~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Sunday, October 16, 2011

Ananda dan kejutan!


Selalunya rakyat Malaysia mendengar cerita tentang kejayaan dan kekayaan tokoh perniagaan, T. Ananda Krishnan. Sama ada secara langsung mahupun tidak langsung, namanya sentiasa di bibir walaupun beliau tidak suka menonjolkan diri. Apatah lagi saban tahun, Ananda di antara taikun teratas yang diumumkan dalam senarai orang terkaya di Malaysia dan Asia.

Minggu lalu, lain pula ceritanya. Rakyat Malaysia dikejutkan dengan laporan siasatan pihak berkuasa India terhadap beliau dan ketua pegawai kanannya, Ralph Marshall.

Kedua-duanya disiasat bersama seorang bekas menteri pusat India, Dayanidhi Maran dan adiknya, Kalanidhi berhubung tuduhan konspirasi jenayah komersial membabitkan urusan pembelian antara Maxis Communication Berhad (MCB) dan Aircel pada 2006. MCB dan Astro All Asia Networks (Astro) dimiliki oleh Ananda.

Bekas pemilik dan Ketua Eksekutif Aircel, C Sivasankaran mendakwa bahawa Dayanidhi ketika menjadi menteri telah bertindak memihak kepada MCB dalam pengambilalihan syarikat itu dan sebagai ganjaran, pelaburan dibuat oleh syarikat menerusi rangkaian Astro di Sun TV, dimiliki oleh keluarga Maran. MCB membeli 74 peratus kepentingan dalam Aircel bernilai AS$800 juta daripada Sivasankaran yang mendakwa dipaksa oleh Dayanidhi untuk menjual syernya.

Biro Siasatan Pusat (CBI) India telah membuka laporan maklumat awal (FIR) bagi membolehkan siasatan formal dibuka. Menurut laporan agensi, CBI telah mengadakan serbuan ke premis kedua-dua beradik berkenaan, minggu lalu dan dijangka memanggil Ananda tidak lama lagi.

Kes siasatan itu mendapat liputan meluas di seluruh dunia. Media India saban hari menyiarkan perkembangan isu tersebut yang menggegarkan industri telekomunikasi negara berkenaan. MCB dan Astro dalam reaksinya, menafikan berlaku sebarang salah laku dalam pembelian Aircel dan menegaskan bahawa syarikat itu membayar harga urusniaga berdasarkan persetujuan bersama Sivasankaran.

Yang menarik perhatian adalah, apakah kesudahan kes siasatan tersebut dan sama ada Ananda akan disabitkan kesalahan? Ia sudah tentu memerlukan bukti kukuh menerusi proses siasatan menyeluruh bagi memberi keadilan kepada semua pihak. Sebagai rakyat Malaysia, jauh di sudut hati mengharapkan keputusannya nanti memihak kepada kepentingan rakyat negara kita. Segala-galanya masih samar setakat ini sambil persoalan tertentu berlegar - apakah ada lagi kejutan selepas ini? Kita tunggu dan lihat.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment