~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Thursday, December 9, 2010

Tangkis usaha pembangkang mempolitikkan isu subsidi!

Pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan dilihat sekali lagi terpaksa membuat satu keputusan tidak popular apabila mengumumkan penyelarasan harga petrol, diesel, petroleum gas cecair (LPG) dan gula sebagai langkah selanjutnya dalam Program Rasionalisasi Subsidi.

Kita percaya keputusan ini bukanlah mudah bagi kerajaan apatah lagi untuk ia dilabel sebagai keputusan yang terburu-buru mahupun tergesa-gesa kerana kita yakin kerajaan sedikitpun tidak berniat untuk membebankan rakyat.

Dalam hal ini, rakyat juga perlu lebih bersikap terbuka dan adil kepada pihak kerajaan. Ini kerana, pihak kerajaan sudah pasti sentiasa berusaha menjaga imej dan populariti di mata rakyat, namun adakalanya terpaksa membuat keputusan yang kurang popular dan kurang disenangi sebegini demi kelangsungan pembangunan ekonomi negara pada masa akan datang.

Sejak beberapa bulan yang lalu, isu subsidi yang ditanggung oleh pihak kerajaan menarik perhatian khalayak apabila ia mula didedahkan untuk perhatian umum.

Pelbagai pendedahan demi pendedahan telah dibuat dalam bentuk fakta dan juga statistik oleh kerajaan untuk menunjukkan kepada rakyat tentang jumlah sebenar dan jenis subsidi yang ditanggung selama ini dan juga kesan tanggungan selepas ini jika keadaan sekarang berterusan sehinggalah keluar kenyataan bahawa negara boleh muflis suatu hari kelak jika kita tidak bertindak mengurangkan subsidi sekarang.

Walaupun pakar-pakar ekonomi kurang bersetuju dengan ramalan bahawa kita akan muflis, namun satu perkara yang jelas ialah beban tanggungan kerajaan semakin bertambah kerana subsidi. Ini adalah kenyataan dan hakikat yang perlu diterima dan diakui oleh semua pihak.

Dalam konteks politik, isu penyelarasan subsidi boleh diterjemahkan sebagai memberi kesan langsung kepada imej, populariti serta sokongan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan pimpinan Najib.

Seperti yang kita sedia maklum, keputusan kerajaan ini sudah pastinya sedikit sebanyak akan mula memberi kesan kurang baik kepada imej kerajaan di mata rakyat terutamanya masyarakat luar bandar yang tidak mempunyai pendapatan tetap umpama kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Kenaikan harga gula dan minyak ini dilihat mampu memberi kesan yang besar kepada golongan tersebut. Hal ini menyebabkan ramai yang mula menzahirkan perasaan marah dan tidak puas hati terhadap pihak kerajaan.

Maka dalam keadaan ini, sudah mula kedengaran dan kelihatan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan isu pengurangan subsidi ini sebagai modal politik mereka demi meraih sokongan rakyat. Mereka secara terang-terangan mempolitikkan isu penyelarasan subsidi ini dengan pelbagai hujah yang dangkal.

Justeru jentera pentadbiran kerajaan perlu memainkan peranan yang aktif dan agresif supaya dapat menangkis segala tohmahan dan tuduhan yang berbaur politik seperti ini yang dilemparkan kepada kerajaan. Kita khuatir jika isu ini dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, maka dengan mudahnya ia akan mempengaruhi mood dan sentimen rakyat untuk membenci kerajaan.

Malah jika segala propaganda politik seperti ini tidak ditangani dengan bijak, ia boleh merubah pandangan, tanggapan dan persepsi rakyat jelata terhadap kerajaan dan juga kepimpinan Najib. Ia pastinya akan mendatangkan kesan dan implikasi yang besar kepada Barisan Nasional (BN) yang sedang giat berusaha untuk memulihkan imej dan meraih keyakinan rakyat selepas Pilihan raya Umum (PRU) ke-12.

Oleh itu, pihak kerajaan perlu menyusun strategi yang efisien dan efektif dengan mencari pendekatan yang lebih bijak dan holistik dalam memberi penerangan dan penjelasan kepada rakyat terutamanya penduduk luar bandar yang tidak begitu arif dan memahami tentang data mahupun statistik yang dibentangkan dan didedahkan dalam media cetak dan juga media elektronik.

Masyarakat kampung lebih suka dan selesa, malah lebih mudah untuk memahami sesuatu perkara apabila ia dijelaskan secara bersemuka dalam bahasa yang mudah difahami mereka. Di sinilah pihak kerajaan perlu menggerakkan seluruh jentera yang ada terutamanya Jabatan Penerangan Negeri dan juga wakil-wakil parti komponen agar dapat membuat siri jelajah ke seluruh kawasan luar bandar demi mendekati penduduk yang masih kurang faham dan perlukan penjelasan. Usah biarkan pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dan seterusnya memutarbelitkan fakta dengan sewenang-wenangnya.

Kerajaan perlu membuktikan kepada rakyat bahawa penyelarasan subsidi adalah untuk kemajuan dan kesejahteraan rakyat untuk tempoh jangka masa yang panjang iaitu sekurang-kurangnya bagi tempoh lima atau 10 tahun yang akan datang terutamanya dalam usaha untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dan negara maju menjelang tahun 2020.

Dalam hal ini, apa yang kita boleh syorkan ialah di samping pihak kerajaan perlu melipatgandakan usaha untuk menangkis segala tohmahan politik yang dilemparkan, kerajaan juga pada masa yang sama wajar berusaha meraih sokongan rakyat dan ia boleh dicapai jika kerajaan bijak membelanjakan jumlah subsidi yang berjaya dikurangkan itu.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment