~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Thursday, April 15, 2010

Permohonan qazaf Anwar ditolak!

Anwar Ibrahim hari ini gagal mendapatkan perintah supaya pihak pendakwa syarie memulakan prosiding qazaf terhadap bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat oleh Ketua Pembangkang itu.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Mohd. Shukor Sabudin yang membenarkan bantahan awal pihak responden untuk mengetepikan permohonan tersebut.

Responden terdiri daripada Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsudin Hussain; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.

Dalam penghakiman lisannya, Mohd. Shukor menyatakan bahawa sebarang campur tangan dalam urusan pendakwaan boleh dilihat sebagai maksiat. "Ketua Pendakwa perlu menggunakan pertimbangan profesional. Beliau mesti adil, bebas dan tidak melibatkan pandangan peribadi atau fahaman politik dalam melaksanakan tugasnya.

"Sebarang campur tangan daripada mana-mana pihak termasuk pemimpin atau hakim dilihat sebagai satu maksiat. Dan tiada kepatuhan bagi mana-mana makhluk pada kemaksiatan," katanya. Selain itu, Mohd. Shukor menyatakan, permohonan yang difailkan Anwar adalah satu cubaan pencabulan proses mahkamah secara terang-terangan dan akan mengakibatkan keadilan dilihat menjadi kucar-kacir, tidak menentu dan bercelaru.

Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) memfailkan permohonan qazaf pada 7 Januari lalu. Mengikut Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997, qazaf ialah tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat orang saksi lelaki.

Seksyen ini adalah bagi mengelak seseorang menuduh orang lain berzina. Di bawah seksyen tersebut, tertuduh boleh didenda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Mohd. Shukor yang lebih sejam membacakan penghakimannya turut menyatakan, mahkamah tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memerintahkan Shamsudin mendakwa sesiapa.

Ini kerana, tegasnya, tindakan menjalankan siasatan, membicarakan dan membatalkan sebarang prosiding di mahkamah terletak sepenuhnya pada budi bicara ketua pendakwa syarie yang mempunyai bidang kuasa yang luas. Beliau turut memberitahu, tidak semua siasatan berakhir dengan pendakwaan dan pihak pendakwaan juga perlu lebih mementingkan kepentingan awam berbanding kepentingan pengadu.

Jelas beliau, pendakwaan menggunakan konsep 90 peratus iaitu seseorang individu itu hanya akan didakwa sekiranya pendakwa yakin terdapat lebih daripada 90 peratus peluang untuk mensabitkan tertuduh dengan pertuduhan. Pada prosiding hari ini, pihak responden diwakili oleh peguam syarie Zainul Rijal Abu Bakar dan Roslizam Rahim manakala Anwar diwakili barisan lima peguam syarie yang diketuai oleh Kamar Ainiah Kamaruzaman.

Sementara itu, Jamil Khir ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, keputusan tersebut secara tidak langsung telah membersihkan namanya dan Che Mat yang didakwa mempengaruhi Shamsudin dalam melaksanakan tugasnya. Beliau juga berkata, ia juga dapat memperbaiki semula reputasi ketua pendakwa syarie itu yang dikatakan tidak melaksanakan tanggungjawab dengan betul.

Kamar Ainiah pula memberitahu, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut dalam tempoh 14 hari selepas meneliti alasan penghakiman.

Penang Wasabi

1 comment: