~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Friday, March 12, 2010

Anwar Kata Pemimpin Pakatan Tertekan! Betul ke?


















Anwar Ibrahim mendakwa wujud usaha terancang pihak tertentu untuk menekan pemimpin-pemimpinnya. Anwar sendiri berhadapan siasatan polis atas pelbagai tuduhan, termasuk isu berkaitan anti Islam dan Melayu. Betul ke Anwar!

“Kita sedang menghadapi banyak sangat gangguan dan tekanan polis. Jangan halang dan ugut, saya rasa keterlaluan. Mengapa tidak boleh bercakap pasal isu enjin jet hilang, kapal selam scorpene. Ini isu politik dan harus ditangani secara politik.

“Saya bantah sekeras-kerasnya tindakan mereka untuk ganggu proses demokrasi. Polis kena kekalkan profesionalisme mereka, jangan habiskan banyak masa dengan menyoal siasat pemimpin PR. Tumpukan kepada meningkatkan tahap keselamatan tangani jenayah,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Merchant Square di sini, semalam.

Kelmarin polis mengambil keterangan Anwar berhubung empat laporan yang masing-masing dibuat polis sendiri dan seorang individu.

Empat pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan dan seorang Inspektor, semalam mengambil keterangan Anwar sambil pemberita serta jurukamera dibenarkan menyaksikan proses itu di luar bilik kaca di aras tiga pejabat.

Tiga pegawai polis yang merakam kenyataannya itu daripada tiga balai di Pulau Pinang, manakala dua lagi daripada Unit Cawangan Khas Bukit Aman.

Anwar yang juga Penasihat PKR, ditemani peguam Yusmadi Yusof dan Sivarasa Rasiah, masing-masing Ahli Parlimen Balik Pulau dan Subang serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Sim Tze Tsin.

Setiausaha Agung parti, Saifuddin Nasution hadir di sidang media selepas polis selesai mengambil keterangan.

Anwar, ketika ditanya pemberita mengenai lokasi laporan polis yang dibuat di beberapa tempat di Pulau Pinang berkata: “Secara kebetulan, saya tidak tahu kalau ada usaha terancang, tetapi pihak-pihak ini sengaja meniup api perkauman untuk mengaitkan pemimpin-pemimpin PR sebagai anti Islam dan Melayu,” katanya.

Katanya, 15 Ahli Parlimen dan ADUN PR telah disiasat polis atas isu terbabit dan isu-isu lain. Anwar menyifatkan kerjasama polis sebagai mesra dan baik semasa siasatan tersebut.

Penang Wasabi

Wednesday, March 10, 2010

Wan Azizah dicabar lepas jawatan Presiden PKR!

Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail didesak menyahut cabaran Zulkifli Noordin agar melepaskan jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau bertanding di Kulim-Bandar Baharu jika beliau seorang pemimpin yang berprinsip.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, langkah itu penting bagi membuktikan dakwaan Zulkifli bahawa Wan Azizah hanya sekadar presiden penghias muka depan dan tidak berfungsi, dapat disangkal.

“Sepatutnya beliau berani menyahut cabaran kerana hujah Zulkifli cukup kuat apabila mendakwa Wan Azizah tidak lagi mampu berfungsi sebagai presiden dan rekod kepimpinannya juga buruk apabila lapan wakil rakyat PKR telah keluar parti sama ada secara sukerala atau dipecat.

“Perkara ini jarang berlaku dalam sejarah kepimpinan politik tanah air. Oleh itu, jika beliau berasakan dia seorang yang masih berprinsip sepatutnya segala cabaran Zulkifli disahut dan buktikan semua tuduhan tersebut tidak benar,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelajaran mengulas tindakan Wan Azizah yang berdiam diri terhadap cabaran Zulkifli walaupun sebelum ini beliau terlebih dahulu ‘menyerang’ Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu dengan memintanya melepaskan jawatan selaku wakil rakyat.

Semalam, selepas dua hari dipecat daripada PKR, Zulkifli membalas desakan Wan Azizah apabila menasihatkan Presiden PKR itu supaya mencerminkan diri sendiri terlebih dahulu.

Menurut Zulkifli, Wan Azizah yang seharusnya melepaskan jawatannya kerana parti itu gagal mempertahankan dasar Islam, menjadi penyebab parti itu hilang sebuah negeri serta kepimpinannya yang teruk menjadi pendorong terhadap tindakan lapan wakil rakyat keluar parti.

Mengulas lanjut, Mohd. Puad bagaimanapun yakin, Wan Azizah akan terus mengambil sikap berdiam diri terhadap cabaran tersebut kerana mendakwa Presiden PKR itu telah dikuasai sepenuhnya oleh kumpulan firaun-firaun kecil seperti yang didakwa Zulkifli.

“Wan Azizah tidak akan berani menyahut cabaran Zulkifli kerana beliau hanyalah seorang presiden yang dipergunakan oleh golongan firaun-firaun kecil dalam PKR.

“Kenyataan awal beliau sebelum ini pun supaya Zulkifli melepaskan kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu, saya percaya didesak oleh kumpulan tersebut kerana sehingga kini golongan firaun itu tidak bersuara,” jelasnya.

Mohd. Puad berkata, bukti yang menunjukkan Wan Azizah adalah seorang boneka begitu banyak, antaranya tentang keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PKR yang akhirnya akan diubah oleh beberapa individu dalam parti itu.

Tindakan itu, katanya, jelas membelakangkan kedudukan Wan Azizah selaku presiden dan ia juga membuktikan isteri Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu tidak mempunyai kuasa serta tidak dihormati.

Penang Wasabi

Monday, March 8, 2010

Hanya janji tiada tindakan!

UTUSAN: Apa penilaian Datuk Seri selepas hampir dua tahun Pulau Pinang ditadbir pakatan pembangkang?

AHMAD ZAHID: Pada keseluruhannya terdapat kesedaran daripada rakyat berbilang kaum di Pulau Pinang selepas mereka menukar baju politik daripada Barisan Nasional (BN) kepada pakatan pembangkang.

Jelas daripada manifesto yang disogokkan kepada masyarakat, sebahagian besarnya tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan, malah beberapa tindakan yang dilakukan adalah bertentangan dengan hasrat manifesto pilihan raya mereka sendiri.

Di samping itu bukan sahaja di kalangan orang Melayu yang merasa terhantuk dengan tindakan pembangkang malah masyarakat India dan Cina juga merasakan bahawa apa yang telah dijanjikan pembangkang di Pulau Pinang tidak sebagaimana yang telah mereka lontarkan.

Tindak-tanduk itu menunjukkan mereka bagaikan terlupa bahawa mereka kini adalah sebuah kerajaan negeri kerana cara bertindak dan berfikir mereka sebenarnya masih seperti pembangkang.

Mahkamah rakyat akan menentukan kedudukan mereka pada Pilihan Raya Umum akan datang kerana rakyat telah dapat menilai prestasi mereka selama ini terutama daripada segi kebajikan yang masih belum ditunaikan.

Secara khusus apakah kesan pemerintahan pakatan pembangkang kepada orang Melayu di Pulau Pinang?

Ia bukan sekadar melibatkan penjaja malahan juga kontraktor bumiputera. Ini jelas menunjukkan ketelusan yang diagung-agungkan oleh mereka itu menyebabkan kontraktor Melayu tidak dapat bersaing di padang yang sama rata telah ketinggalan.

Ertinya walaupun tidak tertulis hasrat untuk membantu sesuatu golongan tetapi yang terjadi ialah peminggiran itu dilakukan. Saya juga melihat mereka cuba mempolitikkan hal ehwal agama dan ini termasuklah soal pengurusan agihan wang zakat yang sepatutnya sesiapa pun yang memerintah, hal ehwal agama Islam mesti dilaksanakan.

Daripada penjelasan itu nampak banyak kepincangan berlaku, adakah UMNO Pulau Pinang mempunyai strategi untuk menanganinya?

Paling penting semua kepimpinan UMNO harus mempunyai corak pemikiran yang sama, bertindak seiring dan mewujudkan perpaduan supaya langkah-langkah yang disusun itu boleh diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan.

Di Pulau Pinang, kita tidak boleh bergantung kepada UMNO sahaja, ia mesti melibatkan parti-parti komponen lain dan mereka perlulah bersama dengan apa yang telah dan sedang dilakukan UMNO antaranya gerakan turun ke akar umbi untuk memenangi semula hati rakyat.

Daripada segi BN, saya tidak mahu terlibat secara langsung walaupun menerajui UMNO negeri, sebaliknya ia 100 peratus diserahkan kepada anak jati Pulau Pinang kerana mereka yang menjadi pemangkin untuk menentukan maju mundur atau menang kalah BN di negeri itu.

Di Pulau Pinang, selain pembangkang ada juga parti baru iaitu Parti Cinta Malaysia (PCM) yang giat dipromosikan, adakah ia memberi cabaran kepada UMNO?
Saya fikir apabila Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri melontarkan pandangan supaya ada pindaan perlembagaan BN, ia menjurus ke arah mengajak parti lain di luar sana yang berkongsi aspirasi perjuangan supaya bersama kita.

Baik PCM, Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) atau Makkal Sakti, walaupun tidak menjadi parti komponen BN, mereka boleh menjadi penyokong BN, langkah ini pasti dialu-alukan UMNO Pulau Pinang.

Selepas Mac 2008, sudah ada tiga pilihan raya kecil di Pulau Pinang, kedua-duanya BN kalah. Adakah tahap sokongan sekarang sudah berbeza?

Situasi adalah berbeza pada masa itu dan tidak mustahil ia akan menjadi lebih berbeza dengan perkembangan-perkembangan terbaru yang sedang bergolak di Pulau Pinang.

Pada hemat saya bukan sahaja soal kepimpinan menjadi penting tapi bagaimana permasalahan rakyat itu ditangani oleh agensi-agensi Persekutuan kerana mereka mestilah menterjemahkan visi yang dilontarkan kepimpinan pusat untuk dilaksanakan di peringkat akar umbi.

Namun terdapat pertindihan antara agensi pusat yang mengendalikan aktiviti pentadbiran negeri dan ini mungkin telah dapat diselaraskan dengan sebaik-baiknya supaya ia disesuaikan dengan situasi politik di Pulau Pinang.

Terdapat pelbagai isu meletus di Pulau Pinang, apa yang paling tidak boleh diterima Datuk Seri?

Saya fikir terlalu banyak langkah yang mudah untuk disebut oleh mereka tapi sukar untuk dilaksanakan. Kita lihat dari segi mahu menyamaratakan semua kaum di Pulau Pinang. Sebenarnya ia tidak berlaku begitu walaupun DAP berhasrat menterjemahkan slogan Malaysian Malaysia. Hakikatnya ada yang terpinggir dan peminggiran ini cukup jelas sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati dalam pelbagai bentuk.

Malah Lim Guan Eng sendiri dalam usaha memenangi hati orang Islam menyatakan beliau adalah khalifah untuk semua kaum dengan mengambil contoh Khalifah Umar Abdul Aziz. Tetapi pelaksanaan jelas tidak begitu.

PRU ke-13 masih jauh namun bagaimana pula dengan persediaan untuk menampilkan calon terbaik?

Kita mengikut garis panduan yang dibuat Perdana Menteri. Apa yang sedang dilakukan oleh kepimpinan atasan tentulah mahu mencari calon yang boleh menang di kawasan itu, sudah tentu ia merujuk kepada personaliti yang boleh memberikan faedah secara langsung kepada rakyat. Saya lebih kepada mengikut garis panduan Perdana Menteri daripada menentukan kriteria kita sendiri di Pulau Pinang.

Sasaran UMNO di Pulau Pinang?

Setakat ini kita ada 11 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai UMNO. Kita yakin kalau usaha dapat dilakukan, sekurang-kurangnya tiga lagi kawasan majoriti Melayu dapat dimenangi UMNO.

Tetapi di Pulau Pinang undi bukan Melayu yang menjadi penentu, adakah Datuk Seri yakin ada perubahan pada PRU akan datang?

Yang penting komponen BN harus menjalin hubungan bukan sahaja dari aspek kerjasama bahkan melakukan aktiviti bersama UMNO. Dalam hal ini jika ada permasalahan dalam parti, kita selesaikan dengan cara terbaik dan kalau ada masalah di kalangan komponen BN, ia wajib diselesaikan dengan seberapa segera.

Penang Wasabi

Pas tidak wajar terima Zulkifli Noordin - Mahfuz!

Pas tidak wajar menerima kehadiran ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin ke dalam parti itu kerana tindakan tersebut tidak selari dengan semangat permuafakatan parti gabungan pakatan pembangkang. Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, kehadiran Zulkifli yang dipecat oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabtu lalu bukan saja tidak dapat menaikkan imej Pas tetapi akan mencemarkan lagi nama baik parti itu.

"Pas ada etika dalam perhubungan kerjasama persefahaman rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat. Apa jua keputusan disiplin yang dibuat oleh parti-parti rakan kita, kita tetap menghormati keputusan tersebut.

"Tidak wajar kita terima, tiada pertimbangan langsung... saya tidak melihat apa-apa yang boleh membantu meninggikan imej Pas dengan kehadiran Zulkifli ke dalam Pas... ini akan memberi keburukan dan mencalarkan nama baik parti,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Sebelum itu : UMNO Kulim-Bandar Baharu 'hulur tangan' kepada Zulkifli

Pemecatan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin membuktikan bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mengamalkan demokrasi sebenar sebagaimana dilaungkan oleh pemimpin parti berkenaan.

Ketua UMNO Bahagian Kulim-Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata, sebaliknya ia melambangkan sikap sebenar pemimpin PKR yang tidak boleh menerima kritikan walaupun ia untuk kebaikan parti itu dan negara.

"Pemimpin PKR hanya mengamalkan demokrasi terpilih, mereka hanya menjaja istilah demokrasi apabila perkara berkenaan menguntungkan pemimpin mereka tetapi sekiranya sesuatu perkara itu tidak memberi faedah kepada perjuangan mereka, ia ditolak begitu sahaja," katanya.

Aziz mengulas mengenai pemecatan Zulkifli daripada PKR oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti berkenaan semalam dan majlis tersebut turut mendesak agar Ahli Parlimen itu mengosongkan kerusi Parlimennya.

Kelmarin, Zulkifli bertindak tegas meninggalkan sesi pendengaran Lembaga Disiplin PKR berhubung isu kalimah Allah kerana tidak berpuas hati dengan komposisi ahli panelnya yang turut dibarisi aktivis Kristian. Abdul Aziz menjelaskan, orang ramai kini sudah boleh menilai perjuangan sebenar PKR dengan senario terbaru yang berlaku di dalam parti berkenaan.

Katanya, UMNO Kulim-Bandar Baharu lebih bersikap terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan Zulkifli yang merupakan Ahli Parlimen Bebas dalam usaha membangunkan kawasan berkenaan.

"Demi kepentingan rakyat, kita akan menghulurkan tangan menjalinkan kerjasama, kita boleh berunding bentuk bantuan yang beliau perlukan dalam perjuangannya," katanya.
Abdul Aziz merupakan calon Barisan Nasional (BN) yang ditewaskan oleh Zulkifli bagi kerusi Kulim-Bandar Baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

Sementara itu : Pemecatan Zulkifli bukti PKR tolak perjuangan Islam

Pergerakan Puteri UMNO menyifatkan pemecatan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah bukti parti itu secara terang-terangan menolak perjuangan Islam.

Ketuanya, Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin juga percaya keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi PKR itu akan membuka ruang yang lebih besar kepada lebih ramai pemimpin PKR meninggalkan parti tersebut.

Menurutnya, tindakan pemecatan Zulkifli menunjukkan bukti yang parti tersebut hanya memperjuangkan kepentingan pemimpin tertinggi mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Isu-isu berkepentingan rakyat yang menyentuh sensitiviti agama, bangsa dan negara tidak mendapat tempat dalam agenda mereka,'' katanya dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini hari ini.

Rosnah berkata, keputusan pemecatan itu juga langsung tidak memberi peluang kepada Zulkifli untuk membela diri yang menunjukkan tiada ruang rundingan dan perbincangan antara pihak yang menjatuhkan hukuman dan pihak yang dihukum.

Menurut beliau, perkembangan terbaru ini juga menunjukkan seolah-olah perjuangan Zulikifli untuk mempertahan dan memperjuangkan Islam sama sekali bertentangan dengan perjuangan barisan kepimpinan PKR.

Katanya, apa yang berlaku semakin menunjukkan perjuangan barisan kepimpinan PKR hanya mahu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri.

Tambah beliau, konsep ketelusan dan bersedia ditegur serta menerima pandangan rakyat ternyata perbuatan 'cakap tidak serupa bikin' apabila mereka memutuskan pemecatan Zulkifli.

''Barisan kepimpinan PKR hanya menghormati pandangan dan menjaga hati DAP, manakala Pas yang kononnya memperjuangkan Islam sanggup bersekongkol dengan Anwar menghalalkan yang haram,'' katanya. Menurutnya, DAP hanya menyokong kuat Anwar untuk memastikan matlamat menegakkan perjuangan 'Malaysian Malaysia' tercapai.

Layakkah seorang ahli politik " Tin Kosong " seperti Mahfuz mempersoalkan kewibawaan YB Zulkifli tentang Islam? Cakap berdegar-degar, tetapi di bontot penuh dengan najis. Seharusnya rakyat sudah dapat menilai siapa Mahfuz Tin Kosong yang sebenarnya. Wallahuallam.

Penang Wasabi

Saturday, March 6, 2010

Zulkifli Noordin dipecat dari PKR, didesak kosongkan kerusi!















Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin hari ini dipecat dari parti oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Di dalam keputusannya, MPP juga mendesak agar Zulkifli turut mengosongkan kerusi Parlimennya.Kelmarin, Zulkifli bertindak tegas meninggalkan sesi pendengaran Lembaga Disiplin PKR berhubung isu kalimah Allah kerana tidak berpuas hati dengan komposisi ahli panelnya yang turut dibarisi aktivis Kristian.

Walaupun dipengerusikan oleh seorang pemimpin parti beragama Islam, katanya, situasi majoriti ahli panel yang beragama Kristian tidak boleh diterima kerana isu kalimah Allah membabitkan penganut agama berkenaan secara langsung.

Sementara itu YB Zulkifli dalam kenyataan akhbarnya berkata, saya baru menerima makluman daripada rakan pemberita tentang keputusan mesyuarat MPP/PKR yang bermesyuarat sebentar tadi yang memutuskan saya dipecat daripada PKR.

Ini adalah permulaan satu titik hitam dalam sejarah perjuangan reformasi yang bermula pada 02.09.1998. Ia juga adalah permulaan kepada kejatuhan dan kehancuran PKR. Ternyata perjuangan untuk memartabatkan nilai kemanusiaan, mengembalikan hak asasi manusia, dan mendaulatkan nilai dan prinsip-prinsip keadilan sejagat (universal value of natural justice) hanyalah sekadar laungan palsu. Keputusan ini juga membuktikan bahawa bagi Fir’aun-Fir’aun Kecil yang menguasai PKR, ianya adalah satu dosa besar yang tidak boleh dimaafkan bagi memartabat, membela dan mempertahankan Islam.

Saya dihukum tanpa diberi peluang membela diri menurut prinsip hak asasi kemanusiaan dan nilai keadilan sejagat saperti yang dilaungkan oleh kepimpinan PKR selama ini. Kepantasan tindakan memecat saya membuktikan kepalsuan slogan mereka. Sedangkan saya hanyalah sekadar menuntut hak asasi kemanusiaan dan nilai serta prinsip keadilan sejagat dipatuhi, dan prinsip tersebut mewajibkan seseorang hanya boleh dibicarakan oleh rakan sekufunya (a person can only be tried by his own peers). Saya hanya menuntut dibicarakan oleh panel yang beragama Islam, kerana isunya membabitkan kalimah ALLAH, iaitu persoalan aqidah, syariat dan agama Islam. Sebaliknya mereka meletakkan panel yang majoritinya bukan Islam untuk menghina dan mengaibkan saya dan umat Islam.

Ini bukan sahaja bercanggah dengan prinsip dan nilai keadilan sejagat, malah merupakan satu penghinaan terhadap Islam dan umat Islam. Sebagaimana umat Islam merasa terhina bila Natrah dibicarakan oleh hakim Inggeris, dan kes kalimah ALLAH dibicarakan oleh hakim bukan Islam! Saya berasa terhina dihadapkan ke panel yang bukan Islam untuk membicarakan aqidah, kepercayaan dan agama saya!

Mengapa mereka berasa begitu sukar untuk mematuhi prinsip keadilan sejagat yang cukup mudah untuk dilaksanakan ini menjadi persoalan kepada saya? Bukannya saya enggan berdepan dengan Lembaga Disiplin, tetapi saya menuntut dibicarakan berdasarkan prinsip keadilan yang kononnya diperjuangkan oleh PKR. Apakah mereka tidak mempunyai keyakinan jika panelnya terdiri daripada orang Islam? Malah salah seorang ahli panel yang beragama Islam menarik diri atas prinsip tidak mahu terbabit dengan panel yang bukan Islam ini!

Keputusan MPP pada hari ini jelas membuktikan bahawa PKR sudah dikuasai sepenuhnya oleh Fir’aun-Fir’aun Kecil yang mempunyai agenda dan rancangan jahat yang sempit lagi anti Islam. Keputusan MPP PKR hari ini juga membuktikan kepada saya bahawa PKR tidak mempunyai sebarang agenda untuk perjuangan Islam. Mereka yang bercita-cita mahu memartabat dan mendaulatkan Islam menurut kerangka Perlembagaan Persekutuan akan menjadi korban.

Keputusan ini juga membuktikan dengan jelas kepada saya bahawa agenda perjuangan Islam tidak diterima oleh PKR. Malahan terbukti kepada saya deklarasi Dasar PR pada 19.12.2009 yang kononnya mendaulatkan Islam dan menghormati kedudukan umat dan institusi Islam didalam Perlembagaan Persekutuan adalah sekadar mainan politik picisan dan retorik murahan untuk mengelabukan mata umat Islam, dan suatu pembohongan jelas kepada rakyat.

Berdasarkan itu, tiada sebab dan alasan lagi untuk saya terus berada didalam PKR. Malah saya berasa malu kapada ALLAH dan umat Islam untuk terus bersama PKR. Walaupun saya mempunyai ruang untuk membuat rayuan, namun saya tidak bercadang untuk terus menggadaikan prinsip saya dan menjual maruah saya untuk berhadapan dengan sandiwara Fir’aun-Fir’aun Kecil ini. Sebaliknya saya akan mengkaji dan menimbang opsyen dan pilihan yang ada pada saya sebelum mengambil tindakan sewajarnya.

Saya melihat menjadi satu trend didalam PKR untuk melancarkan serangan peribadi dan “character assassination” yang tidak berasas terhadap sesiapa juga yang tidak bersetuju atau tidak lagi mahu bersekongkol dengan mereka. Saya menasihatkan kepada Fir’aun-Fir’aun Kecil ini supaya jangan terlalu emosional, sebaliknya bersikaplah dengan professional dan matang. Berlainan wadah tidak bermakna silaturrahim terpatah. Itulah prinsip Islam yang sangat indah dan mempesonakan jika dilaksanakan. Saya berharap mereka akan menghentikan serta merta tindakan bacul melakukan serangan peribadi dan ‘character assassination” terhadap sesiapa juga yang memilih untuk tidak lagi mahu bersama mereka. Itulah adalah hak demokrasi dan hak asasi tiap manusia, iaitu hak untuk memilih. Janganlah mengeruhkan keadaan sehingga memaksa orang lain mengambil sikap “tell-all” dan menelanjangkan semua keburukan kita pula.

Saya mengucapkan terima kasih kepada semua rakan dan sahabat samada diperingkat wakil rakyat, kepimpinan dan ahli PKR yang telah memberi sokongan dan dorongan kepada saya selama ini. Terima kasih kerana menghormati hak dan pendirian saya sebagai seorang Muslim, walaupun saudara mungkin berbeza pendapat dengan saya. Cuma satu peringatan daripada saya, hari ini saya menjadi mangsa, esok-esok mungkin giliran saudara pula selagi Fir’aun-Fir’aun Kecil ini dibenarkan berleluasa didalam PKR.

Terima kasih tidak terhingga kepada petugas dan pembantu saya yang sangat setia dan sentiasa bersama saya senang dan susah iaitu Puan Roslijah Syed, Sdr. Gunalan dan Tuan Hj. Abdul Rahman di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu. Pengorbanan dan kesetiaan sdr/i akan saya kenang selama-lamanya, moga ALLAH membalasnya.

Maka ternyatalah yang KEADILAN yang dilaung-laungkan oleh PKR hanyalah indah khabar dari rupa. Dahulu semada Anwar dipecat dari kerajaan oleh Tun Mahathir kerana salah laku maka dikatakan Tun tidak adil dan zalim, dan sekarang sudah kena batang hidung bermacam alasan yang diberi? Cakap tak serupa bikin. Sesungguhnya dengan pemecatan YB Zulkifli ini merupakan titik tolak akan " kejatuhan PKR " tidak lama lagi. Sama-samalah kita tunggu dan lihat PKR bakal berkubur tanpa bernisan!
Wallahuallam.

Penang wasabi

Friday, March 5, 2010

Zulkifli bertegas kalimah Allah!

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin bertindak tegas meninggalkan sesi pendengaran Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini berhubung isu kalimah Allah kerana tidak berpuas hati dengan komposisi ahli panelnya yang turut dibarisi aktivis Kristian.

Walaupun dipengerusikan oleh seorang pemimpin parti beragama Islam, katanya, situasi majoriti ahli panel yang beragama Kristian tidak boleh diterima kerana isu kalimah Allah membabitkan penganut agama berkenaan secara langsung.

Justeru, beliau tidak mengiktiraf penubuhan lembaga disiplin itu dan menggesa kepimpinan tertinggi PKR berlaku adil kepadanya dengan hanya membariskan tokoh beragama Islam bagi membincangkan kesnya berhubung isu tersebut.

''Sekurang-kurangnya kalau nak pecat saya, biarlah keadilan itu bukan sahaja dilaksanakan, tetapi dilihat dilaksanakan.

''Keadilan menuntut saya dibicarakan oleh mereka yang sekutu dengan saya, iaitu mestilah beragama Islam kerana ini membabitkan isu kalimah Allah, isu umat Islam," katanya kepada pemberita selepas kira-kira 30 minit panel itu bersidang di sini hari ini.

Zulkifli berkata, beliau sebenarnya telah meminta PKR membariskan ahli panel beragama Islam dalam meneliti isu itu melalui tiga surat bertarikh 16, 25 dan 27 Februari lalu kepada Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

''Jika mereka meneruskan juga perbicaraan terhadap saya dalam isu kalimah Allah ini, bermakna panel lembaga disiplin ini dan PKR jelas tidak menghormati Islam dan umat Islam,'' katanya.

Tambahnya, beliau mungkin mengambil 'satu' tindakan sekiranya PKR terus membariskan tokoh bukan Islam sebagai ahli panel lembaga disiplin berkenaan.

Sambil menegaskan tetap dengan perjuangan PKR, Zulkifli memberitahu, beliau tidak akan sesekali berkompromi dalam isu agama.

Beliau mendakwa, penubuhan lembaga disiplin itu dengan dibarisi penganut agama lain adalah 'hasil kerja' firaun-firaun kecil' yang berupaya mempengaruhi kepimpinan parti yang tidak senang dengannya.

Empat anggota panel disiplin itu ialah Syed Kamarulzaman Syed Kaber selaku ketua panel manakala dua lagi aktivis Kristian, Goh Keat Peng dan Chew Swee Yoke serta seorang beragama Hindu, T. Kumar.

Zulkifli dihadapkan ke lembaga disiplin PKR kerana membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

Penang Wasabi

Thursday, March 4, 2010

Kenapa pertikai Maulid Nabi?

ALHAMDULILLAH sambutan umat Islam di serata pelosok dunia terhadap hari dan bulan kelahiran Nabi SAW tetap segar dan bersemangat. Di negara kita sendiri, pelbagai bentuk sambutan yang diadakan di pelbagai peringkat mendapat sokongan dengan kehadiran begitu ramai anggota masyarakat.

Masih banyak majlis yang dijadualkan dalam masa terdekat sehingga mungkin melimpah keluar bulan Rabiulawal. Semua ini adalah suatu nikmat dan kurniaan istimewa daripada Allah SWT bagi umat dan negara kita.

Kita berdoa agar umat Islam di Malaysia akan sentiasa terkedepan dalam mengagungkan, menyanjung, mempertahankan dan membuktikan kecintaan kita terhadap Sayyiduna Muhammad SAW yang semuanya merupakan inti dan hakikat sambutan Maulid Nabi.

Kita berdoa agar sambutan Maulid Nabi di negara kita akan terus meriah dan lebih semarak walaupun terdapat suara-suara yang nampaknya tidak senang dan kelihatan seolah-olah alahan (alergik) dengan sambutan Maulid.

Pada tahun ini, suara-suara ini turut 'menumpang' isu pembatalan perarakan sambutan Maulid di sebuah negeri. Sebenarnya, saban tahun, apabila datang sahaja bulan Maulid, ada sahaja suara-suara yang nampaknya bersumber daripada orang-orang yang sama yang mempertikaikan dan tidak senang dengan Maulid.

Sikap tidak senang ini disuarakan pada pelbagai tahap dan dengan pelbagai ibarat. Ada yang menafikan adanya keistimewaan atau fadilat Maulid Nabi SAW dan membanding-bandingkannya dengan keutamaan Nuzul Quran. Ada yang mengungkit-ungkit bahawa sambutan Maulid tidak pernah dibuat oleh Nabi SAW dan para sahabatnya (maksud bidaah yang sesat).

Ada pula yang memilih musim Maulid ini untuk menulis dan menekankan tentang soal keinsanan Nabi Muhammad SAW. Dan ada juga yang mempertikaikan cara dan kaedah sambutan itu diadakan.

Mereka yang faham dan mengenali suara-suara ini tidaklah terlalu terperanjat walaupun tetap menepuk dahi dan mengurut dada kerana sedih dan kesal dengan kekeliruan yang cuba dijaja dan kedegilan sikap yang ditonjolkan.

Mereka yang kurang mengerti dan memahami pula mungkin sedikit-sebanyak akan terkeliru dan timbul kesangsian terhadap sambutan Maulid. Apatah lagi jika isu ini turut bercampur dan bertindan dengan isu dan sentimen politik kepartian.

Bukanlah terlalu besar isunya, jikalau yang dipertikaikan tentang Maulid ini adalah kaedah dan cara sambutannya. Prinsip-prinsip Islam dalam menentukan kaedah dan cara dalam sesuatu amalan sudah ada pada kita. Yang haram dan halal sudah jelas dalam Islam, manakala yang syubhah eloklah dijauhi.

Kita turut diajar berlapang dada dalam persoalan yang statusnya masih khilaf. Kita juga dilarang mempertikaikan niat orang lain serta perlu bersangka baik sesama Islam. Berbekalkan sikap ini soal-soal rinci seperti berarak atau tidak, pembaziran, percampuran dan batas aurat, lafaz dan bacaan selawat, berkompang dalam masjid dan sebagainya dapat kita singkapi tanpa menimbulkan banyak masalah.

Malangnya, sebahagian suara yang alahan Maulid ini turut mempertikaikan prinsip dan hukum Maulid serta kewajaran dan kebijaksanaan menganjurkannya dari sisi Islam. Ini adalah soal yang lebih besar dan mendasar.

Kegelinciran kaki dalam hal ini boleh melibatkan soal-soal besar termasuklah menyakiti Nabi SAW, tidak beradab dengan Baginda SAW, menentang syiar Islam, menyesatkan para ulama dan umat Islam, memecahkan kesatuan umat dan seumpamanya.

Tidak hairanlah seorang tokoh ulama Yaman, al-Allamah Abu Abdullah 'Alawi al-Yamani turut memperuntukkan bab khusus tentang persoalan Maulid dalam kitabnya yang bertajuk Intabih Diinuka fi Khotrin (Awas, Agamu Dalam Bahaya!). Memang, jika tidak berhati-hati, kata-kata dan perbuatan kita dalam bab Maulid ini boleh membahayakan dan mengancam agama kita sebenarnya.

Kerangka Fikir Menolak Maulid

Jika diteliti, ada beberapa kerangka faham agama tertentu yang dipegangi oleh mereka yang alahan Maulid ini yang akhirnya menyebabkan mereka bersikap begitu. Kerangka faham agama yang sama juga menyebabkan mereka turut berbeza sikap dengan majoriti umat dalam soal-soal tertentu seperti fiqh bermazhab, tasawuf, dan beberapa isu-isu khilafiyyah.

Kita boleh menyimpulkan kerangka faham agama mereka ini kepada beberapa fahaman utama:

Pertamanya: Fahaman mereka yang ganjil berkenaan prinsip dan konsep bidaah. Mereka tidak mahu menerima pandangan ulama-ulama muktabar yang membahagikan bidaah kepada yang sesat dan yang terpuji. Bagi mereka semua bidaah dalam hal agama adalah sesat. Mereka keras berpegang dengan tafsiran literal dan sempit kepada hadis yang berkaitan persoalan bidaah ini.

Kedua: Mereka terlalu menekankan sikap Ittiba' (mematuhi) dalam sikap mereka terhadap Nabi SAW dan Sunnahnya. Seterusnya, secara langsung atau tidak mereka ini sering mempertentangkan Ittiba' dengan sikap-sikap lain kita terhadap Nabi seperti Hubb (mengasihi) Ta'dzim (mengagungkan), Tasyaffu' (memohon syafaat), Tabarruk (mengambil berkat), Tawassul (mengambil sebagai perantaraan) dan seumpamanya.

Ketiga: Mereka berpegang serta bertaklid kuat dengan fahaman dan tafsiran beberapa tokoh ulama khalaf tertentu yang akhirnya telah diolah dan terolah menjadi suatu aliran terasing daripada arus perdana Umat. Berbekalkan fahaman-fahaman dalam aliran ini yang telah mereka angkat ke tahap doktrin dan memang disebarkan secara indoktrinasi (secara perbincangan sebelah pihak serta tidak saksama ataupun objektif), mereka ini rata-rata bersikap lebih pesimistik dan cenderung mempertikaikan tafsiran para ulama lain selain daripada beberapa ulama yang menjadi ikutan mereka.

Jika direnungi fahaman-fahaman asas mereka ini maka tidak hairanlah mereka ini cenderung menolak Maulid. Sebaliknya, mereka yang mendokong Maulid tidak perlu mengambil kira pandangan ini kerana asas-asas fahamannya ternyata berbeza dengan arus perdana umat.

Pertamanya, di sisi majoriti umat, sambutan Maulid adalah paling kurang pun dikira sebagai biaah Hassanah. Malah ada pandangan menyatakan bahawa ia termasuk sunnah yang dimulakan oleh Nabi SAW sendiri berdasarkan hadis yang menyebut bahawa kelahirannya pada hari Isnin menjadi salah satu asas Baginda SAW berpuasa sunat pada hari-hari tersebut; "Padanya (hari Isnin) aku dilahirkan dan padanya (hari Isnin wahyu pertama) diturunkan kepadaku." (Syarah Sohih Muslim, Imam Nawawi Jld 8 H: 235)

Majoriti umat juga tidak melihat konsep Ittiba', Hubb, Ta'dzim, Tasyaffu', Tabarruk dan Tawassul sebagai konsep-konsep yang bercanggahan antara satu sama lain. Malah semuanya adalah sebahagian dan selari dengan dasar mematuhi dan mentaati Nabi SAW kerana konsep-konsep ini tidaklah dilarang atau bercanggah dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi SAW.

Merujuk kepada asas fahaman mereka yang ketiga, majoriti umat Islam telah mewarisi khazanah fahaman agama meliputi ketiga-tiga cabang utamanya Akidah/Tauhid, Syariah/Fiqh dan Akhlak/Tasawuf daripada generasi demi generasi ulama-ulama pilihan dalam suatu kerangka yang kemas dan sistematik.

Para pemuka ulama umat dalam kerangka ini rata-ratanya tidak menolak dan mendokong Maulid sehingga boleh dianggap terdapat sebentuk Ijma' Sukuti (ijma' senyap) tentang sambutan Maulid Nabi selepas ia mula dianjurkan secara besar-besaran.

Penang Wasabi