~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Wednesday, March 10, 2010

Wan Azizah dicabar lepas jawatan Presiden PKR!

Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail didesak menyahut cabaran Zulkifli Noordin agar melepaskan jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau bertanding di Kulim-Bandar Baharu jika beliau seorang pemimpin yang berprinsip.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, langkah itu penting bagi membuktikan dakwaan Zulkifli bahawa Wan Azizah hanya sekadar presiden penghias muka depan dan tidak berfungsi, dapat disangkal.

“Sepatutnya beliau berani menyahut cabaran kerana hujah Zulkifli cukup kuat apabila mendakwa Wan Azizah tidak lagi mampu berfungsi sebagai presiden dan rekod kepimpinannya juga buruk apabila lapan wakil rakyat PKR telah keluar parti sama ada secara sukerala atau dipecat.

“Perkara ini jarang berlaku dalam sejarah kepimpinan politik tanah air. Oleh itu, jika beliau berasakan dia seorang yang masih berprinsip sepatutnya segala cabaran Zulkifli disahut dan buktikan semua tuduhan tersebut tidak benar,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelajaran mengulas tindakan Wan Azizah yang berdiam diri terhadap cabaran Zulkifli walaupun sebelum ini beliau terlebih dahulu ‘menyerang’ Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu dengan memintanya melepaskan jawatan selaku wakil rakyat.

Semalam, selepas dua hari dipecat daripada PKR, Zulkifli membalas desakan Wan Azizah apabila menasihatkan Presiden PKR itu supaya mencerminkan diri sendiri terlebih dahulu.

Menurut Zulkifli, Wan Azizah yang seharusnya melepaskan jawatannya kerana parti itu gagal mempertahankan dasar Islam, menjadi penyebab parti itu hilang sebuah negeri serta kepimpinannya yang teruk menjadi pendorong terhadap tindakan lapan wakil rakyat keluar parti.

Mengulas lanjut, Mohd. Puad bagaimanapun yakin, Wan Azizah akan terus mengambil sikap berdiam diri terhadap cabaran tersebut kerana mendakwa Presiden PKR itu telah dikuasai sepenuhnya oleh kumpulan firaun-firaun kecil seperti yang didakwa Zulkifli.

“Wan Azizah tidak akan berani menyahut cabaran Zulkifli kerana beliau hanyalah seorang presiden yang dipergunakan oleh golongan firaun-firaun kecil dalam PKR.

“Kenyataan awal beliau sebelum ini pun supaya Zulkifli melepaskan kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu, saya percaya didesak oleh kumpulan tersebut kerana sehingga kini golongan firaun itu tidak bersuara,” jelasnya.

Mohd. Puad berkata, bukti yang menunjukkan Wan Azizah adalah seorang boneka begitu banyak, antaranya tentang keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PKR yang akhirnya akan diubah oleh beberapa individu dalam parti itu.

Tindakan itu, katanya, jelas membelakangkan kedudukan Wan Azizah selaku presiden dan ia juga membuktikan isteri Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu tidak mempunyai kuasa serta tidak dihormati.

Penang Wasabi

No comments:

Post a Comment