~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Thursday, April 1, 2010

Perangai hipokrit, kebudak-budakan pembangkang!

HARAPAN untuk melihat sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berlangsung dalam suasana aman dan tenteram masih lagi menjadi satu impian. Segalanya kerana sikap kebudak-budakan pakatan pembangkang di negeri itu yang terus berusaha melakukan pelbagai perbuatan dan tingkah laku yang memualkan ketika persidangan berlangsung. Jika kelmarin, mereka agak bersopan berikutan perasmian persidangan dilakukan oleh Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah tetapi semalam perangai buruk wakil-wakil rakyat daripada pakatan pembangkang berulang kembali.

Mereka terpekik terlolong di dalam dewan, membawa poster yang menghina wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan bertindak keluar dari persidangan. Semua itu mereka lakukan dengan satu matlamat iaitu ingin menarik perhatian dan cuba menganggu perjalanan mesyuarat supaya perkara-perkara berkaitan kepentingan rakyat tidak dapat dibincangkan.

Inilah sikap buruk pakatan pembangkang yang belum lagi menampakkan tanda-tanda untuk menerima hakikat bahawa mereka kini adalah pembangkang bukanlah kerajaan negeri yang berkuasa di Perak.

Tidak cukup dengan berperangai buruk di dalam dewan, di luar dewan pula mereka mempertikaikan kehadiran anggota polis sehingga ada antara mereka sanggup mengeluarkan perkataan yang berniat jahat.

Menuduh pihak polis akan menembak mati mereka atas andaian ada polis tidak suka kepada mereka adalah satu perkataan jahat yang tidak harus dikeluarkan oleh seorang yang bergelar wakil rakyat.

Tetapi itulah sikap pembangkang, mereka terlalu angkuh dengan kekuatan yang dimiliki di dalam DUN. Mereka sengaja melupakan bahawa kekuatan mereka sudah luntur berikutan kehilangan sokongan majoriti sehingga kuasa pemerintahan kerajaan negeri berpindah tangan.

Cukuplah! rakyat Perak khasnya dan rakyat Malaysia amnya sudah muak menyaksikan adegan bagaikan 'sarkas' yang cuba ditunjukkan oleh wakil rakyat pembangkang di negeri itu. Kalaulah mereka begitu yakin mempunyai kekuatan sendiri untuk terus meraih sokongan rakyat, maka bersabarlah sehingga pilihan raya umum nanti. Biarlah rakyat menentukan siapa yang mereka mahu.

Sementara menanti detik itu, pembangkang sepatutnya menunjukkan kematangan dan bukannya berperangai seperti kanak-kanak yang kehilangan gula-gulanya. Jika benar mereka memperjuangkan demokrasi dan berjuang demi kepentingan rakyat, maka hadirlah ke sidang DUN sebagai insan yang bertamadun. Jangan jadikan sidang DUN bagaikan tadika kanak-kanak. Sampai bilakah rakyat harus dihidangkan dengan perbuatan tidak matang pembangkang itu sehingga akhirnya ia hanya membazirkan wang rakyat.

Sidang DUN adalah mesyuarat penting bagi membangunkan sesebuah negeri dan bukannya medan untuk menunjukkan kekuatan politik mana-mana pihak. Kalau mahu berpolitik, di situ bukanlah tempatnya. Cukuplah selama ini pembangkang sudah menyebarkan pelbagai fitnah dan tohmahan serta gelagat memualkan di pentas politik, takkanlah perangai buruk itu hendak pula diteruskan di sidang DUN?

Namun kita yakin, rakyat sedang memerhati gelagat pembangkang tersebut. Mungkin suatu ketika mereka berasa sangsi membenarkan pembangkang yang hanya tahu membangkang sahaja dan membuat perangai yang tidak setanding dengan gelaran Yang Berhormat yang disandang.

Tetapi kini dengan apa yang mereka saksikan di sidang DUN Perak, jelaslah itulah perangai pembangkang sebenar-benarnya, segala yang mereka katakan selama ini terutamanya dalam soal berjuang untuk rakyat hanyalah hipokrit!-UM

Penang Wasabi

1 comment:

  1. Polis akan mengeluarkan notis arahan hadir kepada Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham jika beliau masih enggan memberi kerjasama dalam melengkapkan siasatan berhubung dakwaannya terhadap polis baru-baru ini.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, notis itu akan dikeluarkan segera mengikut Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan.

    "Pegawai penyiasat polis telah menghubungi Koo Ham dua hari lalu untuk memintanya hadir bagi melengkapkan siasatan, tetapi dia enggan keterangannya diambil," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

    Koo Ham pada satu sidang akhbar pada 30 Mac lalu mendakwa, ramai anggota serta pegawai polis hadir di Bangunan Perak Darul Ridzuan semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berlangsung.

    Beliau dipetik sebagai berkata; "Saya takut jika ada perbahasan dan ada mana-mana polis tidak suka kita, mereka akan tembak mati. Ini boleh berlaku kerana mungkin ada polis tidak suka dengan kita."

    Malah dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini kelmarin, Koo Ham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan menegaskan, beliau tidak gentar disiasat polis berhubung kenyataannya yang dibuat selepas sidang DUN itu.

    Dzuraidi berkata, notis tersebut biasanya memberi tempoh antara seminggu dan dua minggu bagi membolehkan Koo Ham hadir untuk melengkapkan siasatan itu.

    "Jika dia masih enggan datang, waran tangkap boleh dikeluarkan terhadapnya," katanya.

    Menurut beliau, buat masa ini, siasatan termasuk merakam percakapan saksi-saksi termasuk beberapa wartawan yang hadir pada sidang akhbar Koo Ham telah selesai diadakan.

    ReplyDelete