~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Thursday, August 7, 2014

15 sertai sukan bogel dikenal pasti?


Polis sudah mengenal pasti seramai 15 individu yang dipercayai terlibat dalam aktiviti sukan dalam keadaan berbogel di Pantai Teluk Kampi, Teluk Bahang, dekat sini baru-baru ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya kini sedang mengesan kesemua individu terbabit bagi melengkapkan siasatan berhubung kes tersebut.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat yang diperoleh pihaknya, tujuh daripada individu yang dikenal pasti terbabit dipercayai merupakan warga tempatan manakala empat lagi warganegara Singapura.

Tambahnya, dua lagi individu dipercayai merupakan warganegara Myanmar manakala masing-masing seorang dari Filipina dan India.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan. Kita juga telah kenal pasti kesemua enam wanita dan sembilan lelaki dalam video itu.

"Kita sedang mengesan mereka bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Abdul Rahim menyaksikan majlis serah terima tugas melibatkan Asisten Supritendan Ahmad Ezzely Dzubree Razali yang dilantik memangku jawatan Ketua Turus Trafik Negeri menggantikan Deputi Supritendan Abdul Rahim Mohd. Zin yang akan bertukar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah berkuat kuasa Isnin ini.

Beberapa pihak semalam membuat laporan polis berhubung video bertajuk 'Pesta Bogel Di Teluk Bahang, Penang' yang tersebar secara meluas dalam laman sosial sejak kelmarin.

Video berdurasi lima minit 52 saat itu memaparkan sekumpulan lelaki dan wanita dewasa dalam keadaan bogel melakukan pelbagai aktiviti di sebuah pondok dan di tepi pantai berkenaan dan program berkenaan dipercayai dianjurkan aktivis alam sekitar dari Singapura.


Dalam video itu, peserta program tersebut melukis di badan antara satu sama lain dalam keadaan berbogel, menari serta mengadakan acara sukan dan diakhiri dengan aktiviti unggun api pada sebelah malam serta tertera tulisan see u in 2015 (Jumpa anda pada 2015).

Menurut Abdul Rahim, sehingga semalam, polis merekod keterangan daripada 10 individu awam yang dipercayai dapat membantu menjalankan siasatan berhubung penganjuran sukan bogel berkenaan.

Dalam masa sama, beliau meminta orang ramai dan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti sukan bogel tersebut menyalurkannya kepada polis bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Pihak berkuasa Taman Negara Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan dalaman terhadap seorang kakitangannya yang bertugas sebagai penjaga kawasan di Teluk Kampi dekat Teluk Bahang, ekoran kejadian pesta sukan bogel yang didakwa berlangsung di pantai itu Mei lalu.

Kakitangan itu didakwa mengetahui aktiviti memalukan tersebut dan sudah memberi amaran kepada kumpulan terbabit supaya tidak melakukan perkara mengaibkan berkenaan namun gagal memaklumkan kepada pihak atasan mengenainya.

Penang Wasabi...

No comments:

Post a Comment