~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Thursday, February 18, 2010

Keluar parti 'serang' pembangkang!

















Tidak semena-mena, bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dituduh sebagai pengkhianat amanah rakyat. Semuanya kerana tindakan Ahli Parlimen Bayan Baru itu keluar dari PKR dan menjadi wakil rakyat bebas.

Pelbagai isu kemudiannya dibangkitkan untuk menonjolkan keburukan Zahrain termasuk mengaitkan beliau dengan kegagalan mendapatkan projek bernilai RM40 juta. Sejauh mana kebenaran dakwaan yang dibuat oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng itu tidak dapat dipastikan. Ini kerana Zahrain sendiri menafikan perkara tersebut, sebaliknya menegaskan pengundurannya kerana tidak sanggup lagi bersekongkol dengan pentadbiran DAP. Malah, beliau turut menyifatkan Guan Eng sebagai seorang diktator dan sangat jelas mengamalkan politik cauvinis.

Zahrain juga bertegas untuk tidak melepaskan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Bayan Baru meskipun didesak berbuat demikian. Ini kerana bagi Zahrain, beliau masih merupakan seorang wakil rakyat yang akan bertanggungjawab kepada pengundinya meskipun tidak lagi bersama PKR. Ada kebenarannya pendirian Zahrain itu kerana beliau tidak keluar dari PKR untuk menyertai UMNO atau Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya, beliau memilih untuk menjadi wakil rakyat bebas yang akan terus memperjuangkan nasib penduduk di kawasannya yang memilih beliau pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12. Justeru, tidak timbul soal Zahrain perlu meletak jawatan atau diadakan satu pilihan raya baru di kawasan tersebut.

Sekiranya pakatan pembangkang benar-benar memahami maksud perjuangan untuk rakyat, maka tindakan Zahrain untuk terus berkhidmat kepada pengundinya wajar disokong tidak kira parti apa yang dipilih oleh beliau. Seharusnya juga pakatan pembangkang berhati-hati dalam melabelkan seseorang wakil rakyat sebagai pengkhianat semata-mata kerana mereka keluar dari parti. Ini kerana polisi keluar parti atau 'lompat' parti dalam budaya politik demokrasi di Malaysia mula diperkenalkan oleh pembangkang.

Siapa yang boleh melupakan strategi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memancing wakil rakyat BN dalam usaha menubuhkan kerajaan baru pada 16 September 2008? Bukankah strategi sebegitu lebih jelas maksudnya mahu mengkhianati amanah rakyat? Percaturan kuasa yang paling menarik dalam sejarah negara selepas PRU Ke-12 turut memperkenalkan tren lompat parti dalam proses demokrasi di negara ini.

Sebelum ini, budaya jual-beli wakil rakyat itu tidak pernah berlaku dan pembangkang tidak boleh menyalahkan orang lain kerana mereka yang memulakan idea ini. Keghairahan untuk memaksa sebuah pilihan raya barangkali kerana pembangkang berkeyakinan tinggi pengundi di Bayan Baru akan tetap menyokong pembangkang seperti mana sentimen yang ditunjukkan sepanjang beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

Tetapi dengan pelbagai isu yang berlaku di dalam pakatan pembangkang terutamanya PKR kebelakangan ini, sentimen itu mungkin sudah jauh berbeza. Rakyat sememangnya mempunyai kesedaran politik yang boleh dibanggakan kerana mereka tahu pilihan yang dilakukan pada pilihan raya umum lalu. BN sendiri sudah menerima pengajaran yang cukup besar menerusi undi anti BN pada pilihan raya tersebut kerana pelbagai isu.

Tidak mustahil, PKR juga bakal menerima nasib yang sama dengan pelbagai konflik yang meletihkan rakyat ketika ini. Isu Zahrain misalnya, membuka kepincangan yang berlaku di dalam PKR. Apatah lagi Zahrain bukanlah individu biasa, sebaliknya merupakan pemimpin parti itu di peringkat negeri. Beliau juga merupakan antara orang yang rapat dengan Penasihat PKR, Anwar Ibrahim. Sudah semestinya, tindakan Zahrain itu akan memberi kesan negatif dan mencalar imej parti pembangkang tersebut di kalangan orang ramai termasuk penyokong mereka.

Zahrain bukanlah individu pertama yang berpatah arang dan berkerat rotan dengan PKR. Sekadar menyebut beberapa nama, Zahrain telah mengikut jejak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Kedah, Mohd. Radzhi Salleh; Ketua Bahagian PKR Jelutong, Zarus Yusof; ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah serta beberapa orang yang lain.

Sejak kemenangan besar parti itu pada PRU Ke-12 yang lalu, seorang demi seorang wakil rakyat PKR bertindak keluar parti kerana pelbagai krisis keyakinan terutamanya terhadap pemimpin mereka. Tidak mustahil, ramai lagi yang akan mengikut jejak langkah mereka selepas ini melihat kepada konflik yang berlaku di dalam pakatan pembangkang.

Selain isu keluar parti, pakatan pembangkang juga berdepan dengan pelbagai isu luaran dan dalaman yang membuatkan perjuangan mereka semakin diragui oleh rakyat. Isu 'firaun kecil' yang membabitkan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin misalnya, turut mendedahkan wujudnya pergolakan dalaman PKR. Begitu juga dengan tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang membatalkan perarakan Maulidur Rasul, baru-baru ini yang mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh negara.

Apa yang berlaku itu merupakan kelangsungan daripada sekian banyak masalah yang menimpa pakatan pembangkang selepas hanya setahun mereka menerajui beberapa buah negeri. Di Perak misalnya, perebutan jawatan Menteri Besar menjadi kemelut politik dan kekecohan dalam sistem pemerintahan demokrasi Malaysia yang meletihkan rakyat.

Kegagalan ini menjelaskan betapa pemimpin pembangkang tidak dapat menguruskan hal ehwal pentadbiran dengan efisien sehingga rakyat terpaksa menerima impak daripada urus tadbir yang lemah. Begitu juga dengan konflik sesama parti pembangkang yang gagal mencapai kata sepakat dalam menangani sesuatu isu. Apatah lagi isu-isu itu pula bersabit dengan kredibiliti dan integriti beberapa tokoh pembangkang yang dikagumi ramai.

Ini menimbulkan perdebatan mengenai kemampuan mereka untuk memerintah negara pada masa depan. Perkara itu turut dikongsi oleh pemerhati politik tanah air, Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad. Beliau yang juga pensyarah di Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya (UM) menambah, konflik yang menyelubungi pakatan pembangkang itu menimbulkan kesedaran baru kepada masyarakat.

Mereka kini tertanya-tanya rasional untuk terus memberikan sokongan di sebalik ketandusan idea pemimpinnya memanipulasi segala isu. Pakatan pembangkang juga pastinya sudah mendapat pengajaran kerana perkongsian politik bukanlah satu perkara yang mudah.

Ia membabitkan pelbagai aspek seperti permuafakatan, toleransi dan semangat kekitaan bagi memastikan pakatan yang terbentuk itu benar-benar utuh. Keserasian dan kekurangan formula perpaduan dalam kalangan parti pembangkang menyukarkan mereka bertahan dan mencapai objektifnya. Sejarah sendiri pernah membuktikan betapa getirnya usaha membentuk pakatan pembangkang yang berakhir dengan kegagalan.

Pakatan Sosialist Front (1959-1964 ), PPP-DAP-Gerakan (1969), Gagasan Rakyat - APU (1990 ) dan Barisan Alternatif (1999 ) merupakan bukti kegagalan silam pakatan pembangkang yang berkubur begitu sahaja.

''Sesuatu yang perlu dipelajari oleh pakatan pembangkang juga adalah masalah dalaman mereka bukanlah sengaja dipropagandakan oleh mana-mana pihak terutamanya BN. Tetapi ia berlaku kerana pakatan pembangkang tidak bersedia untuk menjadi peneraju negeri, jauh sekali sebuah negara," jelas Noor Sulastry.

Penang Wasabi

No comments:

Post a Comment