Anwar mengaku silap memilih calun bagi menjawab kritikan terhadapnya atas pengunduran orang kuat Anwar dan AP Bayan Baru, Dato Zaharain Hashim dan kritikan terbuka terhadapnya.
Beberapa pemimpin UMNO dan Barisan Nasional menyatakan pengakuan itu menunjukkan kelemahan Pakatan Rakyat. Hujah ini banyak kebenaran tetapi usah pula kita terima bulat-bulat pengakuan Anwar.
Saifuddin Nasution cuba menjawab balas bahawa ini adalah perkara biasa dalam mana-mana parti politik. Macam mana Saifuddin boleh anggap seorang pemimpin berhadapan dengan pertuduhan liwat kali kedua hingga menjejaskan kepercayaan terhadap kepimpinannya sebagai perkara biasa?
Keseorangan
Cuba difikirkan betul-betul. Siapa pemimpin awal reformasi yang masih ada bersama Anwar lagi? Selain dari kaum keluarganya, mereka yang tinggal hanya Azmin Ali dan Saifuddin Nasution.
Mereka yang membantu Anwar pada tahun 1998 seterusnya sudah tidak bersama Anwar lagi. Dengan ini, boleh disimpulkan bahawa masaalah Awnar bukan kerana dia salah pilih tetapi dia sudah tiada pilihan.
Dia terpaksa pilih dari penyokong-penyokongnya yang masih tinggal dan muka-muka baru yang tidak boleh dipastikan. Benarkah yang meninggalkan dan bakal meninggalkan Anwar dari muka-muka baru yang boleh dijadikan alasan salah pilih? Zaharain bukan muka baru. Realitinya mereka yang meninggalkan Anwar bukan sedikit tapi sudah menjadi ramai. Tentu sekali kesilapan salah pilih bukan alasan yang wajar lagu.
Mula-mula sekali meninggalkan adalah dua ADUN Perak; Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) yang meninggalkan PKR pada 30 Januari 2009. Kemudian, ADUN Jelapang, Hee Yit Foong meninggalkan DAP.
Selepas itu, lain wakil rakyat PKR yang bertindak keluar parti dengan alasan telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan pucuk pimpinan ialah ADUN Pelabuhan Kelang, Badrul Hisham Abdullah; ADUN Lunas, Mohd Radzi Salleh dan ADUN Bukit Selambau, V. Arumugam.
Pengunduran Zahrain adalah kerana kecewa dengan kepimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang serta hilang keyakinan terhadap gabungan pembangkang. Pengunduran Zaharain adalah jelas kelemahan kepimpinan Anwar gagal mengawal kemaraan api dalam sekam yang wujud dalam PKR selama ini.
Kepimpinan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail pun memperlihatkan nama-nama besar yang meninggalkan Anwar seperti bekas Timbalan Presiden, Dr Chandra Muzaffar; bekas Naib Presiden, Marina Yusof; bekas Ketua Angkatan Muda, Ezam Mohd Noor dan bekas Ketua Penerangan, Ruslan Kassim.
Selain mereka, ada pula ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR seperti Zainur Zakaria dan S. Nallakaruppan, dua bekas Setiausaha Agung, Mohd. Annuar Tahir dan Salehuddin Hashim, bekas Setiausaha Sulit Kanan Anwar, Annuar Shaari dan bekas Bendahari Agung, Abdul Rahman Osman.
Bukan itu sahaja, kesilapan Anwar memilih Ahmad Thamrin Jaini sebagai Ketua PKR Sabah selepas Azmin Ali ditolak menyebabkan PKR Sabah berdepan dengan masaalah dengan perletakan jawatan Naib Presiden parti, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Ketua Bahagian Kota Kinabalu, Christina Liew.
Anwar tidak boleh anggap perkara ini sebagai perkara biasa. Bukan suatu perkara biasa untuk Ketua PKR Negeri, Tan Sri Khalid Ibrahim boleh berhadapan dengan pengunduran 13 AJK Cabang sendiri di Kuala Selangor.
Keyakinan palsu
Anwar memang diperakui sebagai seorang yang ada karisma dan pandai meyakinkan orang. Masaalahnya sampai bila keyakinan seorang itu boleh bertahan dengan hanya mengharapkan kepada karisma dan janji palsu?
Zahrain mendedahkan bahawa dia cukup percaya dengan penubuhan kerajaan alternatif 16 september yang dijanjikan. Mungkin dia pernah diberitahu nama-nama MP Barisan Nasional yang akan lompat parti. Kesudahannya seorang pun tidak melompat ke Pakatan rakyat.
Lama-lama kelamaan, Zahrain dan lain-lain rakan menyedari bahawa kepimpinan Anwar hanya berkarismakan kepada keyakinan palsu. Mereka sedar Anwar sendiri gagal membuktikan kemampuannya mengurus kerajaan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat.
Akhirnya yang kelihatan adalah Anwar digunakan oleh DAP untuk mendapatkan sokongan orang Melayu. Apabila sudah berkuasa, ‘kongsi kuasa’ tidak wujud sebagaimana yang disebut ahli parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng, wakil rakyat PKR dilayan seperti anjing.
Nada kritikan Zulkifli Nordin yang mendakwa wujud Firaun kecil dalam PKR boleh ditafsir sebagai tidak lagi percaya kepada Anwar. Berapa lama Awnar boleh berharap untuk terus berbohong dan menggunakan karisma untuk mendapatkan keyakinan palsu untuk selamatkan diri dari kes liwat?
Anwar mungkin berjaya meyakinkan 50 orang ahli parlimen Australia untuk mendesak tuduhan kes liwatnya digugurkan. Adakah dia yakin rakyat Malaysia boleh sedia menerima negara luar campurtangan dalam hal ehwal kehakiman Malaysia?
Terbaru, Anwar baru balik daripada Persidangan Dialog Islam di Doha dan berkesempatan berjumpa dengan Hillary Clinton, Perdana Menteri Turki dan Dr Yusof Qardawi untuk mendapatkan simpati dan meyakinkan mereka kes liwatnya adalah satu konspirasi.
Sesampai di Malaysia, dia akan temberang kepada pengikutnya seolah-olah ketiga-tiga tokoh itu menyokongnya dan tidak percaya tuduhan liwat tersebut. Baik siasat betul-betul. Adakah dia setakat jumpa dengan mereka? Adakah mereak terang-terang memberi sokongan dan percaya teori konspirasi yang dikatakan oleh seorang yang digambarkan akhbar barat sebagai “chameleon”?
Sekrang mungkin baik ditanya kembali pada Saifuddin samada ini perkara baisa dalam politik? Pemimpin dihadapi pertuduhan meliwat kali kedua bukan perkara biasa. Jika benar ia perkara biasa dan tidak ada masaalah, kenapa PAS menolak tawaran untuk bersama dengan Anwar dalam roadshow PKR? Kenapa PKR menangguhkan pemilihan parti yang dijangkakan pada bulan Mei 2010.
Ini hanya menunjukkan Anwar sedang berhadapan dengan pelbagai kerisauan dan takut menghadapi pelbagai kemungkinan yang bukan perkara biasa.
Penang Wasabi
No comments:
Post a Comment