~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Tuesday, February 9, 2010

Lim Guan Eng Kata : Melayu Boleh Maju Tanpa UMNO?

Agak menarik dengan kenyataan Lim Guan Eng bahawa orang Melayu boleh maju walaupun tanpa kewujudan UMNO. Sebagai seorang ahli politik, pemikiran sebegitu penuh dengan muslihat. Apakah beliau mahu menafikan dengan kewujudan UMNOlah, maka terbentuk sebuah pemerintahan kerajaan rakyat pelbagai kaum yang panjang dan mampu membawa keamanan serta kemakmuran kepada rakyat.

Kita cukup percaya, Setiausaha Agung DAP itu menyedari hakikat tersebut. UMNOlah yang melakar kepada persepakatan kaum hingga terbentuk Perikatan – lambang perkongsian kuasa dan keharmonian. Ia kemudian diperluaskan menjadi Barisan Nasional.

Adakah DAP yang bersikap RASIS mampu untuk mewujudkan keharmonian kaum dan politik negara seperti yang dicipta oleh Perikatan/BN. Semua tahu mengapa DAP wujud dan apakah perjuangannya. Terserahkan kepada pembaca untuk membuat penilaian.

Kelahiran DAP panaskan situasi politik Malaysia

Kelahiran DAP telah menyebabkan situasi politik di Malaysia sentiasa panas dan diwarnai dengan sentimen perkauman.

Ahli Majlis Tinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, keadaan itu amat berbeza sebelum parti itu wujud apabila Barisan Nasional (BN) yang mewakili tiga kaum terbesar dapat melahirkan kesefahaman untuk membangunkan negara selepas merdeka.

"Malangnya kelahiran DAP dengan slogan Malaysian Malaysia, menyebabkan politik Malaysia sentiasa panas dan diwarnai dengan politik perkauman kerana DAP bergantung hidup dengan sokongan orang Cina.

"Oleh itu mereka mesti menjuarai isu-isu orang Cina sahaja," katanya di dalam blog http://puadzarkashii.blogspot.com.

Puad mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mengatakan orang Melayu boleh maju walaupun tanpa kewujudan UMNO.

Menerusi temu ramah sebuah stesen televisyen tempatan itu, Guan Eng berhujah bahawa di zaman kesultanan Melayu Melaka, UMNO tidak wujud namun negeri itu tetap maju dan terkenal. Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran menyifatkan kenyataan Guan Eng itu sebagai dangkal.

"Kalau begitu cara logik Guan Eng, apakah dia boleh terima kalau ada orang yang berhujah bahawa politik Malaysia akan aman dan tidak ada perkauman jika DAP tidak wujud?"

Katanya, UMNO lahir untuk menyatupadukan orang Melayu yang berpecah semasa penjajahan British kerana tanpa perpaduan, orang Melayu tidak akan ada kuasa politik sekali gus sukar untuk maju. "Kelahiran UMNO adalah rentetan usaha Datuk Onn Jaafar yang bangkit menentang Malayan Union.

"Apakah Guan Eng tahu sejarah Tanah Melayu? Apakah dia faham punca kejatuhan Kesultanan Melaka sehingga negeri tempat dia bertapak itu sudah tidak ada raja sekarang ini?" katanya.

Menurut beliau, dasar UMNO yang adil dan sanggup berkongsi kuasa dengan rakan-rakan lain sehingga tertubuhnya Parti Perikatan menyebabkan kemerdekaan negara diperolehi.
Sementara kelahiran BN pula membolehkan peristiwa 13 Mei 1969 dapat dibendung daripada berulang.

"Hanya DAP yang enggan menyertai BN atau menyertai kerajaan campuran. Memang sifat DAP suka mementingkan diri. Mereka lebih senang kuasa politik Melayu berpecah dan terhakis,'' katanya.

Politik rasis dan 'impian kosong' 1Malaysia

Isu demonstrasi membantah kerajaan DAP Pulau Pinang oleh kira-kira 300 orang penduduk Melayu baru-baru ini mendapat sorotan meluas daripada akhbar Cina. Antaranya menerusi artikel yang bertajuk "Polisi rasis yang menyusahkan rakyat" yang tersiar di akhbar Sinchew Jitpoh terbitan 8 Februari lalu.

Menurut penulisnya Goh Chee Chong, selepas setengah abad negara merdeka, kita masih berterusan melaksanakan politik rasis yang tidak termaktub dalam mana-mana naskah perundangan. Di negara ini juga, politik rasis menjadi perkara yang berguna dan diterima pakai sebagai salah satu taktik untuk politikus memainkan peranan mereka. UMNO, MCA dan MIC, ketiga-ketiga parti komponen ini terus berkembang untuk mewakili sesuatu kaum.

Pakatan pembangkang pula tidak mewakili sesuatu kaum. Ia mungkin dikuasai oleh sesuatu kaum sahaja seperti DAP yang dimonopoli oleh kaum Cina, dan PKR serta Pas majoritinya orang Melayu. Sehingga ke hari ini Malaysia masih lagi terapung-apung dalam politik rasis. Perjalanan untuk menghapuskan politik rasis ini masih lagi amat jauh.

Barisan Nasional yang menguasai kerajaan pusat selama 53 tahun, diketuai oleh UMNO. Sudah semestinya, polisi yang dibuat adalah mengikut rentak UMNO. Mereka lebih memikirkan kepentingan orang Melayu lalu menimbulkan pelbagai isu rasis dan pembahagian yang tidak adil. Ini menyebabkan pemimpin bukan Melayu menerima kesannya apabila gagal memberi jawapan kepada kaum yang mereka pimpin.

MCA misalnya, menghadapi masalah seperti itu dan berdepan dengan kemarahan dan kutukan daripada masyarakat sendiri. Chee Chong menambah, DAP hari ini memperkenalkan konsep Malaysian Malaysia sebagai asas perjuangan. Walaupun Pulau Pinang diperintah oleh pemimpin Cina, tetapi tidak mungkin DAP tidak bekerja keras untuk mendapatkan sokongan orang Melayu yang merupakan penduduk dan pengundi majoriti di negara ini.

Dalam isu rasa tidak puas hati penduduk Melayu itu, Pas Pulau Pinang sendiri membuat kenyataan secara bertulis bahawa kerajaan DAP telah mengeluarkan peruntukan wang sebanyak RM24.30 juta kepada tabung kebajikan Islam. Ia merupakan peningkatan hampir sekali ganda berbanding pada zaman pemerintahan BN iaitu sekitar RM12.50 juta. DAP juga melaksanakan sistem tender terbuka supaya orang Melayu mendapat sehingga 70 peratus daripada tender kontrak-kontrak tersebut.

Apa yang diberikan oleh DAP kepada orang Melayu sebenarnya lebih banyak daripada apa yang diterima mereka sebelum ini. ''Saya beranggapan cara yang paling mudah untuk mengubah segalanya ialah dengan menekankan semua kaum sebagai satu anggota. Rasuah pula dianggap sebagai musuh kepada semua rakyat. Dalam pentas politik pula, warna kulit tidak lagi menjadi pokok pertimbangan," kata Chee Chong.

Sementara itu, kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Nasir Safar, pegawai khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga tidak terlepas daripada menjadi perhatian akhbar Cina. Seorang penulis yang menggunakan nama samaran Lee Lang, menulis dengan panjang lebar mengenai kenyataan Nasir itu dalam China Press terbitan 7 Februari lalu.

Menurut Lee Lang, apa yang disebut oleh Nasir itu merupakan luahan hati beliau sendiri dan ramai lagi yang berfikiran seperti itu terutamanya di dalam UMNO. Ia bukan salah Nasir, tetapi berlaku kerana politik dan pendidikan yang menjuruskan kepada sedemikian.

Apabila Nasir memohon maaf dan meletakkan jawatan, ia sudah tentu mendapat tepukan dan sokongan orang ramai. Tetapi yang baik itu tidak semestinya mencederakan hati orang lain. Yang tercedera sebenarnya sudah berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Ramai yang sudah biasa dengan pemikiran dan kata-kata sedemikian.

Tetapi yang paling parah terluka ekoran kenyataan Nasir itu sudah semestinya slogan 1Malaysia yang diutarakan oleh Najib.

''Nasir adalah orang yang paling rapat dengan Perdana Menteri. Maka beliau seharusnya lebih memahami konsep 1Malaysia. Jika orang yang rapat dengan Najib masih ada pemikiran seperti itu, kita boleh bayangkan sikap orang-orang Cina di dalam MCA tidak jauh jaraknya antara pemikiran 'orang India pengemis dan orang Cina melacur'?'' kata Lee Lang.

Penulis itu menambah, walaupun setiap hari kita melaungkan 'nasi lemak 1Malaysia' dan sandiwara itu serta sandiwara ini, konsep 1Malaysia bukan jatuh dari langit dan kita dapat secara tiba-tiba.

Jika tidak sepenuh hati dan jujur mengubah politik dan pendidikan kita hari ini, maka ia tidak akan dapat mengubah pemikiran yang terpaku bahawa 'orang India pengemis dan orang Cina pelacur.' Konsep 1Malaysia akan hanya menjadi satu perjalanan yang amat jauh dan impian ini tidak akan dapat dicapai.

Siapa yang sebenarnya yang memulakan ini semua? Tepuk dada tanya selera..!

Penang Wasabi

1 comment: