"Walaupun dia telah minta maaf, namun perbuatannya tetap melukakan hati saya dan juga seluruh kaum India Muslim di negara ini."
Itulah luahan hati pemilik Restoran Nasi Kandar Mohamed Aliyar, Syed Kassali Mohamed Aliyar, 42, berhubung permohonan maaf Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik kerana bertindak agresif terhadap pekerja dan premisnya minggu lalu.
Menurut Syed Kassali, perbuatan Wei Aik sukar dilupakan kerana ia bukan sahaja menimbulkan trauma kepada dirinya dan pekerja di restoran berkenaan malah mewujudkan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Katanya, permohonan maaf itu bukan penamat kepada apa yang telah berlaku kerana banyak masalah lain timbul kesan perbuatan melulu Wei Aik.
"Saya terima permohonan maaf itu kerana tidak mahu isu perkauman terus diperkatakan. Banyak hati perlu dijaga.
"Malu tetap malu, nak buat macam mana. Lagipun kami tiada rakaman audio visual seperti yang diminta. Yang ada cuma rakaman kamera litar tertutup (CCTV)," katanya.
Beliau berkata demikian setelah menerima permohonan maaf secara terbuka yang dibuat Wei Aik di restorannya di Gat Lebuh Macallum di sini hari ini.
Setelah menerima tekanan banyak pihak, akhirnya, Setiausaha Politik Ketua Menteri itu tampil ke restoran tersebut kira-kira pukul 11.30 pagi ini dan memohon maaf secara terbuka kepada Syed Kassali atas keterlanjuran bertindak kasar dan agresif terhadap premis tersebut.
Sebelum menyatakan permohonan maafnya, Wei Aik dilihat mengadakan perjumpaan bersama Syed Kassali hampir 10 minit.
Tengah malam 2 Januari lalu, Restoran Nasi Kandar Mohamed Aliyar itu kecoh apabila kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) merampas kerusi, meja, televisyen serta peralatan lain yang terdapat di premis tersebut.
Sebelum restoran berkenaan didatangi penguat kuasa, berlaku satu kemalangan melibatkan dua buah kereta berhampiran restoran itu pada kira-kira pukul 10.10 malam.
Walaupun tiada pelanggan yang cedera dalam kejadian itu tetapi televisyen milik restoran tersebut pecah akibat rempuhan berkenaan.
Selepas itu, Wei Aik datang bersama beberapa orang ke restoran berkenaan dan mengarahkan penguat kuasa MPPP menyita barang-barang di kedai berkenaan.
Wei Aik juga didakwa mengeluarkan ungkapan 'Tutup kedai, balik India' yang berunsur perkauman kepada pekerja restoran berkenaan.
Tindak-tanduk beliau yang ala samseng itu telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dikalangan masyarakat terutamanya kaum India Muslim sehingga lapan laporan polis dibuat pihak terlibat termasuk oleh Syed Kassali dan Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM).
Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) negeri pula telah menghantar memorandum kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng supaya tindakan diambil terhadap Wei Aik.
Menurut Syed Kassali, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Kimma dan Persatuan Restoran India Muslim Malaysia (Presma) untuk melihat bentuk tindakan yang patut dibuat pihaknya terutama dalam menyelesaikan isu kerugian besar yang ditanggung restorannya sejak kejadian tersebut.
"Perniagaan semakin merosot dan sehingga kini kami telah kerugian hampir RM30,000. Keadaan ini tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Justeru, saya akan berbincang dengan Kimma dan Presma, apa yang boleh dibuat dan bentuk tindakan selanjutnya. Setakat ini tiada jaminan apa-apa daripadanya (Wei Aik) selain bantuan untuk memohon lesen MPPP," katanya.
Penang Wasabi..
No comments:
Post a Comment