~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Thursday, March 25, 2010

Polis akan soal Zulkifli Noordin!























Polis akan mengambil keterangan Anggota Parlimen Bebas Zulkifli Noordin berhubung pendedahannya di Dewan Rakyat semalam bahawa beliau ditawarkan ganjaran besar untuk memfitnah Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata memandangkan ia satu maklumat terbaru yang diterima polis, siasatan lanjut akan dijalankan bagi memastikan sama ada pendedahan oleh wakil rakyat Kulim-Bandar Baharu itu benar atau tidak.

"Sebagai prosedur siasatan satu-satu kes, kita akan memanggil mereka yang bertanggungjawab mendedahkan perkara itu bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita pada sambutan Hari Polis Ke-203 di Pusat Latihan Polis yang turut dihadiri Perdana Menteri dan isteri.

Musa berkata sebarang maklumat yang ada termasuk pendedahan itu akan dinilai dan digunakan bagi meneruskan siasatan sehingga kes itu dapat diselesaikan.

Semalam Zulkifli, yang juga bekas anggota Parti Keadilan Rakyat, mendakwa ditawarkan ganjaran yang, katanya boleh menggoyahkan iman, oleh pihak tertentu untuk mengaitkan Najib dan Rosmah dengan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Sebelum itu : Ganjaran lumayan fitnah PM, isteri!

Genap seminggu Dewan Rakyat digemparkan dengan kejutan pertama, hari ini giliran Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim Bandar Baharu) pula membuat pendedahan menggegarkan politik negara.

Beliau mendakwa pernah diberi tawaran lumayan oleh pihak tertentu untuk mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Tanpa mendedahkan pihak terlibat, beliau berkata, antara tugasnya ialah mendapatkan pengakuan bersumpah daripada Perdana Menteri dan isterinya selain diminta membuat surat akuan bersumpah bahawa Najib dan Rosmah terlibat dalam pembunuhan tersebut.

Zulkifli berkata, ganjaran yang ditawarkan memang boleh menggoyahkan iman namun begitu beliau bersyukur kerana Allah melindunginya daripada terlibat dengan fitnah itu.

“Atas sebab ini juga saya menarik diri daripada terus mengendalikan kes berkenaan kerana adanya gangguan daripada pihak ketiga yang menyebabkan mustahil bagi saya untuk terus bertindak secara profesional sebagai peguam membela bagi kes berkenaan.

“Kita perlu ingat takkanlah OKT-OKT (orang kena tuduh) tersebut sanggup dihukum mati di tali gantung kalau benar Perdana Menteri dan isterinya terlibat di dalam kes pembunuhan tersebut kerana saya sangat yakin pasti mereka akan dedahkan perkara itu jika ia benar,” katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Rabu lalu, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bebas-Bayan Baru) menggegarkan sidang Dewan Rakyat apabila ‘memecahkan tembelang’ Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung rancangan mengambil alih kerajaan Pusat ‘16 September’.

Zulkifli turut menegaskan, sebagai orang Islam semua pihak harus bersangka baik atau husnuzzan terhadap Perdana Menteri.

“Setahu saya Perdana Menteri telah melakukan sumpah menafikan pembabitan beliau dan setakat ini tidak ada antara kita yang berani bersumpah menafikannya.

“Oleh itu, bersangka baiklah sesama kita dan berpegang teguhlah kepada al-Quran. Bagaimana kita tidak suka difitnah orang, begitu jugalah kita tidak sepatutnya memfitnah orang lain,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, beliau sungguh hairan bagaimana segelintir yang mengaku Islam tetapi dengan mudah menuduh seorang Islam lain melakukan pembunuhan tanpa sebarang bukti dan keterangan.

“Lebih malang lagi fitnah orang bukan Islam boleh diterima sebagai bukti tanpa sebarang soal lagi. Orang seperti P. Balasubramanian telah diterima fitnahnya dengan sekadar membuat surat akuan sumpah dengan bayaran RM4.

“Namun begitu fitnah dan tohmahan tidak pernah dibangkitkan Balasubramaniam ketika memberi keterangan di mahkamah dan kepada pihak polis. Bagi saya dia hanya seorang oportunis yang mengambil kesempatan daripada kerakusan syaitan bertopengkan manusia,” tambahnya.

Pada sidang Dewan itu, Zulkifli turut mendedahkan beliau pernah diminta mengaitkan anak kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang bernama Nadim dalam satu kes pembunuhan sekitar tahun 2004.

“Saya tidak lupa pada sekitar 2004, apabila saya diminta mengaitkan Yang Berhormat Padang Rengas dengan gunakan kes pembunuhan Darren Kang di mana anak Yang Berhormat bernama Nadim ditohmah terlibat dalam pembunuhan itu kerana kebetulan berada di lokasi pembunuhan.

“Sedangkan lima warga Thailand iaitu pekerja Restoran Uncle Don di Sri Hartamas kemudian telah didakwa, dibicarakan serta membuat pengakuan bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Saya telah diminta mengaitkan Nadim dengan mereka,” katanya.

Sambil mengucapkan syukur, Zulkifli berkata, Allah sekali lagi menyelamatkannya daripada fitnah itu.

Katanya, beliau juga telah diarah dan diminta melaksanakan banyak perkara tidak betul yang ada di antaranya tidak dilaksanakannya.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada mereka yang menjadi mangsa kepada percaturan politik kotor ini. Saya berjanji akan berjumpa dengan mereka secara peribadi bagi memperbetulkan keadaan,” katanya.

Zulkifli mengingatkan kepada pihak tertentu agar tidak meletakkannya dalam keadaan yang memaksanya mendedahkan perlakuan mungkar yang berlaku.

“Kalau saya berbuat demikian, letupan besar yang dibuat oleh Yang Berhormat Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim sekadar ‘kentut yang sepi’. Begitulah kotornya mainan politik negara masa ini,” tambahnya.- UM.

Penang Wasabi

No comments:

Post a Comment