadian runtuhan penyambungan tanjakan susur keluar ke Jambatan Kedua Pulau Pinang yang sedang dalam pembinaan akan dikebumikan awal pagi ini juga.

Isterinya, Shariffah Ramli,40, berkata, jenazah suaminya, Tajudin Zainal Abidin,45, akan dibawa pulang ke kampung di Bukit Merah, Perak sebaik sahaja proses bedah siasat selesai dijalankan.

ISTERI mangsa, Shariffah Ramli (tengah) ditenangkan oleh sanak saudara ketika beliau menunggu mayat suaminya, Tajudin Zainal Abidin di Jabatan Forensik, Hospital Pulau Pinang malam ini.

"Saya akan bawa pulang jenazah suami ke kampung saya di Kampung Batu 39, Bukit Merah," katanya kepada pemberita di perkarangan rumah mayat, Hospital Pulau Pinang, di sini malam tadi.

Mayat Zainal yang terperangkap dalam kejadian runtuhan yang berlaku lewat petang semalam itu berjaya di keluar oleh pasukan penyelamat kira-kira pukul 8.45 malam tadi.

Salam takziah daripada admin Penang Wasabi buat keluarga Allahyarham. Al-Fatihah..!!!

Penang Wasabi..