Pendedahan Ahli Parlimen Bayan Baru, Zahrain Mohamed Hashim mengenai pembohongan pemimpin utama PKR, Anwar Ibrahim berkaitan rampasan kuasa pada 16 September 2008, menjadi bualan hangat.
Manakan tidak, dalam pendedahannya itu, Anwar mendakwa Yang di-Pertuan Agong memperkenankan beliau sebagai Perdana Menteri jika rancangan 16 September menjadi kenyataan. Anwar turut mengaitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyokong beliau ketika itu. Bekas Panglima ATM, Abdul Aziz Zainal menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai taktik kotor Anwar.
Berbohong apatah lagi menjaja nama Yang di-Pertuan Agong dan ATM adalah sesuatu yang amat serius. Kerana mengejar tampuk kuasa, Anwar sanggup berbuat apa sahaja. Ia tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang yang bergelar pemimpin. Kalau di negara Barat, pemimpin yang berbohong ditolak mudah oleh rakyat. Pemimpin mesti berintegriti.
Tetapi kita tidak terkejut dengan pendedahan itu. Cerita-cerita sebegitu, telah lama kita dengar daripada rakan-rakan seperjuangan Anwar dalam PKR yang bertindak meninggalkan beliau. Menurut mereka, Anwar seorang putar alam atau bermaksud suka berbohong. Salah seorang daripada puluhan bekas pemimpin PKR yang tahu sangat perihal Anwar ialah S. Nalakaruppan. Beliau tahu hal luar dan dalam tentang Anwar.
Bertanyalah juga kepada Ezam Mohd. Noor, Anuar Shaari dan ramai lagi tentang pembohongan serta pembawaan bahaya Anwar. Banyak persoalan berlegar tentang beliau, kata mereka. Ada tertanya-tanya tentang kekayaan Anwar selain musykil pihak manakah yang membiayai aktiviti parti. Ada pula yang musykil pendirian Anwar berkaitan gejala seks sejenis.
Orang yang putar alam, sangat licik dan tidak mudah mengalah. Agama dan bangsa juga sanggup dipertaruhkan. Jika melakukan kesalahan besar termasuk dari segi moral, dia akan memperlihatkan seolah-olah dia adalah mangsa. Kajilah sejarah para pemimpin dan personaliti yang putar alam. Mereka mungkin 'berjaya' buat seketika tetapi semuanya berakhir dengan penghinaan yang amat dahsyat pada kaca mata masyarakat.
Dalam pendedahan Zahrain, nampaknya penjelasan dan jawapan Anwar mengenai hal itu tidak menyakinkan. Malah Zahrain mencabar wakil rakyat PKR bersumpah menafikan ketua pembangkang itu banyak berbohong ketika menggerakkan misi 16 September.
Adakah mereka akan bersumpah kerana takut ditimpa bala kerana apa yang dikatakan oleh Zahrain memang benar. (Beberapa wakil rakyat BN yang cuba dipancing oleh Anwar turut mengesahkan perkara itu termasuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi dan Lajim Ukin.) Untuk mengharapkan Anwar bersumpah, beliau pasti tidak berani. Sama keadaannya keengganan beliau bersumpah laknat atau muhabalah sebagaimana dilakukan oleh Saiful Azlan Bukhari yang mendakwa diliwat oleh Anwar.
Terbaru, beliau berada di London dengan terus memfitnah UMNO bersikap rasis dan menjadi punca kepada ketegangan agama serta kaum. Khabarnya, Anwar akan menemui beberapa pihak dan pemimpin termasuk bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Al Gore bagi mendapat simpati dan campur tangan bagi kes mahkamahnya. (Sejak dipecat daripada kerajaan lebih 10 tahun lalu, beliau sentiasa menagih sokongan luar kononnya atas nama demokrasi dan kebebasan).
Kini, Anwar sedar bukti pasukan pendakwaan kuat. Peluang untuk beliau menang di mahkamah agak sukar. Apatah lagi sokongan rakyat terhadapnya berkaitan kes tersebut, merudum teruk. Rakyat tidak mahu lagi terheret dengan isu moralnya. Ternyata Anwar makin terdesak. Kegiatan lobi beliau di luar negara diperhebatkan termasuk menerusi rakannya seperti Raja Petra Raja Kamaruddin yang kini bersembunyi di United Kingdom. Anwar turut mendapat khidmat nasihat strategis dari Amerika Syarikat (AS) berketurunan Pakistan, Aasil Kazi Ahmad. Aasil juga telah meninggalkan Malaysia, baru-baru ini apabila kegiatan beliau diketahui.
Agak sedih kerana tidak pernah berlaku dalam sejarah moden negara, ada pemimpin yang ghairah mendapatkan campur tangan luar bagi tujuan survival politik. Sebab itu kita boleh faham mengapa ramai yang melihat Anwar sebagai pengkhianat. Cabarannya apa lagi yang kita tidak tahu, yang perlakuan pengkhianatan itu mungkin lebih besar.
Orang seperti Anwar tidak kisah jika negaranya hancur sekalipun, asalkan matlamatnya tercapai. Menyelamatkan diri daripada kes salah laku seksnya adalah misi utama. Sebab itu, beliau tiada keberanian untuk bersumpah demi kebenaran.
Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri. Anwar telahpun mencuri harga diri rakyat serta kedaulatan negara. Persoalannya mahukah kita merelakan seorang putar alam dan menghadapi krisis moral terus diangkat menjadi pemimpin? Nauzubillah.
Penang Wasabi
No comments:
Post a Comment