~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Sunday, October 23, 2011

Menanti bentuk ‘pengorbanan’ Tsu Koon pada PRU13!


Minggu lalu Presiden Gerakan, Dr. Koh Tsu Koon menyatakan kesediaannya ‘mengorbankan diri’ sekiranya itu mampu memberi kejayaan kepada parti dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang. Apakah bentuk pengorbanan itu? Ia masih rahsia.

Tsu Koon akan mengumumkannya kemudian selepas perincian dan perbincangan dilakukan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menyatakan demikian pada ucapan penggulungan Persidangan Gerakan Ke-40. Tsu Koon tewas pada PRU lalu kepada calon DAP, Prof. Dr. P.Ramasamy di kawasan Parlimen Batu Kawan dengan majoriti 9,485 undi. Angka itu lebih besar daripada majoriti yang dimenangi Gerakan pada PRU sebelumnya melalui Huan Cheng Guan yang menang dengan majoriti 8,998 undi.

Selepas kekalahan memalukan itu, beliau mahu meletak jawatan kerana ingin bertanggungjawab terhadap kekalahan teruk Gerakan terutama di Pulau Pinang yang menjadi kubu kuat parti. Bagaimanapun jawatankuasa tertinggi parti menolak kerana bukannya masa untuk menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya bersatu memulihkan keyakinan rakyat kepada parti.

Kini selepas tiga tahun, Tsu Koon, Presiden Gerakan Ke-4 selepas Prof. Syed Hussein Alatas, Dr. Lim Chong Eu dan Dr. Lim Keng Yaik terus dikritik hebat oleh kawan dan lawan. Malahan sebelum itu, Ketua Pergerakan Wanitanya, Tan Lian Hoe menyarankan supaya Tsu Koon tidak bertanding pada PRU13. Niat Lian Hoe hanya untuk menyuntik semangat parti. Sebenarnya apakah motif di sebalik kritikan terhadap Tsu Koon itu?

Sebagai ahli politik, Tsu Koon tentunya faham maksud tersurat dan tersirat dalam kritikan atau teguran terhadapnya. Beliau tentu lebih faham kehendak ahli-ahli parti serta rakan-rakan dalam parti komponen Barisan Nasional (BN). Lebih-lebih lagi BN pada PRU13 mahu menebus kekecewaan yang dicatatkan pada PRU12 yang menyaksikan parti komponen seperti MCA, Gerakan, MIC kecundang. Menyelak kembali keputusan PRU12 itu, tiga presiden parti komponen BN tewas iaitu Gerakan, MIC dan PPP. MCA bertanding 40 kerusi Parlimen tetapi menang 15, Gerakan 12 (menang 2), MIC 9 (3) dan PPP gagal di kerusi tunggalnya, Taiping.

Daripada tiga kerusi ditandingi di Perak, Gerakan hanya menang di Gerik, di Johor menang kerusi tunggal di Simpang Renggam. Parti itu tewas di semua empat kerusi di Pulau Pinang, di Selangor hanya satu kerusi ditandingi tetapi tewas. Begitu juga di kesemua tiga kerusi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga kecundang.

Di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, Gerakan hanya mempunyai empat kerusi iaitu dua di Johor dan masing-masing satu di Kedah dan Pahang. Di Pulau Pinang, Gerakan bertanding 13 kerusi DUN tetapi semuanya tewas. Begitu juga tewas semua kerusi di Perak (4), Selangor (4), Negeri Sembilan (2) dan Melaka (1). Begitulah wajah lesu dan pengalaman ngeri Gerakan pada PRU lalu.

Justeru, apakah Gerakan kini sudah pulih dan terus relevan? Berdasarkan kenyataan Tsu Koon baru-baru ini, pendaftaran 30,000 ahli baru membuktikan Gerakan masih relevan. Tetapi jumlah ahli belum tentu menjamin kemenangan. Pengundi atas pagar, pengundi tidak berparti akan menentukan menang atau kalah calon. Justeru, Gerakan malahan parti komponen BN yang lain perlu melakukan sesuatu untuk mengembalikan kecemerlangan BN. Salah satu daripadanya ialah memilih calon yang boleh menang.

Dan bagi Gerakan, apakah langkah Tsu Koon seterusnya? Ada yang mahu beliau tidak bertanding. Ada juga yang mendakwa beliau akan berhijrah ke Simpang Renggam. Dan ada juga yang mahu beliau melakukan pertarungan ‘hidup atau mati’ dengan menghadapi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri (KM) Pulau Pinang. Mana satu pilihan Tsu Koon? Wajarkah beliau bertanding? Jika wajar di mana? Adakah untuk menyelamatkan maruah seorang presiden, ia perlu diperuntukkan kerusi yang selamat?

Dalam politik, kawasan yang dianggap selamat belum tentu selamat lebih-lebih lagi bagi ‘orang luar’ kawasan. Dalam hal ini, ia tidak seperti berlaku pada calon-calon pakatan 3P iaitu DAP, Pas atau PKR. Penerimaan pengundi terhadap calon 3P ini tidak mengambil kira dari mana asal usul mereka tetapi lain pula bagi calon-calon BN yang terlalu banyak ‘masalah’ sehingga calon yang boleh menang pun belum pasti menang. Inilah dilema BN.

Contohnya di Batu Kawan. Kenapa Tsu Koon yang popular dengan kedudukan KM tewas? Ramai yang melihat Batu Kawan kawasan selamat kerana sebelum ini menjadi milik BN. Dan Tsu Koon, jika mahu bertanding, eloklah kembali semula ke Pulau Pinang. Pilihlah mana-mana kawasan Gerakan yang kini dikuasai DAP sama ada Bukit Bendera, Batu Kawan, Jelutong atau Tanjong. Ada juga yang mencadangkan Tsu Koon memilih Bagan jika Guan Eng masih berhasrat bertanding di kawasan itu. Tetapi apakah keupayaan Tsu Koon? Di Bagan, pada PRU lalu, Guan Eng menang majoriti 22,070 undi mengatasi majoriti Lim Hock Seng (DAP) pada 2004, sebanyak 3,622 undi. Adakah menawarkan diri untuk bertanding di Bagan sebagai satu pengorbanan Tsu Koon?

Jika diselak rekod yang lalu, Tsu Koon mula menjadi ahli Parlimen Tanjong pada 1986. Beliau gagal mempertahankan kerusi itu apabila tewas kepada Setiausaha Agung DAP ketika itu, Lim Kit Siang yang berhijrah ke Pulau Pinang bagi menjayakan misi Tanjong I pada 1986. Tsu Koon berehat sepenggal dan menjadi setiausaha politik KM ketika itu, Chong Eu. Beliau kemudiannya bertanding di DUN Tanjong Bunga pada 1990 dan kejayaan berpihak kepadanya malahan dilantik sebagai KM bagi menggantikan Chong Eu yang ditewaskan oleh Kit Siang di Padang Kota. Pada 1995, di DUN yang sama, beliau menumbangkan Kit Siang dengan majoriti 7,703 undi dan kekal pada 1999 dan 2004 sebelum ke Batu Kawan.

Begitulah perjalanan politik Tsu Koon. Adakah PRU13 sebagai PRU terakhir atau PRU untuk beliau bangkit semula?

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment