~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Sunday, February 14, 2010

Parti kecewakan rakyat!

Ahli Parlimen Bayan Baru, Pulau Pinang, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim Jumaat lalu keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana kecewa dengan perjuangan parti dan hilang kepercayaan terhadap penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bayangkan beliau adalah seorang Ahli Parlimen yang mendapat jawatan itu kerana diberi kepercayaan oleh partinya bertanding mewakili parti itu di kawasan Bayan Baru. tentunya kepercayaan yang diberikan oleh PKR adalah kerana parti itu yakin bahawa Zahrain percaya kepada perjuangan parti itu.

Apakah perjuangan PKR yang dipercayai oleh Zahrain hinggakan parti itu memilih beliau untuk bertanding di Bayan Baru? Kalau mengikut nama parti itu, iaitu Keadilan Rakyat, maka dapat diandaikan bahawa selama ini Zahrain percaya bahawa PKR memperjuangkan Keadilan Rakyat.

Bagaimanapun apabila beliau keluar dari PKR kerana kepercayaannya sudah hilang, dapatlah dirumuskan bahawa menurut pandangannya PKR sudah tidak memperjuangkan Keadilan Rakyat.

Prinsip perjuangan hanyalah salah satu daripada tiga sisi bagi sesebuah parti. Dua lagi sisi ialah organisasi dan kepimpinan. Jika baik manapun perjuangan sesebuah parti, tetapi ia tidak dilengkapkan dengan organisasi yang kemas serta kepimpinan berkesan, maka parti itu tidak akan ke mana.

Begitu juga jika baik macam mana pun organisasi sesebuah parti, tetapi jika prinsip perjuangan tidak bagus dengan kepimpinan lemah, maka tidak ada masa depan bagi parti itu. Kalaupun ada kepimpinan yang baik, tetapi organisasi serta prinsip perjuangan yang tidak menentu, parti itu akan gagal.

Hujah ini nampak simplistik. Tetapi ada logiknya. Idealisme perjuangan, organisasi dan kepimpinan adalah tiga syarat yang perlu ada bagi kejayaan parti. Lemah salah satu, maka akan gagal semua. Ia merupakan tiga serangkai yang wajib.

Kejayaan

Tetapi memang benar bahawa ada parti yang lemah kepimpinannya tetap berjaya mengalahkan lawannya. Dalam hal ini wajar dilihat bahawa kejayaan sesebuah parti bergantung kepada kedudukan lawannya. Jika lawannya lebih lemah, maka parti yang kurang lemah akan menang. Justeru persaingan dalam politik antara dua pihak parti akan ditentukan siapa lebih kuat akan menang, dan siapa lebih lemah akan kalah.

Dalam hal Zahrain, beliau tidak menyentuh soal organisasi parti. Tetapi kekecewaan yang ditunjukkan adalah pada prinsip perjuangan PKR dan kepimpinannya, yang ditujukan kepada Anwar.

PKR merupakan parti yang pelik dari segi struktur organisasi. Walaupun Anwar hanyalah seorang penasihat parti, tetapi kekuasaannya adalah dia diketahui merupakan ketua bagi PKR. Sedangkan presidennya, iaitu isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dilihat tidak mempunyai kuasa.

Untuk membahaskan apakah yang dimaksudkan oleh Zahrain sebagai kekecewaan kepada prinsip perjuangan parti, ia memerlukan penelitian lebih mendalam. Adakah beliau sudah menolak apa yang disebut sebagai Keadilan Rakyat? Atau PKR dilihat telah gagal memperjuangkan Keadilan rakyat. Tetapi apakah itu Keadilan Rakyat? Jadi panjang ceritanya.

Persoalan juga timbul, siapakah Zahrain dan apakah asal usul perjuangan politiknya? Mengapakah beliau menyertai PKR? Adakah kerana perjuangan Keadilan rakyat atau Anwar?

Jadi lebih mudah untuk membahaskan tentang kekecewaannya terhadap kepimpinan Anwar.

Ini kerana sejak Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008, dapat dilihat bagaimana cara Anwar memimpin. Pada keseluruhannya adalah tidak boleh menyalahkan sesiapa pun jika para penyokong PKR berasa kecewa dengan kegagalan ketua mereka memimpin parti.

Dengan pelbagai masalah yang dihadapi oleh Anwar, maka sudah tentu keberkesanan beliau untuk memimpin parti amat terhad kalaupun tidak lumpuh langsung. Malah tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa Anwar telah gagal memimpin PKR. Jika dibuat senarai kegagalan PKR sejak 8 Mac itu dapat disenaraikan satu demi satu kegagalan beliau.

Antara kegagalan yang jelas ialah kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat akibat keluarnya dua Ahli Undangan Negeri daripada PKR. Itu sudah jelas boleh disalahkan kepada Anwar. Bagaimana tidak disiplinnya wakil-wakil yang dipilih oleh PKR.

Kalaulah ahli-ahli PKR yang berasa kuat dengan prinsip perjuangan mereka tetapi kecewa dengan kepimpinan Anwar, maka sewajarnya mereka bertindak mengubah kepimpinan parti mereka. Mereka wajar mempersoalkan mengapakah seorang penasihat parti boleh memimpin mereka tetapi ke jalan kehancuran.

Banyak andaian yang melihat bahawa Anwar adalah seorang tokoh dan pemimpin berkarisma. Tetapi tidakkah ia merupakan satu mitos? Seorang pemimpin yang banyak diberi kepercayaan oleh pelbagai pihak tetapi bukan saja gagal memenuhi kepercayaan itu, tetapi hanya memberikan kekecewaan, kehancuran dan kesusahan.

Kegagalan

Tidak sukar untuk mengukur kegagalan Anwar. Kiralah berapa banyak manusia yang lari kerana kecewa kepadanya. zahrain hanyalah salah seorang yang terbaru kecewa dengannya. Tetapi sebelum ini sudah ramai yang merasakannya. Mesti ada sesuatu yang tidak kena dengan kepimpinan Anwar.

Bertambah malang lagi, apa yang dilakukan oleh Anwar ini bukan saja mengheret dan menyusahkan PKR sebagai parti tetapi juga pihak-pihak lain. Kepimpinannya mengheret jatuh DAP dan Pas sendiri melalui Pakatan Rakyat. Bukan itu saja, kepimpinan Anwar itu telah menyusahkan banyak orang baik negeri-negeri yang ditadbir pembangkang seperti Pulau Pinang dan Selangor tetapi juga Malaysia pada keseluruhannya.

Kalau Zahrain kecewa dengan perjuangan PKR dan kepimpinan Anwar, apatah lagi rakyat Malaysia umumnya. Bukan saja yang mengundi dan menyokong parti-parti pembangkang pada 8 Mac lalu, tetapi rakyat Malaysia keseluruhannya.

Para penyokong-penyokong pembangkang dalam pilihan raya 8 Mac lalu tentu mengharapkan sesuatu yang baru dan baik hasil daripada pilihan mereka. Kemenangan parti-parti pembangkang di Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan diharapkan dapat memberikan pembaharuan dalam cara berpolitik negara ini.

Tetapi nampaknya apa yang diperoleh adalah pertelingkahan yang membosankan bukanlah antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat saja, itu dapatlah difahami, tetapi yang menyukarkan semua ialah perselisihan yang berbentuk pelbagai dimensi dalam Pakatan Rakyat.

PKR lawan DAP dan DAP lawan Pas. Bukan itu saja, perselisihan teruk juga berlaku dalam parti masing-masing. DAP berkelahi sesama dalam DAP. PKR juga berkelahi sesama sendiri. Pas seperti yang dilihat di Kelantan dan juga isu Kerajaan Perpaduan dan Erdogan memperlihatkan percanggahan sesama sendiri.

Pergolakan ini tentu memualkan para penyokong pembangkang. Ia juga menunjukkan kegagalan pemimpin-pemimpin mereka. Bukan saja Anwar, tetapi juga Lim Guan Eng dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Di pihak penyokong Barisan Nasional pula, memanglah mereka kecewa dengan kegagalan parti mereka semasa pilihan raya umum 8 Mac lalu. Tentunya mereka mahukan Barisan Nasional memenangi kembali kerusi-kerusi yang hilang.

Para penyokong Barisan Nasional tentu mengalu-alukan usaha kepimpinan UMNO melaksanakan pelbagai program bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap parti mereka. Antara program itu adalah seperti Juara Rakyat.

Tetapi dalam kehidupan seharian, mereka tidaklah mahu politik yang merosakkan. Persaingan politik antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat wajar dilakukan secara demokratik dan positif. Ini kerana tentu banyak pendokong Barisan Nasional yang terpaksa hidup dalam pentadbiran Pakatan Rakyat. Mereka juga mahu kerajaan-kerajaan negeri yang stabil.

Biarlah persaingan politik berlaku melalui pilihan raya di mana rakyat akan menilai siapa yang mampu mentadbir negeri dengan baik dan berkesan. Rakyat, tidak kira penyokong Pakatan Rakyat, atau Barisan Nasional mahukan kehidupan seharian yang licin dan harmoni. Mereka tidak mahu merasakan kesukaran hidup kerana ahli-ahli politik bertelagah tanpa menghiraukan kesusahan rakyat menjalani kehidupan seharian.

Tetapi malangnya inilah yang berlaku sekarang. Pergolakan dalam parti-parti PKR, Pas dan DAP di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan kelantan menyusahkan kehidupan rakyat. Adakah ini demokrasi yang hendak ditunjukkan oleh Pakatan Rakyat.

Yang perlu disalahkan dalam hal ini ialah ahli-ahli politik dalam parti-parti pembangkang itu. Zahrain tidak terkecuali dalam hal ini. Begitu juga Zulkifli Nordin, Wee Choo Keong, Lim Guan Eng, Khalid Samad dan banyak lagi. Gelagat mereka hanya menyusahkan rakyat. Dan di atas mereka pula, pemimpin- pemimpin parti, daripada Anwar, Guan Eng dan Abdul Hadi memang ternyata gagal memimpin parti masing-masing.

Penang Wasabi

No comments:

Post a Comment