~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Friday, February 5, 2010

Nasib anjing pun lebih baik - PCM

Jika semalam Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng mendakwa Lim Guan Eng melayan wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti anjing, Parti Cinta Malaysia (PCM) hari ini menyifatkan Ketua Menteri itu sebenarnya lebih zalim daripada itu.

Malah menurut Naib Presiden PCM, Huan Cheng Guan, nasib anjing adalah lebih baik kerana mempunyai tuan yang penyayang dan memberi cukup makan berbanding layanan diterima oleh wakil rakyat PKR.

Beliau menegaskan, ia boleh dilihat berdasarkan keistimewaan diberikan oleh Guan Eng kepada ahli Parlimen dari DAP yang begitu berbeza dengan mereka dari PKR. "Jika kita kaji, Guan Eng tidak menyediakan peruntukan kewangan kepada semua ahli Parlimen kecuali ahli dewan undangan negeri (ADUN).

"Tapi, dia (Guan Eng) memberi pelbagai jawatan kepada ahli Parllimen DAP seperti exco, pengerusi agensi kerajaan negeri dan banyak lagi termasuk dia yang berjawatan Ketua Menteri," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Antara wakil rakyat DAP yang mempunyai jawatan dalam kerajaan negeri ialah Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II); Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi (Ketua Staf Pejabat Ketua Menteri) dan Ahli Parlimen Tanjong, Chow Kon Yeow (Exco).

Cheng Guan memberitahu, tanpa peruntukan, sukar untuk wakil rakyat memberikan khidmat yang baik kepada rakyat. "Wakil rakyat mahu kemudahan peruntukan bukan untuk diri sendiri tapi membantu rakyat seperti orang miskin dan menyelesaikan masalah mereka," ujarnya.

Sementara itu semalam : Guan Eng 'sembunyi' di pejabat !

Hasrat ribuan peserta Perhimpunan Sedaq untuk bertemu Lim Guan Eng bagi menyerahkan memorandum tidak kesampaian apabila Ketua Menteri itu terus 'bersembunyi' di dalam pejabatnya dan enggan melayan permintaan mereka.

Guan Eng sebaliknya hanya menghantar pembantu khas beliau, Ong Beng Guat untuk bertemu serta menerima memorandum berkenaan.

Disebabkan kecewa dengan sikap Guan Eng, para peserta perhimpunan membakar memorandum tersebut dan patung Guan Eng di luar Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), iaitu bangunan yang menempatkan pejabat Ketua Menteri.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang turut serta dalam perhimpunan itu berkata, beliau kecewa dengan tindakan Guan Eng tersebut.

"Kami amat dukacita kerana Guan Eng enggan dan tidak berani untuk bertemu kami.

"Kami mahu menyampaikan memorandum yang menyatakan suara orang Melayu yang sering ditindas dan dizalimi oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan DAP," katanya kepada pemberita di lobi Komtar di sini hari ini.

Sebelum itu, lebih 3,000 peserta Perhimpunan Sedaq anjuran 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam berkumpul berdekatan Masjid Simpang Enam, tidak jauh dari Komtar bermula 12 tengah hari.

Beberapa pemimpin NGO antaranya Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang, Rizal Faris Mohideen; Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Jais Abd. Karim dan pemilik-pemilik gerai yang dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan menyampaikan ucapan yang rata-rata melahirkan kemarahan terhadap pentadbiran kerajaan negeri.

Mereka kemudiannya menunaikan solat Jumaat dan solat hajat di masjid berkenaan sebelum berarak ke Komtar bagi menyampaikan memorandum kepada Guan Eng.

Selain memakai lilit kepala serta baju merah, mereka turut membawa sepanduk yang antaranya tertera 'Hancur Guan Eng', 'Hidup Islam', 'Hidup Melayu', 'Lim Guan Eng Diktator' dan 'Lim Guan Eng Rasis'.

Penang Wasabi

No comments:

Post a Comment