~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Saturday, February 21, 2015

Guna kuasa undi singkir kumpulan Anwarinas?


Ahli-ahli Pas digesa supaya menggunakan kuasa undi mereka dalam muktamar parti itu tahun ini untuk menjamin kelangsungan kepemimpinan ulama, sekali gus mengetepikan kumpulan Anwarinas.

Gesaan itu dibuat oleh wakil Dewan Ulama Pas Perak, Sidek Noor, sebagai tindak balas terhadap cubaan kumpulan Anwarinas yang dikatakan mahu mengguling kepemimpinan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya, pemimpin yang dipilih untuk mengisi jawatan tertinggi parti termasuk Ahli Jawatankuasa Pas Pusat adalah untuk membantu Abdul Hadi dan sekiranya gagal, mereka perlu disingkirkan menerusi undi.

Sidek Noor

“Dalam isu pemecatan bekas Menteri Besar Selangor (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim), saya kecewa apabila terdapat segelintir individu dalam Pas Pusat yang mendakwa kenyataan Presiden hanyalah pendapat peribadi beliau.

“Kita pilih Timbalan Presiden, Naib Presiden dan kesemua Ahli Jawatankuasa Pas Pusat untuk membantu Presiden tapi apa yang mereka buat ini langsung tidak membantu. Maka, mereka tidak layak memegang jawatan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahas ucapan Pemangku Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yakob, dalam majlis Multaqa Ulamak Semalaysia di Stadium Tertutup MPSJ, Serdang Jaya, dekat sini hari ini.

Penang Wasabi...

Tuesday, February 10, 2015

Kes Liwat : Anwar didapati bersalah?


PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan sebentar tadi memuktamadkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalah meliwat pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, tujuh tahun lalu.

Keputusan itu diumumkan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang mengetuai panel lima anggota terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Shariff serta hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Hukuman penjara lima tahun terhadap beliau dikekalkan, bermula hari ini.

Penang Wasabi..

Monday, February 9, 2015

Saiful Bukhari terima sebarang keputusan!


Mohd. Saiful Bukhari Azlan menerima sebarang keputusan yang akan dibuat oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat membabitkan Ke­tua Pembangkang, Anwar Ibrahim hari ini

Bekas pembantu pe­ribadi Anwar itu berkata, beliau berkeyakinan penuh bahawa Mahkamah Persekutuan akan memutuskan kes ini de­ngan bebas, seadil-adilnya mengikut undang-undang, bukti-bukti dan semua keterangan yang dikemukakan sepanjang perbicaraan.

Menurutnya, jika ditakdirkan keputusan tidak berpihak kepadanya, beliau akan tetap istiqamah dan mempersiapkan diri berhadapan dengan senario yang paling teruk.


Mohd. Saiful Bukhari, 30, menyatakan demikian dalam entri terbaharu dalam blognya, mohdsaifulbukhari.blogspot.com berhubung keputusan yang akan diumumkan oleh mahkamah tertinggi negara itu terhadap rayuan akhir Anwar bagi mengetepikan sabitan salah dan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Rayuan memutuskan demikian ketika mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari di sebuah kondominium di ibu negara pada 26 Jun 2008.

Mohd. Saiful Bukhari berkata, kes tersebut telah berlanjutan selama hampir tujuh tahun sejak Jun 2008.

Beliau turut mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada bapa, isteri, seluruh ahli keluarganya serta semua pihak yang secara langsung dan tidak langsung bersamanya selama ini.

Penang Wasabi..

Sunday, February 8, 2015

Sikap Guan Eng tidak berakhlak?


Sikap sombong ditunjukkan Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya, Lim Guan Eng kerana merendah-rendahkan kedudukan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang amat tidak wajar dan bakal meretakkan lagi hubungan dalam pakatan pembangkang.

Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad berkata, Guan Eng tidak sewajarnya mengarahkan Abdul Hadi berikutan kedudukan pemimpin tertinggi setiap parti dalam pakatan pembangkang adalah setara.

“Macam dia (Guan Eng) pula bos, mengarah-arahkan orang ma­cam murid sekolah. Dia kena ingat, pemimpin-pemimpin pakatan berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Jangan kerana dia Ketua Menteri Pulau Pinang, dia ingat dia sudah besar.

“Nasihat saya (kepada Guan Eng) adalah jangan merendah-rendahkan orang lain, jangan sombong, kurangkan sifat takbur dan besar diri supaya parti-parti dalam pakatan dapat berjalan seiring,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, di sini hari ini.

Semalam, Abdul Hadi menempelak Guan Eng yang mempertikaikan kehadirannya dalam mesyuarat kepimpinan pakatan pembangkang dengan menegaskan beliau bukan budak sekolah untuk menurut arahan pemimpin DAP itu.

Reaksi Presiden Pas itu ekoran peringatan Guan Eng kelmarin bahawa mesyuarat kepemimpinan pakatan pembangkang yang dijadualkan berlangsung Ahad ini tidak akan diteruskan jika Abdul Hadi tidak hadir.

Mahfodz Mohamad

Menurut Mahfodz, kenyataan sombong Guan Eng memperlakukan Abdul Hadi seolah-olah ‘budak sekolah’ dan perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku antara pemim­pin dalam pakatan pembangkang.

Katanya, dalam isu kehadiran mesyuarat kepimpinan pakatan pembangkang, perkara itu sudah mencukupi dengan surat jemputan dihantar kepada Presiden Pas dan tidak perlu diperbesar-besarkan.

“Mereka juga ada kata kalau hendak menang Putrajaya, Pas jangan fikirkan tentang hudud. Kalau kita menang sekalipun tetapi kita tidak dapat laksanakan hudud, bagi saya itu adalah melampau,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali, peringatan Abdul Hadi itu bersesuai­an kerana sejak akhir-akhir ini, Guan Eng bersikap tidak berakhlak dan sering kali merendah-rendahkan kedudukan Pas.

“Ingatan keras pada orang yang keras, ingatan yang lunak kepada orang yang lunak, akhir-akhir ini Guan Eng agak keras dan tidak berakhlak, jadi jawapan yang keras perlu diberikan,” katanya,

Katanya, pakatan pembangkang merupakan persefahaman antara tiga parti berbeza dan tiada mana-mana pihak yang mempunyai kedudukan lebih tinggi dalam pakatan itu.

“Dalam menentukan keha­diran, perlu ada perbincangan, tidak perlu ada mana-mana pihak yang cuba menunjukkan kuasa mereka memaksa mana-mana pihak untuk hadir, itu keadaan yang tidak baik untuk persefahaman dalam pakatan,” katanya.