~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Saturday, February 6, 2010

Betul ke 'Pakatan Kian Rapuh' !

'PAKATAN Rapuh' (PR), 'Parti Kian Rapuh' (PKR) - inilah dua istilah yang mungkin layak untuk menggambarkan pelbagai kekalutan dalam pakatan pembangkang yang disertai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas.

Tahun 2010 atau lebih tepat lagi menjelang dua tahun pakatan berkenaan diwujudkan sejak Mac 2008, kesepakatan yang dicapai atas dasar untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) mula menunjukkan tanda-tanda keretakan yang boleh menjuruskan kepada perpecahan.

Perbezaan ideologi, perasaan ingin menjadi parti dominan dan hasrat mahu menunjukkan siapa lebih berkuasa telah memungkinkan pergolakan berlaku dalam pakatan yang baru berusia setahun jagung itu.

Sama ada hendak diakui atau tidak, dalam konflik yang berlaku, PKR - sebuah parti yang ditubuhkan atas semangat dendam dan marah pada tahun 1999 - paling merasai tempiasnya.

Sementara Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang bertarung di mahkamah atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, pemimpin-pemimpin PKR bukan sahaja bertelagah sesama sendiri malahan bergelut dengan pemimpin DAP dan sudah ada yang mula mengundurkan diri.

PKR menerima tamparan awal apabila Datuk Salehuddin Hashim meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung parti pada 7 Januari lalu. Kira-kira dua minggu kemudian PKR Selangor pula dilanda pergolakan apabila bahagian parti itu dibubarkan selepas 13 ahli jawatankuasa meletakkan jawatan.

Ia dilakukan kerana tidak berpuas hati dengan Tan Sri Khalid Ibrahim yang bukan sahaja Ketua Bahagian malah Menteri Besar Selangor.

Situasi di dalam PKR menjadi semakin 'panas' apabila Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin membuat laporan polis ke atas Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad atas dakwaan terus mengeluarkan kenyataan memperlekehkan Islam.

Dua hari selepas tindakan Zulkifli, Ahli Parlimen Indera Mahkota juga daripada PKR, Azan Ismail mengumumkan peletakan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi PKR Pahang.

Belum pun sempat PKR menangani semua kekalutan yang dianggap 'hadiah tahun baru 2010', di Pulau Pinang pula tercetus apa yang dianggap 'api dalam sekam yang mula memercikkan apinya'.

Ia berikutan tindakan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang mendakwa Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng seorang cauvinis, diktator dan berfikiran bahaya serta meminta PKR mengkaji kerjasama dengan DAP.

Ketika Zahrain berhadapan tindakan disiplin muncul pula rakan partinya iaitu Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng yang mendedahkan kepincangan kepimpinan Guan Eng dan mendakwa Ketua Menteri Pulau Pinang itu melayan PKR seperti anjing.

Ternyata sekali sama ada Zahrain, Tee Beng mahupun Zulkifli masing-masing bersedia menanggung apa juga risiko semata-mata demi menyatakan kebenaran.

Apa yang berlaku dalam pakatan pembangkang ini sememangnya sudah diramalkan. Malahan ramai penganalisis politik sebelum ini sudah menyatakan bahawa pakatan tersebut tidak akan bertahan lama.

Ramalan itu sudah menjadi kenyataan, DAP semakin menunjukkan 'taringnya' untuk menjadi 'taiko' dalam pakatan tanpa mempedulikan PKR dan Pas, manakala dalam masa yang sama soal memperjuangkan Islam terus menjadi 'halangan terbesar' kepada kesepakatan pembangkang.

Ini jelas apabila Zulkifli dikenakan tindakan disiplin semata-mata kerana ketegasan beliau dalam mempertahankan pendirian bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam.

Dalam masa yang sama, DAP mulai besar kepala kerana memahami bahawa PKR dan Pas tidak akan berupaya menyaingi kekuatan mereka.

Sebab itulah walaupun berkawan baik dengan PKR dan memerintah Pulau Pinang dengan kerjasama parti tersebut, namun ia hanyalah di atas kertas. Jika pendedahan Tee Beng diambil kira adalah jelas PKR hanya menjadi mangsa mainan politik dominan DAP.

Walaupun Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution mengatakan bahawa Guan Eng boleh dikenakan tindakan oleh pakatan pembangkang jika dakwaan yang dibuat oleh ahli-ahli Parlimen PKR adalah benar tetapi persoalannya 'ada beranikah?

Ia kerana yang menguasai pakatan pembangkang bukannya PKR atau Pas tetapi DAP, beranikah pemimpin-pemimpin kedua-dua parti itu mengambil tindakan ke atas Setiausaha Agung DAP tersebut? Oleh itu tidak perlulah Saifuddin membuat kenyataan yang dilihat sekadar ingin menunjukkan ketegasan. Sampai bila pun PKR atau Pas tidak akan berani bertindak ke atas pemimpin-pemimpin DAP. Itulah hakikatnya.

Di Selangor pula, kedudukan PKR semakin rapuh apabila berlaku krisis dalaman yang menyaksikan populariti Khalid semakin merudum bukan sahaja di kalangan rakyat malahan pemimpin-pemimpin PKR sendiri.

Penulis difahamkan telatah Khalid terutamanya dalam isu tanah Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor telah mula menimbulkan perasaan muak di kalangan pemimpin-pemimpin PKR.

Ia disebabkan mereka melihat tindakan itu hanya akan merugikan masa depan orang Melayu memandangkan YBK ditubuhkan demi membela nasib orang miskin dan anak yatim.

Apa pun keadaannya sudah pastilah segala kemelut dan gejolak yang sedang berlaku dalam pakatan pembangkang terutamanya melibatkan PKR dan DAP membuatkan Pas tidak tidur lena.

''Pas semakin gelisah kerana krisis yang berlaku antara kedua-dua parti itu boleh menjejaskan kekuatan pembangkang.

''Kita bimbang kalau semua itu berlanjutan ia boleh menyebabkan gabungan pembangkang yang berusia tidak sampai setahun jagung itu akan runtuh,'' kata seorang pemimpin Pas di sebuah negeri di utara.

Malahan sudah ada tafsiran bahawa Pas pun tidak akan terlepas daripada berkonflik bersama PKR atau DAP kerana pada masa ini terdapat tindakan kedua-dua parti itu yang dikatakan benar-benar tidak menyenangkan Pas.

Bagaimanapun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dilihat begitu sepi daripada arena politik negara tetap mahu mengamalkan sikap tunggu dan lihat.

Pas sememangnya mahu berhati-hati dalam tindakannya kerana tidak mahu sebarang kenyataan yang dibuat boleh memburukkan lagi keadaan.

Tetapi hakikatnya, apa yang dilakukan oleh Pas itu tidak akan meredakan konflik dalam pakatan pembangkang sekarang. Sebaliknya kalau pun Pas tidak mahu campur tangan, mereka mungkin hanya mampu sekadar menjadi pemerhati kepada perbalahan PKR dan DAP.

Jika perbalahan itu berlanjutan maka Pas juga akan turut tersungkur kerana ia memberikan isyarat yang jelas kepada rakyat bahawa dalam apa juga situasi sekalipun adalah mustahil tiga buah parti yang mempunyai ideologi berbeza mampu duduk dalam satu pakatan.

Kesimpulan, segala konflik yang terjadi dalam pakatan pembangkang jelas membuktikan inilah akibatnya jika sebuah gabungan itu diwujudkan hanya semata-mata ingin merebut kuasa.- UM

Penang Wasabi

No comments:

Post a Comment