ALHAMDULILLAH sambutan umat Islam di serata pelosok dunia terhadap hari dan bulan kelahiran Nabi SAW tetap segar dan bersemangat. Di negara kita sendiri, pelbagai bentuk sambutan yang diadakan di pelbagai peringkat mendapat sokongan dengan kehadiran begitu ramai anggota masyarakat.
Masih banyak majlis yang dijadualkan dalam masa terdekat sehingga mungkin melimpah keluar bulan Rabiulawal. Semua ini adalah suatu nikmat dan kurniaan istimewa daripada Allah SWT bagi umat dan negara kita.
Kita berdoa agar umat Islam di Malaysia akan sentiasa terkedepan dalam mengagungkan, menyanjung, mempertahankan dan membuktikan kecintaan kita terhadap Sayyiduna Muhammad SAW yang semuanya merupakan inti dan hakikat sambutan Maulid Nabi.
Kita berdoa agar sambutan Maulid Nabi di negara kita akan terus meriah dan lebih semarak walaupun terdapat suara-suara yang nampaknya tidak senang dan kelihatan seolah-olah alahan (alergik) dengan sambutan Maulid.
Pada tahun ini, suara-suara ini turut 'menumpang' isu pembatalan perarakan sambutan Maulid di sebuah negeri. Sebenarnya, saban tahun, apabila datang sahaja bulan Maulid, ada sahaja suara-suara yang nampaknya bersumber daripada orang-orang yang sama yang mempertikaikan dan tidak senang dengan Maulid.
Sikap tidak senang ini disuarakan pada pelbagai tahap dan dengan pelbagai ibarat. Ada yang menafikan adanya keistimewaan atau fadilat Maulid Nabi SAW dan membanding-bandingkannya dengan keutamaan Nuzul Quran. Ada yang mengungkit-ungkit bahawa sambutan Maulid tidak pernah dibuat oleh Nabi SAW dan para sahabatnya (maksud bidaah yang sesat).
Ada pula yang memilih musim Maulid ini untuk menulis dan menekankan tentang soal keinsanan Nabi Muhammad SAW. Dan ada juga yang mempertikaikan cara dan kaedah sambutan itu diadakan.
Mereka yang faham dan mengenali suara-suara ini tidaklah terlalu terperanjat walaupun tetap menepuk dahi dan mengurut dada kerana sedih dan kesal dengan kekeliruan yang cuba dijaja dan kedegilan sikap yang ditonjolkan.
Mereka yang kurang mengerti dan memahami pula mungkin sedikit-sebanyak akan terkeliru dan timbul kesangsian terhadap sambutan Maulid. Apatah lagi jika isu ini turut bercampur dan bertindan dengan isu dan sentimen politik kepartian.
Bukanlah terlalu besar isunya, jikalau yang dipertikaikan tentang Maulid ini adalah kaedah dan cara sambutannya. Prinsip-prinsip Islam dalam menentukan kaedah dan cara dalam sesuatu amalan sudah ada pada kita. Yang haram dan halal sudah jelas dalam Islam, manakala yang syubhah eloklah dijauhi.
Kita turut diajar berlapang dada dalam persoalan yang statusnya masih khilaf. Kita juga dilarang mempertikaikan niat orang lain serta perlu bersangka baik sesama Islam. Berbekalkan sikap ini soal-soal rinci seperti berarak atau tidak, pembaziran, percampuran dan batas aurat, lafaz dan bacaan selawat, berkompang dalam masjid dan sebagainya dapat kita singkapi tanpa menimbulkan banyak masalah.
Malangnya, sebahagian suara yang alahan Maulid ini turut mempertikaikan prinsip dan hukum Maulid serta kewajaran dan kebijaksanaan menganjurkannya dari sisi Islam. Ini adalah soal yang lebih besar dan mendasar.
Kegelinciran kaki dalam hal ini boleh melibatkan soal-soal besar termasuklah menyakiti Nabi SAW, tidak beradab dengan Baginda SAW, menentang syiar Islam, menyesatkan para ulama dan umat Islam, memecahkan kesatuan umat dan seumpamanya.
Tidak hairanlah seorang tokoh ulama Yaman, al-Allamah Abu Abdullah 'Alawi al-Yamani turut memperuntukkan bab khusus tentang persoalan Maulid dalam kitabnya yang bertajuk Intabih Diinuka fi Khotrin (Awas, Agamu Dalam Bahaya!). Memang, jika tidak berhati-hati, kata-kata dan perbuatan kita dalam bab Maulid ini boleh membahayakan dan mengancam agama kita sebenarnya.
Kerangka Fikir Menolak Maulid
Jika diteliti, ada beberapa kerangka faham agama tertentu yang dipegangi oleh mereka yang alahan Maulid ini yang akhirnya menyebabkan mereka bersikap begitu. Kerangka faham agama yang sama juga menyebabkan mereka turut berbeza sikap dengan majoriti umat dalam soal-soal tertentu seperti fiqh bermazhab, tasawuf, dan beberapa isu-isu khilafiyyah.
Kita boleh menyimpulkan kerangka faham agama mereka ini kepada beberapa fahaman utama:
Pertamanya: Fahaman mereka yang ganjil berkenaan prinsip dan konsep bidaah. Mereka tidak mahu menerima pandangan ulama-ulama muktabar yang membahagikan bidaah kepada yang sesat dan yang terpuji. Bagi mereka semua bidaah dalam hal agama adalah sesat. Mereka keras berpegang dengan tafsiran literal dan sempit kepada hadis yang berkaitan persoalan bidaah ini.
Kedua: Mereka terlalu menekankan sikap Ittiba' (mematuhi) dalam sikap mereka terhadap Nabi SAW dan Sunnahnya. Seterusnya, secara langsung atau tidak mereka ini sering mempertentangkan Ittiba' dengan sikap-sikap lain kita terhadap Nabi seperti Hubb (mengasihi) Ta'dzim (mengagungkan), Tasyaffu' (memohon syafaat), Tabarruk (mengambil berkat), Tawassul (mengambil sebagai perantaraan) dan seumpamanya.
Ketiga: Mereka berpegang serta bertaklid kuat dengan fahaman dan tafsiran beberapa tokoh ulama khalaf tertentu yang akhirnya telah diolah dan terolah menjadi suatu aliran terasing daripada arus perdana Umat. Berbekalkan fahaman-fahaman dalam aliran ini yang telah mereka angkat ke tahap doktrin dan memang disebarkan secara indoktrinasi (secara perbincangan sebelah pihak serta tidak saksama ataupun objektif), mereka ini rata-rata bersikap lebih pesimistik dan cenderung mempertikaikan tafsiran para ulama lain selain daripada beberapa ulama yang menjadi ikutan mereka.
Jika direnungi fahaman-fahaman asas mereka ini maka tidak hairanlah mereka ini cenderung menolak Maulid. Sebaliknya, mereka yang mendokong Maulid tidak perlu mengambil kira pandangan ini kerana asas-asas fahamannya ternyata berbeza dengan arus perdana umat.
Pertamanya, di sisi majoriti umat, sambutan Maulid adalah paling kurang pun dikira sebagai biaah Hassanah. Malah ada pandangan menyatakan bahawa ia termasuk sunnah yang dimulakan oleh Nabi SAW sendiri berdasarkan hadis yang menyebut bahawa kelahirannya pada hari Isnin menjadi salah satu asas Baginda SAW berpuasa sunat pada hari-hari tersebut; "Padanya (hari Isnin) aku dilahirkan dan padanya (hari Isnin wahyu pertama) diturunkan kepadaku." (Syarah Sohih Muslim, Imam Nawawi Jld 8 H: 235)
Majoriti umat juga tidak melihat konsep Ittiba', Hubb, Ta'dzim, Tasyaffu', Tabarruk dan Tawassul sebagai konsep-konsep yang bercanggahan antara satu sama lain. Malah semuanya adalah sebahagian dan selari dengan dasar mematuhi dan mentaati Nabi SAW kerana konsep-konsep ini tidaklah dilarang atau bercanggah dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi SAW.
Merujuk kepada asas fahaman mereka yang ketiga, majoriti umat Islam telah mewarisi khazanah fahaman agama meliputi ketiga-tiga cabang utamanya Akidah/Tauhid, Syariah/Fiqh dan Akhlak/Tasawuf daripada generasi demi generasi ulama-ulama pilihan dalam suatu kerangka yang kemas dan sistematik.
Para pemuka ulama umat dalam kerangka ini rata-ratanya tidak menolak dan mendokong Maulid sehingga boleh dianggap terdapat sebentuk Ijma' Sukuti (ijma' senyap) tentang sambutan Maulid Nabi selepas ia mula dianjurkan secara besar-besaran.
Penang Wasabi
No comments:
Post a Comment