~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Tuesday, November 5, 2013

PRK Sungai Limau bukti sokongan ke atas BN!


Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau semalam menunjukkan peningkatan sokongan yang membanggakan terhadap Barisan Nasional (BN) khususnya dalam kalangan pengundi Cina.

Menurut Perdana Menteri, keputusan PRK DUN Kuala Besut sebelum ini yang turut menyaksikan majoriti kemenangan bertambah dan penyusutan majoriti kekalahan dalam PRK DUN Sungai Limau, menunjukkan trend sokongan yang boleh dikatakan membanggakan.

Katanya, keadaan itu juga sejajar dengan keputusan dua peti undi yang mempunyai bilangan pengundi kaum Cina lebih ramai berbanding peti undi lain yang turut memihak kepada calon BN.

"Kita tahu kawasan Sungai Limau adalah kubu kuat Pas sebab sudah lima kali pilihan raya umum kita tidak menang, namun PRK kali ini kita berjaya menembusi 10 pusat daerah mengundi (PDM) berbanding Pas sembilan buah.

"Kalau dahulu majoriti kita kalah di tempat itu ialah 2,774 dan kini berkurangan kepada 1,084 undi, ini menunjukkan ada trend sokongan ke arah BN," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di sini hari ini.

Keputusan PRK semalam menyaksikan Pas mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dengan majoriti 1,084 undi, apabila calonnya Mohd. Azam Abd. Samat memperoleh 12,069 undi berbanding calon BN, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim yang mendapat 10,985 undi.

Najib berkata, beliau percaya dengan kemenangan Pas itu, parti pembangkang pasti tidak akan menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seperti yang sering mereka lakukan apabila tewas dalam pilihan raya.

"Ini menunjukkan demokrasi di Malaysia segar dan telus serta perjalanan serta keputusan PRK ini tidak boleh dipertikaikan," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, satu kajian mendalam mengenai PRK Sungai Limau itu akan dilakukan bagi mengenal pasti kelemahan dan kelebihan BN sepanjang PRK itu dijalankan.

"Ini termasuklah sokongan kaum Cina, kepemimpinan Datuk Mukhriz Tun Mahathir sebagai Menteri Besar dan faktor-faktor lain," katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang juga Ahli Parlimen Jerai yakin jika jumlah pengundi keluar mengundi sama seperti Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu iaitu 89.3 peratus, BN berpotensi untuk menang.

"Kali ini peratusan yang keluar mengundi adalah 85.2 peratus, saya lihat kalau sampai ke tahap seperti sebelum ini, peluang BN untuk menang ada tetapi kita tidak boleh menyalahkan sesiapa kerana pengundi mempunyai hak mereka sendiri," katanya.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment