~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Sunday, April 18, 2010

PRK P94 Hulu Selangor : Pertandingan empat penjuru!

P. Kamalanathan, calon Barisan Nasional (dua dari kiri) bersama calon Bebas SV. Chandran (kiri); Datuk Zaid Ibrahim (Parti Keadilan Rakyat) dan Johan Md. Diah (Bebas) di pusat penamaan alon di Kuala Kubu Bahru, semalam.



Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor yang akan berlangsung pada 25 April ini, bakal menyaksikan pertarungan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan dua calon Bebas.

Selain calon BN, P. Kamalanathan,44 dan calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim, 59, dua lagi calon yang disahkan layak untuk bertanding atas tiket Bebas ialah bekas Timbalan Pengerusi MIC Hulu Selangor, VS. Chandran, 56 dan seorang peniaga, Johan Md.Diah, 31.

Pengurus Pilihan Raya Parlimen Hulu Selangor, Norhisham Ahmad Dahalan ketika mengumumkan perkara itu berkata, tiada bantahan dikemukakan sepanjang proses penamaan berlangsung yang bermula pada pukul 9 pagi dan berakhir pukul 11 pagi di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Kuala Kubu Bharu di sini hari ini.

Sebelum itu, Zaid merupakan calon pertama menyerahkan borang pencalonan iaitu pada pukul 9.06 pagi, diikuti Kamalanathan pada pukul 9.30 pagi. Chandra pula menyerahkan borang itu pada pukul 9.34 pagi, sebelum diikuti oleh Johan kira-kira dua minit kemudian. Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu akibat barah otak. Dalam pilihan raya umum lalu, Allahyarham menewaskan calon BN, Datuk G.Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.

Kawasan Parlimen itu mempunyai 64,500 pengundi di tiga Dewan Undangan Negeri iaitu Ulu Bernam, Kuala Kubu Bahru dan Batang Kali. Daripada jumlah itu, DUN Batang Kali mencatatkan jumlah pengundi tertinggi iaitu 27,832 pengundi diikuti Kuala Kubu Bahru (18,212 pengundi) dan Hulu Bernam (17,149 pengundi).

Sementara itu, mengulas mengenai pertandingan empat penjuru tersebut, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menganggap ia tidak mendatangkan apa-apa perbezaan kerana bagi BN berapa pun jumlah calon yang bertanding, parti itu tetap bersedia menghadapinya.

Katanya, kehadiran calon bebas itu mungkin bertujuan untuk menarik undi daripada BN atau mungkin juga PKR. “Tetapi apa pun kita tahu strategi mereka dan kita bersedia menghadapinya,” kata beliau pada sidang akhbar selepas mengiringi Kamalanathan.

Ditanya mengenai tindakan Johan yang dikatakan masih menjadi ahli UMNO tetapi bertanding atas tiket bebas, Muhyiddin berkata, parti tersebut akan menyiasat kedudukan sebenar sebelum melakukan tindakan lanjut.

Sementara itu : Johan berahsia motif bertanding

Calon bebas, Johan Mohd. Diah, 31, masih berahsia motif sebenar beliau bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April ini. Beliau sebaliknya hanya berkata, segala pendedahan akan dibuat semasa kempennya nanti. "Saya bertanding bukan sebab kecewa atau untuk balas dendam. Banyak perkara kita akan dedahkan dalam kempen saya nanti.

Buat masa ini tiada komen," katanya yang merupakan bekas Exco Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Kuala Kubu Bharu di sini hari ini.

Johan berkata, beliau akan menggunakan lambang cangkul bagi mewakili rakyat terutama di Felda, golongan muda dan mereka yang kecewa dengan kerajaan. "Saya akan terus jadi calon bebas dan tidak berhasrat untuk sertai mana-mana parti politik. Saya adalah Jebat yang akan terus memperjuangkan Melayu," katanya.

Seorang lagi calon bebas, VS. Chandran, 56, yakin beliau akan berjaya pada pilihan raya kecil itu.
"Saya yakin akan mendapat 90 peratus sokongan daripada rakyat di Hulu Selangor kerana saya merupakan anak tempatan yang dikenali rakyat di sini," katanya yang merupakan bekas Timbalan Pengerusi MIC Hulu Selangor," katanya.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment