Tindakan kerajaan negeri membatalkan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul yang dibuat setiap tahun amat dikesali.
Setiausaha Sekretariat Perhimpunan Melayu Pulau Pinang, Mohd. Nor Suhaili Jamali berkata, beliau kecewa dengan keputusan kerajaan negeri yang dilihat tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam
Tegas beliau, sebagai sebuah kerajaan yang mengamalkan konsep cekap, akauntabiliti dan telus (CAT) dalam pentadbiran, perkara itu sepatutnya tidak berlaku. ‘‘Kita kecewa dan kesal kerana walau apa pun alasannya, kerajaan negeri boleh membuat perancangan awal dan tidak mustahil ia dilakukan melalui sistem CAT yang mereka uar-uarkan selama ini.
‘‘Kalau alasan sambutan jatuh pada hari Jumaat dan khuatir tergesa-gesa untuk menunaikan solat jemaah, mereka boleh buat di Masjid Negeri dan kawasan masjid ini cukup luas dan mampu menampung jumlah orang yang ramai. ‘‘Jika alasan tiada bajet, berapa sen sangat untuk membeli sebungkus makanan dan minuman untuk para peserta perarakan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Difahamkan, mesyuarat jawatankuasa induk majlis sambutan Maulidur Rasul 1431 Hijrah/2010 Masehi peringkat negeri pada 3 Februari lalu memutuskan perarakan tersebut dibatalkan tetapi majlis perhimpunan ummah diteruskan di Dewan Sri Pinang.
Pekeliling mengenai perkara itu telah diedarkan kepada semua ketua jabatan, ketua badan berkanun dan ketua pengurusan pihak berkuasa tempatan. Difahamkan, alasan yang diberikan adalah kerajaan negeri mahu membuat kelainan pada sambutan kali ini.
Selain itu, pada tahun ini juga kerajaan negeri tidak memilih mana-mana individu sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul. Dalam pada itu Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Abdul Malik Kassim ketika dihubungi memberitahu, beliau akan memberikan maklumat mengenai perkara itu dalam tempoh terdekat. ‘‘Saya akan mengumumkan maklumat terperinci sedikit masa lagi,” katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
Sementara itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang menerusi laman webnya memaparkan atur cara majlis perhimpunan ummah yang bermula pada pukul 8 pagi sehingga 11.30 pagi. Antara yang bakal diadakan adalah bacaan al-Quran, persembahan nasyid, pelancaran program e-Munakahat dan forum perdana.
Tahun lalu, perarakan sempena Maulidur Rasul sejauh 2.6 kilometer disertai kira-kira 3,000 orang dari 50 kontinjen bermula di Jalan Padang Kota Lama melalui Lebuh Light, Pangkalan Weld dan Lebuh Chulia sebelum berakhir di Dewan Sri Pinang.
Pada 2008 pula, lebih 2,000 orang membabitkan 36 kontinjen berarak sejauh lima kilometer melalui Jalan Masjid Kapitan Keling, Lebuh Chulia, Lebuh Pantai, Jalan Pesara King Edwards, Jalan Tun Syed Barakbah dan Jalan Padang Kota Lama.
Rakyat P. Pinang perlu buka mata
Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu penduduk Islam di Pulau Pinang ‘membuka mata’ terhadap sikap sebenar kerajaan negeri pimpinan DAP apabila bertindak membatalkan perarakan sambutan Maulidur Rasul yang secara tradisinya diadakan setiap tahun.
Sambil mempersoalkan tindakan itu Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan Pulau Pinang terutama Ketua Menterinya, Lim Guan Eng nampaknya mula mempraktikkan satu sikap baru iaitu mereka enggan mendukung cita-cita serta hasrat yang membabitkan kepentingan umat Islam.
“Saya mahu bertanya kepada kerajaan Pulau Pinang khususnya Guan Eng. Adakah dia mahu menunjukkan satu sikap baru bahawa dia tidak lagi bersama mendukung hasrat dan cita-cita umat Islam di negeri berkenaan?
‘‘Jika Guan Eng kata tidak, lebih baik dia benarkan perarakan ini diadakan. Apa yang Guan Eng bimbangkan sangat? Pasal keselamatan? Setakat ini tidak pernah pula kita mendengar perarakan Maulidur Rasul boleh mengancam keselamatan,’’ katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis pembukaan cawangan Ar-Rahnu X’Change Koperasi Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) di Cheras Maju dekat sini, hari ini.
Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia berhubung tindakan kerajaan Pulau Pinang membatalkan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul yang sebelum ini diadakan setiap tahun.
Setiausaha Sekretariat Perhimpunan Melayu Pulau Pinang, Mohd. Nor Suhaili Jamali ketika mendedahkan perkara itu berkata, beliau kecewa dengan keputusan kerajaan negeri yang dilihat tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam.
Usaha halus lenyap kebangkitan syiar Islam
Tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang yang dikuasai DAP membatalkan perarakan Maulidur Rasul didakwa sebagai satu usaha halus untuk melenyapkan kebangkitan syiar Islam di negeri itu.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, perkara itu merupakan satu penghinaan dan amat mencabar kesabaran seluruh umat Islam. "Tindakan itu juga jelas membuktikan bahawa kerajaan negeri yang dikuasai DAP itu bersikap rasis dan anti-Islam.
"Ketua Menteri, Lim Guan Eng harus bertanggungjawab dalam hal ini dan dia tidak ada alasan munasabah untuk membatalkan perarakan Maulidur Rasul yang lazimnya diadakan setiap tahun," katanya.
Syed Ali yang merupakan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata demikian dalam entri bertajuk Batalkan Perarakan Maulidur Rasul; DAP Pulau Pinang Anti-Islam yang disiarkan laman blognya http://umnobahagiancheras.blogspot.com.
Sementara itu, Syed Ali turut mendakwa tindakan berpunca daripada kebimbangan Guan Eng terhadap kebangkitan rakyat khususnya umat Islam di Pulau Pinang yang akhirnya akan menggugat kedudukan beliau.
Beliau melahirkan rasa kesal kerana yang menjadi mangsa ialah umat Islam di Pulau Pinang apabila secara tidak langsung telah dinafikan hak mereka untuk mengadakan perarakan sempena hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Katanya, keputusan kerajaan negeri DAP itu nyata berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO yang tidak pernah menghalang penganut pelbagai agama untuk merayakan hari kebesaran masing-masing. "DAP kini hanya berkuasa di Pulau Pinang tetapi sudah berani menindas umat Islam, bayangkan apa akan jadi jika mereka menguasai negara ini pada pilihan raya umum akan datang," katanya.
"DAP sudah mencabuli sensitiviti umat Islam dan kita tunggu apa reaksi pemimpin Islam khususnya daripada Pas berhubung tindakan melampau DAP itu. "Saya juga mencabar Exco kerajaan negeri yang menjaga portfolio agama Islam supaya memberi penjelasan terbuka berhubung perkara itu," tegasnya.
Penang Wasabi
Guan Eng nafi batal perarakan Maulidur Rasul
ReplyDeleteGEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini menafikan dakwaan kononnya tiada perarakan Maulidur Rasul di negeri itu tahun ini, sebaliknya menyatakan pelbagai program diatur selama empat hari berturut-turut mulai 25 Februari sempena sambutan itu.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkata kerajaan negeri tidak pernah membuat sebarang pengumuman mengenai perkara itu.
"Kami terkejut dengan kenyataan palsu itu dan kerajaan negeri serta Jabatan Agama Islam sebenarnya telah merancang mengenai pelbagai program sempena sambutan ini tiga bulan lalu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Lim mengulas laporan Utusan Malaysia semalam yang memetik Setiausaha Sekretariat Perhimpunan Melayu Pulau Pinang, Mohd Nor Suhaili Jamali, yang mendedahkan kerajaan negeri Pulau Pinang membatalkan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul yang sebelum ini diadakan setiap tahun.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Abdul Malik Abdul Kassim, berkata sambutan Maulidur Rasul akan bermula dengan majlis bacaan Yasin dan tahlil di semua masjid di seluruh negeri pada malam 25 Februari.
Katanya, perarakan Maulidur Rasul pula akan diadakan pada 26 Februari bermula 7 pagi di Padang Kota dan berakhir di Dewan Sri Pinang dan Timbalan Ketua Menteri 1, Mansor Othman, dijadual menyertai perarakan itu.
"Antara aktiviti lain yang akan diadakan ialah Perhimpunan Ummah di Dewan Sri Pinang, pameran ketamadunan Islam dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jabatan Mufti Negeri dan Majlis Bacaan Kitab Sirah Nabi Muhammad SAW pada 27 dan 28 Februari di Masjid Negeri," katanya.
http://tunjanglangit.blogspot.com/2010/02/isu-perarakan-maulidur-rasul-di-p.html
ReplyDeletehttp://pemudapadangrengas.blogspot.com/2010/02/spin-dari-melaka-ke-pulau-pinang-jauh.html
ReplyDelete