GONG Xi Fa Cai! Sebelum itu maaflah kerana tidak menggunakan tajuk dalam bahasa Melayu. Bukan tujuan nak ketepikan bahasa Melayu tetapi sekadar sempena Tahun Baru Cina dan isu politik yang melanda Pulau Pinang. Minggu ini tiada lagi kisah Tiga Abdul. Kalaulah Tan Sri P. Ramlee masih hidup, tidak pasti sama ada Tiga Abdul akan disambung.
Tidak diketahui apakah kesudahan nasib Kassim Patalon atau Tuan Penasihat yang dilelong untuk dijadikan hamba. Siapakah agaknya yang akan membeli Tuan Penasihat? Tetapi sekadar menyelak kembali kesudahan kisah tersebut, Abdul Wahub telah menebus maruah abangnya Abdul Wahab dan Abdul Wahib serta bapa mentuanya Sadiq Segaraga yang dilelong.
Minggu ini, suhu politik memang panas seperti cuaca panas di ibu kota. Lebih-lebih lagi yang melibatkan PKR dan DAP. Disebabkan tidak puas hati terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (LGE), ahli Parlimen Bayan Baru, Zahrain Mohamed Hashim keluar PKR.
Bagaimanapun LGE menyifatkan tindakan bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang itu sebagai menjaga kepentingan individu dan peribadi.
LGE berkata, keretakan antara beliau dan anggota Parlimen Bayan Baru itu berpunca apabila Zahrain gagal mendapatkan kelulusan tender bernilai RM40 juta untuk mengurus projek Bukit Jambul Golf Resort.
“Saya rasa punca utama beliau letak jawatan ialah gagal dapat projek itu. Adakah saya diktator jika saya tidak beri kelulusan tender berjuta-juta itu kepada syarikat “dua ringgit” itu?” kata LGE.
Apa pun, Zahrain telah mengeluarkan pelbagai kenyataan mengenai LGE. Semuanya buruk. Tidak ada perkataan baik melainkan yang ‘buruk’ diucapkan oleh Zahrain bagi menggambarkan siapakah LGE pada pandangannya iaitu sebagai diktator, cauvinis dan berfikiran bahaya.
Dan satu petikan menarik yang diluahkan oleh Zahrain ketika mengumumkan keluar PKR ialah beliau tidak mahu generasi akan datang melihatnya sebagai ‘‘sebahagian daripada gerombolan yang menjahanamkan negara, bangsa dan agama Islam’’. Syukurlah!
LGE atau DAP bukan sekadar diserang oleh seorang ahli Parlimen PKR tetapi juga oleh Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Wee Choo Keong (Wangsa Maju). Tee Beng secara terbuka mengkritik kepimpinan LGE dan menyifatkan Setiausaha Agung DAP itu sebagai pemimpin berat sebelah dan tidak menghiraukan pandangan rakan-rakannya dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Choo Keong pula yang pernah menjadi pemimpin kanan DAP turut mengkritik parti itu. Baginya PKR telah dianak tiri oleh pemimpin DAP.
Seorang lagi anggota PKR, Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu) pula menyifatkan pakatan pembangkang tidak memerlukan DAP. Beliau menyifatkan DAP sebagai punca utama masalah dalaman pakatan pembangkang atau lebih tepat ibarat ‘duri dalam daging’.
Semuanya menghalakan ‘peluru’ ke arah DAP khususnya LGE yang kini dilihat sebagai mula menunjukkan kuasa di Pulau Pinang. Jika empat orang anggota Parlimen PKR berani mengkritik DAP secara terbuka apakah kesudahannya episod ini? Adakah pakatan pembangkang akan terus mempertahankan LGE?
Terserah kepada Pas dan PKR untuk menentukannya kerana walau apa pun kritikan yang dilontarkan, pakatan pembangkang masih mengharapkan antara satu sama lain.
Kata Naib Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw: ‘‘Bila penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim naik mahkamah, DAP jugalah yang membela, bukankah Karpal itu Pengerusi DAP? Sesiapa yang masih cakap kita tidak ‘ngam’ saya tak tahulah, saya tak nampak dari sudut mana kita tidak ngam’’.
Naib Presiden Pas, Mahfuz Omar pula menyifatkan kenyataan Zulkifli itu tidak perlu dilayan. Sebaliknya beliau berkata, Pas, PKR dan DAP akan mengukuhkan kerjasama bagi menentang musuh politik yang sama iaitu UMNO.
Mengenai hubungan Pas, PKR, DAP ini, biarlah pemimpin parti politik itu menentukannya. Masing-masing mempunyai pengalaman dalam politik. Dulu lain sekarang lain. Jika dulu tidak serasi, kini boleh diserasikan. Jika dulu tidak ngam, sekarang dah ngam. Buktinya ketika menyelak surat khabar lama semalam, penulis tersenyum apabila terbaca tajuk berikut: Anwar: DAP amal ‘dasar cincang’ dan Anwar: Pimpinan seperti DAP tidak diperlukan’. Tak apalah itu cerita lama. Dalam politik segala-galanya boleh berubah. Hari ini kita bermusuh, esok kita berkawan.
Satu lagi perkara yang tiba-tiba muncul dalam ingatan setelah melihat LGE diasak hebat ialah ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) 1995.
Ketika itu di Pulau Pinang, dalam kempen PRU tiba-tiba muncul poster Lim Kit Siang (LKS) yang tertulis Chief Minister With Power (Ketua Menteri Dengan Kuasa). Lebih menarik apabila ada pula patung Robocop yang di atas dadanya tertulis perkataan Tanjung III - kempen habis-habisan DAP untuk merampas Pulau Pinang daripada kerajaan Barisan Nasional. Begitulah hebatnya kempen yang diatur ketika itu bagi menyerang Cu Kun (Dr. Koh Tsu Koon) yang dikatakan boh kian (tiada kuasa).
Bagaimanapun akhirnya kempen seumpama itu memakan diri apabila DAP gagal dalam episod Tanjung III. DAP hanya menang satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga kerusi Parlimen di Pulau Pinang. LKS tewas teruk kepada Tsu Koon di DUN Tanjung Bungah. Kesudahannya, LKS membuat keputusan untuk bersara daripada politik. Bagaimanapun atas desakan parti, beliau melupakan ucapan selamat tinggal politik dan meneruskan perjuangan.
LKS cuba bangkit semula pada 1999 tetapi tewas di kerusi Parlimen dan DUN. Beliau kemudiannya berpindah ke Perak dan pada masa yang sama hasrat dan impian untuk menawan Pulau Pinang tidak dilupakan. Akhirnya LGE berjaya merealisasikan impian LKS apabila pada PRU lalu, DAP dan PKR menguasai kerusi DUN dan Parlimen di Pulau Pinang. Kini hasrat LKS tertunai sudah. Pastinya apa yang diimpikan akan dilaksanakan.
Bagaimanapun masih banyak ranjau yang terpaksa dilalui oleh LGE yang akan menyambut ulang tahun kedua pemerintahan Pulau Pinang bulan depan. LKS pula yang akan menyambut ulang tahun kelahiran Sabtu ini juga mungkin gelisah melihat perkembangan yang berlaku di Pulau Mutiara itu. Isu terkini tentulah bagaimana satu keputusan yang dikatakan cadangan untuk tidak mengadakan perarakan Maulidur Rasul boleh menjadi satu pekeliling yang diedarkan kepada ketua jabatan.
Dan apabila Utusan Malaysia mendedahkan isu ini pada 12 Februari, pada hari yang sama, perarakan itu diadakan semula. Apakah ini gaya baru dalam sesuatu keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri di Pulau Pinang? Kalau begitu macam iklan biskut...sekejap ada sekejap tidak ada!
Penang Wasabi
No comments:
Post a Comment