~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Monday, November 25, 2013

Laksana hudud hak Pas?


Pas menegaskan langkah untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan adalah hak mutlak parti itu walaupun mendapat bantahan daripada sekutunya DAP.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tiada dalam perjanjian dengan pakatan bahawa Pas perlu mendapat persetujuan DAP terlebih dahulu untuk melaksanakan hudud.

"Hak dia untuk bersuara. Hak kita untuk melaksanakan apa yang kita perjuangkan. Itu (persetujuan DAP) tiada dalam perjanjian. Masing-masing ada ideologi masing-masing.

"Kita (hanya) berkerjasama dalam perkara yang ada persamaan," katanya pada sidang akhbar selepas selesai Muktamar Tahunan Pas Ke-59 di Stadium Malawati baru-baru ini.

Beliau mengulas kenyataan terbaru Pengerusi DAP, Karpal Singh semalam yang meminta Pas jangan melaksanakan hudud di Kelantan kerana didakwa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.


Karpal dipetik sebagai berkata: "Objektif politik tertakluk kepada undang-undang. Penasihat undang-undang Kelantan perlu menasihat Pas agar tidak melaksanakan hudud''.

Berhubung gesaan Wakil Pas Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad agar pucuk pimpinan menangani persepsi Pas barua DAP dan pembonceng dalam pakatan, Abdul Hadi berkata, perkara itu gimik yang dibuat pihak lain.

Malah beliau mendakwa, Pas di Pulau Pinang walaupun hanya mempunyai satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi memiliki peranan besar dalam hal ehwal agama Islam.

"Pemuda menyebut pihak lain yang membuat persepsi. Hakikat pilihan raya amat terserlah di mana pakatan pembangkang mengiktiraf peranan Pas termasuk di Pulau Pinang," katanya.


Abdul Hadi turut menafikan dakwaan golongan ulama semakin terpinggir dalam Pas pada pemilihan kali ini dengan menyatakan seramai sembilan tokoh ulama terpilih di peringkat Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.

"Bagi kami yang penting bukan bilangan tetapi peranan yang dijayakan itu lebih utama. Kalau ramai pun tapi tiada peranan dalam parti tiada guna juga," jelasnya.

Sementara itu dalam ucapan penggulungannya, Abdul Hadi berkata, Pas bersedia bermuzakarah dengan UMNO dalam usaha untuk melaksana pentadbiran berasaskan ajaran Islam di negara ini.

"Kalau dia (UMNO) kata nak laksanakan Islam dengan bersungguh-sungguh, mari kita muzakarah. Pas bersedia untuk bermuzakarah dengan UMNO dalam usaha pelaksanaan Islam. Media, siar perkara ini.


"Insya-Allah ulama-ulama kita akan turun. Kita ramai ahli-ahli (pelbagai bidang), dia (UMNO) hendak yang tua pun ada, muda pun ada," katanya.

Jelas Abdul Hadi, kesediaan Pas bermuzakarah itu dizahirkan dari kepakaran dan pemimpin mereka yang menguasai pelbagai bidang profesional seperti undang-undang, ekonomi dan penguatkuasaan.

"(Marilah) Kita bersatu atas Islam, satu bahtera, kiblat kita satu, tidak banyak kiblat kita, kiblat kita kiblat Islam dalam masyarakat majmuk," katanya.

Abdul Hadi dalam pada itu mendakwa UMNO, bagi mendapatkan kuasa memerintah, sanggup menumpukan strategi bagi mendapatkan dan menguasai undi Melayu semata-mata dan bukannya cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

Menurutnya, UMNO mengambil pendekatan menabur semangat kebangsaan bercampur aduk dengan assobiyah (kekitaan) kebangsaan bagi mendapatkan sokongan Melayu.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment