~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Monday, January 27, 2014

Polemik kalimah Allah?


1. Isu rampasan Bible oleh JAIS

Isu rampasan kitab Injil berbahasa Melayu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pula berkait rapat dengan Enakmen Agama Bukan Islam Selangor 1988 yang menghalang penggunaan nama Allah dalam penulisan, penerbitan, pengucapan awam dan kenyataan. Walaupun serbuan JAIS sah dari segi undang-undang, namun ia telah menimbulkan polemik kerana melibatkan hal yang agak sensitif dan mungkin kaedah lain boleh digunakan.

Akta yang digunakan dalam rampasan terbaharu JAIS adalah dalam bidang kuasa kerajaan negeri dan bukannya Kerajaan Pusat. Pakatan pembangkang selaku ketua pentadbir negeri yang telah diberi mandat oleh rakyat Selangor tidak seharusnya lepas tangan dan cuba melontarkan tanggungjawab ini kepada Kerajaan Pusat, KDN, Jakim dan pelbagai pihak lain.

Pakatan pembangkang senantiasa mengambil kesempatan atas isu yang memberi keuntungan kepada mereka. Mereka ialah orang pertama yang akan mendakwa apa yang baik adalah daripada mereka tetapi yang buruk adalah kerana kesilapan Kerajaan Pusat.

Selain itu, Lim Guan Eng pula jangan cuba untuk menjadi paderi masyarakat Kristian dengan mempolitikkan isu ini dan menyalahkan UMNO dalam kenyataan terbaharu beliau. Paderi Lawrence sendiri juga tidak pernah sesekali melibatkan UMNO dalam isu ini.

2.  Dari sudut perundangan

Sekiranya sebelum ini Mahkamah Tinggi memutuskan untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan The Herald, maka secara akademiknya kita perlu menyokong penggunaannya. Apatah lagi dalam hal ini pihak gereja sendiri yang membawa kes ini ke mahkamah.


Keputusan terbaharu Mahkamah Rayuan bahawa penganut Kristian di Semenanjung tidak boleh menggunakan kalimah Allah tetapi penganut Kristian di Sabah dan Sarawak boleh menggunakannya.

Pengerusi DAP iaitu Karpal Singh memetik Article 11 (3) berkaitan dengan frasa: to manage its own religious affairs. Namun begitu, Karpal Singh lupa untuk menyebut tentang Article 11 (1) iaitu: every person has the right to profess and practice his religion and, subject to Clause (4), to propagate it.

Fasal (4) memperuntukkan: Federal law may control or restrict the propagation of any religious doctrine or belief among persons professing the religion of Islam.

Oleh itu, sekiranya pihak gereja sendiri meletakkan bidang kuasa: to manage its own religious affairs to the court, maka segala keputusan mahkamah perlu dihormati berlandaskan kedaulatan undang-undang negara.

Sehubungan itu, isu ini memerlukan toleransi antara dua pihak iaitu satu pihak perlu menghormati penggunaan Allah di Sabah dan Sarawak, dan satu lagi perlu menghormati bahawa pengunaan kalimah Allah adalah tidak dibenarkan di Semenanjung Malaysia.

3.  Pakatan pembangkang tidak bersatu

Seperti yang kita sedia maklum pendirian pakatan pembangkang sering berubah-ubah. Sebelum ini Anwar Ibrahim mewakili suara pakatan pembangkang bahawa penganut Kristian dibenarkan menggunakan kalimah Allah. Namun begitu, pendirian terbaharu Pas dan Anwar sendiri bercanggah dengan pendirian mereka sebelum ini.

Dalam isu ini jelas menunjukkan wajah sebenar pakatan pembangkang yang tidak pernah bersatu. Pihak DAP mencadangkan penggubalan Enakmen Agama Bukan Islam Selangor 1988. Tetapi Anwar dan Pas pula tidak bersetuju dengan cadangan DAP. Oleh itu, apa sebenarnya pendirian pakatan pembangkang dalam isu ini? Bagaimana rakyat Malaysia masih boleh terus mempercayai individu yang sering tidak konsisten dengan perjuangan mereka selama ini?

4.  Menyelesaikan isu ini dengan nilai keagamaan

Masyarakat tidak seharusnya menggunakan sentimen dan ideologi politik dalam menyelesaikan masalah ini. Tambahan pula, penglibatan parti politik hanya akan mengeruhkan lagi keadaan. Kita perlu kembali kepada nilai keagamaan masing-masing demi mencapai keharmonian dan perpaduan yang sebenar.

Untuk masyarakat Kristian pula mereka perlu mengikut jejak langkah pemimpin tertinggi mereka pada 29 Jun 2008 . Pope Benedict menyarankan supaya tidak menggunakan perkataan tetragrammaton dalam Catholic Liturgy kerana dipercayai bercanggah dengan nilai tradisi masyarakat Yahudi.

Nilai agama Kristian juga amat mementingkan tentang melupakan dan memaafkan (forget and forgive). Masyarakat Islam pula seharusnya menggunakan cara dan nilai kesederhanaan, kesabaran dan kesejahteraan dalam menangani isu ini.

Oleh itu, diharapkan perkongsian persamaan nilai antara agama akan merapatkan rakyat pelbagai kaum di negara kita dan bukan berpecah belah disebabkan kewujudan sentimen politik yang dimainkan oleh ahli politik yang tidak bertanggungjawab.

Selain itu, kita juga tidak mengharapkan isu ini sengaja dicetuskan untuk mengalih pandangan masyarakat berkaitan isu Mercedes yang melibatkan seorang ahli politik.

Penang Wasabi..

Friday, January 24, 2014

Khalid mula hadapi tekanan?


Tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menukar serta-merta dua pegawai kanan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), kelmarin mula mencetuskan kontroversi baharu.

Ini berikutan beliau berhadapan dengan tekanan daripada dalam parti sendiri yang menentang keputusannya menukar Pengurus Besar PKNS, Othman Omar dan Setiausaha PKNS, Norita Mohd. Sidek ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri berikutan isu pengguguran Azmin Ali sebagai ahli lembaga pengarah anak syarikat milik kerajaan negeri Selangor tersebut.

Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang Ahli Parlimen Kuala Langat dari PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid menegaskan, Othman dan Norita boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Selangor kerana melakukan pertukaran yang dianggap tidak mengikut prosedur.

Abdullah Sani berkata, apa yang dilakukan oleh Abdul Khalid ke atas kedua-dua penjawat awam tersebut adalah tidak wajar memandangkan isu yang dibangkitkan masih lagi dalam peringkat siasatan.

“Berdasarkan prosedur, mana-mana pekerja yang didakwa melakukan kesalahan tertentu dalam sesebuah organisasi, mereka perlu diberi peluang untuk mempertahankan diri menerusi surat tunjuk sebab terlebih dahulu.

“Pengurusan organisasi kemudiannya menjalankan siasatan dalaman yang mana sebarang tindakan boleh dikenakan ke atas pekerja terbabit sekiranya didapati bersalah oleh jawatankuasa panel yang diwujudkan khas untuk menjalankan siasatan dalaman.

“Dalam kes yang melibatkan dua pengawai kanan PKNS itu, mereka dikenakan tindakan terlebih dahulu (ditukarkan SUK) sedangkan siasatan masih lagi berjalan. Saya anggap tindakan kerajaan negeri ini mengkhianati keadilan ke atas mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, Abdullah Sani dan beberapa ahli PKR Selangor termasuk ADUN Batu Caves, Amiruddin Shari berhimpun di depan pejabat PKNS di Seksyen 13 di sini bagi menyerahkan nota sokongan kepada penjawat awam di PKNS.

Nota sokongan itu antara lain menyebut PKR Selangor memandang serius isu pertukaran Othman dan Norita ekoran percanggahan antara kerajaan negeri dan PKNS serta bertegas supaya mereka tidak dihukum sebelum dibicarakan dan membela diri.

Nota tersebut diserahkan kepada Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim.

Kelmarin ketika mengumumkan pertukaran tersebut, Abdul Khalid berkata, satu surat kuasa telah diberikan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi untuk melaksanakan tindakan pentadbiran terhadap Othman dan Norita.

Kemelut antara Abdul Khalid dan dua pegawai kanan PKNS tersebut tercetus berikutan isu pengguguran Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR sebagai ahli lembaga pengarah PKNS.

Abdul Khalid yang diasak dengan dakwaan tindakan tersebut bermotif politik menafikan kerajaan negeri mempunyai kaitan dalam isu pengguguran Azmin sebaliknya menyatakan keputusan itu dibuat oleh Othman.

Bagaimanapun kenyataan Abdul Khalid itu bercanggah dengan kenyataan dikeluarkan PKNS menerusi Norita yang memaklumkan penamatan Azmin dibuat selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 13 November lalu yang disahkan pada 4 Disember.

Penang Wasabi..

Thursday, January 23, 2014

Kemelut isu penyingkiran Azmin terjawab?

Dokumen Cabutan daripada keputusan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor ke-35 mengenai isu penyingkiran Azmin (gambar kecil).

Kemelut penyingkiran Azmin Ali sebagai ahli lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akhirnya terjawab semalam.

Ini berikutan dokumen minit mesyuarat EXCO berhubung pelantikan ahli lembaga pengarah yang didedahkan kerajaan negeri kepada media semalam, mengesahkan nama Azmin tidak ada dalam senarai pelantikan semula yang diputuskan dalam mesyuarat pada 13 November tahun lalu yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Mesyuarat itu hanya menimbang dan meluluskan pelantikan semula ADUN Chempaka, Iskandar A Samad dan membuat pelantikan baru ADUN Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Khim sebagai ahli lembaga pengarah.

Keputusan itu kemudian disahkan dalam mesyuarat 4 Disember yang juga dipengerusikan oleh Abdul Khalid.

Kertas Ringkasan yang dibentangkan oleh Menteri Besar pada mesyuarat 13 November ada juga menyatakan seorang lagi ahli akan ditentukan kemudian, tetapi tidak menyatakan nama Azmin.

Edar kronologi peristiwa

Berdasarkan kronologi peristiwa yang turut diedarkan, Setiausaha Dewan menghantar minit mesyuarat itu kepada PKNS untuk pemakluman agensi itu.

PKNS dalam surat bertarikh 8 Januari kemudian memaklumkan Azmin bahawa kedudukannya sebagai ahli lembaga pengarah telah ditamatkan berkuat kuasa 4 Disember.

Turut terkandung dalam dokumen yang didedahkan oleh Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar itu ialah satu salinan Kertas Ringkasan yang dibentangkan Abdul Khalid pada 13 November yang mengesyorkan kepada mesyuarat EXCO bahawa jawatan Iskandar, Azmin dan ADUN Kinrara, Teresa Kok Suh Sim, dikekalkan sehingga tamat tempoh pada 10 Februari 2015 atau digantikan dengan calon lain yang bersesuaian dengan kemahiran dan kepakaran masing-masing.

Kertas Ringkasan itu juga ada menyatakan ulasan pejabat Menteri Besar, antaranya kedudukan Azmin sebagai ahli lembaga pengarah sesuai untuk dikaji semula kerana beliau telah mengembalikan kemudahan yang diterimanya.

Penang Wasabi..

Wednesday, January 22, 2014

200 peniaga halang MPPP roboh gerai?

Seorang pemuda menghayun penumbuk kepada seorang penguatkuasa kerana gerai dia cuba dirobohkan. Hidup sudahlah, itu sahaja lah mata pencarian harian keluarganya. Yang nak dirobohkan pula kerajaan DAP Pulau Pinang.

Balik Pulau: Operasi meroboh 15 gerai peniaga dan penjaja Melayu di Teluk Bahang, di sini semalam, kecoh apabila kira-kira 200 peniaga dan penduduk menghalang tindakan berkenaan.

Seawal jam 9 pagi, peniaga dan penduduk berkumpul dan kemudian cuba menghalang sekumpulan 50 kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menghampiri lokasi berkenaan. Kekecohan tercetus jam 10.30 pagi, menyaksikan sesetengah peniaga yang tidak berpuas hati, bertindak agresif terhadap kakitangan MPPP.

Insiden bermula apabila seorang pegawai dipercayai dari Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya dikatakan cuba menenangkan peniaga termasuk menunjukkan notis kebenaran melakukan kerja terbabit, namun mengundang kemarahan peniaga hingga berlaku pergelutan dengan suasana kecoh berlarutan hampir setengah jam sebelum dileraikan polis.

Pengerusi Persatuan Peniaga Kecil Teluk Bahang, Mohd Redza Zainal Abidin, kesal dengan tindakan MPPP yang didakwa menindas dan menjejaskan mata pencarian penjaja kecil Melayu yang sudah lebih 15 tahun mencari rezeki di situ tanpa gangguan.

Tindakan aniaya peniaga

“Sepatutnya MPPP berbincang dengan kami... tindakan ini menganiaya kami yang mencari rezeki untuk menanggung keluarga,” katanya sambil disokong pengusaha bengkel kereta, Muhammad Suhaimi Arsad, 30, yang kecewa kerana MPPP didakwa lewat mengeluarkan notis arahan pengosongan premis selain tidak mengadakan perbincangan.

Sambil menyifatkan pengusiran itu suatu penganiayaan terhadap peniaga dan keluarga mereka, Suhaimi berkata, mereka sudah lama berniaga di lokasi berkenaan sehingga berjaya menarik ramai pelanggan setia.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayob Hussain Shah, berkata Kerajaan DAP Pulau Pinang perlu mencontohi kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) yang mengutamakan kebajikan peniaga dan menyediakan tempat niaga baru sebelum merobohkan mana-mana premis perniagaan tanpa lesen.

Dalam perkembangan berkaitan, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow, ketika dihubungi enggan mengulas lanjut, sekadar memaklumkan operasi meroboh itu dikendalikan Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya, manakala MPPP hanya membantu.

Penang Wasabi..

Saturday, January 18, 2014

6 cara makan kangkung?


Sejak kebelakangan ini, kangkung telah menjadi 'highlight' sebagai sayur Malaysia yang paling 'glamour'.Di Eropa, kangkung disebut Swamp Cabbage, Water Convovulus, atau Water Spinach. Sungguhpun kangkung boleh dibeli dengan harga yang murah atau dipetik di tepi telaga kampung halaman, sayur ini mempunyai banyak manfaat kesihatan dan sedap dimakan.

Mari kita lihat apakah cara-cara untuk makan kangkung:

Kangkung Goreng Belacan (KGB)

Antara cara masakan yang paling popular untuk kangkung ialah Kangkung Goreng Belacan (KGB). Kenapa? Rakyat Malaysia sukakan makanan yang pedas dan kangkung goreng belacan paling senang dicari kedai-kedai makanan dan juga senang dimasak di rumah.

Ulam kangkung

Kepada mereka yang sukakan makanan yang sihat, kangkung sering dihidang sebagai ulam-ulam (salad) yang dicecah mentah dengan cili atau belacan. Kangkung mempunyai nutrisi kesihatan yang tinggi seperti vitamin A, vitamin B1, vitamin C, protein, kalsium, fosfor, zat besi dan karoten. Oleh itu, kangkung boleh memrupakan salah satu sayur yang harus berada di dalam diet harian anda.


Kangkung Rebus

Pernahkah anda makan 'yong tau foo'? Kangkung segar yang direbus boleh dimakan dengan kuah manis dan pedas 'yong tau foo'. Cara makan ini juga sihat dan mengandungi kalori yang rendah. Anda boleh cuba makan 'yong tau foo' halal yang dikunjungi ramai di Kampung Pandan.

Tumis kangkung pedas

Sungguhpun pedas, masakan ini adalah berlainan daripada KGB. Tumis kangkung pedas dimasak dengan bawang putih, tomato hiris, udang kering dan cili padi. Cara masakan ini adalah kurang berlemak tetapi, tetap menepati citarasa mereka yang sukakan masakan pedas.

Tumis kangkung tempe

Siapa suka makan tempe? Tempe bukan sahaja sedap, tetapi memberi anda nutrisi yang banyak seperti kangkung. Aroma yang menyelerakan daripada tempe bersama kangkung memang sajian yang sesuai dihidangkan ketika makan malam bersama ahli keluarga anda.

Sotong kangkung

Sotong kangkung semestinya makanan pasar malam/gerai yang dimakan rakyat Malaysia. Sotong kurita yang direbus, dihiris dan dicampur dengan sos rojak, kangkung rebus dan juga kacang bukan sahaja sedap, tetapi sesuai sebagai pembuka selera. Anda disyorkan untuk makan sotong kangkung bersama cili pedas. Mesti syok!

Apakah cara makan kegemaran anda untuk sayur kangkung? Sila kongsi bersama!

Penang Wasabi..

Thursday, January 16, 2014

Kajian Dari UK Menunjukkan Rakyat Malaysia 'Paling Gemuk' Di Asia Tenggara, Amal Tabiat Pemakanan Tidak Sihat, Dan Terlampau Cukup Makan?


Selain terjejas oleh obesiti dan kencing manis, rakyat Malaysia juga mengambil pelbagai makanan yang tidak berkualiti dan bernutrisi tinggi, menurut laporan kualiti makanan di seluruh dunia, Oxfam International.

Kajian dan penyelidikan oleh kumpulan penyelidik kemiskinan dan bantuan bencana yang berpangkalan di United Kingkom (UK) yang baharu sahaja didedahkan ini menunjukkan Malaysia berada di kedudukan 44 dalam 125 negara. (Lebih tinggi skor indeks, lebih teruk kedudukan negara)

Dengan tajuk 'Good Enough to Eat Index', ia menunjukkan Malaysia memperoleh 76 daripada 100 skor di bawah kategori kepelbagaian diet, yang menunjukkan walaupun makanan adalah cukup di Malaysia, pilihan pelbagai makanan bagaimanapun tidak berkhasiat.

Kemampuan makanan juga seolah-olah menjadi masalah bagi Malaysia, apabila negara memperoleh skor yang lebih tinggi daripada purata 57 dari segi tahap harga.

Tahap ini, menurut Oxfam adalah relatif kepada barangan dan perkhidmatan lain.

Kecenderungan untuk harga makanan turun naik bagaimanapun rendah, dengan Malaysia mendapat skor 14.

Malaysia juga didapati berada pada anak tangga yang lebih rendah dalam kategori obesiti dan kencing manis, dengan masing-masing mendapat 29 dan 37 skor.

Menurut laporan, kira-kira 2.6 juta rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas adalah pesakit kencing manis.

Angka ini dijangka mencecah 4.5 juta pada tahun 2020.

Malaysia turut disenaraikan negara 'paling gemuk' di Asia Tenggara dan yang keenam di rantau Asia Pasifik.

Walaupun kajian itu mendapati bahawa rakyat Malaysia tidak menghidap sebarang kekurangan zat makanan, tetapi menunjukkan sebilangan kanak-kanak yang kurang berat badan dengan skor 28.

Negara ini juga secara keseluruhannya berkongsi tempat ke-44 dengan enam negara lain: Maldives, Kazakhstan, Mexico, Moldova, Rusia dan Chile.

Di Asia Tenggara, Malaysia berada di tempat kedua di belakang Thailand, yang menduduki tempat ke-42 di seluruh dunia.

Negara jiran, Filipina (67), Vietnam (71), Indonesia (83) dan diikuti Laos (112).

Singapura dan Myanmar tidak termasuk dalam senarai.

"Walaupun dalam zaman moden dan kemajuan teknologi, kita masih gagal untuk menyediakan rakyat dengan makanan asas yang mereka perlukan untuk terus hidup dan makan secara sihat," kata kenyataan Oxfam.

Dalam perbandingan yang dibuat, Belanda mendapat tempat yang pertama sebagai negara yang mempunyai makanan yang paling berkhasiat dan sihat.

Penang Wasabi..

Monday, January 13, 2014

Mahfuz The Mr.Bean Gila Meroyan Gagal Memiliki Mercedes Benz Macam Guan Eng?


Penjelasan Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir mengenal isu pembelian kereta jenis Mercedes Benz S300 oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) untuk kegunaan rasmi Yang di-Pertuan Agong di Langkawi, dipersoalkan oleh pihak pembangkang.

Selain menggunakan nombor plat KBV8, kereta yang dimaksudkan itu juga dilabelkan dengan nama Menteri Besar Kedah dan bukan nama Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, penjelasan yang dibuat Mukhriz sebelum ini mengambil masa agak lama dan seperti sengaja dilambatkan untuk mencari jawapan bagi meyakinkan rakyat berkenaan isu tersebut.

Menurut beliau, pihaknya tidak nampak apa yang mengelirukan dalam isu pembelian kereta seperti yang dijelaskan Mukhriz, sebaliknya Mukhriz sendiri dilihat seperti keliru dengan kenyataan-kenyataannya sendiri.

“Pada 6 Januari lalu, Menteri Besar menjelaskan tiada sebarang pembelian kereta baharu untuk kegunaan rasmi Menteri Besar yang dibuat oleh kerajaan negeri. Manakala nombor plat KBV8 masih digunakan pada kereta Mercedes Benz S3200 yang digunakan Menteri Besar terdahulu iaitu, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

“Bagaimanapun, selepas itu tersebar di laman-laman sosial yang memuatkan bukti bergambar menunjukkan nombor plat KBV8 tidak lagi digunakan pada kereta Mercedes Benz S320. Sebaliknya digunakan pada kereta jenis Mercedes Benz S300 dengan menggunakan nama Menteri Besar Kedah,” katanya pada sidang media, di Pejabat Pas Kawasan Pokok Sena, di sini, semalam.

Mahfuz yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, pada sidang media kelmarin, Mukhriz sekali lagi memperjelaskan status kereta yang dimaksudkan iaitu Mercedes Benz S300 yang menggunakan plat KBV8 itu dibeli oleh PKNK bagi menggantikan kereta rasmi kegunaan Yang di-Pertuan Agong di Langkawi.

Tambah beliau lagi, persoalan isu ini timbul berikutan kereta terbabit diletakkan nama Menteri Besar Kedah, sebaliknya tidak meletakkan nama KDYMM Yang Dipertuan Agong.

“Saya minta beliau (Mukhriz) jawab dan jelaskan. Kita tidak kisah kalau benar kereta tersebut untuk kegunaan KDYMM Yang di-Pertuan Agong, tetapi agak hairan kenapa kereta itu diletakkan nama Menteri Besar Kedah, malah nombor plat juga tidak menggunakan warna kuning.

“Sebelum beliau jelaskan kereta tersebut untuk kegunaan Yang di-Pertuan Agong, kereta itu sudah diletakkan dengan nama Menteri Besar,” tegasnya sambil meminta penjelasan mengapa kereta terbabit tidak meletakkan nama Yang di-Pertuan Agong seawal ia dibeli.


Dalam pada itu, Mahfuz turut menyifatkan kenyataan Mukhriz sebelum ini sengaja untuk mengelirukan semua pihak termasuk pihak media dan masyarakat.

Menurut beliau lagi, kenyataan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah, Datuk Mohd Puad Mohd Ali juga mengelirukan dan dilihat lambat memberi respon kepada isu berkenaan.

“Saya difahamkan sebelum ini beliau enggan mengulas isu ini apabila ditanya pihak media, sebaliknya kelmarin beliau mengulas mungkin disebabkan timbul kekeliruaan di peringkat pegawai yang menyebabkan kereta terbabit diletakkan dengan plat Menteri Besar.

“Kereta itu dibeli atas nama SUK, beliau sepatutnya boleh menjawab dan boleh beri maklumat yang jelas kepada Menteri besar dari awal lagi. Jadi dua kepimpinan utama negeri cuba untuk mengelirukan rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Mahfuz turut mempersoalkan keunikan nombor plat KVB8 yang diletakkan pada kereta untuk kegunaan rasmi yang di-Pertuan Agong.

“KBV8 ini dari dahulu lagi dikhaskan untuk plat kereta Menteri Besar Kedah. Sepatutnya kalau nak beli untuk kegunaan Yang di-Pertuan Agong, gunalah nombor baharu ataupun plat yang digunakan Tuanku yang digunakan sebelum ini.

“Selain itu, kita juga ingin tahun berapa harga kereta baharu yang dibeli oleh PKNK itu. Kita juga difahamkan kereta berkenaan sudah dibeli beberapa bulan lalu, jadi bila akan di bawa ke Langkawi,” katanya.

Mahfuz turut menyifatkan, Mukhriz cuba berlindung di sebalik institusi istana selepas jawapan beliau dilihat tidak berjaya untuk melepaskan dirinya daripada persoalan isu tersebut.

“Sekarang beliau cuba untuk menutup isu ini dengan mengaitkan kegunaan kereta itu untuk kegunaan yang di-Pertuan Agong, dengan harapan orang tidak pertikai kerana membabitkan kegunaan Diraja,” dakwanya.

Penang Wasabi..

Kasihan...!!! PKR dipinggirkan di Kelantan?


Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah menyangkal dakwaan mengatakan kerajaan negeri meminggirkan kepimpinan PKR negeri ini.

Menurutnya, kerjasama yang dilakukan bersama PKR sekarang adalah berdasarkan apa yang dipraktikkan sewaktu zaman pemerintahan bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Kita tidak pinggirkan sesiapa, pelantikan penghulu dan jawatan lain, cuma untuk pelantikan exco itu memang kita tidak pernah lakukan, sebab hanya (menang) satu kerusi sahaja, Pas di Pulau Pinang pun hanya satu kerusi dan tidak dijadikan exco juga, jadi semuanya sama sahaja.

“Apa yang dibuat zaman Tok Guru (Nik Aziz) akan tetap kita kekalkan sehingga hari ini, tidak menjadi masalah pun sebenarnya, cuma kita tidak tahu apa yang dimaksudkan oleh beliau, jika benar beliau rasa perlu penyertaan yang lebih dalam pentadbiran kerajaan, boleh datang jumpa menteri besar untuk membawa pandangan tersebut, ikut prosedur yang betul,” katanya kepada media selepas kuliah mingguan di Medan Ilmu, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan seorang pemimpin PKR negeri melahirkan rasa kesal dan terkilan dengan sikap kerajaan negeri yang didakwa tidak melaksanakan janji.

Lebih menguatkan lagi dakwaan tersebut apabila Setiausaha Politik menteri besar, Wan Nik Wan Yusoff dalam satu kenyataan berpandangan hanya dua parti sahaja dominan di Kelantan iaitu Pas dan Umno, manakala PKR tidak mendapat sokongan rakyat.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan turut menyifatkan kenyataan dikeluarkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berhubung perhimpunan ‘Turun’ sebagai keterlaluan.

“Beliau sepatutnya lebih cermat mengeluarkan sebarang kenyataan, oleh sebab ‘bughah’ (penderhaka) yang digunakan terlalu berat untuk dijadikan hukuman, jadi adakah orang yang turun secara aman meminta supaya kerajaan menurunkan harga barang itu dianggap sebagai penderhaka, mereka tiada senjata, tiada apa.

“Kenyataan mufti itu bagi saya terlalu berat dan tidak menepati suasana sebenarnya. Saya berharap dia akan lebih berhati-hati pada masa akan datang sebab orang akan berpegang pada pandangan mufti, sedangkan perkara tersebut tidak sampai hingga ke peringkat itu,” katanya.

Penang Wasabi..

Thursday, January 9, 2014

Bible Dalam Bahasa Melayu - Antara Isi Kandungannya?


Mungkin ramai yang tertanya tanya macam mana isi kandungan Bible didalam bahasa Melayu. Dan disini penulis nak tunjukkan contohnya hasil daripada rampasan JAIS.

"Mereka telah mentafsirkan bahawa Allah ada 3 dan Isa adalah anak Allah". Perkara ini yang amat di risaukan kerana jika Bible Bahasa Melayu ini terlepas ke tangan orang melayu yang tidak kuat imannya mungkin akan terpesong selepas membacanya. Nauzubillah.. jauhkan lah daripada kita semua.

Kalimah Allah tetap mereka gunakan. Allahuakbar!

Penang Wasabi

Saturday, January 4, 2014

Harussani tak gentar kecaman?


“Saya berkata yang benar, bukan mencari publisiti murahan dan tidak akan berganjak daripada pendirian,” tegas Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria.

Sambil menegaskan tanggungjawabnya mengingatkan umat Islam, Harussani berkata, istilah ‘bughah’ tidak terhad hanya penentangan terhadap kerajaan yang adil, sebaliknya merangkumi kerajaan yang sah dipilih melalui sistem demokrasi berperlembagaan.

Beliau tidak gentar jika ada pihak yang mengecam kenyataannya itu, malah tetap istiqamah dalam pendiriannya meskipun berdepan kemarahan segelintir kelompok.

“Jika ada yang hendak buat laporan polis, itu hak mereka. Apa yang dikatakan itu adalah fahaman saya terhadap Islam. Saya bukan hendak mencari publisiti.

Sementara itu, penjelasan tentang isu bughah akan diberikan!

Jabatan Mufti Perak akan tampil membuat kenyataan rasmi berhubung perkataan bughah yang digunakan ketika mengulas himpunan Gerakan Kos Sara Hidup (Turun) pada malam sambutan tahun baharu 2014, lalu.

Timbalan Mufti Negeri, Zamri Hashim berkata, penjelasan itu akan dibuat dalam masa terdekat.

“Kita ambil maklum perkara ini dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenainya kelak,” katanya ketika ditemui sempena lawatan Pemuda Pas Perak, di sini, semalam.

‘Bughah’ yang mengikut hukum membawa maksud ‘darah halal’ mencetuskan kontroversi apabila didakwa dikeluarkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang merujuk kumpulan perhimpunan berkenaan.

Dalam perkembangan yang sama, Ketua Pemuda Pas Perak, Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, penjelasan sewajarnya perlu dibuat bagi mengelakkan lebih banyak kekeliruan orang ramai.

Menurutnya, kenyataan bughah yang merujuk kepada menghalalkan darah peserta himpunan berkenaan boleh disalah tafsir oleh sesetengah pihak hingga akhirnya memberi kesan buruk kepada masyarakat.

Penang Wasabi..

Thursday, January 2, 2014

Tarikan terbaru pelancong ke Pulau Pinang?


DAPig Guan Eng bermewah di sebalik bajet defisit?

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diselar kerana menggunakan kereta rasmi jenis Mercedes-Benz S300L di sebalik bajet defisit kerajaan DAP Pulau Pinang buat tahun keempat berturut-turut.

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim menyifatkan, tindakan bermewah-mewah oleh Ketua Menteri Pulau Pinang itu sebagai angkuh dan hipokrit kerana langsung tidak memikirkan sensitiviti rakyat.

"Apabila Pulau Pinang mengalami bajet defisit, Guan Eng sepatutnya tunjuk contoh pemimpin yang baik untuk berjimat-cermat tetapi ini tidak, dia pula yang berlebih-lebih dengan kereta mewah baharu.

"Kereta Toyota Camry 2.5 yang digunakan sebelum ini masih baik lagi, kenapa pula dia hendak tukar sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pun hanya menggunakan Proton Perdana sebagai kereta rasmi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Kerajaan DAP Pulau Pinang semalam mengumumkan Guan Eng menggunakan kereta rasmi jenis Mercedes-Benz S300L bernilai RM657,218 sekiranya tiada potongan cukai.

Pengumuman itu dibuat tidak sampai tiga bulan selepas kerajaan negeri itu menukarkan kereta rasmi kepada Toyota Camry 2.5.

Kerajaan DAP Pulau Pinang membentangkan bajet defisit RM255.44 juta untuk tahun 2014 yang merupakan bajet defisit buat kali keempat berturut-turut selepas defisit RM262.04 juta untuk tahun 2013, RM213.71 juta (2012) dan RM107.78 juta (2011).

Menurut Tunku Abdul Aziz, Guan Eng cukup licik memanipulasi emosi penduduk Pulau Pinang dan kaum Cina untuk membenci dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) namun pada yang sama mengambil kesempatan daripada kuasa yang dimilikinya untuk mengaut kemewahan.

"Saya ada lihat gambar Guan Eng keluar daripada kereta baharu itu, muka dia tersenyum lebar.

"Bagi saya, Guan Eng dan DAP tiada prinsip, kalau mereka sudah boros dan bermewah dengan kuasa hanya di peringkat negeri, saya rasa perkara lagi teruk berlaku sekiranya mereka berkuasa di Putrajaya," katanya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman pula menganggap Guan Eng seperti meludah ke langit memandangkan beliau pernah mengkritik tindakan Kerajaan Negeri Terengganu membeli kereta jenama serupa pada 2008 bagi tujuan sama.

Katanya, Guan Eng sepatutnya berasa malu dengan keputusan itu kerana beliau sendiri sebelum ini menyifatkan pembelian kereta mewah untuk kegunaan rasmi merupakan pembaziran.

Sehubungan itu, beliau mendesak Ahli Parlimen Bagan berkenaan tidak menggunakan hak-hak serta keistimewaan selaku Ketua Menteri sebagai alasan bagi mewajarkan pembelian kereta mewah tersebut.

"Kalau mahu gunakan kereta Mercedes, teruskan sahaja, tidak perlu berdolak-dalik. Mengapa apabila orang lain mengambil tindakan serupa beliau kutuk dan selar tetapi untuk beliau sendiri dikatakan sebagai hak?

"Cuma dalam isu pembelian ini, kita lihat wujud ketidakcekapan pengurusan kewangan negeri kerana tidak sampai tiga bulan membeli Toyota Camry 2.5, kerajaan negeri membeli pula sebuah Mercedes-Benz," tegas Zainal Abidin.

Dalam pada itu, bekas Pengerusi DAP Cawangan Pantai Sepang, Selangor, R. Vellasamy berkata, Guan Eng tidak memikirkan nasib rakyat miskin di Pulau Pinang apabila memilih untuk menggunakan kereta mewah itu.

"Nampak sangat dia cuma fikirkan kepentingan diri sendiri dan bukan mengenai banyak masalah rakyat yang masih belum selesai," katanya.

Katanya, tindakan bermewah oleh Guan Eng itu sama sahaja dengan kerajaan pembangkang di Selangor yang menaikkan gaji Menteri Besar dan Speaker Dewan Undang Negeri (DUN) sebelum benar-benar memajukan negeri itu.

Penang Wasabi..