~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Monday, January 10, 2011

Tindakan ADUN Komtar macam mafia!

Tindak-tanduk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik sewaktu mengetuai ‘operasi merampas barang’ di sebuah restoran nasi kandar di Gat Lebuh Maccalum disifatkan sebagai biadab dan tidak ubah seperti mafia.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau telah meneliti rakaman video di Restoran Aliyar itu dan merasakan tindakan wakil rakyat DAP sebagai tidak wajar.

“Pemilik restoran akur dengan tindakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan mereka tidak mempunyai masalah sekiranya dikenakan tindakan seperti saman dan sebagainya.

“Namun, selepas menyaksikan sendiri video rakaman pada malam kejadian, tindakan Wei Aik yang kasar dan biadab itu tidak boleh diterima,” katanya mengulas kejadian tersebut dalam satu sidang media, di sini, hari ini.

Tengah malam Ahad lalu, restoran yang terletak di Lebuh Maccalum itu kecoh apabila kakitangan MPPP merampas kerusi, meja, televisyen serta peralatan lain yang terdapat di dalam premis tersebut.

Sebelum restoran berkenaan didatangi penguat kuasa, berlaku satu kemalangan melibatkan dua buah kereta berhampiran restoran itu pada kira-kira pukul 10.10 malam.

Sebuah kereta yang dipandu seorang wanita tua merempuh sebuah kereta lain yang dinaiki sepasang suami isteri sebelum terbabas sehingga ke kawasan kaki lima restoran berkenaan.

Tidak lama kemudian, Wei Aik bersama-sama kakitangan MPPP ‘menyerbu’ restoran berkenaan dan mengeluarkan kata-kata kesat termasuk berunsur perkauman kepada pemilik restoran berkenaan.

“Apa hak Wei Aik untuk campur tangan di kawasan ini sedangkan ia berada di luar kawasan DUN Komtar?

“Apakah jawatan Setiausaha DAP Negeri yang dipegangnya membolehkan Wei Aik untuk memberi arahan sesuka hati kepada penguat kuasa MPPP? Dia ibarat mafia kerana meletakkan kuasa di tangannya.

“Sebelum ini, dia juga menafikan dakwaan bahawa dia merampas sendiri barang-barang pemilik restoran ini, tapi video yang kita lihat hari ini menunjukkan Wei Aik mengangkat sendiri barang-barang yang ada,” katanya lagi.

Pada sidang media itu, wartawan ditunjukkan video yang dirakamkan pada hari kejadian yang menunjukkan Wei Aik bersikap kasar terhadap pemilik restoran.

“Sepatutnya sebagai wakil rakyat, kita perlu juga ada timbang rasa dan perikemanusiaan dan bukannya bersikap seperti Wei Aik.

“Mereka (pemilik restoran) juga ada hak dan perlu dihormati apatah lagi mereka warganegara Malaysia,” ujarnya.

Bagi Reezal Merican, perbuatan Wei Aik itu adalah bukti siri tindakan rasis beliau terhadap rakyat di negeri ini. Sebelum ini, menurutnya, Wei Aik juga terlibat dalam beberapa tindakan menutup kawasan berniaga orang Melayu seperti di Komtar dan Batu Feringghi.

“Mereka baru menang di peringkat negeri. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana kerakusan dan kekasaran mereka sekiranya dapat mandat memerintah negara,” kata Reezal Merican lagi.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment