~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Tuesday, February 16, 2010

Kenapa Guan Eng berani?

Kelmarin seorang Ahli Parlimen pembangkang daripada Pas di Kedah menghantar satu kenyataan media yang mempertikaikan langkah media memainkan isu pembatalan perarakan Maulidur Rasul di Pulau Pinang. Ia mengaitkan pembatalan itu dengan isu seorang Setiausaha Politik menteri yang ditahan kerana didakwa rasuah.

Walaupun mewakili sebuah parti Islam tetapi bahasa yang digunakan dalam kenyataan itu agak kasar. Beliau mempertahankan kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah kepimpinan Lim Guan Eng, seolah-olah Setiausaha Agung DAP itu seorang pemimpin yang 'suci murni' dan apa juga yang dilakukannya adalah betul.

Di dalam blog Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bahru, Zulkifli Noordin pula, beliau dikecam apabila di dalam entrinya bertajuk 'Musang berbulu ayam,' beliau membidas Guan Eng dalam isu perarakan Maulidur Rasul. Zulkifli menggesa semua orang Melayu dan umat Islam terutamanya di Pulau Pinang berani menyatakan kebenaran dengan menentang apa yang dilakukan oleh Guan Eng.

Tetapi Zulkifli tidak disokong. Di dalam hampir 70 komen yang diterima dalam entrinya, hampir 95 peratus daripadanya menghentam beliau habis-habisan. Pengirim komen itu yang penulis yakin kesemua Melayu beragama Islam bukan sahaja menuduh Zulkifli sebagai ejen UMNO dan Barisan Nasional (BN), malah mereka membela Guan Eng habis-habisan. Mereka turut mengecam Utusan Malaysia dengan pelbagai gelaran.

Sebelum ini, kita sudah dengar bagaimana Penasihat PKR, Anwar Ibrahim mengarahkan Zulkifli dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dihadapkan ke jawatankuasa disiplin kerana mengkritik kepimpinan Guan Eng.

Bagi Anwar, apa pun yang dilakukan oleh Guan Eng di Pulau Pinang adalah betul dan tiada mana-mana pihak di dalam pembangkang boleh mengkritik Ketua Menteri Pulau Pinang itu sesuka hati, biarpun apa yang diketengahkan adalah semata-mata demi memperjuangkan hak Melayu dan umat Islam.

Oleh kerana sikap Anwar inilah, Zahrain akhirnya membuat keputusan untuk meninggalkan PKR dan mengisytiharkan diri sebagai Ahli Parlimen bebas. Beliau membuat tindakan itu kerana mengekalkan pendiriannya bahawa Guan Eng adalah seorang cauvinis dan berfikiran bahaya.

Langkah Zahrain itu telah menimbulkan perasaan tidak puas hati kepada sesetengah pemimpin Pas. Ini jelas apabila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengesa Zahrain meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Bayan Baru kerana dianggap mengkhianati amanah yang diberi oleh rakyat di kawasannya.

Bagi Nik Abdul Aziz dan beberapa pemimpin DAP serta PKR, jika ada wakil rakyat pembangkang keluar dari pakatan itu, ia satu pengkhianatan kepada rakyat tetapi apabila ada wakil rakyat BN 'melompat' ke dalam pembangkang ia demi kepentingan rakyat.

Namun apa yang ingin penulis perkatakan di sini adalah bagaimana Guan Eng menjadi begitu berani melakukan apa juga tindakan di Pulau Pinang biarpun ia menyentuh sensitiviti orang Melayu dan Islam. Ia kerana beliau memahami bahawa di luar sana akan ada orang Melayu dan pemimpin Melayu yang akan membela serta mempertahankannya.

Bayangkanlah dalam isu pembatalan perarakan Maulidur Rasul tersebut, kita berbalah sesama sendiri sama ada ia wajib atau sunat, malah ada pemimpin Pas menganggap kenapa perlu dihebohkan kerana sudah banyak negeri tidak mengadakan perarakan itu. Tiada pemimpin pembangkang yang menegur Guan Eng untuk menyatakan tidak kira ia wajib atau sunat, tetapi kalau sudah menjadi amalan di Pulau Pinang, perarakan itu harus dibenarkan.

Begitu juga dalam blog-blog yang mempertahankan Guan Eng. Bagi mereka (yang sudah tentunya Melayu dan Islam) apa yang berlaku adalah permainan media yang tidak boleh dipercayai. Mereka menganggap bukankah Guan Eng ingin mengikut kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz, sudah tentu beliau akan berlaku adil kepada semua kaum. Oleh itu, biarpun Guan Eng sudah melakukan pembohongan tetapi bagi mereka ia hanyalah propaganda media bagi memburukkan kerajaan Pulau Pinang, Guan Eng dan DAP.

Demikianlah ketaksuban politik yang ada di kalangan sesetengah orang Melayu dan pemimpin politik Melayu. Mereka sudah tidak mahu lagi melihat kebenaran dan pentingnya orang Melayu serta umat Islam senada apabila berhadapan dengan situasi isu yang menyentuh kepentingan kaum mereka.

Golongan seumpama ini seolah-olah dibutakan dengan ketaksuban berpolitik dan dipekakkan dengan kebencian yang mendalam terhadap UMNO dan BN sehinggakan kalau pun ada apa juga isu yang dilihat menyebelahi parti itu, biarpun ia berkaitan dengan umat Islam dan orang Melayu maka mereka akan menentang habis-habisan. Mereka lebih rela menyokong pemimpin bukan Melayu asalkan kepentingan politik terpelihara.

Sikap seperti inilah memberi keyakinan kepada Guan Eng dan pemimpin-pemimpin pembangkang atau kelompok bukan Melayu untuk terus bertindak bagaikan 'kaduk naik junjung'. Begitulah juga Guan Eng, beliau berani kerana yakin bahawa di kalangan pemimpin PKR dan Pas, pasti ada yang akan menjadi 'panglima perang' atau 'ayam sabung' bagi mempertahankan beliau. Pemimpin itu akan tampil membela Guan Eng tanpa mempedulikan perasaan dan hati orang Melayu.

Kononnya atas dasar ia demi keadilan, maka sesiapa sahaja yang dilihat menyerang Guan Eng akan dicap sebagai ejen UMNO dan BN. Adalah sesuatu yang malang kerana sehingga kini perubahan landskap politik negara yang menyaksikan orang Melayu perlu bersatu ternyata masih belum menyedarkan ramai pemimpin dan orang Melayu.

Sebaliknya apa yang terjadi adalah kepentingan politik mengatasi segala-galanya. Mereka lebih bersedia membela DAP atau mana-mana pemimpin bukan Melayu, biarpun sudah jelas di kalangan pemimpin berkenaan semakin berani melakukan tindakan yang menyentuh sensitiviti orang Melayu dan umat Islam.

Keadaan inilah yang memungkinkan wujudnya senario bagaimana orang bukan Melayu sudah tidak hairan dengan kekuatan politik orang Melayu. Mereka memahami orang Melayu ramai tetapi kita berpecah belah, kita tidak sekata, kita berbalah sesama sendiri dan kita sentiasa mementingkan keuntungan politik berbanding dengan nasib bangsa. Malah demi politik juga, kita lebih suka mengalah dengan tuntutan atau kehendak pihak lain. Inilah hakikatnya.

Apabila pemimpin-pemimpin UMNO atau ada sebahagian pemimpin Melayu dalam pembangkang bersuara sedikit mempertahankan hak orang Melayu, maka mereka akan dianggap bersifat perkauman, tetapi kelompok yang membuat dakwaan itu tidak pula melihat bagaimana cauvinisnya pemimpin-pemimpin DAP atau sesetengah pemimpin PKR dalam memperjuangkan isu sesuatu kaum.

Begitu juga apabila akhbar-akhbar Cina dengan sewenang-wenangnya menyiarkan tulisan yang bertujuan memburukkan kepimpinan negara yang UMNO menjadi tunjangnya. Apakah ada pemimpin pembangkang Melayu menegurnya? Sudah pasti tidak ada yang bersuara. Ia kerana pemimpin-pemimpin berkenaan lebih mengutamakan undi dan sokongan bukan Melayu.

Lebih malang lagi, apabila ada cadangan supaya UMNO dan Pas duduk semeja berbincang bagi memastikan mereka sekata dalam soal Melayu dan Islam, ia akan ditentang habis-habisan oleh pemimpin Melayu sendiri terutamanya sebahagian yang ada di dalam Pas. Pelbagai gelaran diberikan termasuk boneka kepada pemimpin Melayu yang ingin bersatu.

Beginilah situasi orang Melayu sekarang, kita tidak pernah insaf bahawa pemimpin-pemimpin bukan Melayu semakin berani melakukan apa sahaja tanpa memikirkan perasaan kita. Ini sudah berlaku di Selangor, Perak dan Pulau Pinang.

Kita percaya selepas ini mungkin akan berlaku lebih banyak lagi tindakan oleh pemimpin-pemimpin bukan Melayu terutamanya daripada DAP dalam hal-hal berkaitan orang Melayu. Kita mudah cair dengan retorik DAP termasuklah dalam soal mencontohi kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz.

Kalaulah beginilah keadaannya dan jika dilihat 'pembelaan' yang diterima oleh Guan Eng, percayalah...bukanlah sesuatu yang mustahil apabila satu hari kelak orang Melayu akan kehilangan kuasa politik, ia terjadi bukan kerana pihak lain kuat tetapi disebabkan kita tidak bersatu hatta dalam soal kepentingan Islam sekalipun.- UM

Penang Wasabi

2 comments:

  1. Salam bro, itulah tindak tanduk penyokong taksub PAS yang tidak mempedulikan lagi apa yang berlaku, waima kalau DAP menghina Islam sekali pun.......

    ReplyDelete
  2. W/salam Bro. Yang Gambi..

    Jelas dalam pakatan pembangkang ini DAP terus angkuh manakala PAS lebih rela menjadi tikus mondok yang hanya mengiyakan sahaja apa jua tindakan walaupun ia bersifat membelakangkan Islam. DAP berlagak seperti "big brother" cuba menekan PAS dan begitu biadap mempersoalkan displin pemimpin PAS. Di manakah maruah sebenar PAS dalam situasi ini.

    DAP juga dilihat macam "kudung dapat cincin" cuba menyerapkan budaya parti itu yang suka memecat ahli-ahlinya dalam parti lain. Dalam Pakatan Rakyat ini, PAS betul-betul dijadikan hamba pada DAP hingga terpaksa tunduk dengan setiap tindakan yang ingin dilakukan DAP. PAS hilang suara, PAS hilang maruah, PAS hilang kuasa akibat gila kuasa dan terkurung dalam kebodohannya.

    ReplyDelete