~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Sunday, October 2, 2011

Mat Sabu terkedu! - Sultan bertitah jangan halal kezaliman komunis.


TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah (depan, tengah) bersama ilmuan pada Konvokesyen Ke-24 di UUM di Sintok, Kubang Pasu, semalam. Turut kelihatan Rafidah Aziz (depan, dua dari kiri) dan Sanusi Junid (depan kanan).

Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah, sejarah tidak wajar dipolitikkan dengan cuba menafikan hakikat yang berlaku pada masa lampau.

Baginda bertitah, sebagai inti kepada jati diri, sejarah perlu dijadikan sebagai panduan hidup.

"Jika sejarah komunis menyerang rakyat dan anggota keselamatan suatu ketika dahulu, janganlah pula kita menyatakan sebaliknya.

"Janganlah menghalalkan kekejaman komunis suatu ketika dahulu.

"Seperti kata seorang ahli falsafah barat, George Santayana: "Mereka yang tidak mempelajari sejarah akan didera dengan mengulangi segala kesalahan dahulu"," titah baginda pada Majlis Konvokesyen ke-24 Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok di sini, hari ini.

Majlis konvokesyen itu berlangsung dalam 12 sesi selama enam hari bermula hari ini dan seramai 8,556 graduan akan menerima ijazah masing-masing.

Pada majlis tersebut, bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Politik dan Pembangunan) dan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Perdagangan Antarabangsa).

Sultan Kedah yang juga Canselor UUM bertitah, meskipun sikap memikirkan masa depan mempunyai pelbagai kebaikan, ia juga mengandungi keburukan.

"Kita akan melupai kerangka sejarah sedangkan sejarah menjadi inti kepada jati diri. Sejarah juga boleh menjadi kompas kepada hidup seseorang," titah baginda.

Dalam pada itu, Tuanku Abdul Halim menasihatkan rakyat supaya peka dengan perkembangan dan perubahan keadaan sekeliling termasuk daripada segi teknologi, sosial, ekonomi serta politik kerana ia memberi kesan kepada perjalanan kehidupan.

Baginda bertitah, kerajaan sentiasa membuat polisi berdasarkan perubahan semasa dan setiap perubahan itu menghadiahkan peluang.

"Seharusnya sama-samalah kita menghayati dan mengikut pembentangan Bajet 2012. Ambillah peluang dan manfaat daripada bajet itu," titah baginda.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment