~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Thursday, February 4, 2010

Krisis kepemimpinan Pulau Pinang buka mata rakyat: Muhyiddin

Krisis kepemimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng adalah suatu pengajaran yang membuka mata rakyat tentang ketidakupayaan pakatan pembangkang mentadbir negeri yang dimenanginya pada pilihan raya umum yang lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata krisis kepemimpinan Ketua Menteri itu di mana beliau telah dikecam secara terbuka pemimpin pakatan pembangkang negeri terbabit sudah mencapai tahap yang serius.

“Sudah terburai cerita dan ianya (kritikan) telah diungkap oleh pemimpin-pemimpin parti (pembangkang) sendiri. Sudah tentu ada asasnya dan menunjukkan betapa kepincangan kepimpinan Guan Eng di Pulau Pinang.

“(Krisis kepemimpinan) itu telah membuka mata rakyat Pulau Pinang dan negeri lain tentang kepemimpinan Guan Eng yang dikatakan sebagai kuku besi dan lain-lain lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majis pecah tanah stadium dan kompleks sukan Educity@Iskandar di Nusajaya hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno ditanya tentang kritikan keras yang dilemparkan pemimpin parti pembangkang terutamanya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) terhadap Lim, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang juga bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang melabelkan Lim sebagai diktator, cauvinis dan berfikiran komunis kerana sikapnya tidak suka dikritik.

Turut menyokong kenyataan Zahrain ialah seorang lagi pemimpin PKR, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng yang mendakwa Lim seorang yang angkuh dan harus disingkirkan daripada jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Muhyiddin berkata, walaupun pemimpin-pemimpin pembangkang menggelar mereka Pakatan Rakyat tetapi di masa yang sama mengetahui ideologi politik yang diamalkan mereka adalah bercanggah di antara satu sama lain.

Timbalan Perdana Menteri turut ditanya tentang tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengarahkan Pejabat Daerah Hulu Selangor memulangkan bayaran oleh Yayasan Melaka untuk menjelaskan tunggakan cukai tanah Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) di Serendah, Rawang.

Muhyiddin menyifatkan penolakan bayaran cukai tanah sebanyak RM5.5 juta oleh Khalid itu telah membuktikan bahawa Menteri Besar Selangor itu tidak mempunyai “perasaan ihsan.”

Beliau yang merasa amat kecewa dengan tindakan Menteri Besar Selangor itu turut menyifatkan Khalid sebagai seorang yang lebih mementingkan soal politik daripada usaha untuk membela golongan miskin.

“Bila ada orang hendak tolong, dia (Khalid) tolak. Ini adalah untuk faedah rakyat miskin di Selangor dan negeri lain. Pasal isu ini telah dipolitikkan, beliau (Khalid) tidak dapat jadi pengerusi (YBK), jadi (tanah) itu dibatalkan,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Khalid tidak perlu mempersoalkan dari mana datangnya duit untuk membayar cukai tanah itu, tetapi sebaliknya perlu menerimanya.

Mengenai tindakan bekas Pegawai Khas Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar yang dilaporkan telah mengeluarkan kata-kata yang berbaur perkauman pada satu majlis di Melaka baru-baru ini, Muhyiddin berkata “Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kecewa dengan perkara itu dan Nasir telah meletakkan jawatan.

“Ini (peletakan jawatan oleh Nasir) menunjukkan betapa seriusnya perkara itu. Parti amat bimbang dan beliau (Nasir) kesal dengan perkara itu, ia bukan dilakukan dengan sengaja,” katanya dan menurutnya Nasir ialah penyokong kuat Barisan Nasional (BN).

Penang Wasabi

No comments:

Post a Comment