~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Monday, February 28, 2011

Pulau Pinang : 97 ahli keluar PKR!















WAKIL kepada 97 bekas ahli PKR, Mohamad Ibrahim A.Siahoo (kiri) menyerahkan borang keahlian Kimma kepada Syed Ibrahim Kader (kanan) sambil diperhatikan Zainal Abidin Osman di Georgetown, Pulau Pinang, semalam.

Sokongan terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus tercalar apabila 97 ahli parti itu di negeri ini bertindak keluar parti baru-baru ini.

Ia melibatkan ahli PKR Cabang Bayan Baru dan Tanjung yang keluar parti tersebut untuk menyertai parti Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) yang merupakan ahli bersekutu Barisan Nasional (BN).

Wakil mereka, Mohamad Ibrahim A. Siahoo berkata, mereka mengambil tindakan tersebut selepas mendapati pemimpin PKR gagal menunaikan janji ketika mereka dipelawa menyertai parti tersebut.

"Kami ingin menegaskan bahawa tindakan dan keputusan ini tidak dipengaruhi oleh sesiapa.

"Ia diambil selepas janji-janji yang diberikan oleh pucuk pimpinan PKR tidak pernah ditunaikan, menyebabkan kami mengambil keputusan untuk keluar parti secara rasmi hari ini.

"Keputusan ini juga diambil selepas kami rasakan perjuangan kami tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan PKR," katanya dalam satu sidang akhbar di Menara UMNO Negeri di Jalan Macalister.

Difahamkan beberapa pimpinan tertinggi peringkat cabang tersebut turut bertindak keluar parti selepas hilang kepercayaan terhadap PKR.

"Kami juga bersedia membantu parti baru kami, Kimma untuk bekerjasama dengan BN memenangi semula tampuk pemerintahan negeri," katanya lagi.

Pada majlis berkenaan, Mohd. Ibrahim turut menyerahkan 97 keping borang kepada Presiden Kimma Kebangsaan, Datuk Syed Ibrahim Kader.

"Kimma menyambut baik serta mengalu-alukan penyertaan ahli-ahli baru yang semuanya daripada keturunan India Muslim.

"Sebelum ini, beberapa bekas ahli parti berkenaan telah menyertai Kimma namun bilangan mereka tidak ramai," katanya lagi.

Difahamkan keahlian Kimma di negeri ini telah mencecah 12,300 orang.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman.

"Kita mengucapkan syabas kepada 97 bekas ahli PKR kerana bertindak berani dengan keluar dari parti tersebut.

"Ini membuktikan bahawa walaupun negeri ini merupakan kubu kebal pembangkang, tetapi ia tidak menghalang ahlinya bertindak keluar parti selepas hilang kepercayaan kepada kepimpinan PKR," ujar Zainal.

Manakala hari ini : PKR Pulau Pinang cabar kumpulan 97 ahli tunjuk bukti

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang hari ini mencabar kumpulan 97 ahli dari cabang Bayan Baru dan Tanjong di sini supaya membuktikan tindakan mereka keluar dari parti itu.

Naib Pengerusinya, Abdul Malik Abul Kassim berkata, jurucakap kumpulan itu perlu menunjukkan nama dan surat peletakan keahlian kesemua 97 ahli yang didakwa telah menyertai Kongres India Muslim Malaysia (Kimma).

"Saya tidak percaya mereka telah melompat ke Kimma kerana saya sendiri tahu bilangan ahli keturunan India Muslim di dua cabang itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Malik, yang juga Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, berkata, tindakan ketua kumpulan itu adalah kerana rasa cemburu dan isu kekeluargaan ekoran pelantikan salah seorang saudaranya.

Pada Sabtu lalu, ketua kumpulan itu, Mohamed Ibrahim A. Siahoo, memberitahu media bahawa 97 ahli itu keluar dari parti selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan PKR.

Beliau mendakwa PKR gagal membela nasib dan kebajikan rakyat sebelum menyerahkan borang untuk menganggotai Kimma.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment