~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Thursday, June 28, 2012

Selcat gagal dapat jawapan siapa tukar status tanah PKNS?



Usaha Jawatankuasa Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan arahan supaya padang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) ditukar kepada zon komersil tidak berhasil.

Pengerusi Selcat Datuk Teng Chang Kim bersama beberapa anggota Selcat lain cuba mendapatkan jawapan itu daripada bekas Pengarah Perancang Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Noraini Roslan dan Penolong Pengarah Kanan Jabatan Perancang Bandar MBPJ Faiwos Abdul Hamid semalam.

"Siapa dalam Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang memulakan usaha untuk menukar status padang PKNS di Kelana Jaya daripada rekreasi kepada komersil?

"Siapa yang mengambil inisiatif untuk mencadangkan penukarannya? Adakah seorang pegawai, atau adalah keputusan itu dibuat oleh sebuah jawatankuasa dalam satu mesyuarat? Penukaran ini tentunya tidak berlaku dengan sendiri," soal Teng pada sesi pendengaran awam Selcat yang menyiasat isu pindaan draf Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 (RTPJ2) di Shah Alam semalam.

RTPJ2 menimbulkan kontroversi apabila dokumen yang dirujuk Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) Selangor mendapati padang awam milik PKNS itu dizonkan sebagai kawasan rekreasi manakala dokumen yang dirujuk oleh MBPJ pula menunjukkannya sebagai zon komersial.


Penduduk dan badan bukan kerajaan membantah apabila mengetahui padang PKNS di Kelana Jaya itu hendak dibangunkan kerana dikhuatiri akan mengurangkan kawasan hijau selain menimbulkan kesesakan lalulintas.

Dalam pada itu, Faiwos berkata pihak MBPJ ada melakukan pindaan terhadap RTPJ2 selepas satu mesyuarat bersama antara pihak berkuasa tempatan itu dan JPBD Selangor awal tahun lepas.

Kenyataan Faiwoz itu bagaimanapun disangkal Timbalan Pengarah JPBD Selangor Norasiah Bee Mohd Haniff, dengan mendakwa mesyuarat yang diadakan itu langsung tidak membincangkan mengenai sebarang pindaan kepada pelan tersebut tetapi lebih tertumpu kepada proses percetakan RTPJ2 yang telah diwartakan.

Noraini pula mengakui beberapa pindaan yang terdapat pada RTPJ2 dibuat tidak mengikut peruntukan undang-undang, sebaliknya dilakukan berdasarkan amalan biasa sebelum ini.

Beliau mendakwa berdasarkan amalan itu, MBPJ akan membuat pindaan terhadap RTPJ2 meskipun selepas diberi kelulusan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan diwartakan.

"Saya akui yang pindaan tersebut dibuat tidak mengikut prosedur undang-undang yang ditetapkan, sebaliknya hanya berdasarkan amalan biasa sebelum ini. Bagaimanapun, pindaan tersebut hanya melibatkan guna tanah semasa dan langsung tidak menyentuh mengenai pindaan status zon sesuatu kawasan itu," katanya.

Pendengaran awam itu ditangguhkan sehingga 5 Julai.- Bernama

Penang Wasabi..

Tun Mahathir sedang menunaikan solat!



Muslimin dan muslimat, insan ini bukan ulamak, namun dia tetap menunaikan solat iaitu kewajiban seorang muslim. Dia mengaku ilmu agamanya tidak sehebat Nik Aziz. Tetapi dialah yang mengerakkan negara Islam yang lain untuk membantu ketika umat islam di Bosnia disembelih oleh pengganas Serb.

Dia juga pernah menangis ketika melawat Bunker yang menjadi pejabat Yasser Arafat di Palestine. Ketika saudara islam yang berlainan parti mendoakan kecelakaan untuknya, dia dijemput oleh Allah SWT masuk ke dalam Kaabah.

Insan ni digelar MahaFiraun, dan dia jugalah yang lantang mengutuk kekejaman Zionis keatas umat islam serta mempertahankan islam dimata dunia. Dia tak hanya duduk berdoa tanpa berbuat apa-apa, dia berusaha untuk memajukan bangsa dan juga negaranya. Dia berkerja untuk semua rakyat Malaysia..

Yang menarik, dia tidak kemaruk nama, contohnya dia menolak kereta nasional dinamakan atas namanya. Begitu juga Putrajaya, sekolah, jalan dan bangunan seperti Menara Petronas,Yayasan atas nama dia pun ditolaknya.

Lihat saja Putrajaya, sebelum ni ada puak jumud tu nak jual kalau dorang menang Pilihanraya. Kononnya sebab membazir duit rakyat. Tapi sekarang ni mereka berebut nak duduk kat situ. Sekarang ni baru mereka tau, Putrajaya ni bukan sahaja berfungsi sebagai pusat Pentadbiran, tapi turut menjadi pusat pelancongan.

Cuba datang solat kat Masjid Putrajaya tu contohnya, ada sahaja bas pelancong yang datang. Jangan lupa juga macam-macam event bertaraf dunia diadakan di sana. Sebelum ni ada tak puak-puak jumud PAS terfikirkan benda-benda macam tu? Tapi Tun Mahathir dah fikir awal-awal lagi. Semua tu membawa keuntungan kepada rakyat.

Tun Mahathir berjuang dalam diam. Tak payah tabur janji satu negara, tak payah umpan syurga untuk cari sokongan, yang ni baru la 'The Truly' hero kepada negara Malaysia yang tercinta.

Sumber : Media Cyber

Penang Wasabi..

Monday, June 25, 2012

Kegagalan punca 137 penyokong Pas sertai UMNO!



IKMAL Hisham Abdul Aziz (tengah) bersama ahli baru UMNO seramai 137 orang menunjukkan 1Malaysia di Manal 1, Tanah Merah, Kelantan, kelmarin.

Kegagalan kerajaan Pas menunaikan janji yang dibuat selepas 22 tahun memerintah, telah membuka mata sekumpulan 137 ahli dan penyokong Pas dari kawasan Manal 1 di sini, bertindak menyertai UMNO.

Borang penyertaan sebagai ahli UMNO diserahkan bekas ketua cawangan Pas Manal 1, Joni Yaakob kepada Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz pada majlis Selamat Tinggal Pas, di sini malam tadi.

Majlis yang diadakan di pekarangan rumah Joni itu, turut dihadiri Pegawai Khas Agama Menteri Besar Terengganu, Kamal Kamarudin Omar yang meluangkan masa menyampaikan ceramah dihadiri kira-kira 2,000 orang!

Penang Wasabi..

Sunday, June 24, 2012

Wanita misteri tampil beri penjelasan?




Wanita misteri yang dikaitkan dengan kes pemilikan akaun induk berjumlah RM3 bilion oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini muncul menafikan menjadi proksi kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Zaliah Zakaria, 56, bagaimanapun mengakui mengenali isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika memegang jawatan Presiden dan juga pemilik Syarikat Wira Tangkis Sdn. Bhd.

Katanya, syarikat itu banyak memberi sumbangan dalam kejohanan badminton Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri (Bakti) pada akhir 1990-an semasa Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Beliau turut mengakui pernah menaja aktiviti sukan air salah seorang anak Anwar di Pulau Pinang semasa Ketua Pembangkang itu dalam penjara selain menerima kunjungan Wan Azizah yang baru pulang dari mengerjakan umrah semasa menetap di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

"Hubungan kami sekadar kawan kerana saya juga meminati sukan badminton. Saya tidak mengenali Anwar malah tidak pernah terlibat dalam politik.

"Oleh itu saya hairan bagaimana nama saya dikaitkan dengan Anwar dan berita ini pernah berlaku pada 13 tahun lalu tetapi saya biarkan.

"Namun kali ini disebabkan wajah saya disiarkan (Mingguan Malaysia) saya tiada pilihan selain untuk tampil menjelaskan perkara sebenar," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Wajah Zaliah dipaparkan di muka depan Mingguan Malaysia hari ini berikutan pendedahan ahli perniagaan, Ummi Hafilda Ali berhubung seorang wanita yang dikatakan sangat dikenali oleh Anwar.

Dalam pendedahannya, Ummi Hafilda mendakwa, Anwar kenal sangat dengan wanita tersebut yang bukanlah seorang istimewa atau ahli korporat tetapi cukai pendapatan mencecah RM50 juta.

Selain itu, Ummi Hafilda mendakwa, wanita itu memiliki atau mempunyai kaitan dengan 62 hartanah mewah berupa kondominium dan banglo kebanyakkan di Pulau Pinang.

Berikutan dakwaan itu, Zaliah meminta Ummi Hafilda agar tampil bersama bukti-bukti bagi membersihkan nama beliau dan keluarganya.

Selain itu, beliau juga meminta Anwar mengeluarkan kenyataan segera bagi menafikan hubungan mereka seperti didakwa pihak tertentu.

Dalam pada itu, Zaliah mendakwa memiliki aset berbentuk wang tunai dan hartanah berjumlah RM100 juta hasil daripada perniagaan lumba kuda yang dijalankannya pada akhir 1990-an.

Menurutnya, bagaimanapun kesemua asetnya bertukar hak milik semasa beliau ke Dubai untuk melupakan kesedihan ekoran kematian anak lelakinya pada Januari 2000.

"Seminggu semasa berada di sana (Dubai), pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membuat serbuan di rumah saya dan menyita 10 buah peti besi di Bukit Jambul, Pulau Pinang mengandungi wang tunai, barangan kemas dan dokumen penting.

"Pada masa sama, saya dinasihatkan oleh peguam supaya tidak pulang sehinggalah setahun baru saya pulang ke tanah air namun mendapati semua aset termasuk wang tunai berjumlah RM26 juta di dalam bank telah dipindah milik," jelasnya.

Beliau berkata, harta-hartanya yang lain termasuk empat buah rumah di Pulau Pinang bernilai kira-kira RM3.68 juta.

Katanya, pada masa itu beliau turut diburu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkaitan dengan cukai pendapatan berjumlah lebih RM50 juta hingga beliau diisytiharkan muflis tidak lama selepas itu.

Sementara itu, Ummi Hafilda ketika dihubungi memberitahu, beliau tidak pernah mendakwa mengenali Zaliah secara peribadi.

Katanya, pendedahan yang dibuat adalah bertujuan semata-mata mahukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kaitan antara wanita berkenaan dengan Anwar.

"Ini bukan isu kenal atau tidak kenal. Saya sendiri tidak pernah mendakwa bahawa saya mengenal perempuan berkenaan (Zaliah) secara peribadi.

"Pendedahan yang saya lakukan itu bertujuan untuk membantu siasatan SPRM berhubung kes pemilikan akaun induk bernilai RM3 bilion oleh Anwar. Saya telah serahkan bukti dan sekarang tugas SPRM menyiasat apa kaitan, hubungan atau penglibatan perempuan itu dengan Anwar," katanya.

Penang Wasabi..

Saturday, June 23, 2012

Pemuda Umno gesa siasat Faekah!




Pemuda Umno Selangor menggesa siasatan terperinci dijalankan ke atas Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin berkaitan kenyataan di akhbar ini semalam bertajuk ‘Faekah Nafi Beri Surat Sokongan’.

Ketuanya, Ungku Md Salleh Ungku Abd Jamal berkata, pengakuan Faekah yang menandatangani surat sokongan membabitkan firma guaman milik anak saudaranya adalah satu tindakan cakap tidak serupa bikin.

“Sebagai seorang yang berkuasa di pejabat menteri besar, sepatutnya beliau tahu bahawa beliau tidak boleh mengeluarkan surat sokongan kepada keluarga terdekat kerana ini adalah amalan kronisme,” katanya selepa membuat laporan polis, semalam.

Menurutnya, laporan juga akan dibuat ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Isnin ini.

Sementara itu : MB Khalid menafikan surat sokongan Faekah!

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengesahkan bahawa Setiausaha Politiknya, Faekah Husin tidak menyalah guna kuasa seperti didakwa sebuah blog, antaranya mengeluarkan surat sokongan kurniaan projek.



Beliau berkata, isu surat sokongan tidak timbul kerana Faekah hanya menerima surat permohonan dan bukannya memberi projek.

Menurutnya, beliau sendiri tidak pernah membuat surat sokongan untuk memberi sesebuah syarikat projek Kerajaan Negeri, sebaliknya hanya memanjangkan surat permohonan yang diterima kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terlibat.

"Isu ini sudah dijelaskan (Faekah) sebelum ini, oleh yang demikian isu surat sokongan ini tidak timbul," katanya ketika ditemui media, hari ini.

Faekah menafikan dakwaan sebuah blog bahawa beliau memberi surat sokongan kepada Firma Guaman untuk dilantik ke panel guaman GLC.

Beliau berkata, mengikut amalan biasa surat berkenaan akan dihantar kepada beliau dan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim manakala tugas beliau hanya menerima dan menyerahkannya kepada GLC.

Menurutnya, walaupun beliau menandatangani surat berkenaan, namun ia tidak bermaksud salah guna kuasa berlaku kerana beliau tidak memberi projek kepada firma berkenaan.

Penang Wasabi..

Friday, June 22, 2012

Anwar salahguna kuasa..!!! Akuan palsu, Razak digesa buat laporan polis?




Bekas Pengarah Siasatan Badan Pencegahan Rasuah (BPR), Datuk Abdul Razak Idris digesa membuat laporan polis berikutan pendedahan beliau diarah membuat akuan bersumpah menutup kes pemilikan 20 akaun induk bernilai RM3 bilion oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong berkata, tindakan Anwar memaksa Abdul Razak membuat akuan bersumpah tersebut adalah kesalahan yang berat di sisi undang-undang.

Choo Keong yang merupakan bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga berkata, pendedahan itu serius kerana akuan bersumpah yang dibuat bukan atas kerelaan Abdul Razak dan boleh disifatkan sebagai akuan palsu.

"Ini adalah satu kesalahan, ia merupakan akuan palsu. Mana boleh Anwar memaksa Abdul Razak membuat akuan bersumpah semata-mata untuk menutup dakwaan yang dihadapinya.

"Abdul Razak perlu segera membuat laporan polis dan pihak berkuasa juga perlu bertindak dengan serta-merta. Jelas sekali ia bukan akuan bersumpah Abdul Razak tetapi orang lain," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.



Abdul Razak dilaporkan membuat pendedahan beliau telah membuat akuan bersumpah membersihkan nama Anwar daripada dakwaan memiliki 20 akaun induk bernilai RM3 bilion atas permintaannya yang merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim pula berkata, beliau tidak hairan dengan pendedahan itu kerana hakikatnya banyak isu membabitkan Anwar mengugut dan memaksa pegawai kerajaan telah didedahkan.

"Sebab itu saya mahu ingatkan Anwar, jangan sombong dan angkuh, sudah banyak bukti baru yang timbul berhubung salah lakunya semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri," jelasnya.

Ditanya berhubung tindakan Anwar yang sering berdolak-dalik berhubung isu berkenaan, Zahrain berkata, ia memang permainan Ketua Pembangkang itu untuk mengalihkan persepsi negatif terhadap diri beliau.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir pula menyifatkan pendedahan tersebut sebagai bukti terbaru penyalahgunaan kuasa oleh Anwar sewaktu memegang kuasa.

"Selama ini, Anwar tuduh kita macam-macam, tetapi berdasarkan bukti-bukti didedahkan hari ini, semua tuduhan yang dilemparkan itu, sebenarnya beliau yang lakukan.

"Jadi, satu siasatan menyeluruh perlu dilakukan oleh pihak berkuasa untuk mengenal pasti kebenaran," ujarnya.

Penang Wasabi..

Saturday, June 16, 2012

MB Kedah diminta dedah dana disalur kepada Kuin!




Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak diminta supaya membuat pengakuan kepada umum tentang jumlah peruntukan kerajaan negeri kepada Kolej Universiti Insaniah (Kuin).

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau mendapat maklumat bahawa jumlah yang dikeluarkan oleh Pegawai Kewangan Negeri kepada Kuin adalah sangat besar.

"Saya mengambil contoh jika kutipan hasil tanah di Kedah ialah RM160 juta setahun, berapakah daripada RM160 juta itu telah dibelanjakan untuk Kuin," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan borang keanggotaan Umno dekat sini malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pedu berkata, beliau bimbang dengan kadar perbelanjaan wang negeri terhadap Kuin dan berasa sangat kecewa dengan perkara itu.

"Itu yang membimbangkan. Kalau nak belanja betul-betul tidak apa, buat satu demi satu. Tapi semua orang tahu Fakulti Perubatan dan Kujuteraan tak boleh jalan, duit terpaksa dibelanjakan tapi Azizan tak nak mengaku juga.

"Baliklah ke pangkal jalan sebab Kuin asasnya adalah Bahasa Arab, Usuluddin, Syariah dan Muamalat Perbankan Islam," katanya.

Mahdzir berkata, beliau juga mahu kerajaan negeri menjelaskan tentang kedudukan Insan Holding Sdn Bhd sebagai anak syarikat Kuin yang memegang semua duit kerajaan negeri.

"Contohnya duit yang masuk kepada kerajaan negeri dipegang oleh Insan Holdings Sdn Bhd dan Pengerusi Insan Holdings ialah Rektor universiti itu. Di Kuin juga ada seorang Pegawai KCS (Kedah Civil Servant) yang telah ditempatkan sebagai Timbalan Rektor Kuin.

"Saya difahamkan oleh ramai pensyarah di situ bahawa Timbalan Rektor dari KCS itu disejuk beku, tidak ada kerja untuk dia. Jadi kenapa wujudkan jawatan itu kalau tak ada kerja untuk dilakukan," katanya.

Pada majlis penyerahan borang itu, seramai 148 penduduk dalam kawasan peti undi Kampung Padang Nyior menyertai Umno dengan 20 daripadanya adalah bekas anggota Pas.

Mahdzir berkata, antara faktor yang menyebabkan mereka memilih Umno ialah kerana yakin ia adalah parti yang memperjuangkan orang Melayu.

"Bagi ahli Pas yang menyertai Umno, mereka sendiri telah melihat adu domba dalam Pakatan Rakyat. Jadi mereka merasakan mereka perlu mencari satu entiti yang boleh dilihat dan disokong bagi membela orang Melayu dan tak lain tak bukan mereka memilih Umno," katanya. - Bernama

Penang Wasabi..

Tuesday, June 12, 2012

Tarian gadis seksi ala K-Pop pada majlis PKR - Tahniah PAS!




Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyediakan persembahan istimewa untuk ahli dan tetamunya pada Majlis Makan Malam parti itu yang diadakan di Bertam, Ahad lepas.

Majlis yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman itu diserikan dengan persembahan tiga gadis yang memakai skirt pendek dan menghiburkan tetamu di Dewan Majlis Perbandaran Seberang Prai, Kepala Batas.

Pertunjukan tarian seksi ala K-Pop itu mengejutkan kerana ia turut dihadiri oleh beberapa pemimpin Pas tempatan dan ahlinya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, tindakan penganjur menyediakan persembahan seksi di kawasan majoriti penduduk Melayu yang beragama Islam adalah keterlaluan.

"Persembahan itu adalah di luar batas keagamaan dan menyinggung perasaan orang Islam. Pemimpin PKR perlu tampil memberi penjelasan dan saya berharap mereka tidak menganggap ini satu fitnah jahat dan menyalahkan pihak lain.

"Pada masa sama, saya kesal dengan kejadian itu berlaku dan ia memberi gambaran bahawa soal moral memang tidak dititikberatkan oleh pucuk pimpinan parti itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Osman secara sinis berkata, aksi tarian gadis berpakaian seksi itu mungkin tidak menjadi kesalahan besar kepada parti berkenaan apatah lagi sebelum ini beberapa pemimpin utamanya pernah dikaitkan dengan penyebaran video lucah yang menjadi bualan masyarakat.

"Menari berpakaian seksi sahaja mungkin tidak mengapa. Kita mungkin boleh terima jika persembahan itu diadakan di kawasan majoriti bukan Melayu seperti di bahagian pulau atau dalam bandar kerana menghormati masyarakat majmuk.

"Bagaimanapun, apabila unsur itu dibawa masuk ke kawasan kampung, di manakah pendirian golongan ulama dan ustaz dalam Pas, adakah mereka hanya melihat sambil tersenyum sahaja," katanya.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menerusi laman Twitternya melahirkan rasa kesal berhubung perkara itu dan akan meminta laporan penuh.

Penang Wasabi..

Saturday, June 9, 2012

Siasat akaun RM3 bilion?




Masyarakat perlu menilai tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terus berdiam diri berhubung akuan berkanun bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Murad Khalid berhubung pemilikan 20 akaun Ketua Pembangkang itu.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, tindakan Anwar yang seperti ‘menikus’ itu menimbulkan persoalan kerana beliau sentiasa aktif menjawab dakwaan atau melemparkan tuduhan menerusi Twitter miliknya hampir setiap hari.

Jelas beliau, sebagai Ketua Pembangkang, Anwar mempunyai tanggungjawab besar dalam menjawab hal akuan berkanun tersebut kerana segala akaun itu secara logik diperoleh sewaktu beliau menjadi Menteri Kewangan pada akhir 1990-an.

“Namun, setelah berhari-hari perkara itu dibangkitkan, Anwar tidak pula menjawabnya sama ada di Twitter atau Facebook sedangkan kita tahu beliau aktif di laman sosial," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kelmarin, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menyarankan kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat dakwaan pemilikan 20 akaun induk bernilai RM3 bilion milik Anwar itu kerana boleh dikaitkan dengan tuduhan salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah.

Ibrahim yang memandang serius hal tersebut juga telah membuat laporan polis dan mengemukakan surat rasmi kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohamed bagi mendesak siasatan terhadap dakwaan Abdul Murad itu dibuka semula.

Menurut Azwanddin, SPRM perlu bertindak tegas dan pantas dalam menyegerakan siasatan tersebut kerana ia merupakan perkara berkepentingan awam dan berupaya memberi penjelasan sebenar kepada rakyat.

“SPRM sudah boleh memulakan siasatan mengenai perkara ini kerana ia badan bebas dan setahu saya, kalau risalah dan surat layang pun SPRM siasat, ini kan pula akuan berkanun," katanya.

Sementara itu, Mursyidul Am Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip berkata, langkah Anwar yang terus berdiam diri membuktikan beliau tidak mampu menjawab hal itu seterusnya gagal membersihkan namanya.

Katanya, setiap rakyat Malaysia yang berfikiran waras sudah tentu menilai Anwar mempunyai sesuatu yang cuba disembunyikan berhubung hal tersebut.

“Anwar dikenali sebagai seorang yang suka buat bising, tapi dalam hal ini dia senyap ibarat burung berkokok tapi ekor dipenuhi tahi.

“Sudah tentu, beliau kini sedang dilanda sindrom kecut perut," katanya.

Bagi Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris pula, siasatan itu penting bagi memberi ruang secukupnya kepada golongan muda di negara ini mengenali Anwar memandangkan kumpulan itu masih di bangku sekolah sewaktu perkara tersebut didedahkan kira-kira 13 tahun lalu.

Katanya, ia juga merupakan faktor golongan itu menjadi sasaran Anwar mendapatkan sokongan kerana mudah termakan pujuk rayu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut.

“Mereka melihat Anwar sekarang seperti insan suci sebagai pemimpin sedangkan mereka tidak pernah tahu sejarah Anwar sebelum ini," katanya.

Penang Wasabi..

Sunday, June 3, 2012

Kemunculan LGBT semakin membimbangkan!



Gambar : Jenna Talackova bergambar dengan seorang kanak-kanak ketika kumpulan peserta Ratu Cantik Dunia Kanada melawat Sekolah Katolik St. John Vianney di Toronto pada 15 Mei lalu.

Penyertaan Jenna Talackova, 23, sebagai peserta transgender pertama dalam pertandingan Ratu Cantik Dunia Kanada 2012 adalah bukti masyarakat dunia kini seolah-olah merestui kegiatan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), walaupun jelas gaya hidup abnormal itu bertentangan dengan norma kehidupan insaniah dan agama.

Sokongan terbuka pemimpin Amerika Syarikat (AS), Presiden Barack Obama baru-baru ini terhadap isu LGBT, walaupun sebelum itu beliau menentang keras amalan itu, juga menyebabkan golongan songsang tersebut semakin berani memperjuangkan ideologi sesat mereka.

Ramai yang sanggup mengetepikan kesan negatif daripada amalan hidup songsang itu seperti meningkatnya kadar jangkitan virus maut, HIV di seluruh dunia, semata-mata atas alasan keadilan dan hak asasi manusia.

Kajian yang dijalankan oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati hampir separuh daripada golongan transgender di rantau Asia Pasifik berisiko dijangkiti virus HIV.

Hal ini berlaku apabila penjagaan kesihatan yang kurang berkualiti dan amalan gaya hidup tidak sihat, dilihat meningkatkan kadar jangkitan penyakit itu ke paras kritikal.

Selain itu, krisis identiti yang melanda golongan songsang ini turut menyukarkan mereka untuk mendapat pekerjaan, lantas menyebabkan kebanyakan mereka memilih untuk menjadi pelacur sebagai pilihan terakhir untuk mencari pendapatan bagi meneruskan hidup, walaupun sedar risiko dijangkiti HIV.

Namun, tindakan Talackova menyertai pertandingan Ratu Cantik Dunia Kanada 2012 dilihat sebagai kes menarik kerana golongan LGBT kini semakin berani bertindak atas alasan menuntut kesamarataan.

Talackova atau nama lelakinya, Walter dilahir dan dibesarkan di Vancouver dan menjalani pembedahan menukar jantina pada usia 14 tahun.

Genap berusia 19 tahun, lelaki itu bertukar sepenuhnya menjadi 'wanita' dan menukar namanya kepada Jenna untuk menidakkan identitinya sebagai seorang lelaki.

Lalu, Talackova mengambil keputusan untuk menipu semasa mengisi borang penyertaan, namun ia akhirnya terbongkar selepas dia berjaya memasuki peringkat akhir pertandingan itu.

Penipuan itu telah menyebabkan pihak juri dan penganjur membuat keputusan menarik balik penyertaan peserta pertama transgender daripada acara berprestij dunia itu.

Seperti yang dijangka, keputusan tersebut mencetuskan kemarahan dalam kalangan para aktivis LGBT.

Menuduh pihak penganjur bersikap diskriminasi terhadap Talackova, lebih 200,000 tandatangan berjaya dikumpul menerusi petisyen untuk mendesak agar wanita palsu itu dimasukkan semula dalam pertandingan.

Kes tersebut turut mendapat perhatian peguam selebriti, Gloria Allred yang membuat keputusan membantu Talackova menyertai semula pertandingan ratu cantik itu.

Apa yang lebih memalukan, setelah meneliti semua aspek dan demi menjaga 'keadilan tidak bertempat', pihak penganjur bersetuju untuk membenarkan Talackova menyertai semula pertandingan itu.

Pendedahan kisah Talackova itu, bukanlah bertujuan menyokong kegiatan LGBT, ia hanya sekadar mahu membuktikan bahawa kini masyarakat sudah tidak berlaku adil terhadap mereka yang ingin menjalani kehidupan secara normal.

Ini jelas apabila mereka menerima golongan yang songsang dan jelas bertentangan dengan ajaran agama dan nilai moral ini sebagai golongan yang normal.

Jika nilai-nilai kehidupan yang tidak normal ini dibiarkan dan terus mendapat sokongan atas prinsip adil dan hak asasi, bagaimanakah agaknya usaha dunia untuk mewujudkan masyarakat bebas AIDS dapat dicapai?

Penang Wasabi..

Friday, June 1, 2012

Bekas MB Perak, Nizar Lambai digesa mohon ampun kepada Sultan!



Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) menggesa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memohon ampun kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ekoran kenyataan biadab dikeluarkan bekas Menteri Besar Perak itu baru-baru ini.

Presidennya, A. Rahman Mahadi berkata, sebagai seorang Melayu dan beragama Islam, Mohammad Nizar tidak sepatutnya membuat kenyataan yang boleh menyinggung bukan sahaja perasaan keluarga diraja, malah tempiasnya turut dirasai rakyat negeri ini yang kasih kepada sultan.

Menurutnya, keceluparan Ahli Parlimen Bukit Gantang itu yang tidak pernah serik dan sering mengeluarkan kenyataan-kenyataan melampau perlu dipandang serius oleh kerajaan sekali gus PPPMM mahu tindakan tegas diambil terhadap beliau supaya menjadi pengajaran kepada pihak lain.

"Kita tahu sebagai pembangkang, sudah pasti ada sahaja kenyataan yang ingin dikeluarkan, namun dalam politik ini perlu ada batasnya. Malah, sebagai seorang Melayu dan Islam di negara ini adalah tidak wajar mengeluarkan kenyataan biadap terhadap sultan.

"Justeru, PPPMM menggesa Mohammad Nizar mohon menghadap kepada Sultan Ibrahim dan memohon ampun kepada baginda atas keceluparan dan perbuatan melampau itu kerana orang Melayu di sini penuh dengan adab dan sopan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak menerusi laman sosial Twitter kelmarin mempersoalkan pembelian nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 oleh Sultan Ibrahim sekali gus menggambarkan seolah-olah baginda membeli nombor tersebut menggunakan wang rakyat.

Ekoran itu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melalui akaun Twitternya @HRHJohor2 menjelaskan bahawa kerabat diraja Johor tidak pernah mengambil satu sen pun duit daripada kerajaan sejak pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim Sultan Abu Bakar.

A. Rahman berkata, penjelasan yang dibuat oleh Tunku Ismail itu jelas menunjukkan ketelusan keluarga diraja Johor berhubung isu tersebut dan langkah itu juga diharap mampu memberi gambaran sebenar dan bukan seperti yang sengaja dipolitikkan sesetengah pihak.

Penang Wasabi..