Kempen Kami Prihatin anjuran Utusan Malaysia turut mendapat sokongan seorang penulis blog yang memaparkan logo kempen itu pada blognya. Penulis blog Minda Intelek Melayu (M.I.M), Dr. Novandri Hasan Basri berkata, beliau memaparkan logo itu pada blognya kerana mahu usaha murni Utusan Malaysia itu diperluaskan lagi di alam siber.
Sehubungan itu, beliau turut menyeru bloggers lain untuk bersama-sama menjayakan kempen tersebut bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai isu penderaan kanak-kanak dan buang bayi.
''Sebagai permulaan, saya menjemput para bloggers dan pengguna facebook, tidak kira yang prokerajaan atau propembangkang untuk bersama-sama menjayakan kempen Kami Prihatin.
''Kita boleh membantu dengan meletakkan logo Kami Prihatin pada blog masing-masing sebagai tanda keprihatinan terhadap isu masyarakat di negara ini," katanya dalam entri blognya di alamat http://novandri.blogs pot.com.
Beliau berpendapat, selain isu politik, para bloggers dan pengguna Facebook juga mempunyai tanggungjawab penting untuk mengetengahkan isu-isu masyarakat seperti penderaan kanak-kanak dan pembuangan bayi.
Dr. Novandri juga berharap, mesej Kami Prihatin dapat diperluaskan lagi supaya ia meliputi kesedaran agama kerana ada antara kes buang bayi dan penderaan berlaku disebabkan pegangan agama yang longgar. ''Saya menyasarkan lebih 600 bloggers dan pengguna Facebook akan turut serta dalam kempen peringkat siber ini,'' katanya.
Penang Wasabi
Pergerakan Puteri UMNO hari ini melancarkan kempen Life is Precious 1Malaysia 1Jiwa 1Cinta di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini bagi menangani fenomena pembuangan bayi.
ReplyDeleteKetuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, kempen itu bertujuan menyedarkan masyarakat untuk menghargai anak sebagai anugerah tuhan yang tidak ternilai harganya.
Menurutnya, golongan wanita muda termasuk pelajar sekolah menjadi kumpulan sasaran kempen itu yang akan diperluaskan ke sekolah dan kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
"Kempen ini akan mewujudkan kesedaran melalui penyebaran risalah dan ceramah oleh pakar-pakar terlibat dengan kanak-kanak dan cara-cara menangani masalah pembuangan bayi pada seminar yang bakal dianjurkan," katanya.
Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan pelancaran kempen itu yang dijayakan bersama parti komponen Barisan Nasional (BN), Kementerian Kesihatan serta HKL.
Menurut Rosnah, jika usaha menangani masalah itu tidak dilakukan, fenomena pembuangan bayi pasti akan terus terjadi seperti yang berlaku sekarang ini.
Dalam pada itu, Rosnah percaya, masih ada cara dan peluang bagi mereka yang hamil anak luar nikah untuk mendapatkan perlindungan.
Kata beliau, untuk itu, masyarakat tidak seharusnya menghukum golongan tersebut sebaliknya mereka masih ada tempat bergantung bagi mengelakkan anak yang dikandung itu dibuang.
Rosnah juga memberitahu, Pergerakan Puteri UMNO akan menerbitkan buku berkaitan hak kanak-kanak tidak lama lagi.
Katanya, penerbitan buku itu juga dapat memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai gejala buang bayi termasuk sumbang mahram, pelacuran dan apa juga bentuk eksploitasi terhadap kanak-kanak.
Sebelum itu dalam ucapannya beliau berkata, mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kes penderaan baru kanak-kanak meningkat kepada 2,780 kes pada tahun lalu dan angka ini amat membimbangkan.
Katanya, jumlah itu tidak termasuk kes pembuangan bayi, sumbang mahram, pelacuran dan eksploitasi kanak-kanak.
Menurut Rosnah, pihaknya dalam proses perbincangan dengan kumpulan perlindungan, sokongan dan pertubuhan bukan kerajaan yang mempunyai pendekatan yang sama.
Beliau menambah, pihaknya juga menganjurkan pertandingan fotografi berserta slogan kreatif di samping video dan karangan pendek tidak melebihi 50 perkataan mengenai bagaimana menyuarakan kasih sayang kepada anak-anak.
Butiran lanjut mengenai pertandingan itu katanya, terdapat dalam laman web Pergerakan Puteri UMNO.