~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Saturday, August 25, 2012

Edisi perasan : Buletin Mutiara dah macam album gambar Dinasti Lim?



ALAHAI! Belum reda lagi sebenarnya kekecohan dalam kalangan media Pulau Pinang berhubung gelagat Ketua Menteri, Lim Guan Eng dengan penyiaran 51 gambarnya - walaupun muka suratnya hanya 28 helaian pada keluaran Buletin Mutiara Mei lepas.

Gara-gara 'kerenah' sedemikian rupa, 'pasukan' Buletin Mutiara telah bertindak dengan 'efisien' mengurangkan gambar pemimpin mereka itu, dengan hanya menyiarkan 28 gambar sahaja dalam 28 muka surat pada keluaran Julai lepas. Tetapi agak kelakar bunyinya kerana masih tidak nampak pun sebarang perbezaan ketara kerana Guan Eng masih menonjol dalam buletin itu.

Barangkali, selepas mendapat tekanan serta kritikan hebat daripada media di negeri itu, Guan Eng seperti biasa mengambil jalan selamat dengan menyalahkan pasukan buletin tersebut sebagai 'tersilap secara teknikal'. Akibatnya, Pengarah Komunikasi Kerajaan Negeri, Yap Lee Ying segera memohon maaf melalui satu kenyataan media baru-baru ini dengan menyatakan, penyiaran 51 gambar Guan Eng merupakan kesilapan teknikal dan tidak akan berulang.

Kesilapan teknikal kali ini turut 'diperbetulkan' dengan kehadiran isteri Ketua Menteri, Betty Chew yang kelihatan 'agak anggun' pada keluaran buletin tiga bahasa tersebut. Jika sebelum ini, Betty hanya gemar mengenakan seluar 'slack' dan pakaian pendek yang kelihatan seperti wanita berkerjaya, kini dia tampil mengenakan busana, gaun berserta aksesori.

Beberapa gambar Betty turut dimuatkan dalam Buletin Mutiara walaupun sebelum ini hanya gambar-gambar suaminya sahaja mendominasi buletin itu. Akhbar-akhbar berbahasa Cina mendakwa, penampilan Betty kini kelihatan lebih bergaya.

Betty dikatakan kini lebih gemar menghabiskan masa menemani suaminya ke majlis-majlis penting serta berprofil tinggi di Pulau Pinang. Bagaimanapun dia masih ADUN Kota Laksamana di Melaka. Walhal, kalau nak diikutkan, rakyat Melakalah yang lebih memerlukannya berbanding Pulau Pinang. Tetapi ada pula masa dihabiskan di Pulau Pinang termasuk menghadiri pertunjukan fesyen baru-baru ini. Media turut melaporkan Betty mengambil bahagian dengan memperagakan beberapa pakaian di Tanjong Tokong beberapa minggu lepas.

Buletin Mutiara didakwa dikeluarkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dengan peruntukan RM300,000 setiap dua bulan. Cuma, rakyat atau umum hendak tahu juga adakah duit peruntukan tersebut dikeluarkan daripada dana DAP. Ataupun menggunakan wang rakyat negeri itu hasil dari cukai yang dikutip? Sungguh tidak adil andainya wang tersebut milik rakyat kerana jelas sekali Buletin Mutiara memainkan peranan penting dalam menyebarkan propaganda DAP dan keluarga dinasti Lim kerana hanya mereka yang lebih menonjol.

Satu ketika, Buletin Mutiara ini akan diedarkan sendiri oleh DAP pada program-program kerajaan negeri. Pada masa sama ia diletakkan di sekitar masjid, pusat membeli belah dan kawasan-kawasan tarikan pelancongan. Namun, kini mereka lebih 'hebat' apabila melantik syarikat tertentu untuk mengedarkan buletin tersebut dari rumah ke rumah.

Mengapa sampai begitu sekali? Mengapa menyajikan propaganda DAP kepada rakyat Pulau Pinang dengan begitu agresif? Adakah kerana buletin itu tidak mendapat sambutan dalam kalangan rakyatnya? Mungkin juga rakyat sudah mula sedar tembelangnya.

Baru-baru ini terdapat kecaman daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang kerana menggunakan buletin itu sebagai platform untuk menghentam kerajaan.

Ketua Wanita MCA Pulau Pinang, Tan Cheng Liang berkata, buletin tersebut hanya digunakan sebagai media untuk memberitahu rakyat di negeri itu terhadap aktiviti selain dasar dan polisi kerajaan negeri.

"Andainya pakatan pembangkang mahu berbicara tentang politik atau membuat kecaman kepada mana-mana ahli politik kerajaan Persekutuan, mereka harus menggunakan medium yang sesuai. Gunalah duit sendiri untuk keluarkan akhbar propaganda. Tetapi bukannya menggunakan wang rakyat" tegasnya.

Penang Wasabi..

Sunday, August 19, 2012

Apabila Ketua Pemuda PAS tidak berpijak dibumi yang nyata..!!! Umno kena sertai Pas, bukan sebalik?



Sambil menegaskan Umno yang patut menyertai Pas, Pemuda Pas mencabar Umno membentangkan rang undang-undang hukum hudud di Parlimen terlebih dahulu daripada mempelawa parti Islam itu menyertainya ataupun Barisan Nasional (BN).

Ketuanya, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, beliau yakin wakil rakyat Pas akan menyokong langkah itu jika Umno sanggup berbuat demikian.

"Saya cabar Umno siapkan dulu draf kemudian bentang dalam parlimen. Jika ia menepati kehendak Islam sebagaimana yang diperintah oleh ALLAH SWT, saya yakin ahli Parlimen Pas akan menyokongnya.

"Jika Umno tidak sanggup melakukannya, ketahuilah, Umno hanya menjadikan isu hudud sebagai modal politik untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti," katanya lagi.

Mengulas kenyataan Dr Mahathir Khamis lalu, Nasrudin berkata, bekas Perdana Menteri itu sekali lagi cuba mencuri tumpuan umum dengan kenyataan terbarunya bahawa Umno boleh melaksanakan hudud tetapi bukan hudud Pas sebaliknya hudud Islam.

"Suatu kenyataan paling lucu menutup tirai Ramadan al Mubarak tahun ini," katanya lagi. Sambil berkata beliau sangat simpati dengan Dr Mahathir, Nasrudin berkata, "beliau seperti merasakan diri masih di tahkta Perdana Menteri."

"Bercakap mahu melaksanakan itu dan ini sedang kuasa tidak lagi ditangannya. Lebih malang, apa yang disebut mahu dilaksanakan hari ini [seperti hudud] adalah suatu yang ditentangnya habis-habisan sewaktu beliau gah di puncak kuasa sejak sekian lama," katanya.

Sehubungan itu Nasrudin menegaskan bahawa Umno tidak mahu melaksanakan hudud.

"Ini satu realiti. Lihat sahaja cadangan Adun Kemelah Johor untuk melaksanakan hudud di Johor, bukan sahaja diketepikan malah dikecam.

"Lebih parah apabila (Datuk Seri Dr) Chua Soi Lek selaku Presiden MCA menuduh pemimpin Umno itu hilang akal, seluruh pemimpin Umno termasuk Dr Mahathir, bungkam sejuta bahasa," katanya.

Malah menurut Nasrudin, kuasa kerajaan federal berada di tangan Umno.

"Jadi, retorik apa lagi yang mahu Umno paparkan kepada rakyat. Kalau tidak mahu hudud "Pas" kononnya, mana hudud Umno? sila kemukakan! Sekurang-kurangnya negeri yang ditadbir oleh Pas sebagai teras kerajaan telah meluluskan Rang Undang-Undang Syariah atau Kanun Jenayah Syariah iaitu di Kelantan dan kemudiannya di Terengganu. Negeri Umno mana? Mana hudud Umno atau mana hudud "Islam" yang didakwa itu?

"Pas sejak sekian lama, dimaklumi oleh semua rakyat bahawa memperjuangkan perlaksanaan syariat Islam di negara ini termasuk hukum hudud.

Sementara Umno pula diketahui umum menentang perlaksanaan hudud sejak sekian lama. Maka logiknya, Pas sertai Umnokah atau Umno yang wajib sertai Pas untuk memastikan hudud benar-benar terlaksanakan di atas tanah air tercinta ini.

"Sekurang-kurang Pas telah siapkan draf Kanun Jenayah Syariah yang mahu dilaksanakan. Umno sehingga kini draf pun tidak ada, macam mana Dr Mahathir mahu Pas menyertai Umno, sepatutnya Umno dibubarkan untuk kesemua ummat Islam menyertai Pas bagi mendukung cita-cita pelaksanaan Islam di Malaysia," kata beliau lagi.

Kesian juga apabila melihat Ketua Pemuda PAS sudah pandai meroyan sebijik macam Tok Guru Nik Aziz! Bercakap pandai macam burung kakak tua, tetapi tidak faham apa yang dicakapkan?

PAS kenalah sedar diri sikit, terjadinya parti PAS itu pun daripada serpihan parti UMNO jugak. UMNO parti yang lebih tua daripada PAS, sepatutnya yang mudalah kena beralah cari yang tua, bukan sebaliknya. Lagi pun kerusi yang PAS ada sekarang pun jangan kan nak lawan UMNO, nak lawan DAP pun PAS tak mampu. Sebab tu PAS asyik cakap saja tapi tak mampu buat.

Dulu PAS keluar dari UMNO pun kononnya nak buat negara Islam, tapi sekarang negara Islam pun PAS dah tak mahu buat lagi. Baru sekarang PAS baru sedar yang negara Islam itu tak wujud dalam Quran, cuma negara kebajikan saja yang ada. PAS sebut hudud pun hanya bila dah dekat PRU saja. Itu pun setakad nak kelentung kat ahli PAS.

Sebab itu UMNO offer kalau betullah PAS ikhlas nak buat hudud, masuklah UMNO balik, dah tentu jumlah kerusi UMNO jauh lebih kuat daripada DAP dan MCA. Lainlah PAS, dengan parti yang muda pun daripada mereka PAS tak berani lawan. Kalau Pakatan menang pun PKR juga yang jadi perdana menteri. Masa tu DAP pun jauh lebih berkuasa daripada PAS. PAS cuma melukut ditepi gantang saja, nama saja PAS lebih tua daripada mereka, tapi mereka sikit pun tak hormat parti yang tua macam PAS.

Tak payahlah dok tanya draft hudud UMNO, dah tentu draft UMNO terpakai dan adil untuk semua, bukan macam hudud PAS yang hanya terhad untuk orang Islam saja, itu pun yang kafir tetap tolak jugak.

Penang Wasabi..

Saturday, August 18, 2012

Apa salah Nasharudin?


Najib Tun Razak (dua, kanan) mendengar penerangan daripada Mufti Masjidilharam Mekah, Sheikh Dr. Sulaiman Al Salumi (kiri) semasa pertemuan beliau dengan tokoh-tokoh ulama sempena Persidangan Luar Biasa Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) Keempat, di Mekah kelmarin. Turut hadir Tokoh Ulama Arab Saudi Sheikh Dr. Abdullah Hamad Al Jalaly (kanan) dan Anggota Parlimen Bachok Nasharudin Mat Isa.

Apabila tersiar sahaja gambar bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertemu ulama di Mekah, penulis sudah merasakan kedudukan Ahli Parlimen Bachok di dalam Pas sudah tidak selamat lagi.

Musuh-musuh politik beliau akan menganggap inilah saat terbaik untuk menghala peluru terakhir bagi memusnahkan karier politik Nasharudin di dalam Pas.

Bagi sesetengah pemimpin Pas yang taksub kepada hubungan parti itu dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, mereka tidak akan melihat bahawa kunjungan Najib ke Arab Saudi atas kapasiti sebagai Perdana Menteri bagi menghadiri Persidangan Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Mereka juga tidak akan mempertimbangkan bahawa Nasharudin adalah seorang pemimpin yang sememangnya sering diberi tanggungjawab oleh Pas sendiri menjadi wakil dalam misi ke negara-negara Arab.

Sebaliknya oleh kerana otak hanya mahu berpolitik semata-mata, apa yang mereka lihat ialah seorang pemimpin Pas (Nasharudin) duduk bersama dengan seorang Presiden UMNO.

Justeru pada tafsiran politik sempit mereka, Nasharudin 'sudah menderhaka' kepada parti dan tindakan perlu diambil.

Apa yang lebih menimbulkan kemarahan mereka ialah apabila Nasharudin turut menggesa Pas membuat pendirian mengenai kedudukan dalam pakatan pembangkang memandangkan penentangan keras DAP terhadap usaha Pas melaksanakan hukum hudud.

Kenyataan Nasharudin ini sudah tentulah tidak menyenangkan kelompok yang lebih mementingkan hubungan dengan PKR dan DAP berbanding kepentingan perjuangan Islam Pas.

Berikutan itu ada antara mereka mula hendak menunjukkan jaguh dengan mengkritik Nasharudin.

Kelompok ini berasa gembira apabila Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan turut 'tumpang semangkuk' membidas Nasharudin yang juga seorang ahli Majlis Syura Ulama Pas.

Nasrudin yang dianggap menjadi pencetus bergolak kembali isu hukum hudud menganggap kenyataan Nasharudin sebagai penolakan terbuka bekas Timbalan Presiden Pas itu terhadap keputusan parti.

Persoalannya siapakah Nasrudin yang begitu lantang hendak mengkritik Nasharudin yang bercakap atas dasar beliau sebagai ahli Majlis Syura.

''Apa salah Nasharudin? Tak kanlah sebagai Ketua Pemuda, Nasrudin tidak faham soal ini? Kenapa tiba-tiba hendak menjadi jaguh paling ke hadapan mengkritik bekas Timbalan Presiden Pas tersebut,'' kata seorang pembantu kanan kepada seorang pemimpin Pas daripada golongan ulama kepada penulis ketika dihubungi.

Menurut pembantu kanan ini, mereka melihat apa yang dilakukan oleh Nasrudin itu seolah-olah ingin mencari publisiti murahan atau hendak menunjukkan kononnya beliaulah pejuang utama parti.

''Tetapi tak kan Nasrudin lupa apa kata DAP terhadap beliau, apabila beliau menyatakan Karpal Singh sudah boleh berbincang soal hukum hudud.

''Saya tidak tahu apa motif Nasrudin yang tiba-tiba menjadi lantang cuba saya bimbang ia akan mewujudkan persepsi bahawa beliau sedang tercari-cari kelompok mana yang harus disokong dalam Pas, dalam kata mudah tercari-cari identiti,'' katanya.

Selain itu, pemerhati politik melihat apa yang berlaku dilihat situasi terbaik oleh puak- puak di dalam Pas yang menentang sebarang kerjasama dengan UMNO untuk 'meletakkan batu nisan' ke atas perjalanan politik Nasharudin.

Mereka dilihat sudah berjaya 'menyeret' beliau 'ke kuburan politik' apabila memastikan beliau tewas dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden dan sekali gus memastikan kerusi nombor dua tidak lagi disandang oleh ulama.

Kini mereka merasakan apabila Nasharudin dilihat bersama Perdana Menteri maka ia mengesahkan teori politik songsang mereka selama ini bahawa bekas Timbalan Presiden Pas itu sememangnya terlibat dalam usaha menyatukan parti tersebut dengan UMNO melalui kerajaan perpaduan.

Sebelum ini Nasharudin diserang habis-habisan kerana merancang mewujudkan kerajaan perpaduan dengan UMNO. Ada pemimpin Pas menganggap beliau sebagai boneka UMNO. Walaupun hakikatnya apa yang beliau lakukan mendapat restu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura Ulama, namun mereka yang bercita-cita politik dalam parti itu tidak mengambil kira fakta berkenaan.

Sebaliknya mereka menggambarkan seolah-olah Nasharudin sebagai tali barut UMNO dalam Pas.

Selain itu, beliau juga dilihat lantang menentang kegiatan Lesbian, Gay,Biseksual dan Transgender (LGBT) - satu gerakan yang disokong oleh sesetengah pemimpin pembangkang atas nama hak asasi.

Semua ini tidak menyenangkan musuh- musuh politik beliau di dalam Pas dan dalaman pakatan.

Apa pun, Pas perlu berhati-hati dalam mengendalikan isu Nasharudin ini kerana tidak ada apa salahnya seorang rakyat Malaysia bersama seorang Perdana Menterinya.

Janganlah mengukur segala-galanya dari segi politik dan lebih memikirkan apa perasaan PKR dan DAP berbanding kepentingan umat Islam sejagat.

Cukuplah selama ini Pas dilihat terlalu takut dengan kedua-dua parti berkenaan sehingga bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr.Hasan Ali dipecat hanya semata-mata menasihatkan orang ramai tidak menghadiri perhimpunan menyokong Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apa yang Nasharudin katakan mengenai kedudukan Pas dalam hubungan dengan pakatan berikutan sikap DAP adalah satu kebenaran. Sampai bila Pas harus membiarkan parti itu terus diperkotak-katikkan hanya semata-mata mahu memburu kuasa bersama- sama PKR dan DAP.

Kalau benarlah Pas memperjuangkan Islam dan mahu memastikan hukum hudud dilaksanakan maka mereka perlu memandang serius kecaman DAP.

Nasharudin hanya memberi pandangan, oleh itu terserah kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan.

Nasharudin tidak menyatakan apa-apa yang tidak elok mengenai Pas dalam melayani kehendak DAP, oleh itu kenapa perlu ada yang mahu menjadi wira pembela Pas tidak tentu hala dengan membuat kenyataan seolah-olah Nasharudin sudah melakukan satu dosa besar?

Apakah pemimpin-pemimpin Pas sudah tidak boleh bersuara lagi biar pun maruah dan martabat parti seolah-olah dipijak-pijak serta dipandang rendah oleh rakan sepakatan mereka?

Sejarah perjalanan politik Nasharudin telah membuktikan beliau adalah seorang ulama dan sentiasa meletakkan kepentingan ummah mengatasi segala-galanya.

Sebab itulah kita sering lihat beliau tidak memilih bulu dalam menjalani hubungan dengan sesiapa sahaja termasuk pemimpin UMNO tetapi ini tidak bermakna beliau tidak ada prinsip dalam politik.

Perjuangan Islam sememangnya menjadi teras utama beliau, oleh itu adalah satu kesilapan apabila Ketua Pemuda Pas, Nasrudin memberi peringatan bahawa Nasharudin sewajarnya insaf bahawa beliau yang memerlukan perjuangan Islam ini, bukan sebaliknya.

Perjuangan Islam kata Nasrudin tidak pernah rugi hanya kerana kita (pemimpin meninggalkannya) tetapi Nasrudin terlupa bahawa yang berbuat demikian bukan Nasharudin tetapi Pas sendiri yang telah mengubah haluan kepada perjuangan negara berkebajikan.

Penang Wasabi..

Friday, August 3, 2012

Guan Eng diminta jelaskan kemampuan bekas staf beliau tinggal di rumah mewah?



Parti KITA hari ini meminta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menjelaskan berhubung kemampuan seorang bekas kakitangan pejabat beliau memiliki sebuah rumah mewah di Jalan Chemor, Georgetown, Pulau Pinang.

Bendahari KITA negeri Kedah, H"ng Sau Ping ketika mendedahkan pemilikan rumah teres dua setengah tingkat bernilai RM1.8 juta oleh bekas kakitangan itu berkata ia tidak sepadan dengan pendapatannya sebagai staf pejabat Ketua Menteri.

"Saya ingin bertanya kepada Lim dan memberi beliau masa seminggu mulai hari ini agar dia atau isterinya memberi penjelasan atau saya akan meminta izin beliau untuk mendedahkannya.

"Kadar sewa di kawasan itu mencecah RM3,500 sebulan dan pasti dengan gaji yang diterima, pemiliknya tidak mampu tinggal di rumah ini kecuali dia ada hubungan istimewa dengan seseorang," kata H"ng kepada pemberita di pejabat KITA Sungai Petani di sini.

"Saya dapat maklumat ini dari sumber kuat bahawa lokasi rumah tersebut tidak jauh dengan kediaman Ketua Menteri Pulau Pinang dan bekas kakitangan itu juga masih bertugas dengan kerajaan negeri.

"Sebagai seorang rakyat, saya berhak mengetahui perkara sebenar dan menuntut Lim telus dalam perkara ini kerana beliau sering mencanangkan bahawa DAP mengamalkan sistem telus," katanya. - BERNAMA

Penang Wasabi..