~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Sunday, January 30, 2011

Luahan hati peniaga di Batu Feringgi!

"Baik hantar makanan ke rumah kami, letak racun, biar kami anak beranak mati selepas memakannya."

Itu luahan hati Liyashak Harun, 44, yang kehilangan satu-satunya mata pencarian apabila premis perniagaan tempat dia bekerja di Batu Feringghi diroboh oleh pihak berkuasa baru-baru ini.

"Sejak diroboh 22 Januari lalu, sehingga sekarang saya tidak mempunyai pekerjaan.

"Bagaimana saya hendak menyara keluarga, membiayai perbelanjaan sekolah anak-anak dan memberi makan kepada mereka sedangkan saya tiada kerja," katanya yang mempunyai tiga orang anak berumur 7 hingga 11 tahun.

Bukan hanya Liyashak sekeluarga, malah 29 orang lagi pekerja dua premis di pesisir pantai yang diroboh oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) turut kehilangan pekerjaan dan punca kewangan.

Mohd. Sharil Shariffudin, 30, juga tidak mempunyai pilihan dengan bekerja sambilan sebagai pelayan berbanding tugasnya sebagai penyelia di premis berkenaan sebelum ini.

"Walaupun sukar tetapi saya tidak mempunyai pilihan. Sebelum ini saya mempunyai pendapatan sekitar RM1,800 ke atas, tetapi kini hanya sekitar RM650 sebulan sebagai pelayan sambilan.

"Tidak ada pilihan lain kerana saya juga mempunyai keluarga untuk disara selain terpaksa membayar sewa rumah serta keperluan harian lain.

"Keadaan ini cukup menyukarkan. Saya berharap agar pihak berkuasa dan pihak-pihak berkenaan prihatin dengan masalah kami di sini," katanya.

Pada 22 Januari lalu, MPPP telah meroboh beberapa struktur yang baru dibina semula di tapak premis itu setelah mendapat arahan daripada Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut.

Tindakan tersebut dipertikaikan kerana pemilik premis mendapat notis arahan untuk meroboh struktur dalam masa yang singkat.

"Notis tersebut dikeluarkan oleh pihak berkuasa pada 20 Januari yang meminta kami merobohkan bangunan, namun surat tersebut diserahkan kepada orang lain (bukan pekerja premis) dan hanya sampai ke tangan saya pada 21 Januari iaitu sehari sebelum kerja-kerja meroboh dibuat.

"Cara ini tidak betul kerana kami tidak diberi peluang untuk berbincang terlebih dahulu. Mana mungkin dalam tempoh sehari dua boleh berbuat demikian," ujar salah seorang pemilik premis, Hamid Sultan, 49.

Menurut Hamid, mereka hanya mengharapkan belas ihsan kerajaan negeri untuk membolehkan mereka berniaga semula.

"Ramai yang kehilangan pekerjaan. Kami berharap jika bukan di tapak ini, pihak berwajib memberi kami tapak yang baru juga di tepi pantai bagi membolehkan kami terus mencari rezeki," ujar Hamid.

Penang Wasabi..

1 comment: