~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Friday, November 8, 2013

Mat Sabu dicabar ulama?


Persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden Pas pada Muktamar Ke-59 parti itu akhir bulan ini dijangka menyaksikan pertembungan sengit satu lawan satu antara penyandangnya, Mohamad Sabu dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu dilihat bakal berdepan cabaran getir daripada Mohd. Amar yang dicanangkan sebagai mewakili kepimpinan ulama.

Tiga pemimpin Pas yang turut dicalonkan untuk jawatan nombor dua parti iaitu Naib Presiden, Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub serta Ketua Penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan menarik diri.

Husam memilih untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden manakala dua lagi rakan sejawatannya, Salahuddin dan Datuk Mahfuz Omar berkemungkinan besar mengambil keputusan serupa.

Tuan Ibrahim pula memutuskan akan mencabar tiga penyandang jawatan Naib Presiden tersebut dan beliau mungkin turut disertai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Datuk Abu Bakar Chik.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad menarik diri daripada persaingan merebut jawatan Naib Presiden dan memilih untuk mempertahankan jawatan AJK Pas Pusat.


Seorang lagi calon Naib Presiden, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa turut menarik diri setelah mengesahkan akan bertanding jawatan AJK Pas Pusat.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib; Timbalannya, Datuk Ahmad Yakob dan Naibnya, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed dijangka mengekalkan jawatan masing-masing memandangkan hanya satu pencalonan diterima bagi tiga jawatan tertinggi itu.

Dalam pada itu. lima nama dikatakan bakal berentap untuk jawatan Ketua Dewan Pemuda Pas setelah penyandangnya, Nasrudin Hassan mengumumkan tidak mempertahankan jawatan itu dan mengesahkan akan bertanding untuk jawatan AJK Pas Pusat.

Naib Ketua Pemuda Pas, Dr. Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob telah mengesahkan penyertaannya dalam saingan merebut jawatan tertinggi sayap itu.

Beliau dijangka berdepan dengan Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas, Dr. Riduan Mohd. Nor; bekas Ketua Dewan Pemuda Pas Johor, Suhaizan Kaiat; Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad dan Zulhazmi Zakaria.

Proses pencalonan berakhir pukul 5 petang hari ini dan difahamkan, senarai rasmi calon-calon yang bertanding akan diumumkan di Pejabat Agung Pas Pusat di sini esok.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment