~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Saturday, April 10, 2010

Mufti diminta pandangan berhubung jawatankuasa antara agama!















Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) meminta mufti dan alim ulama di seluruh negara mengeluarkan fatwa serta pandangan berhubung penubuhan jawatankuasa khas berhubung isu antara agama.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, pihaknya amat terkejut kerana kerajaan tidak mendapat pandangan pihak lain terutama Majlis Raja-Raja terlebih dahulu sebelum menubuhkan jawatankuasa tersebut.
Beliau berkata, pihaknya bimbang kewujudannya akan meletakkan agama Islam setaraf dengan agama lain sedangkan jelas dalam Perlembagaan Islam adalah agama rasmi persekutuan.

"Perkasa minta supaya mufti dan juga alim ulama memberi pandangan mengenai penubuhan jawatankuasa agama beberapa hari lalu sebab ramai yang terperanjat kerana cadangan seperti ini dulu sudah kedengaran tetapi mendapat bantahan umat Islam.

"Kerajaan juga perlu mendapat pandangan Majlis Raja-Raja kerana Yang Dipertuan Agong adalah ketua agama negara dan sultan ketua agama negeri, adakah raja-raja merestui penubuhan ini?" katanya.

Semalam, akhbar melaporkan Menteri di Jabatan Perdana mengesahkan bekas Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Ilani Isahak dilantik sebagai Pegawai Penyelaras Khas bagi jawatankuasa khas berhubung isu antara agama dalam negara.

Kabinet telah memutuskan menubuhkan jawatankuasa khas tersebut pada Januari lalu bagi menyuburkan semula keharmonian dan kesefahaman antara agama di Malaysia.
Pada 2005, telah wujud cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Antara Agama Malaysia (ICM).

Bagaimanapun Majlis Mufti-Mufti Malaysia mengambil ketetapan menolak cadangan itu kerana ia tidak memberikan apa-apa faedah dan hanya merugikan umat Islam. Ibrahim berkata, Perkasa akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan perkara tersebut Ahad ini sebelum menetapkan pendirian mereka berhubung isu terbabit.

"Kita faham tujuan (jawatankuasa ditubuhkan) bagi membolehkan pemimpin agama duduk semeja berbincang dan bertukar pendapat tetapi kita tidak mahu meletak Islam setaraf dengan agama lain. "Dialog antara agama boleh dibuat secara tidak formal tetapi dengan penubuhan jawatankuasa ini, ia telah dibuat secara formal dan boleh meletakkan Islam sama dengan agama lain. Ini amat bertentangan dengan Perlembagaan," katanya.

Menurut beliau, tindakan melantik seorang wanita sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut juga boleh menimbulkan kekeliruan dan rasa tidak senang hati di kalangan pemimpin umat Islam. Ujarnya, ia mungkin disebabkan individu terbabit tidak mempunyai kredibiliti serta kefahaman yang tinggi dalam agama Islam untuk mempengerusikan jawatankuasa terbabit.

"Saya melihat ia seolah-olah Islam lawan dengan semua agama lain kerana ia diwakili oleh Majlis Perundingan Agama Budha, Kristian, Hindu dan Sikh Malaysia (MCCBCHST). "Sebab itu, kita mahu pandangan daripada mufti dan alim ulama tentang perkara ini terutama dalam soal akidah," katanya.

Apa yang disuarakan itu ada kebenarannya. Perlembagaan 153 telah menetapkan yang Islam itu adalah Ugama Rasmi Negara. Adakah dengan wujudnya jawatankuasa khas ini bakal digunakan ugama-ugama lain yang ada di negara ini untuk menentang ISLAM agama RASMI negara. Adakah IFC bakal menyalahgunakan jawatan kuasa khas ini untuk memperjuangkan misi mereka yang tergendala sebelum ini. Sama-samalah kita fikirkan sebelum terlambat! Wallahuallam.

Penang Wasabi.

1 comment:

  1. Semua pihak diminta tidak memandang serong terhadap penubuhan jawatankuasa khas berhubung isu antara agama kerana ia bertujuan mewujudkan keharmonian.

    Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jawatankuasa khas tersebut mempunyai fungsi berbeza dengan Suruhanjaya Antara Agama Malaysia (IFC) yang dicadangkan penubuhannya kira-kira lima tahun lalu.

    Beliau berkata, keharmonian dan pemahaman di antara agama cukup penting dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia.

    "Pada hemat saya masalah antara agama tidak diwujudkan oleh pengemudi agama berkenaan tetapi diwujudkan oleh ahli politik yang agak sempit dalam menghuraikan agamanya menyebabkan timbul kebimbangan di kalangan pengikut.

    "Tetapi dengan adanya jawatankuasa ini keharmonian yang dihasratkan oleh Perdana Menteri melalui 1Malaysia dapat diwujudkan.

    "Saya harap jawatankuasa ini dapat menjadi jambatan jika ada masalah yang timbul dan bukannya menjadi isu polemik negara yang boleh menyebabkan perpecahan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pangkalan Udara Gong Kedak di sini hari ini.

    Semalam, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) meminta mufti dan alim ulama di seluruh negara mengeluarkan fatwa serta pandangan berhubung penubuhan jawatankuasa khas berhubung isu antara agama.

    Ahmad Zahid berkata, kewujudan jawatankuasa khas itu juga dapat mengelakkan daripada membincangkan isu agama secara terbuka dalam media atau dibawa ke mahkamah sehingga menimbulkan ketegangan.

    "Daripada dibincang secara terbuka dalam media atau dibawa ke mahkamah lebih baik dibawa ke jawatankuasa secara formal untuk diselesaikan dan ini dapat mengelakkan kekeliruan.

    "Sewaktu saya jadi menteri yang menjaga agama banyak kes seperti ini tetapi ada jawatankuasa antara agama kita dapat selesaikan kes ini di luar mahkamah dan tidak mendapat liputan media," katanya.

    Tambah beliau, Kabinet juga bersetuju untuk memilih Datuk Ilani Ishak sebagai pengerusi jawatakuasa itu disebabkan latar belakangnya dalam bidang perundangan dan agama.

    "Pelantikan Ilani yang merupakan seorang peguam yang mempunyai latar belakang agama dibuat supaya apa yang akan disampaikan kepada agama lain dapat diterima dengan baik," katanya.

    Juragan..

    ReplyDelete