~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Saturday, March 27, 2010

Tubuh Suruhanjaya Diraja siasat Anwar!

Kerajaan diminta menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tindak tanduk Ketua Pembangkang itu jelas menggugat keluhuran Perlembagaan, kedaulatan negara dan menghina mahkamah.

Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) berkata, walaupun kes liwat Anwar masih dalam perbicaraan, namun Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu telah bertindak menjaja kes itu ke seluruh negara bagi membentuk persepsi di kalangan rakyat bahawa beliau adalah mangsa konspirasi kerajaan.

Beliau berkata, apa yang dilakukan Anwar itu sangat berbahaya dan mampu mengancam keselamatan negara.

Katanya, ini ditambah pula dengan pendedahan Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bebas-Bayan Baru) baru-baru ini bahawa Anwar sanggup melakukan apa sahaja termasuk mengaitkan Yang di-Pertuan Agong dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menjayakan rancangan 16 September.

''Oleh itu satu Suruhanjaya Diraja atau inkues atau membuka kertas putih perlu dilakukan. Kerajaan perlu mengambil tindakan yang sewajarnya kerana apa yang saya katakan ini adalah berdasarkan bukti yang jelas.

'Terdapat dua pucuk surat yang masing-masing ditandatangani oleh Setiausaha Agung PKR iaitu Saifuddin Nasution bertarikh 12 Februari 2010 dan Datuk Sallehuddin Hashim 28 Julai 2008 menyatakan Anwar tidak bersalah yang disebarkan ke serata tempat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Ibrahim berkata, berdasarkan dua pucuk surat yang diedarkan di semua tempat termasuk di masjid, PKR cuba membentuk satu persepsi kepada rakyat bahawa Anwar menjadi mangsa konspirasi sedangkan perbicaraannya masih lagi berjalan.

''Surat ini dikepilkan bersama dengan laporan perubatan milik pengadu kes, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang memberitahu seolah-olah tiada berlaku liwat antara mereka berdua. Apa makna semuanya ini? Apa tujuan Anwar sebenarnya menjaja surat berkenaan.

''Surat ini dicetakkan sebanyak satu juta salinan untuk disebarkan kepada rakyat termasuk di masjid-masjid. Ini bukti jelas. Anwar telah merosakkan sistem kehakiman negara," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, apa yang dihadapi oleh Anwar itu pernah dilalui oleh pemimpin terdahulu seperti bekas Ketua Pemuda UMNO, Allahyarham Datuk Idris Harun dan bekas timbalan menteri, Datuk Mokhtar Hashim.

''Walaupun kedua-dua mereka ini mempunyai pengaruh tetapi mereka merupakan pemimpin berjiwa besar kerana mereka tidak pernah menggunakan pengaruh untuk mengganggu perjalanan mahkamah,'' katanya lagi. Sementara itu, beliau menyelar sesetengah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Melayu termasuk pemimpin pembangkang melabelkan NGO Melayu sebagai perkauman.

Beliau berkata, selama ini NGO Melayu tidak pernah mempersoalkan tindakan NGO bukan Melayu memperjuangkan hak mereka seperti mana yang pernah dilakukan oleh pihak Dong Jiao Zhong dalam isu pendidikan Cina.

''Untuk pengetahuan semua, perjuangan kita ini adalah mengikut kerangka Perlembagaan Persekutuan dan mengapa bila kita memperjuangkan hak kita sendiri kita dikatakan rasis. ''Kita tidak pernah pertikai hak orang lain tetapi apa yang kita lakukan ini adalah untuk mempertahankan hak kita sendiri. ''Mengapa mereka selalu mempersoalkan tindakan kita ini?'' katanya.

Penang Wasabi

No comments:

Post a Comment