~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Tuesday, April 20, 2010

P94 Hulu Selangor : Dr. Halili keluar PKR sertai UMNO!

DR. Halili Rahmat (kiri) ketika membuat sidang akhbar mengenai pengisytiharannya keluar PKR dan masuk UMNO di Petaling Jaya, semalam. Di sebelahnya bekas Setiausaha Agung PKR, Salehuddin Hashim.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima satu lagi tamparan apabila Datuk Dr. Halili Rahmat yang merupakan salah seorang pemimpin dan juga bekas doktor peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengisytiharkan keluar parti dan menyertai UMNO.

Dr. Halili, 58, yang turut bersama-sama Anwar mengasaskan Parti Keadilan Nasional (Keadilan) pada 1999, mengambil keputusan tersebut selepas mendapati PKR bukan lagi sebuah parti politik berasaskan perjuangan. Sebaliknya, beliau berkata, PKR lebih condong menjadi parti yang mementingkan kuasa daripada membawa kesejahteraan kepada rakyat walaupun telah diberi mandat untuk mentadbir beberapa negeri.

"PKR juga telah dikuasai sekumpulan kecil pemimpin yang berfikiran sempit. Mereka memajukan ideologi berhaluan kiri yang tidak disenangi oleh masyarakat Melayu khususnya dan Malaysia amnya. "Berbanding Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, saya lihat beliau ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk membuat perubahan politik dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN)," katanya ketika membacakan kenyataan tiga muka surat pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim. Dr. Halili merupakan bekas Bendahari PKR Hulu Selangor dan pernah menjadi calon PKR pada dua pilihan raya umum iaitu pada tahun 1999 dan 2004. Pada 1999, beliau bertanding di Parlimen Hulu Selangor tetapi tewas kepada calon BN, Datuk G. Palanivel manakala pada 2004, beliau tewas kepada calon BN, Datuk Zainal Abidin Sakom bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali.

Selain aktif sebagai ahli politik, beliau juga merupakan seorang pakar bedah otak dan saraf. Beliau telah menjadi doktor peribadi Anwar sejak 1994 dan kini berkhidmat dengan tiga hospital swasta di ibu kota. Dr. Halili mengakui kesungguhan yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri membuatkannya mengambil keputusan untuk terus memperjuangkan nasib rakyat dengan memberi sokongan penuh kepada barisan kepimpinan negara.

Dalam pada itu, beliau sedar ada pihak yang bakal melemparkan pelbagai tuduhan antaranya kecewa tidak terpilih sebagai calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor. "Saya tidak pernah meminta atau menawarkan diri untuk dipilih menjadi calon PKR pada pilihan raya kecil kali ini. "Walaupun pernah bertanding sebelum ini tetapi saya berasa amat berat untuk bertanding apabila memikirkan realiti masyarakat bawahan telah berubah.

"Saya perlu membuat penjelasan ini kerana saya tidak mahu nama saya digunakan oleh PKR untuk memancing undi seolah-olah pendirian saya dengan PKR masih sama," katanya. Mengenai dakwaan beliau dibeli oleh UMNO, Dr. Halili berkata, beliau seorang pakar bedah dan tidak harus timbul tuduhan seperti itu.

Berkaitan pilihan raya kecil itu, beliau berkata, sebagai anak jati Hulu Selangor amat sukar baginya mempertahankan kredibiliti PKR memandangkan parti itu tidak melakukan apa-apa untuk kesejahteraan pengundi di kawasan tersebut sejak merampasnya daripada BN dua tahun lalu. "Saya faham Allahyarham wakil rakyat terdahulu uzur tetapi yang menghairankan mengapa PKR tidak berbuat sesuatu bagi membantu pejabat Allahyarham dalam memberi khidmat kepada pengundi Hulu Selangor?" katanya.

Ujar beliau, PKR hanya sibuk merayu undi pada waktu pilihan raya tetapi mengabaikan amanah rakyat seperti dijanjikan semasa tempoh berkempen. "Perkara sedemikian tidak seharusnya berlaku dan saya telah diberitahu oleh penduduk kampung sama ada di Hulu Yam, Rasa, Kuala Kubu, Sungai Buaya dan Serendah bahawa mereka akan memastikan perkara ini tidak lagi berlaku.

"Rakan-rakan dan saudara-mara saya juga faham bahawa perjuangan saya selama ini adalah untuk perubahan dan bukan untuk membela seseorang individu," ujarnya. Ditanya sama ada beliau akan membantu BN pada pilihan raya kecil tersebut, Dr. Halili berkata, beliau akan ke Australia untuk menyaksikan anaknya menerima ijazah sarjana undang-undang.

"Jangan kata saya lari pula. Dua minggu lepas anak saya lulus ijazah sarjana undang-undang dan Khamis ini adalah hari konvokesyen di universitinya. Perancangan ini sudah lama," katanya.
Sementara itu ketika berceramah di Sungai Buaya di Hulu Selangor, Dr. Halili berkata, beliau bukanlah seorang ahli politik tetapi seorang doktor.

Sehubungan itu katanya, beliau tidak tahu untuk mengutuk atau mengata sesiapa selain hanya mahu menyebelahi pihak yang benar. Katanya, kejayaan negara di bawah kepimpinan Najib telah banyak memberi kesedaran kepadanya di pihak manakah beliau sepatutnya berada.


Sementara itu : Latheefa - Kami sudah jangka Dr. Halili keluar PKR


"Kami telah jangkakan beliau keluar parti, sebab itu kami tidak memilihnya sebagai calon". Ini merupakan reaksi spontan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas Bendahari PKR Hulu Selangor, Datuk Dr. Halili Rahmat mengumumkan keluar daripada parti itu dan menyertai UMNO. "Kami telah menjalankan kaji selidik mengenai latar belakang dan kami dapati beliau bukan seorang calon yang baik.

''Kenapa bukan calon yang baik? Saya tidak bercadang mendedahkannya. Sebab itu kenapa kami tidak memilihnya," kata Ketua Penerangan PKR, "Kami telah jangkakan beliau keluar parti, sebab itu kami tidak memilihnya sebagai calon". Ini merupakan reaksi spontan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas Bendahari PKR Hulu Selangor, Datuk Dr. Halili Rahmat mengumumkan keluar daripada parti itu dan menyertai UMNO.

"Kami telah menjalankan kaji selidik mengenai latar belakang dan kami dapati beliau bukan seorang calon yang baik. ''Kenapa bukan calon yang baik? Saya tidak bercadang mendedahkannya. Sebab itu kenapa kami tidak memilihnya," kata Ketua Penerangan PKR, Latheefa Koya.

Latheefa berkata, mereka telah mendengar khabar angin bahawa pakar bedah itu mahu keluar daripada parti itu apabila bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim diumumkan sebagai calon parti bagi pilihan raya kecil ini Selasa lepas. "Kami tidak terkejut. Jadi kami telah membuat keputusan yang tepat untuk tidak memilih beliau," katanya kepada pemberita di Kuala Kubu Baru di sini hari ini.

Satu pertanyaan buat Latheefa Koya, anda sampai bila nak mencanang TIN KOSONG! Mengapa tidak ikut sekali keluar PKR! Desas desus mengatakan anda adalah orang yang seterusnya selepas ini. Wallahuallam.


Penang Wasabi

Monday, April 19, 2010

P94 Hulu Kelang : SAH memang Zaid kaki 'tonggang'!


Semalam Azmin mencabar bloggers, tetapi hari ini Zaid mengaku dahulu beliau memang kaki ' tonggang '! Apa Azmin nak kata!

Minum arak cerita lama - Zaid Ibrahim

Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor, Zaid Ibrahim berkata, dakwaan beliau meminum arak adalah cerita lama.

"Itu cerita lama. Kalau mereka nak ungkit, ungkitlah. Saya dah minta maaf dengan Allah SWT. "Apa pun kelemahan saya, apa pun ketidaksempurnaan, saya adalah seorang manusia dan mampu jadi wakil rakyat. Saya tidak hipokrit, apa yang silap, silaplah," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa berkempen dari rumah ke rumah di Kerling di sini.

Zaid berkata, apa yang membezakan antara beliau dengan pemimpin lain ialah beliau tidak bersikap hipokrit.
"Kalau orang tanya kes-kes tertentu, mereka kata terlalu kecil. Tetapi bagi saya, saya jawab. Saya percaya rakyat Hulu Selangor boleh menilai manusia Zaid Ibrahim ini sama ada dia layak jadi wakil rakyat. Kalau layak saya menanglah, kalau tak layak, tak layaklah," katanya.

Apa maksud dengan kenyataan ini : Zaid Ibrahim berkata, dakwaan beliau meminum arak adalah cerita lama."Itu cerita lama. Kalau mereka nak ungkit, ungkitlah. Saya dah minta maaf dengan Allah SWT. " Bukankah ini bermakna Zaid memang minum arak ataupun 'kaki botol' sebelum ini. Jadi adakah Azmin perlukan bukti lagi setelah tuan punya badan sendiri yang mengaku beliau memang meminuk arak sebelum ini!

Jadi kepada pengundi-pengundi di Hulu Selangor dinasihatkan berhati-hatilah bila memangkah nanti. Perlunya seseorang yang dikatakan ' bekas peminum arak ' menjadi pilihan anda untuk ke Parlimen! Tepuk dada, tanya selera. Undi anda adalah rahsia. Tunaikan kewajipan anda demi pembangunan dan masa depan Hulu Selangor.

BN Mampu Berubah. Sayangi Selangor, Yakini Barisan NAsional (BN).

Penang Wasabi.

Sunday, April 18, 2010

PRK P94 Hulu Selangor : Pertandingan empat penjuru!

P. Kamalanathan, calon Barisan Nasional (dua dari kiri) bersama calon Bebas SV. Chandran (kiri); Datuk Zaid Ibrahim (Parti Keadilan Rakyat) dan Johan Md. Diah (Bebas) di pusat penamaan alon di Kuala Kubu Bahru, semalam.



Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor yang akan berlangsung pada 25 April ini, bakal menyaksikan pertarungan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan dua calon Bebas.

Selain calon BN, P. Kamalanathan,44 dan calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim, 59, dua lagi calon yang disahkan layak untuk bertanding atas tiket Bebas ialah bekas Timbalan Pengerusi MIC Hulu Selangor, VS. Chandran, 56 dan seorang peniaga, Johan Md.Diah, 31.

Pengurus Pilihan Raya Parlimen Hulu Selangor, Norhisham Ahmad Dahalan ketika mengumumkan perkara itu berkata, tiada bantahan dikemukakan sepanjang proses penamaan berlangsung yang bermula pada pukul 9 pagi dan berakhir pukul 11 pagi di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Kuala Kubu Bharu di sini hari ini.

Sebelum itu, Zaid merupakan calon pertama menyerahkan borang pencalonan iaitu pada pukul 9.06 pagi, diikuti Kamalanathan pada pukul 9.30 pagi. Chandra pula menyerahkan borang itu pada pukul 9.34 pagi, sebelum diikuti oleh Johan kira-kira dua minit kemudian. Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu akibat barah otak. Dalam pilihan raya umum lalu, Allahyarham menewaskan calon BN, Datuk G.Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.

Kawasan Parlimen itu mempunyai 64,500 pengundi di tiga Dewan Undangan Negeri iaitu Ulu Bernam, Kuala Kubu Bahru dan Batang Kali. Daripada jumlah itu, DUN Batang Kali mencatatkan jumlah pengundi tertinggi iaitu 27,832 pengundi diikuti Kuala Kubu Bahru (18,212 pengundi) dan Hulu Bernam (17,149 pengundi).

Sementara itu, mengulas mengenai pertandingan empat penjuru tersebut, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menganggap ia tidak mendatangkan apa-apa perbezaan kerana bagi BN berapa pun jumlah calon yang bertanding, parti itu tetap bersedia menghadapinya.

Katanya, kehadiran calon bebas itu mungkin bertujuan untuk menarik undi daripada BN atau mungkin juga PKR. “Tetapi apa pun kita tahu strategi mereka dan kita bersedia menghadapinya,” kata beliau pada sidang akhbar selepas mengiringi Kamalanathan.

Ditanya mengenai tindakan Johan yang dikatakan masih menjadi ahli UMNO tetapi bertanding atas tiket bebas, Muhyiddin berkata, parti tersebut akan menyiasat kedudukan sebenar sebelum melakukan tindakan lanjut.

Sementara itu : Johan berahsia motif bertanding

Calon bebas, Johan Mohd. Diah, 31, masih berahsia motif sebenar beliau bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April ini. Beliau sebaliknya hanya berkata, segala pendedahan akan dibuat semasa kempennya nanti. "Saya bertanding bukan sebab kecewa atau untuk balas dendam. Banyak perkara kita akan dedahkan dalam kempen saya nanti.

Buat masa ini tiada komen," katanya yang merupakan bekas Exco Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Kuala Kubu Bharu di sini hari ini.

Johan berkata, beliau akan menggunakan lambang cangkul bagi mewakili rakyat terutama di Felda, golongan muda dan mereka yang kecewa dengan kerajaan. "Saya akan terus jadi calon bebas dan tidak berhasrat untuk sertai mana-mana parti politik. Saya adalah Jebat yang akan terus memperjuangkan Melayu," katanya.

Seorang lagi calon bebas, VS. Chandran, 56, yakin beliau akan berjaya pada pilihan raya kecil itu.
"Saya yakin akan mendapat 90 peratus sokongan daripada rakyat di Hulu Selangor kerana saya merupakan anak tempatan yang dikenali rakyat di sini," katanya yang merupakan bekas Timbalan Pengerusi MIC Hulu Selangor," katanya.

Penang Wasabi..

Thursday, April 15, 2010

Penangan Buat Anwar di P94 : Wei Shu keluar PKR!

Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima tamparan hebat menjelang Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini apabila seorang lagi wakil rakyatnya mengisytiharkan keluar daripada parti itu.

Selepas lapan pemimpinnya mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas sebelum ini, hari ini giliran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Kedah Tan Wei Shu (gambar) pula mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Wei Shu berkata, keputusan keluar parti itu diambil disebabkan rasa tidak puas hati kerana mendakwa dipermainkan oleh pemimpin parti yang beliau sifatkan sebagai ‘kacang lupakan kulit’ yang mempergunakannya untuk kepentingan tertentu.

Tambahnya, beliau telah mengadakan perbincangan dengan para pengikutnya untuk menjadi wakil rakyat Bebas selepas tiada permohonan maaf dibuat oleh pemimpin parti ekoran pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

‘Saya dituduh tidak layak dan tidak boleh bekerja, pada hal saya sudah membuktikan rekod kerja saya dalam dua tahun ini,’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Beliau juga meminta kepimpinan tertinggi parti menunjukkan rekod kerja mereka sebelum menuduhnya tidak layak dan tidak menjalankan tugas untuk parti itu.

“Saya minta mereka tunjukkan rekod kerja mereka. Jika gagal, jangan tuduh saya tidak layak dan tidak bekerja sedangkan saya telah membuktikan bahawa saya telah menunaikan janji-janji sebagai wakil rakyat. “Maka dengan itu saya mengambil keputusan keluar daripada parti kerana tidak boleh lagi bekerja dengan pemimpin yang enggan mengaku kesalahan sendiri,” katanya.

Keputusan Wei Shu itu menjadikan beliau pemimpin PKR kesembilan mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil rakyat Bebas. Selain beliau, pemimpin PKR lain yang mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas sebelum ini ialah Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang), Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering), Mohamad Radzhi Salleh ( Lunas) dan Badrul Hisham Abdullah ( Pelabuhan Klang).

Tiga Ahli Parlimen PKR turut berbuat demikian iaitu Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Balik Pulau), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai). Sementara itu, Zulkilfi Noordin (Kulim-Bandar Baharu) pula dipecat daripada parti itu.
Ekoran tindakan Wei Shu itu, Dewan Undangan Negeri Kedah kini terdiri daripada 16 wakil Pas, 14 wakil Barisan Nasional (BN), tiga (PKR), satu DAP dan dua Bebas.

Dalam pada itu, Wei Shu menegaskan, pengundurannya tidak ada kena mengena dengan pelucutan jawatannya sebagi Exco kerajaan negeri Kedah. “Saya tidak ada pilihan selain keluar daripada PKR. Jika saya masih membiarkan diri dipermainkan, bermakna saya turut bersubahat mempermainkan kepercayaan rakyat.

“Saya tidak mementingkan apa-apa keistimewaan sebaliknya hanya berhasrat membantu rakyat. Lagi pula saya cuma tahu bercakap benar, tidak seperti orang lain yang bermuka dua dan lidah bercabang. “Saya tidak pandai bercakap bohong, mengampu dan berjanji manis tetapi apa yang saya pandai adalah menyatakan boleh buat atau tidak dan mahu buat atau tidak,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan menyertai mana-mana parti politik selepas ini, katanya, setakat ini dia belum memikirkan perkara itu. Menurutnya, beliau kagum dengan usaha dan teladan yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kerap turun padang untuk berbakti kepada rakyat.

“Dulu kerajaan lain, sekarang punya kerajaan Perdana Menteri pun turun padang. “Saya mahukan pemimpin yang betul-betul untuk rakyat, itu yang penting sekali, bukan soal suka sesiapa. Pemimpin yang boleh jaga rakyat, itu yang saya sokong,” katanya.

'Jika mahu cerita tiga hari pun tidak habis'

Mengapa baru sekarang buat keputusan keluar daripada PKR?

WEI SHU: Saya tunggu dan terus tunggu tetapi mereka masih degil. Jadi jika pemimpin begini, bagaimana kita mahu bekerja bersama? Kita tidak boleh ikut sesuka hati kerana kita datang daripada rakyat dan kita bukan nak rebut kuasa atau pangkat.

Kedudukan sekarang?

WEI SHU: Bebas. Saya bergerak sebagai ADUN Bebas. Akan menyertai atau ditawarkan menyertai mana-mana parti?

WEI SHU: Itu saya tidak fikir lagi. Saya masih tidak bersedia. Belum ada keputusan tentang perkara itu. Saya berharap rakyat akan memahami perkara ini.

Menyokong BN?

WEI SHU: Bebas, saya ADUN Bebas. Tapi saya harap kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat boleh membantu. Ini perlu kerana rakyat adalah hasil kerajaan, mereka membayar cukai dan mereka tidak boleh (apabila) melihat saya beralih kepada Bebas dan mereka (kerajaan negeri) buat diam sahaja. Tengoklah, saya akan buat sesuatu.

Sokong parti mana?

WEI SHU: Yang mana betul saya akan sokong, yang tidak betul saya tidak sokong. Saya seorang yang berpegang kepada janji.

Pandangan pengundi?

WEI SHU: Itu bukan masalah. Saya sudah berbincang. Jika menjatuhkan maruah saya, ia juga menjatuhkan maruah mereka. Ini menganiaya saya. Parti apa ini?

Tuduhan-tuduhan dilemparkan kepada YB? Adakah ada tujuan tertentu?

WEI SHU: Ada setengah yang tidak mengaku. Ada yang minta maaf dan ada yang tidak. Kita tidak boleh beri 'monyet-monyet' dalam parti untuk rosakkan parti. Ini tidak betul. Kita datang daripada rakyat bukan pemimpin. Saya tidak suka. Saya tidak suka kena kawal dan hanya perkara yang adil untuk rakyat sahaja akan saya suarakan. Tidak kiralah Melayu, Cina dan India, saya sokong jika betul.

Siapa monyet dimaksudkan?

WEI SHU: Kalau saya sebut monyet memang mereka tahu. Yang pandai main-main, yang pandai mainkan orang.

Di peringkat negeri atau di pusat?

WEI SHU: Di mana-mana. Kalau nak marah orang pun tak elok sebab saya tidak suka marah tapi apabila sudah marah kita gelarkan monyet pun orang mungkin tidak kisah.

Sebab utama keluar parti?

WEI SHU: Saya memang tidak terfikir untuk keluar parti tetapi ia sudah melibatkan maruah saya di kawasan saya.

Maksud dipergunakan?

WEI SHU: Macam-macam dipergunakan. Dulu tidak berpelajaran pun boleh asalkan ada orang. Kini mahu orang yang berkualiti dan ada standard namun orang yang sebegini bukan tahu buat kerja. Walaupun saya tidak berpelajaran tinggi tapi saya rasa profesor dan doktor pun tak mampu buat seperti apa saya lakukan selama dua tahun ini. Sebab setiap janji kepada rakyat perlu saya tunaikan.

Sebelum buat keputusan, sudah berbincang dengan pihak atasan?

WEI SHU: Saya sudah beritahu mereka, jika mereka minta maaf saya akan maafkan tetapi hal begini sukar untuk berbincang dengan pemimpin atasan. Oleh itu saya akan beritahu mereka terus terang melalui surat saya.

Sudah serahkan surat?

WEI SHU: Surat telah siap dan saya akan serahkan kepada mereka.

Akan letak jawatan ADUN?

WEI SHU: Tanggungjawab kepada rakyat penting sekali. Jika saya meletakkan jawatan sebagai ADUN, saya samalah seperti seorang yang tidak bertanggungjawab.

Bagaimana dengan kepimpinan PKR?

WEI SHU: Apabila melihat Datuk Seri Najib Tun Razak sibuk bekerja, saya juga sayang Najib. Kerajaan dahulu lain, sekarang pemimpin turun padang dan saya mahu pemimpin yang benar-benar untuk rakyat dan menjaga rakyat. Kita jarang lihat Perdana Menteri yang selalu turun padang. Bagi saya, apa yang penting rakyat boleh terima beliau, maka saya juga akan terima.

Sepanjang bersama PKR, apakah yang paling tidak berpuas hati?

WEI SHU: Banyak. Jika mahu cerita tiga malam tiga hari pun tidak habis. Saya mahu lihat apa yang akan dibangkitkan. Macam sarang tebuan, kita tengok macam mana ia dijolok.

Apa yang dapat dikatakan sekarang buat Anwar adalah : Yang dikejar bakal tak dapat dan yang tengah dikendong jatuh berciciran!

Penang Wasabi..

Permohonan qazaf Anwar ditolak!

Anwar Ibrahim hari ini gagal mendapatkan perintah supaya pihak pendakwa syarie memulakan prosiding qazaf terhadap bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat oleh Ketua Pembangkang itu.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Mohd. Shukor Sabudin yang membenarkan bantahan awal pihak responden untuk mengetepikan permohonan tersebut.

Responden terdiri daripada Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsudin Hussain; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.

Dalam penghakiman lisannya, Mohd. Shukor menyatakan bahawa sebarang campur tangan dalam urusan pendakwaan boleh dilihat sebagai maksiat. "Ketua Pendakwa perlu menggunakan pertimbangan profesional. Beliau mesti adil, bebas dan tidak melibatkan pandangan peribadi atau fahaman politik dalam melaksanakan tugasnya.

"Sebarang campur tangan daripada mana-mana pihak termasuk pemimpin atau hakim dilihat sebagai satu maksiat. Dan tiada kepatuhan bagi mana-mana makhluk pada kemaksiatan," katanya. Selain itu, Mohd. Shukor menyatakan, permohonan yang difailkan Anwar adalah satu cubaan pencabulan proses mahkamah secara terang-terangan dan akan mengakibatkan keadilan dilihat menjadi kucar-kacir, tidak menentu dan bercelaru.

Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) memfailkan permohonan qazaf pada 7 Januari lalu. Mengikut Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997, qazaf ialah tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat orang saksi lelaki.

Seksyen ini adalah bagi mengelak seseorang menuduh orang lain berzina. Di bawah seksyen tersebut, tertuduh boleh didenda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Mohd. Shukor yang lebih sejam membacakan penghakimannya turut menyatakan, mahkamah tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memerintahkan Shamsudin mendakwa sesiapa.

Ini kerana, tegasnya, tindakan menjalankan siasatan, membicarakan dan membatalkan sebarang prosiding di mahkamah terletak sepenuhnya pada budi bicara ketua pendakwa syarie yang mempunyai bidang kuasa yang luas. Beliau turut memberitahu, tidak semua siasatan berakhir dengan pendakwaan dan pihak pendakwaan juga perlu lebih mementingkan kepentingan awam berbanding kepentingan pengadu.

Jelas beliau, pendakwaan menggunakan konsep 90 peratus iaitu seseorang individu itu hanya akan didakwa sekiranya pendakwa yakin terdapat lebih daripada 90 peratus peluang untuk mensabitkan tertuduh dengan pertuduhan. Pada prosiding hari ini, pihak responden diwakili oleh peguam syarie Zainul Rijal Abu Bakar dan Roslizam Rahim manakala Anwar diwakili barisan lima peguam syarie yang diketuai oleh Kamar Ainiah Kamaruzaman.

Sementara itu, Jamil Khir ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, keputusan tersebut secara tidak langsung telah membersihkan namanya dan Che Mat yang didakwa mempengaruhi Shamsudin dalam melaksanakan tugasnya. Beliau juga berkata, ia juga dapat memperbaiki semula reputasi ketua pendakwa syarie itu yang dikatakan tidak melaksanakan tanggungjawab dengan betul.

Kamar Ainiah pula memberitahu, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut dalam tempoh 14 hari selepas meneliti alasan penghakiman.

Penang Wasabi

Tuesday, April 13, 2010

PRK P94 - HULU SELANGOR : MIC cadang Palanivel, Umno pilih Mugilan!

Penamaan calon kerusi parlimen Hulu Selangor akan berlangsung pada Sabtu ini. Pakatan Rakyat malam ini dijadual mengumumkan Datuk Zaid Ibrahim daripada Parti Keadilan Rakyat sebagai calon mereka manakala Barisan Nasional pula berjanji akan membuat pengumuman dalam tempoh dua hari lagi.

Bendahari Umno Hulu Selangor, Datuk Zainal Abidin Sakom ketika dihubungi berkata calon BN itu akan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 April ini, jam 4 petang bertempat di markas BN, Bukit Sentosa di Bukit Beruntung.

Lazimnya, BN seringkali mendahului pembangkang dalam menamakan calonnya tetapi kali ini menjelang tempoh kurang 48 jam seperti yang dijanjikan, siapa yang bakal mewakili mereka terus menjadi tanda tanya. Sumber tertinggi dari MIC, petang tadi, mengesahkan bahawa Muhyiddin akan menamakan Timbalan Ketua Pemuda MIC, V Mugilan sebagai calon di kerusi Hulu Selangor.

Kurang senang

Namun keputusan itu dikatakan kurang disenangi oleh kebanyakan pemimpin atasan MIC. Mereka tetap mahukan Timbalan Presiden G Palanivel mewakili BN bagi merampas Hulu Selangor."Jika Mugilan dinamakan sebagai calon, kepemimpinan MIC akan memecat Mugilan kerana melobi bagi kerusi itu dan juga mensabotaj aktiviti parti serta mencemarkan nama Palanivel,” kata sumber itu.

Menurut beliau lagi, ketika mesyuarat malam semalam di Parlimen, presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu dilaporkan bertikam lidah dengan Muhyiddin berhubung pemilihan calon BN itu. Sumber itu berkata Muhyiddin berkata Mugilan adalah pilihan pemimpin BN tetapi pemimpin MIC yang hadir kurang menyenangi keputusan itu. “Samy Vellu mempertahankan pemilihan MIC yang mahukan Palanivel dan ini menyebabkan mesyuarat menjadi hangat,” kata sumber itu.

Presiden MIC itu dilaporkan tidak mahu berganjak dengan pilihan partinya kerana persetujuan dikatakan telah dicapai antaranya dengan pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berjumpa dengan Samy Vellu (kiri, berdiri) awal minggu lalu sebelum beliau berlepas ke Hanoi dan kemudiannya ke Washington DC.

Moral rendah

“Sekarang ini, moral di kalangan ahli adalah rendah kerana khabar angin dan laporan media yang mendakwa kemungkinan calon pilihan parti akan diubah,” katanya.

Dalam pada itu, ketua bahagian MIC, Puchong yang juga anggota jawatankuasa pusat parti itu, A Saktivel berkata satu sidang akhbar akan diadakan esok.

"Kami mahu calon pilihan parti bukannya yang dipilih oleh Umno kerana perkara ini adalah maruah parti,” kata Saktivel yang akan mempengerusikan sidang media itu yang dijadualkan di ibupejabat MIC.
Beberapa penyokong akar umbi yang tidak mahu identiti mereka didedahkan juga mengugut tidak akan keluar mengundi dan membubarkan jentera parti jika calon pilihan MIC tidak dipilih.
Khabar angin juga tersebar bahawa beberapa cawangan Umno juga sedang melobi pada minit terakhir bagi menyokong Mugilan. Mugilan dilahirkan di estet Kerling, Hulu Selangor dan adalah seorang ahli perniagaan.
Penang Wasabi

Saturday, April 10, 2010

Mufti diminta pandangan berhubung jawatankuasa antara agama!















Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) meminta mufti dan alim ulama di seluruh negara mengeluarkan fatwa serta pandangan berhubung penubuhan jawatankuasa khas berhubung isu antara agama.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, pihaknya amat terkejut kerana kerajaan tidak mendapat pandangan pihak lain terutama Majlis Raja-Raja terlebih dahulu sebelum menubuhkan jawatankuasa tersebut.
Beliau berkata, pihaknya bimbang kewujudannya akan meletakkan agama Islam setaraf dengan agama lain sedangkan jelas dalam Perlembagaan Islam adalah agama rasmi persekutuan.

"Perkasa minta supaya mufti dan juga alim ulama memberi pandangan mengenai penubuhan jawatankuasa agama beberapa hari lalu sebab ramai yang terperanjat kerana cadangan seperti ini dulu sudah kedengaran tetapi mendapat bantahan umat Islam.

"Kerajaan juga perlu mendapat pandangan Majlis Raja-Raja kerana Yang Dipertuan Agong adalah ketua agama negara dan sultan ketua agama negeri, adakah raja-raja merestui penubuhan ini?" katanya.

Semalam, akhbar melaporkan Menteri di Jabatan Perdana mengesahkan bekas Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Ilani Isahak dilantik sebagai Pegawai Penyelaras Khas bagi jawatankuasa khas berhubung isu antara agama dalam negara.

Kabinet telah memutuskan menubuhkan jawatankuasa khas tersebut pada Januari lalu bagi menyuburkan semula keharmonian dan kesefahaman antara agama di Malaysia.
Pada 2005, telah wujud cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Antara Agama Malaysia (ICM).

Bagaimanapun Majlis Mufti-Mufti Malaysia mengambil ketetapan menolak cadangan itu kerana ia tidak memberikan apa-apa faedah dan hanya merugikan umat Islam. Ibrahim berkata, Perkasa akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan perkara tersebut Ahad ini sebelum menetapkan pendirian mereka berhubung isu terbabit.

"Kita faham tujuan (jawatankuasa ditubuhkan) bagi membolehkan pemimpin agama duduk semeja berbincang dan bertukar pendapat tetapi kita tidak mahu meletak Islam setaraf dengan agama lain. "Dialog antara agama boleh dibuat secara tidak formal tetapi dengan penubuhan jawatankuasa ini, ia telah dibuat secara formal dan boleh meletakkan Islam sama dengan agama lain. Ini amat bertentangan dengan Perlembagaan," katanya.

Menurut beliau, tindakan melantik seorang wanita sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut juga boleh menimbulkan kekeliruan dan rasa tidak senang hati di kalangan pemimpin umat Islam. Ujarnya, ia mungkin disebabkan individu terbabit tidak mempunyai kredibiliti serta kefahaman yang tinggi dalam agama Islam untuk mempengerusikan jawatankuasa terbabit.

"Saya melihat ia seolah-olah Islam lawan dengan semua agama lain kerana ia diwakili oleh Majlis Perundingan Agama Budha, Kristian, Hindu dan Sikh Malaysia (MCCBCHST). "Sebab itu, kita mahu pandangan daripada mufti dan alim ulama tentang perkara ini terutama dalam soal akidah," katanya.

Apa yang disuarakan itu ada kebenarannya. Perlembagaan 153 telah menetapkan yang Islam itu adalah Ugama Rasmi Negara. Adakah dengan wujudnya jawatankuasa khas ini bakal digunakan ugama-ugama lain yang ada di negara ini untuk menentang ISLAM agama RASMI negara. Adakah IFC bakal menyalahgunakan jawatan kuasa khas ini untuk memperjuangkan misi mereka yang tergendala sebelum ini. Sama-samalah kita fikirkan sebelum terlambat! Wallahuallam.

Penang Wasabi.