~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Friday, November 1, 2013

Undi itu adalah rahsia dan propaganda murahan Pas?

Salah satu poster yang dimainkan pihak Pas untuk meraih simpati pengundi di Bukit Choras, Yan, Kedah.

Penduduk di sebuah kawasan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau yang menjadi kubu kuat Pas mengeluh kerana tiada pembangunan di situ termasuklah kemudahan rekreasi untuk golongan belia.

Dahulu mereka bertahan menyokong Pas kerana keperibadian Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak tetapi kini situasinya sudah berubah. Berikutan itu sudah ada kesedaran untuk mereka memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) biarpun bimbang kemungkinan akan 'dipulau' seumur hidup.

Namun begitu, penduduk atau mana-mana juga pengundi di kawasan DUN tersebut seharusnya tidak perlu bimbang untuk menyahut slogan BN 'Berani Berhijrah' ia memandangkan undi mereka adalah rahsia.

Tiada siapa pun mengetahui parti mana yang mereka undi melainkan diri sendiri dan Allah SWT. Oleh itu, undilah mengikut gerak hati dan demi atas matlamat untuk menikmati kehidupan lebih baik.

Malah mereka juga tidak harus terpesong dengan propaganda kononnya politik damai yang semua orang tahu dipelopori oleh Allahyarham Azizan bermaksud 'Politik damai… BN dapat Kedah, Sungai Limau untuk Pas'. Ayat ini tertera di sepanduk-sepanduk di sekitar kawasan itu yang memaparkan gambar Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir beramah mesra dengan calon parti itu, Mohd. Azam Abdul Samat.

Sebenarnya, bukan itu yang dimaksudkan dengan politik damai. Politik damai yang dibawa oleh Allahyarham Azizan ialah berpolitik secara berhemah dan tidak melakukan tindakan yang boleh memecah-belahkan umat Islam biarpun berbeza parti.

Sebab itu, Allahyarham Azizan dihormati oleh kawan dan lawan, tetapi malangnya Pas sendiri diihat seolah-olah cuba memutar-belitkan maksud politik damai. Mereka menjurus kepada pembahagian kerusi sedangkan dalam pilihan raya, kita perlu menyerahkan rakyat menentukan siapa yang mereka fikir mampu membela nasib mereka.

Justeru, tidak payahlah, Pas cuba mengabui mata pengundi di Sungai Limau melalui pendekatan yang boleh dianggap propaganda murahan dan taktik terdesak untuk meraih kemenangan.

Sebaliknya, amalkan politik damai yang sebenarnya dengan memastikan penceramah mereka tidak bermulut celupar ketika berceramah termasuklah menuduh kerajaan BN melayan rakyat seperti 'roti canai'.

Tetapi kita percaya Pas tidak akan berubah sebaliknya pengundi kawasan Sungai Limau yang akan berubah kerana mereka semakin mengenali corak politik Pas yang dilihat 'cakap tak serupa bikin'.

Apa pun kepada pengundi DUN Sungai Limau mengundilah dengan tenang buatlah pilihan betul atas prinsip 'Berani Berhijrah' demi kebaikan ummah di kawasan tersebut, jangan bimbang undi anda adalah rahsia!

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment