~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Sunday, February 14, 2010

Dewan Peniagaan Melayu cabar berdebat!

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang (DPMMPP) mencabar Ketua Menteri, Lim Guan Eng berdebat secara terbuka mengenai sistem pentadbiran kerajaan negeri yang dilihat menindas orang Melayu dalam pelbagai aspek. Yang Dipertuanya, Rizal Faris Mohideen berkata, beliau juga sedia melakukannya secara langsung menerusi televisyen supaya dapat ditonton di seluruh negara.

Selain itu, beliau juga sanggup meletakkan jawatannya jika gagal membuktikan kerajaan negeri mengabaikan nasib orang Melayu. "Kalau saya gagal dalam debat ini, saya berani letak jawatan. "Namun, kalau dia (Guan Eng) yang gagal, dia juga kena berani lepaskan jawatan Ketua Menteri," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Isu pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Guan Eng yang tidak prihatin terhadap nasib orang Melayu hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini. Antaranya tindakan merobohkan gerai peniaga Melayu dan terbaru pembatalan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul.

Menurut Rizal Faris, Guan Eng kini semakin angkuh serta tidak mahu mendengar pandangan pihak lain. Katanya, seluruh rakyat perlu tahu keadaan sebenar yang berlaku di Pulau Pinang dan membuat penilaian mengenainya.

Sementara itu Khairy desak Guan Eng beri penjelasan

Penafian Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung laporan Utusan Malaysia kelmarin mengenai pembatalan perarakan sambutan Maulidur Rasul di negeri itu mula menjerat leher sendiri.

Ia ekoran pendedahan surat bertarikh 5 Februari yang ditandatangani Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Muhammad Yusoff Wazir, mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri yang dengan jelas menyatakan bahawa majlis perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul dibatalkan dan diteruskan dengan Majlis Perhimpunan Ummah pada 26 Februari.

Sehubungan itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin meminta penjelasan daripada Guan Eng mengenai kesahihan surat berkenaan yang menurutnya turut dimuat naik ke laman web Jabatan Hal Ehwal Agama Pulau Pinang (JHEAPP).

"Pemuda UMNO menyambut baik kenyataan Guan Eng bahawa sambutan (Maulidur Rasul) kali ini akan dilaksanakan selama tiga hari berturut-turut bermula daripada 25 Februari 2010.

"Namun, Pemuda UMNO ingin bertanya kepada Guan Eng kesahihan salinan surat dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menyatakan Jawatankuasa Induk Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Pulau Pinang memutuskan untuk membatalkan perarakan tradisi Maulidur Rasul dalam mesyuaratnya 3 Februari lalu.

"Guan Eng harus menjelaskan perkara ini dengan telus dan jujur sebagaimana cogan kata bagi pentadbiran beliau yang menjurus kepada tema Cekap, Akauntabiliti dan Telus," katanya dalam laman blog beliau http://www.rem bau.net.my/.

Menurut Khairy sekiranya laporan itu benar, pembatalan perarakan itu yang merupakan amalan tradisi bagi seluruh Umat Islam di negara ini, adalah satu penghinaan kepada agama Islam dan juga umat Islam di Pulau Pinang.

"Pembatalan tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana ia seakan menidakkan kehendak rakyat Pulau Pinang beragama Islam berarak bagi menzahirkan rasa kasih dan sayang kepada Rasulullah.

"Malah ia juga adalah satu gambaran yang langsung tidak memahami dan menghormati sensitiviti masyarakat majmuk dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Malaysia," ujarnya.

Ketua Menteri diminta dedah minit mesyuarat

Lim Guan Eng dicabar mendedahkan minit mesyuarat Jawatankuasa Induk Majlis Maulidur Rasul 1431 Hijrah/2010 Masihi peringkat negeri yang membatalkan perarakan sempena sambutan tahunan itu.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, terdapat bukti yang mengesahkan laporan Utusan Malaysia semalam berhubung keputusan mesyuarat tersebut yang mahu supaya agenda perarakan sambutan Maulidur Rasul dibatalkan.

Tegas beliau, keputusan membatalkan perarakan itu dibuat dalam dua mesyuarat yang dipengerusikan oleh Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Abdul Malik Kassim pada 19 Januari dan 3 Februari lalu.

''Jadi kita minta Guan Eng dedahkan minit kedua-dua mesyuarat tersebut dan kita mahu tengok siapa sebenarnya yang berbohong, Utusan Malaysia atau Guan Eng," katanya di sini hari ini.

Utusan Malaysia Jumaat lalu menyiarkan laporan mengenai tindakan kerajaan Pulau Pinang membatalkan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul yang sebelum ini diadakan setiap tahun.

Guan Eng yang dipetik portal berita propembangkang, The Malaysian Insider hari ini bagaimanapun menafikan laporan itu yang disifatkannya satu pembohongan sambil menegaskan bahawa perarakan bagi sambutan itu akan diteruskan.

Portal berita itu memetik Setiausaha Agung DAP itu sebagai berkata, media arus perdana sengaja membelakangkan berita atau tidak melaporkan perkara yang sebenar mengenai Pulau Pinang.

Musa berkata, Guan Eng tidak sepatutnya berdolak-dalik cuba menyembunyikan kebenaran kerana mesyuarat tersebut dihadiri ramai pihak termasuk wakil-wakil agensi kerajaan negeri sendiri.

''Malah, ada pihak yang hadir mesyuarat mempersoalkan keputusan (membatalkan perarakan) itu tetapi kerajaan negeri tetap berkeras dengan alasan mahu membuat perubahan dalam sambutan Maulidur Rasul kali ini.

''Mereka yang datang (mesyuarat) bukan seorang dua tapi ramai termasuk wakil agensi kerajaan negeri sendiri. Jadi macam mana Guan Eng boleh kata ini satu pembohongan?'' katanya.

Beliau berkata, bantahan terhadap pembatalan perarakan itu adalah pengajaran kepada Guan Eng bahawa orang Melayu masih mempunyai sensitiviti yang tinggi lebih-lebih lagi apabila ia menyentuh soal agama Islam.

''Kerajaan negeri telah membuat satu tindakan yang tidak betul, jadi surat khabar siarkan tapi lepas itu nafi dan tuduh pula (akhbar) berbohong. Kita minta dia (Guan Eng) hentikanlah sikap suka salahkan orang lain, ia cukup memuakkan," katanya.

Sementara itu katanya, UMNO Bahagian Bukit Mertajam bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) sekitar kawasan itu akan tetap mengadakan perarakan sambutan Maulidur Rasul walaupun ia tidak diadakan di peringkat negeri.

Tidak memahami sejarah - Reezal

Lim Guan Eng disifatkan berniat jahat, berfikiran dangkal dan tidak memahami sejarah apabila memutuskan agar perarakan Maulidur Rasul di negeri itu dibatalkan. Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, perkara sedemikian tidak pernah berlaku sebelum ini ketika Pulau Pinang diperintah Barisan Nasional (BN).

"Semasa BN memerintah semua agama dilayan sama rata, Gerakan yang menerajui kerajaan negeri tidak pernah melarang umat Islam Pulau Pinang melaksanakan perarakan tersebut malah amat memahaminya. "Ia merupakan satu penghinaan yang amat besar kepada umat Islam, bukan sahaja di negeri itu, malah seluruh negara," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Reezal mengulas gesaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu penduduk Islam di Pulau Pinang 'membuka mata' terhadap sikap sebenar kerajaan pimpinan DAP apabila bertindak membatalkan perarakan sambutan Maulidur Rasul tahun ini.

Sambil mempersoalkan tindakan tersebut, Muhyiddin berkata, Guan Eng nampaknya mula mempraktikkan satu sikap baru dengan enggan mendukung cita-cita serta hasrat yang membabitkan umat Islam.

Dalam pada itu, jelas Reezal, sekiranya kerajaan Pulau Pinang menganggap perarakan tersebut mengancam keselamatan bagaimana pula dengan perarakan perayaan bagi kaum lain. "Kita ambil contoh, ketika pertubuhan haram Hindraf mengadakan demonstrasi dahulu, kerajaan tidak pula mengambil tindakan menghalang perarakan Thaipusam.

"Jadi ia jelas menunjukkan beliau (Guan Eng) sendiri yang berniat jahat, bersifat cauvinis serta jelas mendedahkan kelemahan dirinya sendiri," katanya. Tambah Reezal, Guan Eng tidak layak bergelar Ketua Menteri Pulau Pinang kerana menimbulkan isu sensitif tersebut dan gagal memahami keadaan sebenar serta kehendak rakyat negeri itu.

Dalam pada itu, Reezal turut mempersoal apakah tindakan yang akan diambil oleh sekutu DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas yang sehingga kini masih berdiam diri berhubung isu tersebut. "Jangan terus jadi dayus politik, terutamanya yang duduk dalam barisan Exco negeri, apakah tindakan mereka (Pas, PKR) untuk menyelesaikan isu ini?, " ujarnya.

Katanya, Pas dan PKR jangan terlalu pentingkan undi rakyat bukan Islam semata-mata dan bertindak 'menutup mata' apabila berlaku pekara sebegini terhadap umat Islam.
"Apa-apa pun saya harap umat Islam di Pulau Pinang akan tetap meneruskan perarakan serta aktiviti pada hari tersebut dan jangan hiraukan mereka (kerajaan negeri)," katanya.

Penang Wasabi

No comments:

Post a Comment