~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Monday, March 8, 2010

Hanya janji tiada tindakan!

UTUSAN: Apa penilaian Datuk Seri selepas hampir dua tahun Pulau Pinang ditadbir pakatan pembangkang?

AHMAD ZAHID: Pada keseluruhannya terdapat kesedaran daripada rakyat berbilang kaum di Pulau Pinang selepas mereka menukar baju politik daripada Barisan Nasional (BN) kepada pakatan pembangkang.

Jelas daripada manifesto yang disogokkan kepada masyarakat, sebahagian besarnya tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan, malah beberapa tindakan yang dilakukan adalah bertentangan dengan hasrat manifesto pilihan raya mereka sendiri.

Di samping itu bukan sahaja di kalangan orang Melayu yang merasa terhantuk dengan tindakan pembangkang malah masyarakat India dan Cina juga merasakan bahawa apa yang telah dijanjikan pembangkang di Pulau Pinang tidak sebagaimana yang telah mereka lontarkan.

Tindak-tanduk itu menunjukkan mereka bagaikan terlupa bahawa mereka kini adalah sebuah kerajaan negeri kerana cara bertindak dan berfikir mereka sebenarnya masih seperti pembangkang.

Mahkamah rakyat akan menentukan kedudukan mereka pada Pilihan Raya Umum akan datang kerana rakyat telah dapat menilai prestasi mereka selama ini terutama daripada segi kebajikan yang masih belum ditunaikan.

Secara khusus apakah kesan pemerintahan pakatan pembangkang kepada orang Melayu di Pulau Pinang?

Ia bukan sekadar melibatkan penjaja malahan juga kontraktor bumiputera. Ini jelas menunjukkan ketelusan yang diagung-agungkan oleh mereka itu menyebabkan kontraktor Melayu tidak dapat bersaing di padang yang sama rata telah ketinggalan.

Ertinya walaupun tidak tertulis hasrat untuk membantu sesuatu golongan tetapi yang terjadi ialah peminggiran itu dilakukan. Saya juga melihat mereka cuba mempolitikkan hal ehwal agama dan ini termasuklah soal pengurusan agihan wang zakat yang sepatutnya sesiapa pun yang memerintah, hal ehwal agama Islam mesti dilaksanakan.

Daripada penjelasan itu nampak banyak kepincangan berlaku, adakah UMNO Pulau Pinang mempunyai strategi untuk menanganinya?

Paling penting semua kepimpinan UMNO harus mempunyai corak pemikiran yang sama, bertindak seiring dan mewujudkan perpaduan supaya langkah-langkah yang disusun itu boleh diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan.

Di Pulau Pinang, kita tidak boleh bergantung kepada UMNO sahaja, ia mesti melibatkan parti-parti komponen lain dan mereka perlulah bersama dengan apa yang telah dan sedang dilakukan UMNO antaranya gerakan turun ke akar umbi untuk memenangi semula hati rakyat.

Daripada segi BN, saya tidak mahu terlibat secara langsung walaupun menerajui UMNO negeri, sebaliknya ia 100 peratus diserahkan kepada anak jati Pulau Pinang kerana mereka yang menjadi pemangkin untuk menentukan maju mundur atau menang kalah BN di negeri itu.

Di Pulau Pinang, selain pembangkang ada juga parti baru iaitu Parti Cinta Malaysia (PCM) yang giat dipromosikan, adakah ia memberi cabaran kepada UMNO?
Saya fikir apabila Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri melontarkan pandangan supaya ada pindaan perlembagaan BN, ia menjurus ke arah mengajak parti lain di luar sana yang berkongsi aspirasi perjuangan supaya bersama kita.

Baik PCM, Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) atau Makkal Sakti, walaupun tidak menjadi parti komponen BN, mereka boleh menjadi penyokong BN, langkah ini pasti dialu-alukan UMNO Pulau Pinang.

Selepas Mac 2008, sudah ada tiga pilihan raya kecil di Pulau Pinang, kedua-duanya BN kalah. Adakah tahap sokongan sekarang sudah berbeza?

Situasi adalah berbeza pada masa itu dan tidak mustahil ia akan menjadi lebih berbeza dengan perkembangan-perkembangan terbaru yang sedang bergolak di Pulau Pinang.

Pada hemat saya bukan sahaja soal kepimpinan menjadi penting tapi bagaimana permasalahan rakyat itu ditangani oleh agensi-agensi Persekutuan kerana mereka mestilah menterjemahkan visi yang dilontarkan kepimpinan pusat untuk dilaksanakan di peringkat akar umbi.

Namun terdapat pertindihan antara agensi pusat yang mengendalikan aktiviti pentadbiran negeri dan ini mungkin telah dapat diselaraskan dengan sebaik-baiknya supaya ia disesuaikan dengan situasi politik di Pulau Pinang.

Terdapat pelbagai isu meletus di Pulau Pinang, apa yang paling tidak boleh diterima Datuk Seri?

Saya fikir terlalu banyak langkah yang mudah untuk disebut oleh mereka tapi sukar untuk dilaksanakan. Kita lihat dari segi mahu menyamaratakan semua kaum di Pulau Pinang. Sebenarnya ia tidak berlaku begitu walaupun DAP berhasrat menterjemahkan slogan Malaysian Malaysia. Hakikatnya ada yang terpinggir dan peminggiran ini cukup jelas sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati dalam pelbagai bentuk.

Malah Lim Guan Eng sendiri dalam usaha memenangi hati orang Islam menyatakan beliau adalah khalifah untuk semua kaum dengan mengambil contoh Khalifah Umar Abdul Aziz. Tetapi pelaksanaan jelas tidak begitu.

PRU ke-13 masih jauh namun bagaimana pula dengan persediaan untuk menampilkan calon terbaik?

Kita mengikut garis panduan yang dibuat Perdana Menteri. Apa yang sedang dilakukan oleh kepimpinan atasan tentulah mahu mencari calon yang boleh menang di kawasan itu, sudah tentu ia merujuk kepada personaliti yang boleh memberikan faedah secara langsung kepada rakyat. Saya lebih kepada mengikut garis panduan Perdana Menteri daripada menentukan kriteria kita sendiri di Pulau Pinang.

Sasaran UMNO di Pulau Pinang?

Setakat ini kita ada 11 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai UMNO. Kita yakin kalau usaha dapat dilakukan, sekurang-kurangnya tiga lagi kawasan majoriti Melayu dapat dimenangi UMNO.

Tetapi di Pulau Pinang undi bukan Melayu yang menjadi penentu, adakah Datuk Seri yakin ada perubahan pada PRU akan datang?

Yang penting komponen BN harus menjalin hubungan bukan sahaja dari aspek kerjasama bahkan melakukan aktiviti bersama UMNO. Dalam hal ini jika ada permasalahan dalam parti, kita selesaikan dengan cara terbaik dan kalau ada masalah di kalangan komponen BN, ia wajib diselesaikan dengan seberapa segera.

Penang Wasabi

1 comment:

  1. Bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairuddin mendedahkan terdapat beberapa pemimpin dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengamalkan taktik politik tidak bertamadun untuk membolot semua jawatan dalam parti dan kerajaan.

    Beliau memberitahu, individu-individu ini yang boleh dikatakan 'firaun-firaun kecil' menjalankan gerakan untuk menjatuhkan rakan- rakan dalam PKR bagi membolehkan mereka mendapat jawatan yang amat diidam-idamkan.

    "Sepatutnya selepas Pilihan Raya Umum 2008, rakyat telah menentukan wakil mereka, maka kita tumpukan kepada kerja untuk membela rakyat, malangnya apa yang berlaku dalam PKR ialah pemimpin-pemimpin ini mula menjalankan gerakan mengaibkan rakan di dalam parti.

    "Seperti yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin bahawa terdapat 'firaun-firaun kecil' yang ingin menjatuhkan beliau, perkara ini telah berlaku kepada saya terlebih dahulu kerana mereka idamkan jawatan yang dipegang pada masa itu," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemu bual pada program Soal Jawab yang disiarkan secara langsung menerusi TV3 malam ini.

    Fairus memberitahu, tindakan beliau melepaskan jawatan dalam PKR dan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti kerana diminta oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menstabilkan parti kerana gerakan yang dilakukan oleh 'firaun-firaun kecil' itu.

    Tegasnya, sebagai seorang ahli yang taat kepada perjuangan parti, beliau telah bertindak melepaskan kedua-dua jawatan kerana tidak mahu parti bergolak.

    "Itu adalah prinsip yang saya pegang, taat setia kepada prinsip perjuangan parti, yang penting ialah parti bukan pemimpin seperti saya, selama setahun (saya) memerhatikan dari luar apa yang berlaku di dalam PKR," katanya.

    Fairus yang terlibat dalam PKR sejak awal penubuhan parti itu pada tahun 1998 menegaskan bahawa beliau keluar dari parti dan memasuki UMNO kerana prinsip-prinsip perjuangan parti pembangkang itu telah berubah terutama dalam memperjuangkan bangsa dan agama.

    "Apa yang berlaku dalam PKR baru setahun jagung memerintah tetapi ketamakan politik amat luas sampai ke tahap bawahan sehinggakan perjuangan tersasar yang menyebabkan saya kecewa.

    "Perjuangan memartabatkan bangsa dan agama, raja-raja Melayu yang telah disepakati dulu kini hancur di PKR, sebab itulah saya memilih wadah baru untuk berjuang di dalam UMNO atas prinsip untuk memperjuangkan bangsa serta agama," katanya.

    Beliau menafikan terdapat tawaran berjuta-juta ringgit atau pelbagai lagi imbuhan daripada UMNO kalau menyertai parti itu tetapi apa yang ditawarkan ialah untuk terus berjuang memartabatkan bangsa serta negara.

    Fairus juga merasa kecewa dengan sikap pemimpin-pemimpin PKR yang menyerang peribadi bekas pemimpin-pemimpin yang keluar dari parti tersebut.

    "Inilah PKR yang cukup rendah martabat moralnya, politik yang mencemarkan maruah dan merupakan amalan politik kasar yang begitu hina," katanya.

    Salam perjuangan..

    ReplyDelete